Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Amaran RvP

Posted: 12 Jan 2013 05:28 AM PST

Manchester: Robin van Persie menggesa rakan sepasukan di Manchester United supaya tidak terpedaya dengan kelebihan tujuh mata di puncak Liga Perdana Inggeris, menjelang pertembungan menentang Liverpool, malam ini.

United bakal berdepan musuh lama mereka di Old Trafford dan kemenangan akan meletakkan mereka 10 mata di depan Manchester City yang turun menentang Arsenal selepas itu.


Pemain Belanda itu yang menjaringkan 16 gol liga musim ini selepas berpindah dari Arsenal dengan bayaran £24 juta (RM116.8 juta), menuntut pasukannya kekal fokus.

"Hanya tujuh mata, kami perlu tumpu pada setiap perlawanan. Kami perlu harungi separuh kedua liga dan berdepan semua pasukan sekali lagi," kata Van Persie.


"Semuanya belum diputuskan. Kami kini turun menentang Liverpool dan ia perlawanan yang besar." Van Persie turut memberi amaran supaya United tidak mengambil mudah kunjungan skuad Brendan Rodgers yang ketinggalan 21 mata selepas menempuhi permulaan kempen yang hambar musim ini.


"Kami perlu memberi tumpuan meraih tiga mata, pertembungan ini sentiasa sengit," kata Van Persie yang menjaringkan gol pada masa kecederaan bagi membolehkan United seri 2-2 dengan West Ham pada aksi Piala FA hujung minggu lalu.

Foto

VAN Persie (kiri) meraikan gol bersama rakan sepasukan.

"Kedua-dua pasukan memiliki sejarah hebat. Mereka adalah pasukan yang hebat dan jika tuah memihak mereka, kami pasti berdepan tugas sukar." Pertahanan United, Rio Ferdinand turut memandang serius pertembungan dengan musuh tradisi United itu.


"Ia perlawanan yang paling kami nantikan," katanya.

"Permusuhan kedua-dua pasukan begitu mendalam. Liverpool mungkin tidak berjuang memburu kejuaraan tapi bagi penyokong dan pemain, mereka tahu apa ertinya perlawanan ini kepada kelab masing-masing." Sejak tewas 1-3 kepada Stoke City, 26 Disember lalu, Liverpool menang tiga perlawanan berturut-turut, terkini menewaskan kelab divisyen kelima, Mansfield Town, 2-1 dalam Piala FA hujung minggu lalu.


Suasana tegang yang pastinya menanti Liverpool di Old Trafford membuatkan pengurus, Brendan Rodgers menggesa pemain tidak menghampakan diri sendiri.


"Kami berkeyakinan tinggi dan melangkah ke perlawanan itu dengan rentak yang baik, menang tujuh daripada sembilan perlawanan terakhir. Kami memiliki keyakinan yang hebat," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Rasional misi Road to Rio?

Posted: 12 Jan 2013 05:25 AM PST

Kuala Lumpur: SUKAN Olimpik London berjaya membuka mata rakyat Malaysia. Berbekal RM50 juta, mampukah program Road to Rio menjanjikan pingat emas pertama Malaysia selepas gagal merealisasikan impian itu di London? Ikuti pandangan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang mengharapkan kesinambungan pingat tercipta lagi pada 2016.

"Memang benar RM50 juta yang diperuntukkan untuk program Rod To Rio dianggap terlalu besar dan terus terang ia belum menjanjikan pingat emas yang kita harap-harapkan selama ini.


Namun apa yang boleh saya katakan, persediaan dan pembangunan atlet kali ini jauh lebih baik berbanding perancangan kita sewaktu Olimpik London 2012.

Alhamdullilah Malaysia pulang dengan dua pingat, perak menerusi jaguh badminton perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dan gangsa menerusi penerjun Pandelela Rinong biarpun impian sebenar MSN dan tentunya seluruh rakyat adalah meraih emas pertama.


Melihat senario positif di London, Kementerian Belia dan Sukan menerima RM50 juta menerusi Bajet 2013 untuk menjayakan program Road to Rio, tambahan RM30 juta lagi selepas kemajuan dicapai ketika Road to London yang menerima perbelanjaan RM20 juta.


Saya sedar ada pihak menimbulkan persoalan sama ada peruntukan sebesar itu mampu menghadiahkan pingat emas pertama negara, meskipun temasya itu hanya berlangsung tiga tahun lagi.

Mereka agak skeptikal mengenai isu ini, selepas RM20 juta yang diperuntukkan untuk program ke London gagal memberi hasil yang diimpikan, biarpun tetap ada kejutan untuk rakyat negara ini menerusi Pandelela.


Lebih manis, kejayaan pemanah paralimpik, Hasihin Sanawi serta atlet lontar peluru, Mohd Ziyad Zolkepli di Sukan Paralimpik, meletakkan sukan negara di fasa lebih meyakinkan.

Jika diikutkan, RM50 juta itu masih belum mencukupi tapi kita perlu manfaatkannya untuk pembiayaan atlet, jurulatih, program latihan, pertandingan dan khidmat sokongan.


Pada masa ini, kita membuka ruang kepada 11 sukan untuk fasa pertama tapi jika gagal, saya beri jaminan, mereka akan digugurkan. Petunjuk awal penanda aras mereka adalah pencapaian di Sukan Asia dan Komanwel tahun depan.


Mengambil contoh di London, saya lihat pasukan terjun Britain membelanjakan RM20 juta untuk persediaan acara itu tapi hanya Tom Daley meraih pingat gangsa, sedangkan Malaysia membelanjakan jumlah itu untuk keseluruhan program.


Saya lihat kegagalan kita meraih pingat emas menerusi perspektif positif. Kita berjaya menyamai pencapaian di Atlanta, malah Pandelela menjadi atlet pertama sukan terjun memenangi pingat di Olimpik.


Lebih membanggakan atlet kita berjaya layak lapan final dan ia satu pencapaian yang amat membanggakan, selain jenis sukan yang kita sertai semakin bertambah.


Saya yakin pencapaian di London itu boleh dipertingkatkan lagi."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Tiga fasa pelan periodisasi

Posted: 12 Jan 2013 05:03 AM PST

INSTITUT Sukan Negara (ISN) sudah memulakan langkah proaktif untuk memastikan perjalanan ke Sukan Olimpik Rio 2016, mampu memperbaiki pencapaian di London, sebaik diletakkan dalam Jawatankuasa Kecil Sains dan Perubatan Sukan di bawah Jawatankuasa Pemandu Sukan Olimpik Rio.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Shapawi Ismail mengaku beberapa kelemahan perlu ditangani hasil bengkel 'Post Perfomance Road to London', Oktober tahun lalu bagi memastikan elemen itu dimanfaatkan sepenuhnya selepas ini.


"Pertama adalah pembabitan serta komitmen jurulatih amat diperlukan bagi memastikan aspek sains sukan dapat membantu latihan selain kepakaran yang ada di ISN perlu dipertingkatkan, membabitkan kepakaran dalam dan luar negara bagi membantu program.

"Kita berjaya melaksanakan Road to London yang mengulangi prestasi Sukan Olimpik 1996 dan membuka ruang untuk sukan lain menyumbang pingat, selain pencapaian sukan memanah dan berbasikal meskipun tidak meraih pingat. "Ia tidak mematahkan semangat menyediakan program latihan lebih berkesan supaya sasaran pingat emas di Rio dicapai," katanya.


Fokus jawatankuasa kecil itu adalah menentukan sumber khidmat sains dan perubatan dalam program 2016 mencukupi, menentukan rancangan dan pelaksanaan serta penilaian program khidmat sokongan yang berkesan bagi meningkatkan prestasi atlet.


Justeru menurutnya, lima elemen utama dikenal pasti bagi menambah baik program latihan adalah perkhidmatan sains dan perubatan sukan berdedikasi menerusi penubuhan pusat latihan berprestasi tinggi, pembabitan dalam latihan dan pertandingan, pemakanan, pengukuhan penyelidikan prestasi sukan dan pencarian bakat menerusi program pemindahan bakat (talent transfer).

Jelas Ahmad Shapawi lagi, semua itu akan digerakkan dalam pelan 'periodisasi' yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama pada tahun ini memberi tumpuan kepada asas program terbabit, fasa kedua dari 2014-2015 yang terarah kepada usaha melayakkan atlet ke Sukan Olimpik manakala fasa terakhir dari 2015-2016 bertujuan mengukuhkan program atlet yang sudah melayakkan diri.


"Setiap atlet tersenarai dalam program Road to Rio dianalisis menggunakan Analisis SWOT untuk mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang serta ancaman yang mereka hadapi.

"Kita akan lakukan penambah baikan dan memberi tumpuan terhadap peningkatan prestasi. Kita harap atlet tidak melengahkan kelayakan, mereka perlu layak lebih awal bagi memastikan proses pemantapan dapat dilakukan dengan lebih berkesan." Ditanya adakah ISN sudah mengenalpasti keperluan setiap sukan, beliau menjelaskan pihaknya sedar keperluan berbeza-beza yang perlu dipenuhi.


"Ada sukan memerlukan semua perkhidmatan di ISN seperti psikologi, pemakanan, peningkatan tahap fizikal, bio mekanik, analisa prestasi dan fisiologi tetapi ada yang tidak memerlukan sebahagian daripada perkhidmatan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

SSTMI Junior sasar ikat UniKL

Posted: 12 Jan 2013 05:02 AM PST

Kuala Lumpur: Tewas berturut-turut pada dua perlawanan pertama saingan Divisyen Satu Liga Hoki Remaja Malaysia bukanlah permulaan yang dimahukan oleh Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Junior).

Namun mereka perlu menelan hakikat itu dan ujian getir menanti mereka sekali lagi hari ini apabila bakal bertemu pasukan pilihan, UniKL Young Guns.


Akur dengan kehebatan lawan, tiada lain yang diinginkan pengurus pasukan SSTMI Junior, Amir Hamzah selain menggesa barisan pemainnya terus bertahan dan beraksi sebaik mungkin.

"Kami sudah mengenal pasti kelemahan pada dua perlawanan pertama. Antara yang paling ketara ialah jentera serangan yang tidak berfungsi dengan baik.


"Saya fikir kita tidak berdepan masalah di bahagian lain. Cuma mungkin kesilapan dua perlawanan awal adalah kita melepaskan jaringan mudah," katanya.


Amir jelas mengharapkan sesuatu daripada anak buahnya pada perlawanan hari ini bagi mengelak untuk terus berada pada kelompok bawah liga. "Secara jujur, untuk perlawanan bertemu UniKL, saya rasa keputusan seri sudah memadai bagi kami.

"Bukan tidak mahu meletakkan sasaran tiga mata, tapi saya fikir mengikat UniKL sudah satu kejayaan kerana lawan kami adalah pasukan yang hebat.


"Apapun, saya percaya pemain saya akan melakukan yang terbaik. Kami tidak akan memberi laluan mudah kepada UniKL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Tangisan badang wanita

Posted: 12 Jan 2013 04:57 AM PST

Goyang, Korea Selatan: Atlet angkat berat wanita Korea Selatan, Jang Mi-ran mengucapkan selamat tinggal kepada sukan itu selepas berkecimpung selama 15 tahun.

Atlet digelar 'Hercules Wanita' di negaranya mengumumkan persaraan di kampung halamannya, Khamis lalu.


Atlet berusia 29 tahun itu yang diiringi bapa, ibu dan adik perempuan begitu sukar menyuarakan ucapan selamat tinggal kerana terlalu sedih, mengakhiri sukan yang memberikan empat gelaran dunia kepadanya selain kejayaan di Sukan Olimpik dan Sukan Asia.

"Selepas mempertimbangkannya selama tiga bulan, saya berdepan keputusan paling sukar pernah dihadapi mana-mana atlet," katanya kepada media di Goyang, utara Seoul.


"Sukan angkat berat mengubah seorang gadis berusia 15 tahun yang tidak mempunyai keyakinan terhadap penampilannya dan tiada impian untuk masa depan kepada seorang yang akhirnya disukai ramai orang.


"Saya gembira kerana semakin ramai mempunyai pandangan positif terhadap angkat berat disebabkan saya." Detik gemilang Mi-ran hadir ketika dia menyempurnakan grand slam dengan pingat emas kategori melebihi 75kg di Sukan Asia Guangzhou, selepas dia berjaya di Sukan Olimpik Beijing dan merangkul empat kejuaraan dunia.

Pada era kemuncaknya di Olimpik, Mi-ran mencatat rekod dunia dalam acara snatch (140kg), clean dan jerk (186kg) dan keseluruhan (326kg).


Bagaimanapun faktor usia dan kecederaan mula memberi kesan terhadap prestasinya sejak akhir-akhir ini, apabila atlet Korea Selatan itu gagal menyaingi atlet lain seperti Tatiana Kashirina dari Russia dan atlet China, Zhou Lulu.

Tahun lalu, impiannya untuk memenangi pingat Olimpik ketiga berturut-turut, selepas turut memenangi pingat gangsa di Athens pada 2004 berkecai di London apabila hanya menduduki tangga keempat.


Mi-ran menyentuh hati rakan senegara apabila melutut dan mencium barbell selepas kegagalan terakhirnya, menyedari sukar untuknya memenangi pingat.


"Sukan Olimpik London adalah detik paling diingati sepanjang karier memandangkan saya tidak sedar sehingga detik itu, begitu ramai yang mengharapkan saya meskipun gagal memenuhi impian mereka." Selepas bersara, Mi-ran ingin memberi tumpuan terhadap usaha membantu atlet muda angkat berat dan sukan yang kurang mendapat perhatian menerusi Yayasan Jang Mi-ran, yang ditubuhkannya Februari lalu.


Dia juga ingin terbabit dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan mahu bertemu Presiden IOC, Jacques Rogge apabila beliau melawat Korea akhir bulan ini.


"Andai saya menjadi ahli IOC, pasti dapat membantu banyak perkara yang ingin dicapai menerusi yayasan saya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

'Jangan 'halau' Suarez dari Liga Inggeris'

Posted: 12 Jan 2013 04:55 AM PST

Liverpool: Luis Suarez mungkin meninggalkan Liga Perdana Inggeris jika orang ramai terus memberi tekanan ke atasnya.

Itu amaran keras dari bekas pengarah Liverpool, Damien Comolli. "Tindakan yang amat memalukan arena bola sepak Inggeris andai orang ramai terus menghukum Luis hingga mengakibatkan dia pergi. Dia pemain bola sepak yang hebat dan seorang profesional. Malah, dia amat komited dengan pasukan, rakan seangkatan dan kerjayanya.


"Pedulikan apa yang dilakukannya asalkan dia seorang juara.

"Selaku liga terbesar di dunia, pastinya peminat ingin terus mengekalkan pemain hebat dan bukan membuatkan dia pergi kerana sebab yang tidak munasabah.


"Sukar untuk saya fahami mengapa orang ramai terlalu tumpukan pada aspek yang buruk seperti itu dan bukannya kehebatan pemain.


"Orang ramai perlu berhenti mengkritik Luis. Dia bukanlah orang yang kita mahu perangi," katanya.

Suarez, 25, menyertai Liverpool dengan bayaran £24 juta (RM116 juta) dari Ajax pada Januari 2011 ketika Comoli masih bersama Liverpool.


Pemain Uruguay itu bakal turun menentang Manchester United, malam ini selepas dia enggan bersalam dengan Patrice Evra pada pertemuan awal musim ini.

Lantaran itu, dia digantung lapan perlawanan kerana mencemuh Evra dengan kata-kata berunsur perkauman. Sebelum ini, Suarez turut didakwa sering merebahkan badannya di padang.


Minggu lalu, dia tersentuh bola sebelum menjaringkan gol untuk membantu Liverpool menewaskan Mansfield, 2-1 pada saingan Piala FA.


Pemain pertahanan United, Alexander Buttner mengulas terhadap tindakan Suarez di Twitter.


"Mansfield layak seri. Semuanya kerana Luis Suarez yang menyentuh bola! Ini adalah bola sepak bukannya 'bola tangan'!," katanya.


Bagaimanapun, jurulatih The Kop, Brendan Rodgers menyokong penyerang yang juga pemain bintangnya.


"Saya faham situasi Suarez. Terlalu banyak kritikan dilemparkan kepadanya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Mancini cabar bintang City

Posted: 12 Jan 2013 04:54 AM PST

London: Roberto Mancini mencabar barisan bintang Manchester City mengakhiri siri kekecewaan di Arsenal ketika juara Liga Perdana Inggeris itu berjuang untuk mempertahankan gelaran mereka.

Anak buah Mancini berkunjung ke utara London, menyedari mereka mungkin ketinggalan 10 mata di belakang Manchester United, sebaik memulakan aksi di Stadium Emirates, malam ini andai musuh ketat mereka menewaskan Liverpool.


Ia mungkin satu jurang yang terlalu besar bagi pasukan sehebat City tapi jika sejarah dijadikan sandaran, skuad Mancini berpeluang merapatkan jurang sebaik tamat perlawanan.

City tidak pernah menewaskan Arsenal dalam aksi liga selama 37 tahun, tewas 0-1 pada lawatan terakhir April lalu.


Begitupun Mancini tetap yakin City yang belum menemui rentak terbaik musim ini, mampu melakar sejarah baru dengan kemenangan di Arsenal.


"Menentang Arsenal di London pasti sukar kerana mereka bermain begitu baik.

"Sudah lama kami tidak menang di sana tapi banyak yang kami ubah tahun lalu dan inilah masanya untuk mengubah situasi itu," kata Mancini.


Prestasi tidak menentu City musim ini mencetuskan persoalan terhadap masa depan Mancini dan pengurus kelahiran Itali itu mungkin berdepan lebih banyak kritikan jika pasukannya tewas hujung minggu ini.

Ia mungkin disebabkan City kurang naluri pemusnah yang menyaksikan mereka tewas ketika bertemu United, Arsenal dan Chelsea musim ini.


Namun Mancini tetap yakin barisan bintang yang dihimpun kelab itu memiliki kualiti dan semangat tinggi untuk memintas United.


"Tujuh mata terlalu banyak bagi saya pada masa ini kerana kami tidak sepatutnya ketinggalan tujuh mata.


"Bagaimanapun musim ini begitu panjang dan mencabar. Kami masih memiliki baki 17 perlawanan. Kami boleh menyamakan pungutan mata." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Wenger optimis

Posted: 12 Jan 2013 04:54 AM PST

London: Arsène Wenger optimis kemenangan ke atas Manchester City di laman sendiri bakal memberi impak besar dan menaikkan semangat anak buahnya melangkah ke babak kedua musim ini.

Arsenal bertembung juara Liga Perdana itu selaku skuad yang menduduki tangga keenam tapi beraksi empat daripada lima perlawanan di Stadium Emirates.


Wenger yakin mereka mampu mengurangkan jurang mata dengan dua pasukan teratas.

"Paling penting, kami perlu tngkatkan keyakinan pemain. Contohnya keyakinan pemain Chelsea yang terganggu selepas terlepas banyak peluang ketika menentang Swansea.


"Sebelum ini kami juga seperti Chelsea, mencipta pencapaian baik di gelanggang lawan tapi kini kami juga bermain dengan baik di gelanggang sendiri.


"Kami atasi West Brom dan Newcastle dengan aksi meyakinkan dan amat penting untuk kami terus kekal melakar kejayaan seperti itu," kata Wenger. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Status pemain tak kebal

Posted: 12 Jan 2013 04:53 AM PST

MELBOURNE: Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic memberi amaran kecederaan Rafael Nadal menunjukkan tiada pemain lelaki terbaik dunia kebal untuk kekal menguasai Grand Slam.

Djokovic memulakan misi memburu gelaran Terbuka Australia ketiga berturut-turut minggu ini, pencapaian yang belum dikecapi pemain era profesional dan bakal melebarkan rekod penguasaan empat pemain terbaik yang menang 29 daripada 30 Grand Slam terakhir.


Namun pemain Serbia itu mengingatkan, ketiadaan Nadal akibat masalah lutut membuktikan tenis sukar diramal dan ramai pemain menanti peluang mengambil kesempatan.

"Kami tidak boleh membuat ramalan. Ia sukan individu dan bergantung kepada usaha sendiri. Semua pemain boleh mengalami nasib sama seperti Nadal," kata Djokovic di Melbourne.


"Itulah sebabnya kami perlu komited dan bersikap profesional setiap hari. Setiap perkara kecil akan memberi kesan jangka panjang terhadap persediaan latihan dan pemulihan.


"Jika cedera, kami tidak dapat menyertai jelajah. Ranking pasti turun." Pemain Argentina, Juan Martin Del Potro satu-satunya pemain selain Djokovic, Nadal, Roger Federer dan Andy Murray yang memenangi trofi Grand Slam sejak 2005.

Nadal, juara 11 Grand Slam, terlepas sebahagian besar musim lalu akibat kecederaan itu dan menarik diri daripada Terbuka Australia kerana sakit perut.


"Mungkin kami calon utama menang semua gelaran utama," kata Djokovic.

"Namun saya tidak boleh pandang rendah cabaran Del Potro, (Jo-Wilfried) Tsonga, (David) Ferrer, (Tomas) Berdych, atau sesiapa saja dalam ranking 10 pemain terbaik. Saya pasti ada pemain muda yang semakin meningkat seperti (Bernard) Tomic, (Grigor) Dimitrov dan (Milos) Raonic.


"Tidak wajar bagi saya meramalkan kami bakal menjuarai semua Grand Slam tahun ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

No comments:

Post a Comment