Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Goyang sambil makan

Posted:

Sebuah kedai makan di Taman Bukit Sendayan, dekat sini, dikesan 'menyelitkan' karaoke dangdut berunsur ghairah sehingga awal pagi pada setiap hari bagi menarik pelanggannya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kedai makan yang terletak jauh dari penempatan penduduk ini umpama kelab malam terbuka dan 'padat' dengan pengunjung pelbagai peringkat umur.


Hampir setiap malam puluhan kenderaan dipakir di tepi jalan berkenaan yang menjadi lokasi warga emas dan pertengahan umur, lelaki dan perempuan melepaskan geram dengan berkaraoke sambil menari.

Terdapat pentas lengkap dengan sistem audio dan lampu ibarat berada dalam disko selain dua khemah dipasang memuatkan meja serta kerusi yang cukup untuk menampung 100 pengunjung dalam satu-satu masa.


Premis terbabit beroperasi seawal jam 5 petang sehingga jam 4 pagi, manakala waktu karaoke bermula jam 9 malam dan hanya bermodalkan RM5, pelanggan boleh menyanyi untuk tiga lagu atau satu lagu RM2.


Bagi mereka yang pertama kali datang pasti terkejut dengan suasana meriah ini dengan kebanyakan lagu dinyanyikan berirama dangdut selain irama 60-an dan moden.

Tinjauan mendapati, perlakuan pelanggan lelaki dan perempuan yang berkaraoke sambil menari di pentas terbuka agak kurang sopan di depan anak kecil selain klip video dipaparkan mengandungi aksi erotik penyanyi dangdut dari negara seberang.


Tanpa segan silu mereka bergelek walaupun kebanyakannya di usia senja dan lebih menjengkelkan ada pelanggan wanita yang bertudung turut menari.

Ketika ditanya, kumpulan wanita terbabit spontan menjawab mereka ibu tunggal dan tiada siapa melarang.


Didapati ramai antara mereka pelanggan tetap kerana mengenali antara satu lain, malah kehadiran wartawan buat pertama kalinya menjadi perhatian mereka.


Seorang pelanggan tetap yang mahu dikenali sebagai Nor, 50, berkata, paling kurang dalam seminggu dia berkunjung ke kedai makan itu sebanyak tiga kali.


Katanya, dia berkunjung ke situ untuk menghilangkan kebosanan selain bayaran untuk karaoke adalah murah.


"Di sini tiada bezanya dengan kelab dangdut dan saya seronok kerana ramai antara pelanggan di sini sudah menjadi kawan. "Di sini tiada jualan minuman keras, tetapi ada juga pelanggan yang minum minuman keras yang dibeli dari luar. "Pemilik premis sering mengingatkan pelanggan supaya tidak mengambil minuman keras atau dadah kerana bimbang diganggu pihak berkuasa," katanya.


Menurutnya, jika mahu menyanyi, pelanggan perlu datang awal jam 8 atau 9 malam dan jika lewat, tempahan sudah penuh dan hanya berpeluang menari.


Dia yang juga ibu tunggal berkata, malam Jumaat paling ramai pelanggan datang ke situ untuk berhibur selain malam minggu.


Katanya, ada kala pelanggan terpaksa berdiri kerana tempat duduk sudah penuh dan ketika Ramadan, premis itu beroperasi dan karaoke diadakan seperti biasa selepas Tarawih. "Tempat ini pernah diserbu jabatan agama satu ketika dulu, tetapi tiada tindakan, mungkin pemiliknya mengikut prosedur. Cuma pelanggan ditegur supaya berpakaian sopan," katanya.


Pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Port Dickson ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menegah dan mengambil tindakan kerana perniagaan berkenaan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).


Sementara itu, jurucakap Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) pula berkata, pihaknya hanya mengeluarkan lesen perniagaan bagi mana-mana pusat hiburan beroperasi sehingga jam 1 pagi dan jika pemiliknya ingkar lesen perniagaan akan ditarik balik.


"Dalam kes kedai makan terbabit, pemiliknya memohon lesen jualan makanan dan hiburan. Kami akan menjalankan siasatan berkaitan dan jika terbukti berlaku perlanggaran mengikut akta tindakan akan diambil terhadap pemilik premis berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Kerani nyaris ditipu 'pegawai BNM'

Posted:

Petaling Jaya: Seorang kerani wanita di Medan Maju Jaya, di sini, nyaris menjadi mangsa penipuan sindiket penyamaran pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur apabila diperdaya membuat pindahan wang dari akaun bank mangsa kononnya simpanannya itu akan dibekukan untuk siasatan satu kes mahkamah.

Menurut sumber, mangsa berusia 46 tahun mendakwa menerima panggilan dari pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi memaklumkan dia mempunyai surat dari mahkamah yang tidak dituntut dan memintanya menunggu panggilan dari IPK Kuala Lumpur, 21 Januari lalu.


"Mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Johnson Tan sebelum pegawai polis itu memberitahu mangsa tidak menghadirkan diri dalam satu kes mahkamah.

"Pegawai polis itu memaklumkan mangsa terbabit kes berkaitan sindiket wang palsu dan diminta menunggu panggilan pihak BNM untuk arahan selanjutnya," katanya.


Katanya, tidak lama kemudian mangsa dihubungi seorang lelaki dari BNM yang memperkenalkan diri sebagai Encik Tan dan memberitahu akaun bank mangsa sudah disekat serta tidak boleh melakukan urusan keluar dan masuk duit.


"Bagaimanapun, lelaki terbabit menawarkan bantuan bagi mengelak akaun atau wang mangsa daripada dibekukan atau dirampas dan memperdaya mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank mangsa ke akaun bank yang dibekalkan sindiket.

"Lelaki terbabit meminta mangsa pergi ke bank berhampiran untuk melakukan pemindahan wang selain memberikan satu akaun atas nama seorang lelaki tidak dikenali," katanya.


Namun, mangsa mengesyaki ia perbuatan sindiket penipuan dalam talian sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Nadi Putra ikut jadual

Posted:

Putrajaya: Perkhidmatan bas Nadi Putra yang disediakan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, diakui cekap dan mengikut jadual, sekali gus memudahkan penduduk berulang-alik ke tempat kerja atau membeli-belah.

Dengan tambang hanya 50 sen, pengguna tidak perlu menunggu lama kerana kekerapan bas melalui sesuatu kawasan itu hanya 15 minit pada waktu puncak dan 20 minit di luar waktu puncak.


Penumpang Ahmad Adli Ahmad Saufi, 18, berkata, dia yang baru menamatkan persekolahan sudah menggunakan bas di Putrajaya sepanjang belajar dan mengakui menerima perkhidmatan yang cekap sepanjang tempoh itu.

"Saya menggunakan perkhidmatan bas dari rumah ke sekolah dan kini selepas tamat persekolahan saya masih menggunakannya untuk ke tempat kerja memandangkan saya bekerja sambilan di pusat beli-belah di sini.


"Jadual perjalanannya tetap menyebabkan kami tidak menunggu terlalu lama, selain boleh jangka bila bas tiba, jadi saya tiada masalah menggunakan perkhidmatan bas di sini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Malah, Ahmad Adli berkata, tambang yang dikenakan kepada pengguna juga amat murah.

Bagi kakitangan awam, Siti Norliza Samsudin, 25, dia hanya menggunakan perkhidmatan bas sekali-sekala, tetapi katanya perkhidmatan bas itu selain cekap, juga berbaloi dengan tambang dikenakan, selain pemandunya yang mesra pengguna.


"Perjalanan bas mengikut jadual ditetapkan, jadi tiada masalah untuk saya menggunakan perkhidmatan awam ke tempat kerja, membeli-belah atau ke pasar walaupun sekali-sekala.

"Pemandunya juga mesra dan jika kami tidak tahu tempat yang ingin dituju mereka akan menunjukkan arah atau memaklumkan lokasi. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan," katanya.


Namun, katanya, perkhidmatan bas pada hujung minggu agak lambat berbanding hari biasa menyebabkan pengguna menunggu lebih lama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Muka ditoreh pisau

Posted:

Seorang lelaki berusia 20 tahun menggelupur menahan kesakitan hampir 10 minit di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh, di sini, apabila mukanya ditoreh dengan pisau, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian dipercayai bermotifkan dendam itu, mangsa mendakwa 'diserang' tiga lelaki dan seorang wanita berusia 20-an ketika berhenti untuk mengisi minyak di tempat kejadian, jam 4 pagi.


Menurut sumber, mangsa yang bersendirian tiba-tiba dihampiri kumpulan terbabit sebelum dipukul menggunakan topi keledar.

"Mangsa cuba mempertahankan diri namun disebabkan bilangan mereka yang ramai, mangsa dibelasah lebih 10 minit," katanya.


Sumber berkata, seorang daripada lelaki terbabit kemudian mengeluarkan sebilah pisau sebelum menoreh muka mangsa.


"Mangsa dilaporkan menggelupur kesakitan sebelum dikejarkan ke hospital oleh orang awam," katanya.

Selepas menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, mangsa dilaporkan menerima 125 jahitan di mukanya selain mengalami lebam dan bengkak pada seluruh badan.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Stor kayu kilang papan dimamah api

Posted:

Sungai Petani: "Api dipercayai berpunca daripada litar pintas dalam kawasan simpanan itu. Saya nampak api marak dengan cepat. Mujur tiada orang dalam kawasan itu," kata seorang saksi yang enggan dikenali dalam kejadian kebakaran di stor penyimpanan kayu di sebuah kilang papan di Jalan Jeniang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, stor simpanan kayu kilang papan terbabit musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca litar pintas di sebuah pondok dalam kawasan itu sebelum merebak keseluruhan tempat simpanan kayu di depan kilang itu.


Sementara itu, jurucakap bomba sukarela berkata, pihaknya mendapati hampir keseluruhan kawasan simpanan kayu itu sudah musnah kerana api merebak dengan cepat berikutan kayu yang disimpan di tempat itu kebanyakan sudah reput menyebabkan ia mudah terbakar.

"Kami mengambil masa lebih setengah jam untuk mengawal api dari merebak ke seluruh kawasan berkenaan.


"Lebih 10 jentera dari Bomba Sukarela Guar Chempedak, Bedong, Merbok dan Sunga Petani terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

No comments:

Post a Comment