Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kepala 'bocor'

Posted: 18 Jan 2013 10:45 PM PST

"Saya disahkan doktor mengalami gangguan kelopak mata kanan menyebabkan pandangan kabur, malah saya juga sukar tidur malam," kata M Balakrishnen, 48, menceritakan kesan buruk dihadapi selepas kepalanya cedera ditimpa siling asbestos yang reput dalam kejadian bulan lalu.

Menceritakan semula kejadian itu, Balakrishnen yang juga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Shah Alam berkata, dia ditimpa siling itu ketika menaiki tangga untuk ke rumahnya di tingkat satu, Blok 10, Flat Desa Mentari, di sini, pada 25 Disember lalu.


"Saya menaiki tangga bersama seorang anak perempuan berusia empat tahun apabila tiba-tiba siling itu jatuh dan menimpa kepala saya, kira-kira jam 8.30 pagi.

"Mujur anak terselamat dan tidak mengalami kecederaan kerana saya sempat memeluk dia untuk melindunginya," katanya, semalam.


Menurutnya, akibat kejadian itu, kepalanya berdarah teruk dan terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menerima enam jahitan.


"Saya juga terpaksa mengambil cuti sakit yang panjang kerana kesan kemalangan itu menyebabkan saya tidak boleh menumpukan perhatian ketika membuat pekerjaan.

Foto

SILING asbestos yang runtuh masih belum diganti.

"Malah, kesihatan saya juga tidak menentu dan kini terpaksa bergantung pada ubatan," katanya.


Katanya, dia pernah mengalami kemalangan jalan raya dan kejadian terbaru itu memburukkan lagi tahap kesihatannya.

"Sudah banyak kali kejadian bumbung atau siling flat yang reput dan jatuh menimpa penduduk. Namun, apa yang saya dialami adalah kejadian serius.


"Saya sudah beberapa kali menemui pihak pengurusan bangunan bagi menuntut ganti rugi kerana kejadian sebegini tiada wajar berlaku. Namun, mereka mengambil sikap tidak peduli," katanya.


Balakrishnen berkata, pihak berkenaan sewajarnya bertanggungjawab dalam kejadian itu kerana gagal menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bumbung terutama yang sudah rosak.


Balakrishnen, turut membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Masih cari calon

Posted: 18 Jan 2013 10:21 PM PST

"Saya masih mencari calon isteri. Jika ada jodoh, saya mahu berkahwin pada bila-bila masa," kata pelakon popular, Shaheizy Sam menafikan gosip dia bersama kekasihnya, seorang wartawan penyiaran sibuk membuat persiapan perkahwinan dalam masa terdekat.

Sam, 30, berkata, berita persiapan perkahwinan yang diperkatakan ramai di kalangan media dan peminat tidak benar memandangkan dia mengakui masih solo dan mencari kekasih.


"Tiada apa-apa persiapan sebenarnya. Niat di hati memang ingin berumah tangga secepat mungkin, tetapi Tuhan belum buka jalan untuk saya bertemu wanita sesuai untuk dijadikan isteri," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia berjanji akan menghebahkan berita gembira perkahwinan mahupun majlis pertunangannya kepada pihak media dan peminat jika impiannya itu menjadi kenyataan.


"Saya tidak mahu berahsia mengenai soal kahwin kerana ia juga rezeki daripada Tuhan. Mungkin jodoh belum sampai dan saya tidak kisah sama ada artis atau orang biasa jika dia sudah ditakdirkan," katanya.


Sam mengulas lanjut laporan Metro Ahad pada 6 Januari lalu mengenai gosip dia mahu bernikah dengan kekasihnya dalam masa terdekat. Malah, dalam laporan itu menyatakan kekasihnya itu sudah mempersiapkan diri untuk majlis pernikahan mereka.

Pelakon popular menerusi filem Adnan Sempit ini berkata, kriteria isteri yang dicari perlu bersabar dengan perangainya, tidak bersikap terlalu mendesak dan mampu membuat dirinya berasa tenang.


"Kerja saya sebagai pelakon memang sibuk dan mungkin apabila sudah berumah tangga, masa untuk keluarga agak terbatas. Cukup penting, dia perlu faham dengan kerjaya seni saya," katanya.

Sam yang kini sibuk dengan penggambaran drama Kisah Cinta di sini berkata, dia bersedia menggalas tanggungjawab suami pada bila-bila masa dan percaya mampu menjadi ketua keluarga yang baik.


Keinginan untuk berkahwin sering timbul apabila dia mendampingi anak saudara dan melihat ramai rakannya sudah menamatkan zaman bujang. "Dibandingkan dua tahun lepas, saya bekerja keras mencari duit, tetapi sekarang saya bersyukur dengan rezeki yang dinikmati. Andai berkahwin nanti, saya bekerja mengikut kesesuaian masa dan tidak seperti zaman bujang," katanya.


Sam bakal muncul dengan dua filem baru, 2 Kalimah dan Kisah Paling Gangster pada tahun ini masih laris apabila bakal membintangi tiga filem baru yang dijangka penggambaran pada tahun ini. "Saya masih dengan Metrowealth International Group (MIG) untuk aspek pengurusan karier seni, tetapi mahu menimba lebih banyak pengalaman bersama produser dan pengarah berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Ubah nombor casis buat keliru

Posted: 18 Jan 2013 05:03 PM PST

Songkhla (Selatan Thailand): Selain 200 kereta milik rakyat Malaysia yang 'tersadai' di Kompleks Kastam Sadao, di sini, ratusan lagi turut disita di dua depoh lain termasuk di Pattani dan Sungai Golok.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Mohd Faizal Razali berkata, kebanyakan kenderaan terbabit dikenal pasti dicuri di Malaysia sebelum diseludup ke negara jiran menerusi pintu sempadan negara sama ada di Utara mahupun pantai timur.

Menurutnya, bagi wilayah Songkhla ada empat pintu masuk utama iaitu Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Kedah, selain Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis.

"Empat pintu masuk utama ke wilayah Songkhla ini menjadi laluan golongan penjenayah untuk membawa masuk kereta curi mereka sebelum dijual kepada sindiket di negara ini (Thailand).


"Sehingga hari ini, anggaran jumlah kereta ditahan di wilayah Songkhla ada lebih 200 dan sebahagian besar disahkan milik rakyat Malaysia selepas dikenal pasti hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Nenek bohsia

Posted: 18 Jan 2013 04:34 PM PST

Tidak padan dengan usia sudah lebih separuh abad, seorang janda berstatus nenek kerap bertukar pasangan, membawa teman lelakinya pulang ke rumah di flat Larkin di sini.

Malah, anak sulungnya, wanita berusia awal 30-an, dipercayai bersekedudukan dengan teman lelaki hingga melahirkan seorang anak berusia dua tahun manakala anak keempatnya, juga wanita berusia awal 20-an, melarikan diri dari rumah itu selepas mengandung anak luar nikah.


Difahamkan, janda beranak empat yang juga ahli perniagaan itu tidak mempedulikan teguran anak lelakinya.

Dua anak lelakinya, iaitu anak kedua dan ketiga yang sudah berkahwin serta tinggal bersamanya, hanya mampu menasihatkan ibu, kakak serta adik perempuan mereka.


Seorang kenalan keluarga berkenaan yang mahu dikenali sebagai Azimah, 40-an, berkata, perbuatan itu diketahuinya sejak beberapa tahun lalu.


"Saya tidak berniat mencampuri urusan keluarga mereka, tetapi sebagai umat Islam, saya tidak mahu bersubahat selepas mengetahui perkara sebenar.

"Apa yang saya tahu, baru-baru ini wanita berkenaan menjalin hubungan dengan seorang lelaki berusia awal 30-an yang juga pekerjanya sendiri," katanya.


Azimah mendakwa, anak sulung dan anak bongsu keluarga terbabit (kedua-duanya wanita) mencontohi kelakuan ibu mereka kerana turut berkelakuan sedemikian.

"Bagaimanapun, dua anak lelakinya tidak merestui perbuatan itu dan mereka berkahwin secara sah.


"Saya juga difahamkan anak lelaki terbabit serta isteri masing-masing beberapa kali menegur ibu mereka, namun tidak diendahkan, malah diingatkan supaya jangan menderhaka," katanya.


Menurut Azimah, dia melaporkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) baru-baru ini.


Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) Zamri Kambari berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung keluarga berkenaan dan kini mengumpul bukti.


Menurutnya, risikan perlu dijalankan, termasuk waktu wanita terbabit membawa pulang pasangannya ke rumah serta mengumpul bukti lanjut sebelum serbuan.


Beliau bagaimanapun berkata, sebagai ibu, wanita terbabit seharusnya menjadi contoh baik kepada anak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

20 personaliti belia dipilih Duta 1Malaysia

Posted: 18 Jan 2013 02:20 PM PST

Putrajaya: Dua puluh personaliti belia diumum sebagai Duta 1Malaysia sebagai menghargai usaha dan kejayaan mereka menempa nama di peringkat tempatan serta antarabangsa, selain berjaya mengenengahkan konsep 1Malaysia.

Ia adalah pengiktirafan pertama di negara ini hasil idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada ikon belia dalam bidang sukan, perniagaan, muzik dan aktiviti kemasyarakatan yang memberi sumbangan secara signifikan kepada pembentukan negara, dan boleh memberi inspirasi kepada belia di negara ini.


Najib berkata, mereka dipilih sebagai duta kerana menjadi ikon dalam kalangan orang muda dan boleh menjadi contoh berikutan mencapai banyak kejayaan sehingga disifatkan menjadi seorang individu yang mempunyai jenama masing-masing.

"Saya harap duta ini melalui badan mereka akan memberi semangat kepada belia, bukan saja belia aktif dalam persatuan tetapi yang tidak biasa terbabit dalam gerakan seperti ini akan tampil kehadapan untuk menyertainya.


"Kita selalu sebut orang muda aset terpenting untuk masa depan negara, justeru, kita memerlukan supaya orang muda tidak melihat diri masing-masing secara individu tetapi bagaimana mereka boleh memberi sumbangan menjangkau kepentingan masing-masing.


"Bagaimana mereka boleh melakukan melalui semangat sukarelawan untuk menyumbang kepada kepentingan komuniti secara keseluruhannya supaya mereka mengambil berat terhadap komuniti dan orang lain, ingin menyumbang dan menjadi belia yang boleh dibanggakan," katanya ketika berucap pada majlis mengumumkan 20 duta 1Malaysia di Bangunan Perdana Putra, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia for Youth (1M4U), Dr Jake Abdullah.


Duta itu ialah Imam Muda Abdul Jabbar Mohammed Kahar; Afdlin Shauki; Anand Rajaram, Roshan Chandrasekhar, Datuk Nicol David, Khairul Fahmi Che Mat (Apek), Deborah Priya Henry, Datuk Lee Chong Wei, Lim Kok Gin, Lim Teik Yin, Noh Hujan, Mohd Zhariff Affandi, Joel Neoh Eu-Jin, Shila Amzah, Pandalela Rinong, Sazzy Falak, Mizz Nina, Altimet, Micheal Teoh dan Zulfahmi Khairuddin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

No comments:

Post a Comment