Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sepanyol destinasi Hafizh

Posted: 23 Jan 2013 01:34 PM PST

Kuala Lumpur: Sepanyol sekali lagi menjadi destinasi Hafizh Syahrin Abdullah sebelum beralih ke saingan Kejuaraan Motosikal Dunia apabila akan beraksi pada musim kedua pada Kejuaraan Motosikal CEV Buckler dijadual bermula April ini.

Pelumba negara selepas Zulfahmi Khairuddin itu yang berjaya menduduki tempat keempat hanya menerusi tiket wild card pada saingan MotoGP musim lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), beraksi cemerlang pada musim pertama di Sepanyol apabila menamatkan saingan di tangga keenam keseluruhan.


Lebih menarik, pengurus pasukan Petronas Raceline Malaysia, Barry Leong berkata, Hafizh bakal menggunakan jentera baru iaitu Kalex berbanding FTR yang digunakannya pada musim lalu selain bakal berdepan saingan lebih mencabar.

"Dia mungkin ke Sepanyol awal bulan depan dan mula menjalani latihan dan menguji jentera baru sekitar pertengahan bulan depan.


"Hafizh bakal menggunakan jentera Kalex serta akan melalui saingan lebih mencabar apabila perlumbaan kali ini berlangsung sebanyak sembilan pusingan, berbanding tujuh pada musim lalu.


"Saya harap dia dapat mempelajari lebih banyak perkara baru musim ini sebelum mengembangkan kariernya pada saingan Moto2 di MotoGP pada 2014 seperti perancangan kami sebelum ini," katanya.

Foto

BAWA cabaran negara (dari kiri atas) Melvin, Dominic, Hafizh, Ramdan, (dari kiri bawah) Fariqe, Afiq dan Nabil.

Beliau ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelumba di bawah program pembangunan pelumba berbakat Petronas Motorsports semalam.


Selain Hafizh, tujuh lagi pelumba yang terpilih berada di bawah program itu ialah Jazeman Jaafar, Ramdan Rosli, Farique Hairuman, Dominic Ang, Melvin Moh, Afiq Ikhwan Yazid dan Nabil Jefri. Sementara itu, Hafizh berkata, dia sudah bersedia menghadapi musim baru di Sepanyol serta bertekad untuk lebih kerap menaiki podium berbanding musim lalu.

"Saya masih perlu banyak belajar perkara baru kerana pengalaman itu penting sebelum ke saingan lebih besar.


"Saya akan cuba memperbaiki pencapaian. Tahap keyakinan saya lebih tinggi berbanding pada musim pertama," katanya.


Pelumba berusia 19 tahun itu pernah menerima tawaran daripada Team Aspar, pasukan yang bersaing dalam siri Kejuaraan Motosikal Dunia selepas melakukan kejutan di Sepang musim lalu, namun pengurusan menolaknya kerana mempunyai perancangan lebih tersusun untuknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Ronaldinho kembali!

Posted: 23 Jan 2013 01:26 PM PST

Rio de Janeiro: Penyerang lincah, Ronaldinho diberi peluang kedua oleh Brazil ketika Luiz Felipe Scolari menamakan skuad pertama semalam selepas kembali menjadi jurulatih pasukan kebangsaan buat kali kedua.

Scolari yang membimbing Brazil merangkul kejuaraan dunia kelima pada 2002, dilantik semula November lalu untuk mengemudi pasukan merealisasi misi memenangi kejuaraan keenam di laman sendiri pada 2014 turut memanggil semula penjaga gol, Julio Cesar.


Penampilan terakhir Ronaldinho dan Julio Cesar, penjaga gol utama Brazil dari 2007 hingga 2011 ketika menentang Bosnia pada Februari tahun lalu.

"Saya mahu apa yang setiap orang inginkan, mereka bermain bola sepak dengan kemampuan sebenar," kata pengendali yang dikenali sebagai Big Phil (Felipao) apabila ditanya apa yang dijangkakannya daripada Ronaldinho dan penyerang muda, Neymar.


"Tidak ramai boleh beraksi lebih baik daripada mereka. Saya juga mahu sikap yang baik. Saya mahu mereka bertanggungjawab tidak kira berapa usia mereka." Ronaldinho, 32, keluar masuk skuad Brazil sejak beberapa tahun lalu dan terlepas aksi Piala Dunia 2010 susulan kemerosotan prestasinya didakwa akibat gaya hidup yang suka berpoya-poya.


Dia memuncak bersama Barcelona, apabila diundi Pemain Terbaik FIFA 2004 dan 2005, menghabiskan tiga musim kurang berjaya di AC Milan sebelum menyertai Flamengo pada permulaan 2011.

Dia meninggalkan kelab Rio de Janeiro itu tahun lalu sebelum mendapat nafas baru bersama Atletico Mineiro.


Scolari menegaskan, beliau hanya puas hati andai meraih gelaran keenam tahun depan dan mempunyai masa hampir 18 bulan untuk mempersiapkan pasukan dengan hanya satu kejohanan sebagai persediaan iaitu Piala Konfederasi yang dianjur Brazil, Jun ini.

Di sebalik berada di ranking terburuk dunia, tangga ke-18, Scolari yakin pasukannya mampu merangkul kejayaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Lazio ikat Juventus

Posted: 23 Jan 2013 01:26 PM PST

Milan: Juventus terikat 1-1 di gelanggang sendiri dengan Lazio pada separuh akhir pertama Piala Itali, awal pagi semalam sekalipun Federico Peluso menjaringkan gol sulungnya buat kelab itu.

Peluso, dibeli dari Atalanta awal bulan ini, melonjak mengatasi pemain yang mengawalnya sebelum menanduk masuk gol pendahuluan sekali gus meletakkan Juventus di depan pada minit ke-63 berikutan hantaran silang Emmanuele Giaccherini dari sebelah kiri.


Lazio yang menghuni tangga ketiga Serie A, menyamakan kedudukan empat minit sebelum tamat apabila Stefano Mauri menjaringkan gol dari jarak dekat selepas sepakan sudut Antonio Candreva ditanduk semula ke kawasan penalti.

Juventus yang seperti biasa merehatkan penjaga gol, Gianluigi Buffon dan Andrea Pirlo daripada pertandingan itu, bergelut pada babak pertama dan terselamat daripada beberapa cubaan lawan.


Mereka hampir mendahului sembilan minit selepas rehat apabila rembatan voli Alesandro Matri ditumbuk keluar penjaga gol Lazio, Federico Marchetti. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

UMMC cungkil bakat pelumba

Posted: 23 Jan 2013 01:25 PM PST

Melaka: Saingan sengit dipersembah 30 peserta Kejohanan Berbasikal Bukit Bakat Baru anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka di kampus itu di Lendu, Alor Gajah baru-baru ini.

Kejohanan sempena pemilihan atlet untuk Karnival Sukan Mahasiswa UiTM Malaysia (Karisma) 2013 merangkumi jarak lima kilometer di sekitar kampus dan kampung berhampiran.


Penyelaras program, Yazid Husin berkata, majoriti peserta membabitkan ahli Kelab Berbasikal Bukit (UMMC) yang memiliki pengalaman menyertai kejohanan luar dan pernah beraksi di Karisma Shah Alam, Disember lalu.

Menurutnya, beberapa staf turut menyertai pertandingan bertujuan menjadikan perlumbaan lebih kompetitif antara semua peserta terbabit.


Beliau berkata, menerusi kejohanan itu, beberapa muka baru dikenal pasti memiliki bakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk sebagai pelapis Karisma 2014.


Selain aktif mengadakan latihan UMCC turut menyertai konvoi ke Kuala Sungai Baru dan Port Dickson, Negeri Sembilan dalam usaha mendedahkan ahli kepada teknik pengendalian dan perlumbaan yang lebih mencabar.

Beliau berkata, selepas mengenal pasti atlet terbaik, UMCC akan meningkatkan program latihan bagi memastikan kejayaan mampu diraih pada Karisma yang dijadual berlangsung di UiTM Terengganu pertengahan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

1,001 persoalan kad merah Amri

Posted: 23 Jan 2013 01:25 PM PST

Kuala Lumpur: Ada nada terkilan disuarakan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim dengan mutu pengadilan selepas menyaksikan penyerang, Mohd Amri Yahyah dilayangkan kad merah ketika seri 1-1 dengan Perak dalam aksi Liga Super kelmarin.

Menurut Irfan, tindakan pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad melayangkan kad kuning kedua kepada Amri pada minit ke-41 menjejaskan rentak permainan pasukannya yang mahu memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi di Stadium TLDM Lumut itu.


Sebelum itu Amri menerima kad kuning pertama di awal permainan kerana sengaja menjatuhkan badan dalam kotak penalti.

"Saya gembira persembahan dipamer pemain. Walaupun beraksi 10 pemain tapi masih beri tentangan kepada Perak. Jika kami miliki 11 pemain, mungkin keputusan berbeza.


"Saya berada di tepi garisan dekat dengan insiden Amri dilayangkan kad merah. Amri hanya menunjukkan isyarat kepada pengadil bahawa bola lontaran ke dalam sepatutnya diberikan kepada Selangor, dia tidak menunjukkan sebarang isyarat yang tidak bagus.


"Saya juga tidak mendengar Amri ada bercakap dengan pengadil, dia cuma menunjukkan isyarat bola terkena kaki pemain Perak. Saya fikir pengadil nampak situasi itu, dia boleh membatalkan keputusan penjaga garisan itu," katanya kepada Arena Metro semalam.

Walaupun kekurangan seorang pemain, skuad Gergasi Merah berjaya mendahului permainan pada babak kedua menerusi gol Francis Forkey Doe di minit ke-65 sebelum pasukan tuan rumah mengikat kedudukan pada minit ke-80 hasil sepakan penalti Abd Hadi Yahya.


Pada perlawanan itu, beberapa keputusan Zulkifli turut dipertikai termasuk membatalkan dua gol Perak menerusi percubaan Hadi pada minit ke-27 dan Khairul Asyraf Shaizah di minit ke-81 kerana didakwa ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Fandi tak puas hati aksi Johor DT

Posted: 23 Jan 2013 01:24 PM PST

Kuala Lumpur: Meskipun kali pertama meraih keputusan meyakinkan ketika menunjukkan PKNS FC kelmarin selepas mengharungi lima perlawanan, pengendali Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad pantas menyatakan ia bukanlah aksi terbaik anak buahnya.

"Belum lagi, belum mencapai tahap permainan terbaik. Masih banyak perlu diperbaiki sebab pada masa ini, semua pasukan apabila bertemu kami, mereka akan beri komitmen 200 peratus.


"Tapi saya akui kemenangan ini mengurangkan sedikit tekanan yang dirasai pemain. Saya masih mengharapkan peningkatan prestasi pada setiap perlawanan selepas ini," katanya.

Kelmarin, pasukan berbelanja besar itu dilihat mula menemui keserasian apabila mudah menewaskan PKNS, 3-1 sekali gus memadam keraguan terhadap mereka yang gagal meraih keputusan terbaik selepas empat perlawanan meskipun dibarisi ramai pemain bintang.


Antara watak penting di sebalik kemenangan itu adalah Safee Sali, penyerang kebangsaan yang dilihat kembali kepada prestasi sebenarnya dengan menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan semalam sekali gus gol pertamanya pada saingan Liga Super musim ini.


Namun di sebalik aksi meyakinkannya itu, pengurusan pasukan tidak membenarkan Safee untuk ditemuramah.

"Saya gembira dengan aksinya malam ini (kelmarin) kerana dia bekerja keras. Tapi saya beritahu dia jangan terlalu ghairah untuk mencari gol sebab saya yakin dia pasti akan menjaringkan gol.


"Alhamdulillah, dia dapat cetak gol juga. Saya harap dia dapat meneruskan aksi terbaik ini pada perlawanan seterusnya," kata Fandi.

Selepas lima perlawanan, Johor kini menduduki tangga kelima liga dengan mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan, dua seri serta tewas sekali.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Rajagobal tagih anak buah beri impak positif

Posted: 23 Jan 2013 01:11 PM PST

Kuantan: Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal mengharapkan keputusan positif bakal dijelmakan skuad kebangsaan selepas beliau menilai semua pasukan yang bakal ditemui pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015.

"Saya rasa kita mempunyai peluang sama rata dengan pasukan lain. Selepas melihat pasukan lain beraksi, saya pada dasarnya sudah mempunyai idea bagaimana untuk menangani cabaran mereka," katanya yang baru saja pulang dari Bahrain bagi menilai perkembangan pasukan negara itu.


Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D itu yang turut dianggotai Qatar, Bahrain dan Yaman. Cabaran pertama skuad negara adalah pertemuan dengan Qatar pada 6 Februari.

Dalam pada itu Rajagobal yang ditemui selepas perlawanan antara Pahang dan Terengganu di Stadsium Darulmakmur, malam kelmarin, yang berkesudahan tuan rumah menang 3-0, mempertahankan keputusannya menyenaraikan Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha untuk mengikuti latihan pusat dan pemilihan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia itu.


Beliau berkata, kehadiran dua penyerang itu penting berdasarkan pengalaman luas beraksi di peringkat tertinggi dan Piala Asia memerlukan khidmat pemain seperti mereka.


Namun beliau tidak sesekali meminggirkan pemain yang mempamerkan peningkatan dalam saingan Liga M kerana percaya kombinasi pemain lama dan baru akan membentuk pasukan lebih mantap.

"Persembahan kurang memuaskan pada masa ini bukan alasan untuk tidak memanggil mereka memperkuatkan Harimau Malaya. Pada masa sama, tahap Piala Asia lebih tinggi jika dibandingkan Piala AFF yang hanya membabitkan pasukan Asia Tenggara," katanya.


Mengulas kehadirannya itu, beliau berkata, membuat pemantauan dan mengenal pasti pemain terbaik untuk menyarung jersi kebangsaan.

"Kami akan beri peluang kepada pemain yang bagus untuk mengembangkan karier bersama skuad kebangsaan.


"Saya juga harap pemain yang dipanggil menunjukkan peningkatan dalam semua perlawanan Liga M."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

'Tak wajar bawa askar'

Posted: 23 Jan 2013 01:11 PM PST

Putrajaya: "Saya tidak fikir wajar bagi mana-mana pihak yang memiliki askar peribadi dan bersenjata, membabitkan diri dalam aktiviti sukan di negara ini," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengulas tindakan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim membawa sekurang-kurangnya enam askar peribadi ke Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, 15 Januari lalu.

Beliau menganggap perkara itu serius dan perlu dipandang berat kerana semua negeri di Malaysia selamat.


"Saya pandang berat hal ini dan juga pelbagai perkara yang berlaku dalam bola sepak sejak akhir-akhir ini. Banyak perkara yang bukan kelaziman kini semakin kerap berlaku.

"Saya rasa pada perlawanan itu, polis mengendalikannya dengan baik dan tidak perlu ada askar peribadi, malah jika perlu sekalipun, polis akan meminta bantuan tambahan." Justeru, sebagai menteri, beliau mahu isu membabitkan Kelantan dan Johor Darul Takzim itu diselesaikan segera dan pihak tertentu, semestinya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memastikan kontroversi seumpama itu tidak berulang.


"Bagi saya kontroversi dalam sukan itu ada baiknya kerana ia boleh menggalakkan lagi peminat datang ke stadium namun kontroversi seperti ini tidak boleh berterusan hingga menjadi kebiasaan pula.


"Selama ini orang tidak tahu yang di negara ini wujud askar peribadi tapi kini semua orang tahu dan terkejut," kata Shabery. Telahan Shabery itu ada benarnya kerana jika FAM menghalalkan tindakan TMJ itu, tidak salah rasanya jika pasukan lain selepas ini turut membawa askar sendiri bertandang ke tempat lawan.

Begitupun FAM tidak mengambil sebarang tindakan untuk meredakan isu ini, sebaliknya hanya menunggu aduan rasmi dibuat, menunjukkan badan induk bola sepak itu tiada pendirian kerana mereka pernah menyiasat satu kes membabitkan pemain Kelantan dan Selangor (Muhammad Ghaddar dan Bunyamin Umar) tanpa sebarang aduan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

'Usah pilih kasih'

Posted: 23 Jan 2013 01:11 PM PST

Kangar: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dinasihat supaya tidak bersikap 'pilih kasih' dalam melaksanakan peraturan mengikut Artikel 88.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, jika tindakan dikenakan ke atas beliau, bermakna FAM sudah menganiaya dirinya selepas tidak mengenakan tindakan sama ke atas 'individu' lain yang mencabar FAM.


"FAM jangan double standard, kenapa saya yang terang-terang menyokong kepimpinan dikenakan tindakan, sedangkan beberapa pimpinan persatuan bola sepak lain tidak, walaupun mereka bertindak sebaliknya.

"Saya rasa teraniaya kerana dengan mengharapkan pertolongan bagi membantu persatuan negeri, saya dikenakan tindakan, namun tidak bagi mereka yang enggan menyokong kepimpinan FAM," katanya.


Menurutnya, beberapa pegawai atasan FAM harus sedar posisi mereka dalam persatuan itu adalah berdasarkan lantikan melalui undian dan bukannya pemberian.


Katanya, transformasi yang dituntutnya menjurus kepada kesediaan FAM membantu pasukan yang mempunyai masalah kewangan.

"Justeru, saya syorkan agar mesyuarat serta siasatan membabitkan kenyataan saya tidak dijalankan kerana ia hanya merugikan wang ringgit serta masa.


"Saya jamin sebaik saja menerima surat siasatan, saya akan serta-merta menarik diri daripada menerajui PFA," katanya.

Shahidan berkata, FAM juga harus ingat jika tindakan diambil ke atasnya serta penarikan dirinya sebagai Presiden PFA, badan induk itu perlu bertanggungjawab terhadap kesan yang diterima persatuan bola sepak negeri itu.


"Kini segala kebajikan, gaji serta perbelanjaan PFA ditanggung saya sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak. Jika saya bukan lagi Presiden, FAM perlu ambil alih pengurusan PFA." Menurutnya, beliau yakin kebenaran akan memihak dirinya kerana sokongan tidak berbelah bagi ditunjukkannya kepada Presiden Sultan Ahmad Shah serta Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).


"Ketika ini, saya ibarat teraniaya dengan apa yang berlaku kerana terpaksa berdepan hukuman walaupun saya menyatakan sokongan kepada FAM." Arena Metro semalam melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak mengesahkan Shahidan bakal dibicarakan dan surat pertuduhan akan dihantar minggu ini.


Menurut Taufek, sekretariat FAM kini dalam penilaian terakhir mengenai pertuduhan dikemukakan yang dikatakan melanggar Artikel 88 Peraturan 2010-2014 FAM.


Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Sistem latihan bola sepak Malaysia ikut cara Eropah

Posted: 23 Jan 2013 01:10 PM PST

Sistem latihan diguna pakai kelab bola sepak di Malaysia sudah semakin maju dan lebih berkualiti kerana mengadaptasi sistem diamal kelab bola sepak ternama di Eropah.

Malah, sistem di Malaysia jauh lebih baik dan maju berbanding program latihan dilaksanakan kelab bola sepak di Indonesia.


Penilaian itu dibuat seorang pelatih sepak bola Indonesia yang juga mantan pemain kebangsaan Indonesia era 1980-an, Muhammad Al Hadad atau popular dengan panggilan Mamak, seperti diberitakan Webnews Tribun, semalam.

"Saya baru saja mengikuti latihan selama satu setengah bulan di Kelab Johor Darul Takzim (JDT) diundang ketua jurulatih, Fandi Ahmad (gambar), mantan rakan saya bermain di Niac Mitra Surabaya," katanya.


Beliau mengaku kagum dengan sistem latihan di JDT yang melakukan kaedah latihan moden hingga berasa seakan-akan berada di Eropah di samping disokong kemudahan asas yang lengkap.


Menurutnya, JDT tidak lagi menerapkan latihan fizikal kepada pemain yang hanya berlari-lari kecil mengelilingi padang kerana kaedah itu dianggap sudah ketinggalan zaman.

"Latihan fizikal kaedah kelab Eropah hanya memerlukan waktu sesaat saja, namun dengan impak tinggi dan setiap pemain wajib menggiring (menggelecek) bola. Setiap sesi berlatih, pemain wajib selalu menggunakan bola," kata Mamak.


Menurutnya, semua pemain mempamerkan 100 peratus kemampuan pada sesi latihan, seolah-olah bertanding, sangat serius, dengan pergerakan yang cepat dan jurulatih akan melihat pemain paling bersedia untuk dipilih menyertai kesebelasan utama.

"Saya sangat beruntung berpeluang mengikuti latihan di JDT. Sistem latihan amat berkualiti dan teknologi, jelas lebih maju dibanding kelab Indonesia." Dia bertekad akan memanfaatkan ilmu ditimba di JDT untuk dipraktikkan di kelab Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

No comments:

Post a Comment