Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Rajagobal terdesak cari penggempur

Posted:

Di sebalik rasa terkilan dengan masalah kecederaan pemain dalam skuad kebangsaan, pengurus Datuk Seri Subahan Kamal tetap yakin barisan pemain yang bakal menjalani latihan pusat bersama ketua jurulatih Datuk K Rajagobal (gambar) bermula hari ini mampu membentuk skuad mantap bagi mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar 6 Februari ini.

Antara pemain yang berada dalam senarai kecederaan ketika ini adalah K Gurusamy, Mohd Bunyamin Omar dan Mohd Nor Farhan Muhammad hingga memaksa pengendali negara memanggil dua lagi pemain Abdul Shukur Jusoh dan Mohd Fitri Omar dalam skuad 26 pemain itu.


Terbaru dikhabarkan penyerang utama Mohd Safee Sali mengalami kecederaan pada sesi latihan Johor Darul Takzim dan Rajagobal membuat keputusan saat akhir memasukkan pemain berpengalaman dari Selangor, Mohd Amri Yahyah semalam.

Namun Subahan yang dihubungi Arena Metro meredakan perkhabaran kurang baik buat skuad kebangsaan itu dengan menyatakan kehadiran Amri tiada kaitan dengan kecederaan Safee.


"Saya difahamkan Safee mengalami kecederaan tapi Amri memang dalam perancangan kami. Dia memiliki pengalaman luas dan boleh beraksi di posisi penyerang dan tengah. Jurulatih pada mulanya mahu memanggil Amirulhadi Zainal yang cemerlang beraksi dengan Pahang musim ini tapi malangnya dia kini mengalami kecederaan hamstring.


"Memang saya terkilan dengan masalah kecederaan beberapa pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan kali ini tapi ini tidak boleh dijadikan alasan kerana saya harapkan pemain lain yang diberi peluang tidak mengecewakan," katanya.

Selepas menjalani latihan pusat tiga hari di Wisma FAM, Kelana Jaya, skuad Harimau Malaya berlepas ke Dubai bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Iraq pada 31 Januari.


Mereka kemudian akan berlepas ke Doha bagi menghadapi misi sebenar menentang Qatar pada pusingan kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015.

Bagi Subahan yang juga Naib Presiden FAM, beliau mengharapkan semua pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam dua perlawanan menentang pasukan handalan negara Teluk itu.


"Iraq bekas juara Piala Asia 2007, lawan yang kami anggap kuat dan mereka akan menjadi persiapan terbaik untuk skuad negara sebelum berdepan Qatar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Murray mara, Federer kecewa

Posted:

Pemain Britain, Andy Murray (gambar) menundukkan Roger Federer pada pertembungan getir lima set untuk layak ke perlawanan akhir kejohanan tenis Terbuka Australia, semalam.

Juara Terbuka AS itu menamatkan rentetan kegagalan Grand Slam menentang pemain nombor dua dunia dari Switzerland itu, memenangi pertemuan separuh akhir 6-4, 6-7 (5/7), 6-3, 6-7 (2/7), 6-2 dalam masa tepat empat jam.


Murray kini mara ke final ketiga pada Terbuka Australia dan bertemu juara bertahan, Novak Djokovic esok, perlawanan ulangan final Terbuka AS apabila pemain Scotland itu merangkul kejuaraan Grand Slam sulungnya, September lalu.

Murray melebarkan rekod pertemuannya ke atas Federer, pemenang 17 kejuaraan utama kepada 11-9, namun ia kejayaan pertamanya ke atas Federer dalam empat perlawanan Grand Slam.


Ia juga perlawanan akhir Grand Slam keenam Murray dan dia muncul pemain pertama Britain layak ke tiga final Terbuka Australia.


"Memang sukar menentangnya. Dia mempamerkan permainan terbaik pada acara Grand Slam," kata Murray. "Apabila saya melakukan servis untuk menamatkan perlawanan pada kedudukan 6-5 pada set keempat, dia tampil dengan beberapa pukulan menakjubkan.

"Saya tidak bermain dengan baik dalam tie-break, sukar apabila anda melakukan servis untuk merebut tempat ke final dan beberapa minit kemudian anda beraksi dalam set kelima.


"Saya terus berjuang dan dia melakukan beberapa pukulan lemah pada awal set kelima dan ia membantu saya." Murray terlalu unggul pada set penentuan apabila merampas dua servis lawannya untuk memastikan kemenangan.

"Djokovic mempamerkan aksi terbaik di sini, final ketiganya berturut-turut dan saya perlu bermain dengan cemerlang," kata Murray.


"Saya harap perlawanan ini menyakitkan kerana ia bermakna perlawanan yang bagus."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Victoria tidak hirau kontroversi, fokus aksi final

Posted:

Melbourne: Dituduh tiada semangat kesukanan dan dibelenggu kecederaan, usaha Victoria Azarenka (gambar) memburu kejuaraan kedua berturut-turut pada Terbuka Australia hari ini menyaksikannya dicabar pemain yang mempamerkan aksi terbaik kariernya, Li Na.

Pemain Belarus itu berdepan pilihan keenam, Li Na yang tidak kalah sebarang set sepanjang kejohanan itu dan meraih keyakinan tinggi apabila membenam naib juara tahun lalu, Maria Sharapova, 6-2, 6-2 pada separuh akhir.


Persembahan Victoria ketika menentang pemain Amerika Syarikat, Sloane Stephens tidak begitu meyakinkan dan dicemari kontroversi apabila pilihan utama itu mengambil masa 10 minit mendapatkan rawatan selepas mensia-siakan lima mata penamat.

Victoria kembali ke gelanggang diiringi cemuhan penonton dan apabila menamatkannya dengan mata penamat keenam, dia menambah kemarahan penonton menerusi komennya ketika temubual di gelanggang.


Dicemuh di media sosial dan dikutuk wartawan, Victoria menafikan dia menggunakan masa rehat itu untuk menenangkan rasa gementarnya dan berkata, ia untuk menerima rawatan kerana kecederaan tulang rusuk yang menyekat pernafasannya.


Kakitangan perubatan mengesahkan rawatan itu, menurut pengarah kejohanan, Craig Tiley dan pemain berusia 23 tahun itu cuba menjelaskan perkara itu dalam satu temuramah dengan penyiar hos, Channel Seven, semalam.

"Ia tidak menyenangkan tapi ada beberapa perkara yang perlu saya tangani dan pelajari," kata Victoria mengenai kontroversi itu.


"Yang penting adalah meneruskan kehidupan dan bermain dengan hebat esok (hari ini)." Li Na lebih bersedia meraih kejuaraan itu kali ini selepas dibelasah Kim Clijsters dalam cubaan pertama, yang juga final sulung acara Grand Slam.

"Kali pertama layak ke final Grand Slam, saya agak terkejut kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan," kata Li Na yang meraih gelaran tunggal Grand Slam pada Terbuka Perancis beberapa bulan selepas kegagalannya di Australia.


"Lagipun tiada siapa memberitahu saya apa yang patut dilakukan di gelanggang. Tapi kali ini saya lebih berpengalaman dan yakin beraksi lebih baik." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Peluang Ghana cerah

Posted:

Ghana mencerahkan peluang melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Mali, 1-0 manakala Niger pula meraih mata pertama saingan Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi semalam.

Satu-satunya gol yang berjaya dihasilkan pada hari keenam kejohanan menerusi sepakan penalti Ghana di Stadium Nelson Mandela Bay, Port Elizabeth.


Sementara itu tiada jaringan disaksikan dalam perlawanan antara Niger dan DR Congo bagi saingan Kumpulan B yang kini memasuki perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Ghana kini menduduki tangga teratas dengan empat mata selepas dua perlawanan diikuti Mali (3), DR Congo (2) dan Niger (1). Niger akan berdepan Ghana di Port Elizabeth, Selasa ini manakala Mali menentang DR Congo pada hari sama di Durban.


Semua empat pasukan masih berpeluang untuk mara ke suku akhir dan meskipun ia satu kejutan jika Ghana gagal melakukannya, Mali dan DR Congo percaya mereka juga mampu melepasi halangan peringkat kumpulan itu.


Jurulatih Nigeria, Stephen Keshi dan rakan sejawatnya di Zambia, Herve Renard masing-masing memenangi gelaran sebagai pemain dan jurulatih mengaku saingan terbuka kerana pasukan kerdil memberikan tentangan hebat kepada pasukan lebih ternama.

Niger yang tumpas dalam semua perlawanan pada penampilan pertama pada 2012 dan kemudian kalah pada perlawanan pembukaan 0-1 kepada Mali, Ahad lalu beraksi lebih hebat berbanding DR Congo dari segi kesungguhan, kemahiran dan percubaan tepat ke pintu gol.


Mereka turut melepaskan peluang terbaik pada minit keempat apabila sepakan Modibo Sidibe terkena tiang ketika hanya berdepan penjaga gol, Robert Kidiaba.

DR Congo yang memiliki pemain lebih berpengalaman dan mempamerkan kehebatan apabila bangkit menerusi dua jaringan penyerang Anderlecht, Dieumerci Mbokani ketika seri 2-2 dengan Ghana, Ahad lalu mempunyai peluang untuk menambah jaringan.


Dua percubaan terbaiknya berjaya diselamatkan penjaga gol Niger, Daouda Kassaly.


"Kami mensia-siakan peluang. Ia peluang terbaik untuk kami melepasi peringkat kumpulan. Kami terlepas dua peluang kerana tidak bermain dengan baik," kata jurulatih DR Congo, Claude Le Roy.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Ivory Coast, Tunisia buru tiga mata

Posted:

Rustenburg: Hanya kemenangan bakal menentukan nasib Ivory Coast dan Tunisia yang membuat perhitungan malam ini bagi menempah tiket ke suku akhir daripada Kumpulan D Piala Negara-Negara Afrika.

Satu slot ke suku akhir akan diserahkan kepada pemenang perlawanan itu sekiranya satu lagi aksi di Rustenburg antara Algeria dan Togo berkesudahan seri.


Ivory Coast dan Tunisia menduduki dua tempat teratas kumpulan hasil kemenangan pada perlawanan pertama.

Ivory Coast gagal mempamerkan kehebatan selaku pasukan pilihan apabila beraksi hambar pada perlawanan pembukaan, Isnin lalu.


Perlawanan itu tampak bakal berkesudahan dengan keputusan seri selepas gol Yaya Toure berjaya dipadam Jonathan Ayite hinggalah Gervinho menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum tamat untuk memastikan tiga mata penuh.


Jurulatih Sabri Lamouchi yang lega dengan keputusan itu bagaimanapun melabel persembahan anak buahnya yang terburuk sejak beliau mengendalikan skuad itu.

"Ia bukan permainan terbaik, kami banyak melakukan kesalahan teknikal. Pasukan saya tidak boleh melakukan kesilapan sama apabila menentang Tunisia.


"Masalah yang ketara adalah kami cepat kehilangan bola dan kesilapan pemain pertahanan membuatkan pasukan dalam bahaya.

"Perlawanan ini satu pengajaran buat kami," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Buru Piala FA

Posted:

Manchester United berharap prestasi mereka tidak terjejas selepas seri dengan Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana baru-baru ini apabila melayan kunjungan Fulham pada perlawanan pusingan keempat Piala FA, awal pagi esok.

United melepaskan gol penyamaan pada masa kecederaan ketika seri 1-1 di White Hart Lane, minggu lalu sekali gus membenarkan juara bertahan Manchester City merapatkan kedudukan kepada lima mata.


United sudah sembilan tahun tidak memenangi Piala FA dan mendorong pengurus Alex Ferguson mengarahkan anak buahnya supaya mencuba yang terbaik pada kempen kali ini.

Sedikit kelegaan buat mereka apabila Fulham gagal mempamerkan prestasi baik sejak akhir-akhir ini.


Skuad kendalian Martin Jol itu yang mengatasi Blackpool pada perlawanan ulangan pusingan ketiga, hanya mengutip 12 daripada 45 mata dalam Liga Perdana sekali gus menyaksikan mereka menduduki tangga ke-14 liga.


United menghabiskan minggu ini di Qatar bagi kem latihan menjelang pertemuan dengan pasukan bekas penyerang Old Trafford, Dimitar Berbatov, awal pagi esok.

Pemain Bulgaria itu dijangka membuat penampilan pertama di Old Trafford sejak meninggalkan kelab itu hujung musim lalu dan pemain pertahanan United, Phil Jones bersedia berdepan bekas rakan sepasukannya itu.


"Pasti menarik untuk melihat Berbatov kembali ke Old Trafford. Secara teknikal, dia pemain yang hebat," katanya.

"Piala FA adalah kejohanan yang hebat dan ia salah satu piala yang kami ingin menangi. Kami mahu melangkah sejauh mungkin. Ia kejohanan yang selalu kami impikan.


"Saya harap kami boleh mendapat keputusan yang baik dan mara jauh pada pertandingan ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Sissoko, Haidara harapan Newcastle

Posted:

Paris: Pemain tengah Perancis dan Toulouse, Moussa Sissoko serta pertahanan Nancy, Massadio Haidara menjadi pemain terbaru negara itu yang diambil Alan Pardew untuk menyertai kelab yang bergelut dengan zon penyingkiran, Newcastle United, kelmarin.

Sissoko, 23, yang membuat enam penampilan buat Perancis dan memulakan karier di akademi remaja Toulouse manakala Haidara adalah pertahanan skuad bawah 21 tahun Perancis, menandatangani kontrak lima setengah tahun.


"Sissoko tidak akan menghabiskan baki kontrak bersama TFC. Dia mencapai persetujuan bersama Newcastle untuk berpindah secara kekal bermula hari ini," kata Toulouse dalam laman web rasminya.

Haidara yang beraksi 46 perlawanan liga sejak melakukan penampilan pertama di kelab itu pada 2010, tempat sama Michel Platini memulakan kariernya, adalah pertahanan ketiga Perancis yang menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu bulan ini.


Newcastle yang menamatkan saingan musim lalu di tempat keenam kini berada di kedudukan ke-16 musim ini dan hanya dua mata dipisahkan daripada zon penyingkiran namun Haidara menegaskan ia bukanlah satu kebimbangan.


"Keinginan kelab mendapatkan saya menjadi faktor paling penting. Ia tiada kaitan dengan kedudukan dalam liga," kata Haidara.

"Saya menyukai cita-cita kelab untuk menguatkan seluruh pasukan, Kami boleh meningkatkan kedudukan dalam liga. Itu yang dinyatakan kepada saya dan saya tidak teragak-agak." Rabu lalu, Newcastle melengkapkan perpindahan penyerang Yoan Gouffran dari Girondins Bordeaux. Sehari sebelum itu pertahanan tengah Perancis, Mapou Yanga-Mbiwa menyertai kelab itu dan meninggalkan Montpellier. Pertahanan kanan Perancis yang beraksi untuk Lille, Mathieu Debuchy turut menyertai kelab itu awal bulan ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

United peroleh faedah latih di Qatar: Vidic

Posted:

Doha: Nemanja Vidic percaya Manchester United mendapat faedah daripada latihan dalam cuaca panas di Qatar ketika mereka bersiap sedia menentang Fulham pada pusingan keempat Piala FA, awal pagi esok.

United berlepas ke Timur Tengah Ahad lalu, sebaik seri 1-1 dengan Tottenham yang menyaksikan pendahuluan mereka di puncak carta Liga Perdana berkurangan kepada lima mata.


Selepas kecewa melepaskan gol penyamaan lewat perlawanan di White Hart Lane, kapten United, Vidic, 31, percaya latihan di negara panas minggu ini akan mencergaskan semula skuad itu menghadapi babak kedua musim.

"Semuanya bagus sejak kami berada di sini," kata Vidic. "Cuaca terlalu bagus dan kemudahan juga menakjubkan.


"Bekerja dalam cuaca panas satu perubahan yang baik, memandangkan cuaca sejuk melampau di Manchester ketika ini. Kami berada di sini tiga tahun lalu dan ia satu kunjungan yang hebat." Selepas mengatasi West Ham 1-0 pada perlawanan ulangan pusingan ketiga di Old Trafford, anak buah Alex Ferguson diundi menentang Cottagers di Old Trafford ketika mereka mengintai kejayaan Piala FA pertama sejak 2004. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Elak aib kali kedua

Posted:

Pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny percaya pengalaman pahit kecundang di tangan kelab Liga Dua, Bradford akan membantu Gunners mengelakkan aib kali kedua di tangan Brighton pada perlawanan pusingan keempat Piala FA, malam ini.

Piala FA dilihat peluang paling realistik buat Arsenal menjulang kejuaraan musim ini namun jika mara lebih jauh pada pertandingan itu, mereka mesti mengatasi ujian getir menentang lawan dari Liga Kejuaraan pada pusingan keempat.


Brighton kendalian Gus Poyet mencabar tempat ke penentuan play-off divisyen dua dan mengesahkan ancaman mereka pada pusingan terdahulu apabila menyingkirkan kelab bermasalah Liga Perdana, Newcastle.

Ia pasti amaran buat Koscielny dan rakan sepasukan Arsenal yang masih terasa kekalahan memalukan menerusi penentuan penalti di tangan Bradford pada suku akhir Piala Liga.


Kekalahan di Valley Parade, bulan lalu membuatkan pertahanan tengah Perancis itu percaya pasukannya tidak boleh memandang rendah cabaran lawan.


"Pengajarannya adalah bukan saja dengan kualiti anda boleh memenangi perlawanan. Semua pemain mesti memberi tumpuan penuh dan mahukan perkara sama," kata Koscielny.

"Kami mesti bersedia berjuang dan kekal fokus dengan kualiti yang ada dan bermain bola sepak pada setiap perlawanan. Jika kami bermain seperti ini maka kami boleh menang setiap perlawanan.


"Sama ada Piala FA atau Piala Perancis, semuanya sama, pasukan kerdil sering mahu mengatasi pasukan ternama.

"Mereka mahu mengalahkan Arsenal, cabaran pasti sukar dan kami perlu berjuang. Kami perlu turun dengan aksi sendiri untuk memenangi perlawanan ini.


"Kami pasukan pilihan dan ada sedikit tekanan apabila turun beraksi. Ia mungkin sukar tapi jika kami kekal dengan kualiti dan bermain dengan cara sendiri, kami boleh menang." Arsenal berdepan perlawanan itu selepas membelasah West Ham, 5-1 awal pagi Khamis lalu yang membantu melonjakkan semangat mereka selepas kecundang 1-2 di tangan Chelsea. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Ferguson beri penjelasan kepada FA

Posted:

London: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson sudah memberikan penjelasan kepada Persatuan Bola sepak (FA) Inggeris susulan komen kontroversi pada sidang media selepas perlawanan di Tottenham.

Ferguson berang dengan penolong pengadil, Simon Beck berikutan keputusan seri 1-1 di White Hart Lane, hujung minggu lalu selepas United dibolosi gol penyamaan pada masa kecederaan dan dakwaan Wayne Rooney seharusnya mendapat penalti ditolak pengadil Chris Foy.


Pengurus dari Scotland itu mendakwa Beck sepatutnya memberitahu Foy kekasaran ke atas Rooney seharusnya diberikan sepakan penalti dan beliau mengimbau kembali rasa tidak puas hati kepada penolong pengadil itu pada April 2010 apabila membiarkan Didier Drogba menjaringkan gol penting buat Chelsea meskipun berada dalam kedudukan ofsaid di Old Trafford.

"Beliau sangat teruk pada perlawanan itu," kata Ferguson. "Tidak mungkin penjaga garisan memberikan penalti kerana beliau memberikan segala-galanya kepada lawan.


"Ia keputusan yang jelas. Jaraknya dengan insiden itu hanya 10 atau 12 meter dan beliau tidak memberikannya.


"Saya kecewa, kami tidak mempunyai rekod yang baik dengannya.

"Ketika menentang Chelsea beberapa tahun lalu, beliau membenarkan jaringan Drogba meskipun pemain itu berada tiga meter dalam kedudukan ofsaid. Anda pasti ingat insiden itu kerana ia berlaku dalam perlawanan penting dan ia adalah perlawanan penting." FA meminta Ferguson menghantar penjelasan mengenai insiden itu kelmarin dan beliau sudah melakukannya.


Kini FA mempunyai masa hingga Selasa ini untuk memutuskan sama ada mahu mendakwa Ferguson secara rasmi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

No comments:

Post a Comment