Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Ini prosedur biasa'

Posted: 17 Jan 2013 08:28 AM PST

Johor Bahru: Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan anggota dan Komando Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) ditugaskan mengawal keselamatan pada perlawanan antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, Selasa lalu.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, tentera lengkap bersenjata itu sebenarnya anggota Rejimen Ke-21 Gerup Gerak Khas (GGK) dari Kem Iskandar Mersing, Johor dan bukannya anggota JMF seperti didakwa sesetengah pihak.


Menjelaskan perkara itu, Tunku Ismail berkata, anggota terbabit sebenarnya ditugaskan untuk bersedia di stadium berikutan baginda dimaklumkan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan itu.

"Kehadiran anggota komando adalah prosedur operasi standard (SOP) dan ia penting untuk memastikan keselamatan Sultan Johor yang juga Kolonel Kehormat Rejimen GGK terjamin setiap masa.


"Perkara ini bukan baru kerana dalam program besar seperti Kembara Mahkota Johor (KMJ), anggota komando turut bersiap sedia dan ditugaskan memastikan keselamatan Sultan Johor," katanya pada sidang media di Istana Bukit Pelangi, semalam.


Sehubungan itu, Tunku Ismail menafikan JMF terbabit dalam tugasan mengawal keselamatan perlawanan di Kota Bharu, malam itu.

Foto

Tunku Mahkota Johor

Sebaliknya, Tunku Ismail menyifatkan penyokong pasukan Johor DT sebagai mangsa kekecohan di Kota Bharu yang berpunca daripada kegagalan Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (KAFA) mengawal peminat mereka yang bertindak di luar batasan.


Beberapa persoalan juga timbul apabila anggota dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikatakan tidak ditugaskan untuk mengawal keselamatan pada malam itu atau sebarang langkah keselamatan diambil KAFA untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Kami kecewa dengan apa berlaku kerana bukan saja lelaki tapi penyokong wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa apabila terkena kayu, botol minuman dan botol kaca yang dibaling penyokong Kelantan. Ia membuktikan KAFA gagal mengawal penyokong mereka.


"Tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana sebelum ini perkara sama pernah beberapa kali berlaku. KAFA seharusnya mengambil tindakan tertentu untuk mengawal penyokong mereka daripada bertindak sedemikian.


"Surat rasmi berhubung kekecohan dan keselamatan di Kota Bharu sudah dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan selanjutnya." Difahamkan atas sebab keselamatan, pemain Johor DT terpaksa menggunakan pintu belakang stadium dan dikawal polis bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku. Bagaimanapun Tunku Ismail menasihatkan penyokong Johor DT supaya tidak berdendam dengan melakukan kekecohan atau mengasari penyokong Kelantan apabila pasukan The Red Warriors berkunjung ke Larkin. Penyokong Johor DT diminta menjaga tingkah laku, beradab dan bersikap profesional untuk menikmati perlawanan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Daeng pamer belang

Posted: 17 Jan 2013 08:23 AM PST

Johor Baharu: Pemain cilik, Daeng Abdul Rahman Daeng Abdul Aziz, 13, muncul juara kategori Lelaki Kejohanan Grand Final Johor Junior edisi ketiga di Kelab Golf dan Country Johor (JGCC), baru-baru ini, selepas menewaskan pemain lebih berpengalaman dengan catatan lima atas par.

Loy Hee Ying, 16, pula dinobat juara keseluruhan Junior Perempuan dengan catatan 10 atas par.


Kejohanan anjuran ibu bapa dan beberapa pemain golf profesional negeri ini yang berlangsung selama dua hari bertujuan mencungkil bakat baru dan memberi pendedahan suasana pertandingan sebenar kepada pemain muda.

Lebih menggembirakan apabila Daeng Abdul Rahman yang juga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail diumum sebagai pemenang kategori Bawah 15 tahun (B-15) dan pemain junior terbaik tahun lalu.


Daeng Abdul Rahman berkata, dia gembira dengan keputusan diperoleh dan kejayaannya sepanjang tahun lalu.


"Saya gembira kerana mencatat jumlah pukulan memuaskan sepanjang kejohanan dan berharap tahun ini dipilih mewakili Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA)," katanya.

Daeng Abdul Rahman dipercayai muncul juara kelab termuda di Malaysia ketika berusia 12 tahun lima bulan 19 hari.


"Sepanjang tahun lalu, saya menjuarai Kejohanan Grand Final SportsExcel di Kelab Rahman Putra, Selangor dan kategori B-12 Kejohanan Grand Final Excel Elit Yayasan CIMB di Kelab Golf dan Conutry Monterez, Selangor.

"Semua kejayaan ini hasil bimbingan dan pendedahan yang diberikan bapa (Daeng Abdul Aziz Daeng Rahman) sejak saya berusia enam tahun," kata anak bongsu daripada empat adik beradik itu.


Kejohanan disertai 85 pemain remaja membabitkan 60 lelaki dan 25 perempuan berusia antara tujuh hingga 18 tahun dari seluruh Johor.


Sementara itu, Hee Ying berkata, kejayaan itu berkat usaha gigihnya berlatih selama dua jam sehari selepas waktu sekolah.


Pelajar Tingkatan 4 SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya itu berkata, dia menjadikan pemain nombor satu dunia, Yani Tseng dari Taiwan sebagai idola dan memasang impian mengikut jejak pemain berusia 22 tahun itu.


"Saya mahu menjadi pemain golf profesional kerana sukakan sukan ini dan terima kasih kepada bapa kerana memperkenalkan golf kepada saya berusia sembilan tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Ujian Sheang Tsung

Posted: 17 Jan 2013 08:22 AM PST

Kuala Lumpur: Sejauh mana kemampuan bintang muda kelab Liga Super China, Shanghai Shenhua, Tam Sheang Tsung untuk menyarung jersi negara bakal diuji apabila pemain berusia 17 tahun itu menjalani latihan bersama skuad Harimau Muda A, bermula hari ini.

Sheang Tsung yang menandatangani kontrak dengan kelab mewah China itu, Mei lalu mendapat kebenaran jurulatihnya, Sergio Batista untuk menjalani latihan bersama skuad kendalian Ong Kim Swee selama seminggu.


Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal yang berharap kehadiran Sheang Tsung bakal memberikan pilihan baru buat Kim Swee bagi mempersiapkan pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) merealisasi misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Myanmar hujung tahun ini.

"Usaha membawa Sheang Tsung menjalani latihan bersama skuad negara berjaya kerana kelabnya kini berada di Argentina untuk persiapan pra musim. Dia akan menjalani latihan selama seminggu bersama pasukan Harimau Muda A dan dan prestasinya akan dipantau Datuk K Rajagobal (ketua jurulatih kebangsaan) dan Kim Swee.


"Jika dia mempamerkan persembahan baik, Sheang Tsung akan diserapkan dalam pasukan Harimau Muda A, Harimau Muda B atau skuad kebangsaan," katanya.


Subahan berkata, bukan satu masalah buat Sheang Tsung yang tidak fasih bertutur Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu kerana pemain tengah itu akan ditemani seorang jurubahasa ketika berada di sini.

"Sheang Tsung mungkin mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri memandangkan dia hanya boleh bercakap dalam Bahasa Jepun, tapi saya fikir ia tidak akan menjadi isu besar," katanya.


Sheang Tsung, warga negara Malaysia, dibesarkan di Jepun selepas mengikut ibu bapanya ke negara itu atas urusan perniagaan. Ibu bapa Sheang Tsung, Tam Yun Tong dan Ang Hui Chin memiliki sebuah restoran Rasa Malaysian Cuisine sejak 16 tahun lalu.

Bakat Sheang Tsung mula dikesan pada usia 13 tahun apabila pencari bakat dari Yokohama FC memilihnya untuk pasukan Yokohama FC Bawah-15. Pada 2010, dia menyertai kelab Divisyen 2, Sagan Tosu yang terletak di Kyushu, Jepun dan menjadi pemain termuda dalam sejarah bola sepak profesional Jepun.


Bagaimanapun nama Sheang Tsung kurang dikenali di Malaysia serta di Jepun sehinggalah kelab Shanghai Shenhua yang turut dibarisi pemain bintang Didier Drogba dan Nicolas Anelka menawarkan kontrak kepadanya tahun lalu.


Dia membuat penampilan pertama bersama kelab itu pada 25 Julai 2012 apabila masuk sebagai pemain gantian, menggantikan Feng Renliang pada minit ke-86 ketika perlawanan pra musim menentang Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Ranking Harimau Malaya tidak berubah, kekal ke-158 dunia

Posted: 17 Jan 2013 08:21 AM PST

Kuala Lumpur: Tanpa perlawanan antarabangsa pada awal tahun menjadi penyebab pasukan Malaysia kekal pada ranking ke-158 dunia.

Ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menunjukkan mata dikumpul skuad bimbingan Datuk K Rajagobal (gambar) naik satu mata kepada 134 mata pada bulan ini. Kedudukan ranking Malaysia dijangka berubah pada bulan depan apabila skuad Harimau Malaya menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa pertama untuk tahun ini menentang Iraq di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 31 Januari.


Senarai kedudukan terkini menunjukkan pasukan Harimau Malaya setanding dengan beberapa pasukan seperti Maldives yang berada pada ranking ke-159, Lesotho (160), Republik Dominica (161), Myanmar (162) dan Hong Kong (163).

Di kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia kekal di tempat keenam di belakang Vietnam (134), Thailand (138), Filipina (147), Singapura (154) dan Indonesia (156).


Sementara itu, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,606 mata.


Jerman dan Argentina turut mengekalkan kedudukan selaku pasukan kedua dan ketiga terbaik dunia apabila masing-masing mengutip 1,437 dan 1,290 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu membabitkan 209 negara. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Ketiadaan Safiq angkara kad merah

Posted: 17 Jan 2013 08:21 AM PST

Kuala Lumpur: Ketiadaan Safiq Rahim dalam senarai pemain skuad kebangsaan yang diumum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin bukanlah dibuat atas faktor kemerosotan prestasi sebaliknya kapten Harimau Malaysia itu terpaksa diketepikan kerana masih menjalani penggantungan perlawanan.

Menurut kenyataan dikeluarkan badan induk bola sepak tanah air itu, Safiq Rahim, 25, digantung perlawanan antarabangsa selepas menerima kad merah ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 23 Julai 2011.


"Laporan menyatakan Safiq Rahim digugurkan tidak tepat. Beliau tidak disenaraikan atas sebab-sebab teknikal," menurut kenyataan FAM itu.

Akibat kad merah itu, pemain tengah Johor Darul Takzim digantung dua perlawanan namun sudah menjalani penggantungan perlawanan apabila tidak diturunkan ketika aksi timbal balik di Kuala Lumpur pada 28 Julai 2011.


Pada aksi kelayakan itu, Malaysia tumpas di tangan Singapura menerusi agregat 4-6.


Bagaimanapun tidak mengejutkan jika Rajagobal benar-benar menggugurkan pemain perancang itu memandangkan aksinya kurang menyerlah di kejohanan Piala AFF 2012 yang menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan selepas terkandas di peringkat separuh akhir.

Malah persembahannya dalam liga bersama pasukan berbelanja besar Johor Darul Takzim hanya sederhana jika dibandingkan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi dan pemain Pahang, Amirulhadi Zainal.


Tiada rombakan dalaman besar-besaran dilakukan Rajagobal bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2014 bulan depan apabila hanya Azmi Muslim, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Hazwan Bakri yang bersama skuad Piala AFF tidak dipanggil kali ini manakala Zubir Azmi serta Baddrol Bakhtiar diletakkan dalam senarai menunggu.

Cuma kehadiran penyerang Pahang, Mohd Fauzi Roslan yang dipanggil buat kali pertama serta penampilan semula penggempur utama Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad dalam senarai lapan pemain bukan dari skuad Piala AFF diharap dapat memberikan kelainan dalam skuad kebangsaan kali ini.


Selepas menjalani latihan selama tiga hari di Wisma FAM Kelana Jaya bermula 26 Januari ini, skuad kebangsaan akan berlepas ke Dubai untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq pada 31 Januari sebagai persiapan mengharungi perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015 dengan Qatar pada 6 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

JDT ujian sebenar

Posted: 17 Jan 2013 08:20 AM PST

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan menganggap perlawanan bertemu Johor Darul Takzim (DT) hari ini adalah ujian sebenar anak buahnya apatah lagi ia berlangsung di gelanggang lawan.

Selepas mengharungi tiga perlawanan dengan mencatat dua kemenangan serta satu kekalahan, bekas pengendali skuad negara itu mengaku perlawanan bertemu Harimau Selatan itu di Stadium Larkin bukan satu tugas mudah.


Meskipun ramai masih meragui kemampuan skuad kendalian Fandi Ahmad itu yang sekadar mencatat satu kemenangan daripada tiga perlawanan meskipun dibarisi ramai pemain berstatus bintang, Sathia pula melihat sebaliknya.

"Ia ujian besar buat kami kerana lawan dibarisi pemain yang hebat selain mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah.


"Walaupun ramai mengatakan mereka belum berada pada prestasi terbaik, Johor DT membuktikan mereka masih mampu menghasilkan keputusan baik ketika seri dengan Kelantan di tempat lawan.


"Tidak banyak pasukan mampu melakukannya kerana Kelantan begitu kebal di tempat sendiri sepanjang musim lalu," katanya yang juga pernah membimbing The Red Warriors (TRW).

Meskipun dijangka masih tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama termasuk Christie Jayaseelan yang dijangkakan hanya akan kembali bersama rakan sepasukan pada Februari nanti, Sathianathan tetap menaruh keyakinan anak buahnya mampu melakukan sesuatu di halaman lawan selepas berjaya membimbing pasukan mencatat dua kemenangan berturut-turut.


"Kami perlu meneruskan momentum kemenangan ini. Seperti perlawanan sebelum ini, kami akan terus beraksi pada tahap terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Felda United makin bernafsu

Posted: 17 Jan 2013 08:20 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas mencipta kemenangan pertama dengan menewaskan Perak pada perlawanan terakhir, Felda United semakin bernafsu untuk meneruskan rentak kemenangan dan kali ini mensasarkan juara tiga piala musim lalu, Kelantan sebagai mangsa terbaru.

Bakal beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini, Felda United di bawah kendalian K Devan pasti memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bertemu lawan yang belum mempamerkan aksi konsisten selepas tiga perlawanan.


Tumpuan juga pasti terarah kepada penyerang import, Mohammed Ghaddar yang akan bertemu bekas rakan sepasukan selepas menghabiskan tempoh semusim bersama Kelantan pada musim lalu.

Namun kapten Felda United, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain lebih gemar merendah diri dan melabelkan Kelantan pasukan pilihan tapi itu tidak bermakna dia serta rakan sepasukan akan memberi laluan mudah kepada pelawat.


"Selepas tiga perlawanan, kami mula menunjukkan keserasian sebagai satu pasukan. Memang ada beberapa kelemahan terutama di bahagian pertahanan tapi kami akan cuba memperbaikinya apabila bertemu Kelantan.


"Saya akui Kelantan sebuah pasukan yang bagus dan walaupun beraksi di tempat sendiri, ia tidak memberi sebarang kelebihan buat kami.

"Apapun saya harap rakan sepasukan dapat beraksi pada tahap terbaik dan cuba meraih tiga mata," katanya.


Selepas tiga perlawanan, Felda United menduduki tempat ketujuh dengan satu kemenangan manakala dua perlawanan awal berakhir dengan keputusan seri serta tewas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Johor DT jalani persiapan rapi hadapi ATM

Posted: 17 Jan 2013 08:20 AM PST

Johor Bahru: Pasukan Johor Darul Takzim (DT) sudah menjalani persiapan rapi dan bersedia sepenuhnya untuk berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) berkata, walaupun dibarisi pemain terbaik, mereka tetap merendah diri dan akur dengan ATM yang juga antara pasukan paling digeruni dalam saingan Liga Super musim ini. "Kami akan lakukan yang terbaik untuk memastikan Johor DT mampu mencabar ATM, malam ini, diharapkan keputusan tidak mengecewakan penyokong.


"Kami harap rakyat Johor hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan Johor DT," katanya.

Tunku Ismail berkata, Johor DT adalah pasukan baru dan dianggapnya masih muda serta memerlukan persefahaman pemain untuk mendapat rentak terbaik memastikan kejayaan.


"Perlawanan menentang ATM perlawanan kelima kami. Sebagai pasukan yang baru ditubuhkan, kami tidak boleh mengharapkan sesuatu yang luar biasa seperti membelasah pasukan lawan.


"Saya yakin, persefahaman bakal memberikan hasil membanggakan buat bola sepak negeri Johor dan penyokong setia."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Butler buat aduan rasmi

Posted: 17 Jan 2013 08:19 AM PST

Kuala Terengganu: Enggan berundur dan yakin berada di pihak benar, ketua jurulatih T-Team Peter Butler membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap penghinaan ke atas mendiang ibunya oleh rakan sejawat dari Kelantan, Bojan Hodak.

Butler yang juga pengurus pasukan T-Team mengesahkan sudah menghantar surat aduan melalui pengurusan pasukan kepada badan induk bola sepak negara itu.


"Demi maruah, saya terpaksa membuat aduan kepada FAM kerana Hodak enggan memohon maaf kepada saya dan keluarga. "Perkara ini saya serahkan kepada FAM untuk tindakan sewajarnya dan tidak mahu mengulas lagi kerana sudah lakukan apa yang perlu dilakukan," katanya.

Butler juga berterima kasih kepada Setiausaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim yang sudah memohon maaf kepadanya bagi pihak persatuan.


"Namun yang berkelakuan biadap bukannya KAFA tapi ketua jurulatih Kelantan itu dan dia yang sepatutnya minta maaf kepada saya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

Fauzi terkejut dapat tumpuan Rajagobal

Posted: 17 Jan 2013 08:15 AM PST

Kuantan: Penyerang berbisa Pahang, Mohd Fauzi Rozlan teruja apabila disenarai antara 26 pemain yang mengikuti latihan pusat dan pemilihan skuad Harimau Malaya bermula 26 Januari ini.

Pemain berasal dari Pekan, Pahang itu berkata, kepercayaan Datuk K Rajagobal selaku jurulatih kebangsaan memang dinanti-nantikan biarpun berasa terkejut apabila dipanggil buat kali pertama.


"Saya terkejut apabila dipanggil menyertai latihan pusat kerana saingan Liga Super baru saja bermula. Tapi, sebagai pemain, saya sedia menyahut cabaran untuk mengisi tempat dalam senarai penyerang.

"Terharu juga kerana impian untuk bersama skuad negara hadir awal. Namun, saya anggap disenaraikan dalam 26 pemain untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2013 di Doha, Qatar sebagai peluang yang tidak harus dilepaskan.


"Saya janji akan memberikan yang terbaik," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Kojie.


Namun, pemain berusia 25 tahun itu perlu bersaing dengan pemain lebih berpengalaman seperti Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali dan Mohd Khyril Muhymeen.

Selepas menjalani latihan pusat selama tiga hari di Wisma FAM Kelana Jaya, skuad kebangsaan akan berlepas ke Dubai untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq pada 31 Januari sebagai persiapan mengharungi perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015 dengan Qatar di Doha, pada 6 Februari.


Sementara itu, seorang lagi pemain Pahang, Azamuddin Mohd Akil (gambar kecil) atau Alex turut gembira kerana Rajagobal masih memberi kepercayaan kepadanya untuk mengemudi jentera tengah negara.

"Saya harap disenaraikan dalam skuad ke Qatar. Kekecewaan pada Piala AFF lalu diharap ditebus di Doha untuk membantu skuad negara mencatat kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/18

No comments:

Post a Comment