Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


30 tahun terkurung

Posted:

Rio de Janeiro: Sebuah keluarga yang kehilangan kura-kura kesayangan tidak menyangka dapat bertemu haiwan peliharaan mereka 30 tahun kemudian, lapor media semalam.

Kura-kura bernama Manuela itu gagal dikesan pemiliknya pada 1982 walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mencarinya. Keluarga Almeida kemudian menganggap Manuela melarikan diri ketika pekerja pembinaan mengubah suai rumah mereka. Awal bulan ini, ketua keluarga Almeida, Leonel, meninggal dunia dan anak-anaknya bekerjasama membersihkan bilik di tingkat dua rumah mereka yang sarat berisi barangan elektrik rosak.


Selama ini, bilik berkenaan dibiarkan berkunci.

Anak lelaki Leonel Leandro berkata, dia terkejut apabila mendapati Manuela berada dalam sebuah kotak di bilik berkenaan, tetapi ia hanya disedari sejurus sebelum kotak berkenaan dibuang.


"Saya meletakkan kotak itu di kaki lima supaya pemungut sampah mengambilnya, tetapi ada seorang jiran bertanya, mengapa saya mahu membuang kura-kura?" katanya. Hairan dengan kata-kata jirannya, Leandro melihat kotak berkenaan sekali lagi dan terkejut melihat apa yang ada di situ.


Adik Leandro, Lenita, berkata kura-kura itu hadiah untuknya ketika dia masih kecil. Pada masa sama, Leonel tidak suka membuang barangan elektrik yang dirasakan boleh dibaiki. "Jika bapa terjumpa televisyen rosak dan dia berasa boleh diperbaiki, bapa akan menyimpannya di dalam bilik.

Foto

KELUARGA Almeida menunjukkan Manuela yang ditemui selamat selepas terperangkap dalam bilik rumah mereka selama 30 tahun.

"Lama-kelamaan, bilik itu penuh dengan barangan elektrik dan kami tidak berani masuk ke situ," katanya.


Mengenai penemuan Manuela itu, Lenita berkata, mereka sekeluarga sangat gembira apabila bertemu semula dengan kura-kura berkenaan.

Namun, kata Lenita, tiada siapa tahu bagaimana Manuela mampu bertahan dalam bilik berkenaan selama 30 tahun. Sementara itu, pegawai vaterinar Rio de Janeiro, Jeferson Pires berkata, kura-kura spesies berkaki merah mampu bertahan walaupun tanpa makanan untuk tempoh lama. "Kura-kura jenis itu boleh hidup tanpa makanan selama dua hingga tiga tahun.


"Jika di hutan, ia boleh makan buah-buahan, daun, bangkai haiwan atau najis," katanya.


Mengenai Manuela, Pires berkata, ia mungkin terselamat kerana makan anai-anai di lantai kayu rumah berkenaan. -Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Bayi jantung di luar dibenar pulang

Posted:

Houston: Seorang bayi yang dilahirkan dengan jantungnya berada di luar badan, dibenarkan pulang semalam selepas diberikan 'cangkerang' khas bagi melindungi organ penting berkenaan.

Audrina Cardenas dilahirkan pada 15 Oktober tahun lalu dengan menghidap penyakit dikenali sebagai ectopia cordis yang menyebabkan jantungnya terbentuk di luar dada. Penyakit itu hanya berlaku terhadap seorang daripada setiap lapan juta orang dengan sembilan daripada 10 penghidapnya meninggal dunia ketika lahir atau sekadar bertahan kurang dari tiga hari. Namun, selepas tiga setengah bulan, Audrina membuktikan kelaziman itu salah, sebaliknya dia dibenarkan keluar dari Hospital Kanak-kanak Texas di Houston.


Dia dilihat meninggalkan hospital itu dengan pelindung khas berkenaan bersama ibunya, Ashley, Audrina akan menjalani pembedahan untuk membetulkan kedudukan jantungnya dan memasang pelindung kekal beberapa tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Gambar Diana dilelong RM54,800

Posted:

Amherst (New Hampshire): Sekeping gambar Diana Spencer bertanda "bukan untuk disiarkan" dijual pada harga lebih AS$18,000 (RM54,800) dalam acara lelongan, semalam.

Gambar itu memaparkan Diana sebelum berkahwin dengan Putera Charles dan bergelar Princess of Wales berehat di katil bersama rakannya dalam satu percutian bermain ski.


Selain Diana, seorang lelaki dan sebotol wiski turut kelihatan dalam gambar berkenaan. Gambar itu diperoleh sebuah akhbar Britain sejurus selepas Diana bertunang dengan Charles.

Firma lelongan RR Auction berkata, gambar itu dijual kepada seorang pelabur hartanah dari San Diego pada harga $18,306 (RM55,731) - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

54 banduan korban rusuhan di penjara

Posted:

Caracas: Media Venezuela semalam melaporkan, puluhan banduan terbunuh dalam rusuhan di penjara.

Sehubungan itu, Naib Presiden Nicolas Maduro berkata, kerajaan sudah mula melancarkan siasatan terhadap kejadian yang disifatkannya sebagai peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku. Beliau dan pegawai lain tidak menyebut jumlah kematian dalam rusuhan di Penjara Uribana di tengah bandar raya Barquisimeto itu.


Bagaimanapun, akhbar Ultimas Noticias melaporkan dalam laman webnya, 54 banduan mati. Rangkaian televisyen Globovision pula melaporkan seramai 50 orang terbunuh. Kedua-dua media memetik kenyataan Ruy Medina, Pengarah Hospital Pusat di bandar raya itu. Medina, dalam kenyataannya juga berkata, puluhan banduan turut cedera.

Menteri Perkhidmatan Penjara, Iris Barela berkata, rusuhan meletus apabila sekumpulan banduan menyerang anggota Pengawal Kebangsaan yang cuba melakukan pemeriksaan.


Katanya, pihak berkuasa akan menanti sehingga keadaan terkawal untuk menentukan jumlah korban sebenar. Kerajaan mengambil keputusan menghantar tentera untuk memeriksa penjara itu selepas menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan banduan sejak dua hari lalu.


Pemimpin pembangkang, Henrique Capriles mengecam cara kerajaan menguruskan kesesakan dan keganasan di penjara negara itu.

"Penjara negara kita adalah contoh ketidakmampuan kerajaan dan pemimpinnya. Mereka tidak pernah dapat menyelesaikan masalah itu. Berapa banyak lagi kematian di penjara perlu berlaku sebelum kerajaan mengaku kegagalannya dan membuat perubahan?" kata Capriles dalam Twitternya.


Venezuela terkenal kerana keadaan teruk di penjaranya. Kesesakan di penjara negara itu adalah antara yang paling buruk di Amerika Latin.

Terdapat kira-kira 50,000 banduan ditahan dipenjara yang dibina untuk memuatkan 14,000 orang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Pemilik senjata di India digesa bantu lindungi wanita

Posted:

New Delhi: Pemilik senjata digesa meronda jalan raya pada sebelah malam dan menggunakan senjata mereka untuk mencegah jenayah terhadap wanita.

"Pemilik senjata berlesen sepatutnya menjalankan perkhidmatan sosial untuk menakutkan bakal pencabul. Mereka sepatutnya menggunakan senjata mereka untuk meronda kawasan sunyi seperti perhentian bas setiap malam. Dan apabila mereka melihat wanita diganggu, mereka perlu bertindak menghalang perbuatan itu," kata Tejendra Khanna yang mengetuai Jabatan Polis di New Delhi.


Beliau dipetik oleh akhbar The Indian Express sebagai berkata, pemilik senjata itu boleh menghabiskan masa sekurang-kurangnya sejam setiap hari bersama-sama rakan mereka di tempat awam pada sebelah malam.

Cadangan itu bagaimanapun dikecam oleh pembangkang dari Parti Bharatiya Janata yang berkata, penduduk sepatutnya tidak dinasihatkan untuk bertindak sendiri dalam apa juga keadaan.


Penyelidik Senjata Ringan yang berpejabat di Geneva menganggarkan, 40 juta orang awam India memiliki senjata tetapi hanya 6.3 juta daripada mereka mempunyai lesen.


Polis berkata, kes rogol di New Delhi meningkat 23.4 peratus kepada 706 orang pada 2012 berbanding tahun sebelumnya. Ia menggambarkan jenayah terhadap wanita di bandar raya yang mempunyai 16 juta penduduk itu semakin berleluasa. Kejadian merogol dan membunuh pelajar berusia 23 tahun, bulan lalu mencetuskan tunjuk perasaan ganas dan desakan supaya hukuman berat dikenakan ke atas perogol. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Periksa tatu organ sulit

Posted:

Moscow: Tentera Russia semalam mengeluarkan perintah untuk memeriksa tatu pada bahagian sulit anggotanya.

Satu sumber Kementerian Pertahanan berkata, langkah itu tidak ada kena mengena dengan undang-undang mengharamkan kumpulan gay.


Dalam kenyataan yang disiarkan akhbar Izvestia, kementerian itu berkata, tumpuan akan diberikan pada muka, organ seks dan punggung. Sumber Kementerian Pertahanan juga berkata, pemeriksaan dilakukan untuk memastikan kesihatan dan penampilan semata-mata, bukan untuk menentukan kecenderungan seks anggota tentera. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Pakar yakin Jakarta tak tenggelam hari ini

Posted:

Jakarta: Ramalan mengenai hujan lebat yang akan menyebabkan banjir besar hingga 'menenggelamkan' bandar raya ini hari ini menjadi tajuk perbincangan hangat di kalangan penduduk.

Bagaimanapun, ramalan itu disangkal pakar meteorologi Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi, Tri Handoko Seto.


Menurut Tri, hujan lebat memang akan menyebabkan peningkatan air laut. Kedudukan bulan terhadap bumi esok (hari ini) juga akan memberi kesan kepada pasang surut laut.

"Tetapi, agak keterlaluan jika dikatakan Jakarta akan tenggelam esok," katanya.


Menurutnya, puncak musim hujan di Jakarta memang terjadi pada Januari dan Februari.


"Jika dibandingkan dengan ramalan dengan menggunakan model yang sama pada 15 hingga 18 Januari lalu, kadar hujan esok adalah lebih rendah. Sifat hujan juga akan berbeza," katanya.

Aktiviti di ibu negara Indonesia itu lumpuh dua minggu lalu selepas kebanyakan kawasan ditenggelami air selepas hujan lebat dan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

'Seruan' militan Islam Mali

Posted:

Paris: Kebangkitan militan Islam di Mali adalah 'seruan lantang' untuk bakal pejuang di Perancis, tetapi kemungkinan besar mereka tidak akan melakukan serangan itu di negara berkenaan dalam tempoh terdekat, kata hakim antipengganas kanan, semalam.

Menurut Marc Trevidic, militan Islam kini menganggap Perancis sebagai musuh nombor satu mereka. "Kumpulan itu menganggap tentera Perancis memerangi Islam. Justeru, sudah pasti mereka akan cuba untuk melawan kita," katanya.


Trevidic adalah hakim paling kanan untuk badan menyiasat kegiatan keganasan di Perancis. Paris mengarahkan serangan udara dilancarkan serta menghantar ribuan tentera ke Mali beberapa minggu lalu bagi menekan pemberontak al-Qaeda yang menguasai sebahagian kawasan di utara negara berkenaan.

Barat bimbang kawasan dikuasai militan itu akan menjadi pusat operasi mereka melancarkan serangan ke atas kepentingan politik dan ekonomi Perancis. Bagaimanapun, kata Trevidic, dia yakin serangan militan Islam ke atas kepentingan Perancis tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat. Menurutnya, sistem perundangan Perancis mula membuka siasatan baru membabitkan beberapa individu disyaki mempunyai kaitan dengan sel 'pengganas' Mali beberapa minggu lalu. November lalu, pendakwa berkata, mereka menyiasat seorang lelaki Perancis yang disyaki memasuki Mali secara haram untuk menubuhkan sel militan Islam. Didiami kira-kira lima juta umat Islam, Perancis menjadi negara paling ramai didiami Muslim di Eropah dan belum pulih sepenuhnya daripada insiden pembunuhan tujuh orang pengagum al-Qaeda pada Mac 2012. Trevidic berkata, risiko serangan pengganas Islam di wilayah Perancis adalah rendah kerana langkah keselamatan dan pengawasan kini dipertingkatkan. "Bahaya bukan datang dalam jangka masa pendek, sebaliknya jangka masa sederhana," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Korea Utara ulangi amaran jalankan ujian nuklear ketiga

Posted:

Seoul: Korea Utara semalam mengulangi amaran untuk menjalankan ujian nuklear ketiga dalam langkah terbaru mereka mencabar sekatan dikenakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Akhbar harian rasmi kerajaan Korea Utara, Rodong Sinmun, melaporkan ujian itu dijalankan 'atas permintaan rakyat' dan mereka 'tidak ada pilihan lain.' "Rakyat menuntut kita melakukan sesuatu yang lebih hebat daripada ujian nuklear.


"Majlis Keselamatan PBB tidak memberi kita pilihan lain kecuali terus berusaha untuk mendapat matlamat akhir," kata akhbar itu. Kenyataan itu dibuat sehari selepas Pyongyang mengesahkan, sekatan dikuatkuasakan awal minggu ini boleh dianggap sebagai 'perisytiharan perang' terhadap Korea Utara.

Pyongyang juga mengancam untuk mengambil 'langkah tindak balas fizikal' terhadap Korea Selatan, tetapi mereka tidak menyatakan maklumat lanjut mengenainya. Rodong Sinmun melaporkan, ancaman terbesar kepada keamanan Semenanjung Korea datang dari dasar kuasa jahat diketuai AS. Media rasmi Korea Utara sering menggunakan retorik melampau untuk melaporkan sebarang perkembangan politik negara itu.


Pemerhati juga tidak dapat memastikan maksud sebenar Rodong Sinmun apabila akhbar berkenaan menggunakan ungkapan 'bertindak lebih hebat daripada ujian nuklear.' - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Tentera Syria cuba rampas Homs

Posted:

Beirut: Tentera Syria melancarkan roket dan artileri ke kawasan dikuasai pejuang antikerajaan di tengah Homs dalam usaha mereka meluaskan gerakan memerangi kumpulan yang cuba menyingkirkan Presiden Bashar al-Assad.

Aktivis antikerajaan juga mendakwa, rejim Bashar membeli kelengkapan tambahan untuk tentera kerajaan bagi mengukuhkan serangan di Homs serta cuba mengambil semula kawasan dikuasai pejuang. Satu rakaman video amatur dimuat naik di Internet menunjukkan deretan roket terkena banyak bangunan di bandar Rastan, tidak jauh dari Homs.


Bunyi tembakan sengit turut dapat didengar dalam rakaman itu.

Pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, tentera kerajaan turut menyerang pejuang antikerajaan di sekitar Damsyik.


"Tentera melancarkan serangan ke beberapa daerah, termasuk Zabadani dan Daraya," kata pertubuhan berpangkalan di Britain itu.


Satu lagi kumpulan aktivis, Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan (LCC), berkata jet tentera kerajaan menyerang kawasan Douma yang menjadi kubu kuat pejuang berhampiran Damsyik. Kata LCC, sekurang-kurangnya 80 maut akibat keganasan di seluruh Syria kelmarin, termasuk 11 daripada mereka terkorban di Homs. Sementara itu, PBB berkata, jumlah penduduk Syria memasuki Jordan bulan ini meningkat ketara menyebabkan populasi di kem pelarian itu bertambah dua kali ganda.

Kata badan dunia itu, lebih 30,000 orang tiba di Zaatari pada Januari.


"Untuk tempoh dua hari lalu saja, 6,000 orang tiba di situ, menjadikan jumlah pelarian meningkat kepada 65,000 orang," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

No comments:

Post a Comment