Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak puas hati? buatlah aduan

Posted:

Kuala Lumpur: "Ada orang cuma cakap-cakap saja tapi tiada tindakan. Seelok-eloknya kalau tidak puas hati dengan pengadil, buatlah aduan rasmi menerusi persatuan negeri atau kelab masing-masing untuk kami ambil tindakan," jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Astaman Abdul Aziz.

Kenyataan disuarakan itu sebagai menjawab isu mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini yang didakwa mengundang rasa tidak puas hati jurulatih.


Malah isu ini turut hangat diperkatakan di kalangan peminat tempatan dan juga pemerhati bola sepak tidak kira dalam media sosial mahupun forum diskusi bola sepak di televisyen.

Terbaru, mutu pengadilan perlawanan Liga Super antara Perak dan Selangor Selasa lalu turut dipersoal membabitkan tindakan pengadil Zulkifli Ahmad melayangkan kad merah kepada pemain Red Giants, Mohd Amri Yahyah serta tidak membenarkan dua gol pasukan tuan rumah kerana dikatakan ofsaid.


Sebelum itu, dalam pertembungan Liga Super antara Terengganu dan Selangor di Kuala Terengganu 15 Januari lalu, dilaporkan ada penonton membaling botol minuman ke arah penjaga garisan kerana tidak puas hati terhadap keputusan pegawai perlawanan, sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan selama kira-kira 10 minit.


Menurut Astaman, selepas lima perlawanan Liga Super dan Liga Perdana berlangsung musim ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung masalah membabitkan pengadil perlawanan.

Foto

PENYOKONG Perak berkumpul di perkarangan stadium protes pengadil perlawanan.

"Kami bagi ruang untuk pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil untuk membuat aduan. Tapi kadang-kadang orang terlupa kami juga mempunyai pegawai penilai pengadil dalam setiap perlawanan liga. Kami juga boleh mengambil tindakan berdasarkan laporan pegawai penilai pengadil ini.


"Pegawai penilai pengadil ini membuat laporan mengenai prestasi pengadil dan pegawai perlawanan. Jika ada yang tidak betul, kami boleh mengenakan tindakan. Kami ada mengambil tindakan sebelum ini (tahun lalu) cuma kami tidak menghebahkan kepada pihak luar saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Suka, duka Real

Posted:

Madrid: Real Madrid mengatasi layangan dua kad merah buat Fabio Coentrao dan Angel Di Maria serta kecederaan dialami Iker Casillas sebelum seri 1-1 dengan Valencia sekali gus layak ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol menerusi agregat 3-1, awal pagi semalam.

Karim Benzema menjaringkan gol sebelum rehat untuk meletakkan anak buah Jose Mourinho mendahului agregat 3-0 sebelum Coentrao meraih kad kuning kedua kerana memegang bola pada minit ke-51.


Valencia membalas satu gol menerusi sepakan percuma apabila rembatan leret Tino Costa mengejutkan penjaga gol simpanan Real, Antonio Adan.

Adan terpaksa menggantikan Casillas pada minit ke-15 selepas pertahanan Real, Alvaro Arbeloa secara tidak sengaja menyepak tangan kirinya ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.


Di Maria dilayangkan kad merah dua minit sebelum tamat kerana menyepak pertahanan Valencia, Joao Pereira ketika berebut bola.


Real berdepan sama ada juara bertahan, Barcelona atau Malaga pada separuh akhir.

"Kami hadir dengan kelebihan selesa daripada perlawanan di tempat sendiri dan selepas gol pertama ia mula sukar," kata pemain tengah Real, Xabi Alonso.


"Tanpa seorang pemain kami terpaksa bermain dengan bijak." Dalam satu lagi perlawanan, Alvaro Negredo menyumbat dua gol untuk membantu Sevilla mengatasi Real Zaragoza yang beraksi sembilan pemain, 4-0 pada suku akhir kedua.

Penyerang Sepanyol menjaringkan gol menerusi tandukan dan satu penalti manakala pemain tengah Croatia, Ivan Rakitic dan Madu del Moral menyumbang dua gol lagi untuk melengkapkan kemenangan agregat 4-0.


Zaragoza kehilangan pertahanan, Jose Fernandez yang dibuang padang seawal minit ke-26 dan pemain tengah, Fran Gonzalez mengikut jejak langkahnya pada minit ke-66 selepas menghadiahkan sepakan penalti bagi gol ketiga Sevilla. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

SKBB rampas kejuaraan

Posted:

Melaka: Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang (SKBB) muncul juara Kejohanan Ragbi Bawah 12 Tahun selepas mengatasi kelab D' Rhinos 17-15 pada aksi final di Sekolah Kebangsaan Paya Rumput (SKPR), Melaka.

Sebanyak 12 pasukan bertanding termasuk Sekolah Kebangsaan Datuk Palembang Bukit Baru, SK Sebatu selain skuad jemputan dari Kedah, Kuala Lumpur, Johor dan Singapura.


Setiausaha program, Farizal Ahmad berkata, kejohanan anjuran SKPR memberi pendedahan kepada pemain untuk mendalami aksi kompetitif sukan itu.

Beliau yang juga jurulatih SK Paya Rumput berkata, sekolah itu yang juga juara cup Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Melaka (MSSM) tahun lalu kini bersiap mempertahankan kejuaraan kali ini.


"Semua pemain D Rhinos adalah pelajar sekolah terbabit dan ia memberi kelebihan buat kami mengulangi kejayaan 2012.


"Latihan sepanjang cuti sekolah lalu turut memberi kelebihan kepada kami untuk membentuk barisan lebih mantap," katanya.

Pemain D Rhinos, Akmal Danish Nazri yakin SKPR mampu mempertahankan kejuaraan berdasarkan persiapan rapi dijalankan sepanjang cuti sekolah lalu.


"Kami mungkin ditentang hebat SKBB dan SK Sebatu yang turut memiliki ramai pemain MSSM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

20 pelajar sertai kursus pengadil

Posted:

Melaka: Seramai 20 pelajar mengikuti kursus pengadil bola sepak di Sekolah Menengah Seri Kota, Air Leleh Melaka baru-baru ini.

Program membabitkan pelajar berusia 13-16 tahun itu berjaya memberi pendedahan kepada peserta berkaitan teknik pengadilan dan undang-undang bola sepak secara menyeluruh.


Kursus dikendalikan jurulatih bertaraf Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Zahari Md Isa yang turut berpengalaman mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa.

Zahari berkata, semua peserta diberi latihan praktikal mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan bawah 12 tahun pada aksi persahabatan dan mereka menunjukkan kematangan terutama ketika membuat keputusan berkaitan permainan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Zamri, Ilham sukar dicabar

Posted:

Teluk Intan: Penalti yang dikenakan kerana kesalahan dilakukan menyebabkan pelumba MOTUL Yamaha YY Pang Racing Team terpaksa berpuas hati di tempat kedua Kategori Terbuka Kejohanan KBS-MAM Kapcai Endurance Kebangsaan di Litar Datuk Sagor Kampung Gajah, Perak, baru-baru ini.

Trio pasukan itu, Mohd Adib Rosley, Mohd Azhar Abdul Jalil dan Tengku Amirul Haffiruddin Tengku Hanafi menamatkan perlumbaan dua jam itu dengan 115 pusingan tetapi dipotong satu pusingan kerana kesalahan yang dilakukan itu.


Berikutan itu juara acara itu milik pelumba handalan negara, Muhammad Zamri Baba bersama rakan sepasukan, Mohd Ilham Mohd Kamal dari Chian Giap Motor Ketam Racing Team yang juga menamatkan perlumbaan dengan 115 pusingan.

Zamri ketika ditemui berkata, dia menyertai pertandingan kali ini atas dorongan rakan terutama Mohd Ilham "Dia masih muda dan saya gembira menyertai perlumbaan ini kerana dapat memberi tunjuk ajar dan semangat kepada pelumba muda sepertinya.


"Sebenarnya pelumba muda boleh belajar daripada kami pelbagai kemahiran melalui kejohanan seperti ini," katanya.


Sementara itu kategori kelas 3 untuk motosikal bawah 150 cc dimenangi Johor Darul Takzim Racing Team yang menamatkan 112 pusingan.

Pasukan AHM LMC Repsol Racing muncul naib juara dengan 108 pusingan manakaa pasukan FMC Motor 4 tempat ketiga (107). Manakala kelas 2 untuk enjin 120cc ke bawah dimenangi Kelab KKW yang menamatkan 100 pusingan. Tempat kedua milik FMC Motor 2 (96 ) dan Lyhin Motorsports ketiga (92).


Kategori kelas 1 untuk motosikal bawah 100cc dimenangi Yuan Sheng Motor yang menamatkan 95 pusingan.

Kelab Pemotoran Maharani 1, dari Muar, kedua dengan 92 pusingan.


Pengarah Projek Kejohanan KBS-MAM Kapcai Endurance Kebangsaan, Eizwar Supiar berkata, kategori terbuka diperkenal pada perlumbaan ini demi kepentingan peserta secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Misi besar Fandi, Azmi

Posted:

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) dan Johor yang memulakan kempen saingan pusingan pertama kalah mati Piala FA meletakkan sasaran mencipta kemenangan bagi memburu slot ke pusingan seterusnya di laman sendiri, hari ini.

Bermula di Pasir Gudang, Johor menerima kunjungan pendahulu liga, Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), petang ini manakala di Stadium Larkin giliran Johor DT melayani Perak pada sebelah malam.


Yang pasti dua pengendali skuad Harimau Selatan dan Merah Biru, Fandi Ahmad dan Azmi Mohamad sudah bersedia dengan strategi ampuh menyekat pelawat yang turut berazam meleburkan cabaran tuan rumah.

Fandi dilihat tidak mahu kesebelasan utamanya beraksi dalam tekanan sebaliknya mahu mereka mengikut arahan taktikal dan mengulangi kejayaan menewaskan Perak, 1-0 ketika saingan Liga Super bagi memastikan laluan ke pusingan kedua tidak disekat.


"Buat masa ini hanya Mohd Faizal Mansor yang mengalami kecederaan namun saya akan putuskan sama ada dia diturunkan atau tidak pada sesi latihan petang ini (semalam) malah saya juga tidak teragak-agak melakukan rombakan kecil pada saat akhir bagi memantapkan barisan utama.


"Apapun saya tidak mahu pemain beraksi dalam tekanan. Mereka perlu bermain dengan tenang tanpa kesilapan dan memberi sepenuh tumpuan sepanjang 90 minit perlawanan kerana saya mahu elak masa tambahan," kata Fandi.

Pengendali skuad Merah Biru, Azmi optimis menumbangkan skuad Tok Gajah buat kali kedua selepas melakukannya ketika saingan Empat Penjuru, baru-baru ini walaupun terpaksa melupakan khidmat Andre Francisco Da Silva yang masih dibelenggu kecederaan.


"Kami pernah tewaskan Pahang, 3-0 dan tidak mustahil melakukannya pada saingan Piala FA malah aksi di sebelah petang akan digunakan sepenuhnya bagi memerangkap lawan tatkala saya mendapat kembali Mohd Izuan Jarudin dan Jasazrin Jalamudin dalam kesebelasan utama.

"Moral pemain Johor begitu tinggi dan akan berusaha lebih 100 peratus untuk mencipta kemenangan, sekalipun kami bukan pasukan pilihan," kata Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Hai-O idam padam memori lalu

Posted:

Kuala Lumpur: Memori buruk tersingkir awal dalam saingan Piala FA musim lalu ingin segera dipadam kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar apabila bertekad menewaskan Selangor pada pusingan pertama di Stadium Shah Alam malam ini.

Pertembungan dua pasukan gergasi Liga Super itu pasti antara perlawanan tumpuan dalam aksi pembukaan kejohanan kalah mati itu jika mengambil kira prestasi semasa liga setakat ini.


ATM bekas juara Liga Perdana musim lalu menduduki tangga kedua liga, berkongsi 10 mata dengan skuad Red Giants namun memiliki kelebihan dari segi jaringan.

Tahun lalu ATM yang dibimbing B Sathianathan tewas 0-1 di tangan Perak pada pusingan pertama dan Hairuddin atau turut dikenali sebagai Hai-O tidak rela ia berulang.


"Musim lalu kami kalah awal dan kali ini kami akan cuba melangkah sejauh yang boleh. Tapi kami berdepan lawan sukar, Selangor yang kini mempamerkan prestasi mantap dalam aksi liga. Saya harap kami dapat mempamerkan aksi terbaik kerana ini adalah perlawanan kalah mati, tidak ada peluang kedua," katanya.


Nasib Selangor, juara lima kali Piala FA lebih baik berbanding ATM musim lalu apabila berjaya melepasi perlawanan pertama sebelum tumpas kepada Johor FC pada aksi seterusnya.

Hairuddin, 33, dijangka bergandingan dengan peledak sensasi, Marlon Alex James yang sudah menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan liga tetap yakin mampu menjinakkan Selangor biarpun skuad Gladiators dihimpit masalah kecederaan pemain.


"Marlon cedera ringan tapi saya harap dapat bermain dengannya esok (hari ini). Beberapa pemain seperti Irwan (Fadzli Idrus) juga masih cedera tapi bagi saya ini bukan alasan. Saya harap semua pemain dapat memberikan aksi terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

PKNS tekad calar reputasi LionsXII

Posted:

Kuala Lumpur: Selepas mengejutkan LionsXII dalam saingan Liga Super, pasukan kerdil, Selangor PKNS kini berpeluang sekali lagi untuk terus mencalar reputasi skuad kendalian V Sundramoorthy itu pada saingan Piala FA, hari ini.

Namun ketika PKNS mempunyai rekod cemerlang setiap kali bertemu lawan mereka itu, pengendali PKNS, Abdul Rahman Ibrahim menegaskan, bukan tugas mudah bertemu LionsXII pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).


"Kami tidak boleh mengatasi semua pasukan yang ditemui. Seperti saingan Liga Super ini, selepas lima perlawanan yang kebanyakannya bertemu gergasi bola sepak tanah air, kami hanya menewaskan LionsXII.

"Kami tewas kepada Kelantan, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan Johor (Darul Takzim).


"Sekarang kami diberi peluang sekali lagi untuk mengalahkan LionsXII. Adakah kami mampu mengalahkan mereka? Segala-galanya akan terjawab Jumaat ini (hari ini)," katanya.


Sama ada faktor nasib atau sebaliknya, PKNS mempunyai rekod bersih bertemu Lions apabila menang semua perlawanan musim lalu serta meneruskan rentak cemerlang dengan menundukkan anak buah Sundramoorthy, 1-0 pada saingan Liga Super.

Yang pasti, baik LionsXII ataupun PKNS, kedua-dua pasukan pasti mahu mencari penawar selepas tewas perlawanan terakhir Liga Super.


PKNS yang beraksi cemerlang mengutip enam mata penuh pada dua perlawanan terakhir sebelum bertemu Johor, tewas 1-3 kepada Harimau Selatan manakala Lions tewas tipis 0-1 kepada T-Team.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Josiah cari rentak

Posted:

Kuala Lumpur: Nama Josiah Ng semakin dilupakan apabila kehebatannya berjaya dipintas pelumba muda negara, Azizulhasni Awang namun situasi itu tidak menghalangnya kembali ke puncak prestasi.

Kemampuan pelumba berusia 33 tahun itu turut diakui ketua jurulatih, John Beasley apabila hanya memilih Josiah sebagai wakil tunggal negara beraksi pada Kejohanan Trek Dunia di Minsk, Belarus bermula 20 hingga 24 Februari ini.


Menyasarkan untuk mara ke pusingan akhir acara keirin, Josiah menganggap ia bukan tugas mudah apabila itu adalah kejohanan besar pertama selepas sekian lama. "Kali terakhir saya menyertai pertandingan besar pada Julai lalu apabila saya muncul juara di Grand Prix Koln di Jerman. Saya akan cuba memberi aksi terbaik dan perlu berhati-hati dengan semua pelumba.

"Selepas itu saya akan turun mempertahankan pingat emas di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), New Delhi Mac ini.


"Trek di New Delhi trek sama yang meninggalkan kenangan manis buat saya apabila meraih pingat emas Sukan Komanwel.


"Sudah pasti saya tidak mahu mensia-siakan peluang ini," katanya yang merangkul emas selepas kemenangan Azizul dibatalkan.

Kemampuan Josiah tidak dapat dinafikan apabila melengkapkan saingandi Karnival Tasmania dengan meraih kemenangan acara keirin, awal bulan lalu.


Paling membanggakan, dia berjaya menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik dari New Zealand, Simon Van Velthooven.

Namun Josiah mengaku perlu berhati-hati kerana belum dapat menilai kemampuan pelumba lain berikutan Kejohanan Trek Dunia itu adalah antara yang terbesar. "Pelumba muda terutama dari Russia menunjukkan peningkatan dan saya perlu hati-hati dengan kelibat mereka apabila dilapor mendapat bimbingan jurulatih Perancis, Benoit Vetu."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Pendedahan terbaik

Posted:

Kuala Lumpur: Tempoh hampir dua bulan sebelum aksi antarabangsa bersambung digunakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar pemain beraksi di Superliga Badminton Indonesia 2013 yang berlangsung di Surabaya pada 3-9 Februari ini.

Ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek berkata, kejohanan menggunakan format Piala Thomas dan Uber itu penting bukan sekadar sebagai gelanggang latihan kompetitif buat pemain malah membiasakan pemain dengan kejohanan berpasukan.


"Rancangan pertandingan antarabangsa kita tidak diubah, pemain senior hanya menyertai Seluruh England dan Terbuka Switzerland pada Mac dan kami rasakan jemputan menyertai saingan liga di Surabaya amat bertepatan sebagai persiapan," kata Rashid.

Saingan liga di Surabaya itu membabitkan pertandingan antara kelab dan saingan kali ini lebih kompetitif apabila lima pasukan antarabangsa dijemput bertanding iaitu tiga dari Jepun (Unisys, Renesas dan Tonami), satu dari Korea (Korean Gingseng Company) dan Malaysia (Malaysian Tiger), semuanya menghantar pasukan lelaki dan wanita.


Selain pasukan antarabangsa, kelab-kelab dari Indonesia yang bertanding terdiri daripada Djarum Kudus, Jaya Raya Jakarta, Tangkas Specs Jakarta, SGS PLN Bandung, Mutiara Bandung, Jaya Raya Suryanaga Surabaya dan Musica Champions Kudus.


"Pemain muda memerlukan banyak perlawanan untuk meningkatkan keyakinan. Malah barisan pemain yang beraksi di Surabaya bukan calang-calang lawan, pasti akan memberi banyak manfaat kepada pemain kita." Barisan pemain lelaki negara yang akan beraksi dalam liga itu adalah Liew Daren, Chong Wei Feng, Muh Arif Latif dan Goh Soon Huat (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Lim Khim Wah, Hoon Thien How-Lim Khim Wah dan Ow Yao Han-Chooi Kah Ming.

Manakala pasukan wanita terdiri daripada Tee Jing Yi, Yang Li Lian, Lydia dan Sonia Cheah (perseorangan wanita), Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho, Shevon Lai-Marylen Ng Poau Leng dan Vivian Hoo-Erica Khoo (beregu wanita).


"Kami memang mahu pasukan ini mara jauh ke final atau sekurang-kurangnya separuh akhir tapi tujuan utama adalah mendedahkan pemain kepada suasana perlawanan berpasukan kerana di masa depan, merekalah yang akan menggalas cabaran negara," kata Rashid lagi.

Ketika BAM menghantar satu skuad menyertai liga itu, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei awal-awal lagi dilamar kelab Musica Champions manakala pemain nombor lapan dunia Vietnam, Nguyen Tien Minh menyertai Tangkas Specs.


Pemain ternama Indonesia seperti Simon Santoso, Taufik Hidayat, Dionysius Hayom Rumbaka, Tommy Sugiarto, Markis Kido, Bona Septano, Sony Dwi Kuncoro, Ardiyanti Firdasari, Bellatrix Manuputty, Greysia Polii, Meiliana Jauhari, dan Pia Zebadiah turut mengambil bahagian dengan menyertai kelab tempatan Indonesia.


Pemain antarabangsa lain menyertai liga itu adalah Kenichi Tago (Jepun) dan Wang Zhengming mewakili SGS PLN, sepasukan dengan Taufik sekali gus menjadikan kelab itu yang terkuat dalam saingan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

No comments:

Post a Comment