Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Wanita mati terkena peluru

Posted: 19 Jan 2013 05:06 AM PST

Klang: Seorang anggota polis nyaris maut selepas pemandu sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan dicuri cuba merempuhnya, menyebabkan anggota itu terpaksa melepas tembakan di Taman Sejati, di sini, malam kelmarin.

Akibatnya, seorang wanita berusia 22 tahun yang juga penumpang kereta itu mati terkena tembakan anggota polis terbabit manakala pemandunya, seorang lelaki berusia 31 tahun, berjaya ditahan.


Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu, parang dan satu paket serbuk putih, dipercayai dadah, ditemui di tempat tempat duduk penumpang sebelah kiri. Semuanya bermula apabila kereta itu dikesan anggota kereta peronda dalam keadaan mencurigakan di Jalan Batu Tiga Lama, di sini, jam 7.35 malam.

Semakan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Klang, Selasa lalu, menyebabkan pihak berkuasa cuba menahannya. Bagaimanapun, suspek enggan mematuhi arahan dan terus memecut laju menuju ke arah bandar ini, selain turut melanggar beberapa kenderaan dalam cubaan melarikan diri.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, sebaik tiba di Taman Menara, suspek memberhentikan keretanya seolah-olah kehabisan minyak, menyebabkan polis menghampiri untuk membuat pemeriksaan.


Namun, tiba-tiba suspek mengundurkan kereta dan cuba melanggar anggota terbabit, menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran tetapi suspek terus memecut laju.

Foto

Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian satu kes tembak selepas anggota polis mengejar suspek.

"Selepas mengejar suspek lebih 10 kilometer, suspek akhirnya tiba di Taman Sejati dan sekali lagi memberhentikan keretanya, dan anggota polis sekali lagi keluar untuk menahan suspek. Suspek sekali lagi mengundurkan keretanya dan cuba melanggar anggota polis.


"Tindakan suspek memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan, menyebabkan kereta itu berhenti dan suspek berjaya ditahan.

"Pemeriksaan kemudian mendapati seorang wanita yang berada di tempat duduk penumpang depan cedera terkena tembakan," katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian, malam kelmarin.


Mohd Adnan berkata, polis kemudian menghubungi ambulans dan pemeriksaan ke atas wanita terbabit mengesahkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.


Mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat, manakala suspek dibawa ke hospital sama untuk pemeriksaan lanjut.


Katanya, siasatan awal forensik mendapati mangsa meninggal akibat terkena satu das tembakan. Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dijalankan.


Tambahnya, polis akan menyiasat hubungan sebenar antara suspek dengan mangsa serta motif suspek melarikan diri ketika cuba ditahan bagi melakukan pemeriksaan.


"Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu terbabit mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, melarikan orang dan kesalahan berkaitan dadah, manakala mangsa tiada rekod jenayah.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379(A) KK dan kesalahan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Sambung reman

Posted: 19 Jan 2013 05:02 AM PST

Butterworth: Tiga tahanan yang berjaya ditahan semula selepas lolos ketika diiring polis, disambung reman selama enam hari lagi bermula semalam.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohamad Firdaus Abdul Wahab apabila menerima permohonan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Md Zailani Md Zain yang membawa ketiga-tiga tahanan terbabit ke mahkamah.


Ketiga-tiga tahanan itu ialah Mohd Farid Akhtar, 24; Mohd Shahrimy Mohd Noor, 28, dan Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 26.

Pada 12 Januari lalu, mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis terhadap tindakan meloloskan diri bersama empat yang lain pada 7 Januari lalu.


Ketiga-tiga tahanan terbabit tiba di Kompleks Mahkamah Butterworth, di sini, jam 10.25 pagi dengan menaiki trak serta mendapat kawalan rapi, termasuk diiringi Unit Kereta Peronda (MPV).


Mereka dibawa keluar dari bilik reman, sejam kemudian sebelum masuk ke dalam trak dan kembali ke lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pihaknya mendapatkan perintah bagi menyambung reman ketiga-tiga tahanan terbabit bagi melengkapkan siasatan.


Menurutnya, kertas siasatan mengenainya hampir siap dan dijangka dihantar ke Pejabat Pendakwaraya, tidak lama lagi.

"Selepas itu, kami akan menunggu arahan selanjutnya daripada pendakwaraya," katanya.


Ketika ini, polis masih memburu dua tahanan yang masih bebas menerusi gerakan Ops Kesan Gelugor 2013 yang masuk hari ke-13.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Bunyi tembakan disangka mercun

Posted: 19 Jan 2013 05:00 AM PST

Kulaijaya: Beberapa das tembakan dilepaskan penjenayah ke arah seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun di depan rumahnya di Taman Selatan, di sini, malam kelmarin, pada mulanya disangka bunyi mercun berikutan penghuni rumah itu menyambut majlis perkahwinan sejak seminggu lalu.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11 malam itu, beberapa jiran terdekat tidak menyangka bunyi kuat itu adalah tembakan hinggalah keluarga terbabit kecoh apabila mendapati seorang daripada mereka rebah terkena tembakan.


Ini kerana, sejak seminggu lalu rumah mangsa dikatakan membakar mercun dan bunga api hampir setiap malam bagi meraikan majlis perkahwinan.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian itu mangsa dikenali sebagai Fann Chee Way, 34, cedera parah.


Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa baru keluar dari rumah untuk mengalihkan keretanya yang diparkir di depan kediaman itu.


"Ketika mengalihkan kereta jenis Mercedez Benz, tiba-tiba dia didatangi penjenayah sebelum ditembak. Tembakan itu tepat ke dada kanannya sebelum mangsa rebah," katanya semalam.

Zulkefly berkata, akibat tembakan itu, mangsa parah di dada kanan dan dihantar ke Hospital Kulaijaya, di sini, untuk mendapatkan rawatan kecemasan.


"Mangsa kini dirawat di hospital dan polis berusaha memburu penjenayah yang melepaskan tembakan.

"Motif kejadian masih disiasat dan polis meminta orang ramai atau saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya di talian 07-6632222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Hilang hormat kepada lelaki

Posted: 19 Jan 2013 04:58 AM PST

Sabak Bernam: Diperkosa bapa kandung ketika berusia lapan tahun dan dirogol beramai-ramai oleh kenalan lelaki membuatkan gadis ini membenci lelaki.

Menurut Ally, 19, rasa hormatnya kepada kaum Adam makin menipis setiap kali dia mengingati kenangan pahit itu.


"Saya benci berada dekat lelaki. Membayangkan kejadian saya diperkosa dan didera bapa sebelum kenalan rapat pula menjadi dalang rancangan rogol beramai-ramai membuatkan saya jijik dan benci pada lelaki.

"Semua lelaki mempunyai pemikiran sama biarpun saya cuba menafikannya berkali-kali. Mungkin saya tak bernasib baik dikelilingi lelaki bernafsu binatang," katanya.


Menceritakan kembali saat dirinya diperkosa bapa sendiri, Ally berkata, bapanya penagih dadah yang bercerai dengan ibunya ketika dia berusia enam tahun.


"Satu hari ayah datang menjemput saya pulang sebaik tamat sekolah. Ayah kata saya perlu tinggal bersamanya dan saya bersetuju kerana dia bapa kandung saya. Bagaimanapun, sepanjang beberapa bulan dengannya, saya didera dan kemuncaknya saya dirogol.

"Meskipun masih mentah, rasa malu diperlakukan kurang sopan oleh bapa sendiri dirasai ketika itu. Malah, rasa sakit ketika diratah sepuas-puasnya ayah masih terbayang hingga kini.


"Tiada langsung rasa simpati, sebaliknya ditampar setiap kali menangis ketika minta bapa melepaskan saya. Paling saya tidak tahan, dia mencucuh puntung rokok pada kemaluan saya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik apabila diselamatkan bapa saudara sebelah bapanya ketika hampir dijual untuk melangsaikan hutang judi si ayah.


"Mujur pak cik menemui dan menyelamatkan saya," katanya.


Tidak cukup dengan penderitaan dirogol bapa sendiri, hidup Ally semakin kelam apabila diperkosa beramai-ramai akibat perangkap kenalan lelaki ketika masih belajar di sekolah menengah.


"Saya terlalu naif apabila sekali lagi meletakkan kepercayaan pada lelaki. Saya terperangkap dengan sandiwaranya. Dia begitu baik dan sering membantu saya ketika dalam kesusahan, tetapi kemudian sanggup berpakat dengan beberapa rakannya untuk merogol saya.


"Bukan seorang, tetapi tujuh lelaki memperkosa saya berkali-kali tanpa belas kasihan," kata penghuni Rumah Perlindungan Baitul Ehsan, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Kesucian Qeeya diragut sepupu sendiri

Posted: 19 Jan 2013 04:58 AM PST

Sabak Bernam: Gadis ini tidak menyangka kesuciannya diragut sepupunya yang dianggapnya alim dan kuat pegangan agama.

Disebabkan percayakan sepupu yang rapat sejak kecil, Qeeya, 16, tiada masalah melepak di bilik lelaki itu sambil menonton filem di komputer riba ketika menumpang di rumah ibu saudaranya, setahun lalu.


"Saya mengenalinya sebagai orang baik dan mempunyai pegangan agama kuat. Mustahil dia melakukan perkara sedemikian terhadap saya, malah dia juga bertunang.

"Tepat sekali amaran dalam agama menghalang lelaki dan perempuan bukan mahram berdua-duaan, kerana 'orang' ketiga adalah syaitan.


"Dia memperkosa saya ketika ibu bapanya tidur di bilik mereka," katanya.


Bercerita lanjut, Qeeya berkata, sepupunya pada mulanya mengajak untuk 'bermain'.

Bagaimanapun, dia tidak mengendahkan gurauan itu kerana tidak terfikir sepupunya sanggup melakukan perkara terkutuk berkenaan di rumahnya.


"Terkejut juga dia berkata ingin 'bermain', sedangkan ibunya berada berhampiran. Saya mengabaikan dan menyambung menonton video di komputer riba yang berada dalam biliknya.

"Tidak lama kemudian dia kunci pintu bilik dan terus merogol saya. Puas saya meronta-ronta melepaskan diri, tapi tenaga lelakinya membuatkan saya gagal.


"Lebih menyakitkan hati, dia memutar belit cerita mendakwa saya menggoda dan memaksa mengadakan hubungan, tambahan pula saya berada dalam biliknya," katanya.


Malu dengan kejadian itu, Qeeya melarikan diri kerana takut perkara itu sampai ke pengetahuan keluarga sebelum mendapatkan perlindungan di Rumah Perlindungan Baitul Ehsan, Sabak Bernam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

No comments:

Post a Comment