Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pesta dadah artis seberang

Posted:

Selebriti muda terkenal Indonesia Raffi Ahmad ditangkap pegawai Badan Dadah Kebangsaan (BNN) pagi semalam di rumahnya bersama beberapa rakan artis lain.

Pengarah Tindakan Dadah BNN, Beny Mamoto memberitahu pemberita mengenai penangkapan pelakon filem berkenaan di rumahnya di Jakarta Selatan.


"Raffi Ahmad ditangkap bersama tiga lagi rakan yang lain," kata Benny. Beliau berkata, pengacara rancangan 'Dahsyat' stesen televisyen RCTI bersama tiga rakannya itu kini sedang menjalani ujian air kencing. "Selepas selesai siasatan, pihak kami berjanji akan memberikan maklumat terperinci kepada umum melalui media," katanya.

Berdasar maklumat dalam kalangan pemberita, beberapa selebriti berkumpul di rumah Raffi sejak Sabtu lalu, sebelum pegawai BNN datang memeriksa dan menemui puluhan pil Ecstasy.


Ketua Perhubungan Awam BNN Sumirat Dwiyanto mengesahkan pegawai BNN melakukan pemeriksaan mengejut di rumah seorang selebriti di Jakarta Selatan pagi tadi, namun tidak mendedahkan siapa yang ditangkap. Sementara itu BERNAMA melaporkan dari Jakarta, artis popular Indonesia Irwansyah (gambar) dan isterinya Zaskia Sungkar serta Raffi Ahmad dan Wanda Hamidah adalah empat artis yang ditahan bersama 13 lagi ketika berpesta dadah di rumah Raffi di Lebak Bulus, Jakarta Selatan, pagi semalam. Mereka ditangkap sepasukan anggota BNN yang menyerbu rumah Raffi pada waktu Subuh setelah mendapat maklumat awam. Penahanan artis terbabit serta suspek lain itu diumum Ketua BNN Anang Iskandar pada sidang media di sini petang semalam. Pasukan BNN turut merampas sejumlah dadah yang dipercayai jenis ganja dan pil khayal di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Pecah masuk rumah larikan BMW

Posted:

Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 30-an kerugian lebih RM380,000 apabila kereta BMW miliknya dilarikan sekumpulan empat penjenayah bersenjatakan pistol dalam kejadian di rumahnya di Wangsa Murni, di Wangsa Maju, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, dua daripada empat penjenayah berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun itu dilaporkan memecah masuk ke rumah mangsa bagi mengambil kunci kereta mewah itu sebelum melarikannya.


Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang juga peniaga itu sedang tidur di biliknya sebelum terjaga apabila terdengar bunyi bising di hadapan rumahnya.

"Mangsa kemudian keluar untuk melakukan pemeriksaan sebelum terserempak dengan dua lelaki yang sedang mengambil kunci rumah, kunci kereta dan barangan berharga yang berada di ruang tamu rumahnya.


"Dua suspek yang menyedari kehadiran mangsa kemudiannya bergegas keluar daripada rumah berkenaan," katanya.


Sumber berkata, mangsa memberanikan diri untuk melihat di kawasan luar rumah sebelum mendapati dua lagi rakan suspek sedang menunggu di dalam kereta.

"Menurut mangsa, seorang daripada suspek dilihat memegang senjata seperti pistol menyebabkannya ketakutan sebelum mendiamkan diri," katanya.


Katanya, kesempatan itu digunakan kumpulan penjenayah berkenaan untuk melarikan kereta mewah milik mangsa.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

'Dia bukan awek saya'

Posted:

"Dia bukan awek (teman wanita) saya...baru jumpa dia tadi. Saya ambil dia di tepi jalan," kata seorang remaja berusia 19 tahun yang cuba lepas tangan selepas ditahan anggota Unit Khas Trafik Bukit Aman, awal pagi semalam.

Remaja berkenaan sanggup tidak mengaku remaja perempuan berusia 16 tahun yang membonceng motosikalnya adalah teman wanitanya semata-mata mahu melepaskan diri apabila ditanya anggota polis mengenai hubungan mereka.


Dia bersama teman wanitanya itu ditahan ketika menunggang motosikal secara berbahaya sambil melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Tanah Putih, di sini, jam 1.30 pagi semalam.

Remaja perempuan yang mendakwa berasal dari Ampang, Selangor dan pulang bercuti di rumah neneknya di FELDA Chini itu kelihatan terkedu tatkala mendengar pengakuan teman lelakinya dan hanya mampu menundukkan kepala.


Kedua-dua remaja berkenaan antara 10 individu ditahan dalam satu operasi pencegahan kesalahan lalu lintas selama empat jam bermula jam 1 pagi itu.


Semua yang ditahan itu dikesan melakukan kesalahan berlumba secara haram dan membawa kenderaan secara berbahaya termasuk melakukan aksi 'wheelie' dan 'superman' yang berisiko mendatangkan kecederaan kepada pengguna lalu lintas lain.

Apa yang menghairankan, kumpulan mat rempit itu turut berani berlumba serta melakukan aksi berani mati di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan yang terletak di Jalan Mahkota.


Selain dua remaja terbabit, anggota polis turut menahan seorang mat rempit yang berlagak samseng dengan cuba menendang orang awam melintas jalan ketika kumpulan berkenaan berlumba di Jalan Besar.

Namun, remaja berusia 19 tahun itu hanya menunjukkan wajah selamba apabila ditahan pihak berkuasa malah dengan beraninya menyalahkan orang awam kerana memasuki 'litarnya'.


Sementara itu, jurucakap unit berkenaan yang didatangkan khas dari Bukit Aman bagi membanteras kegiatan mat rempit di bandar ini berkata, pihaknya menggunakan pendekatan sedikit berbeza dalam operasi kali ini iaitu dengan meletakkan beberapa anggota di kawasan tertentu untuk menahan mat rempit dan pemandu kereta yang memandu secara berbahaya di jalan raya.


"Kami tidak melakukan sekatan jalan raya seperti sebelum ini sebaliknya kami bertindak secara diam-diam dengan melakukan pemerhatian dan mencekup mereka tanpa disedari oleh pengguna jalan raya lain.


"Turut ditahan, tiga individu termasuk penumpang kereta yang terbabit dalam lumba kereta di Jalan Mahkota dan Jalan Besar tadi (semalam)," katanya.


Semua 10 individu yang ditahan termasuk pembonceng motosikal dan penumpang kereta dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut dan siasatan awal mendapati empat penunggang motosikal serta seorang pemandu kereta disahkan positif dadah.


Katanya, lima motosikal dan dua kereta yang diubahsuai disita kerana membuat pengubahsuaian tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.


Penunggang motosikal dan pemandu kereta yang ditahan itu akan didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya manakala pembonceng motosikal dan penumpang kereta didakwa di bawah Seksyen 11(1) akta yang sama kerana bersubahat melakukan kesalahan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Tanggung risiko kejar RM150 sekepala

Posted:

Johor Bahru: Bayaran lumayan sehingga RM150 bagi setiap kepala menyebabkan tekong laut sanggup mengambil risiko ketika membawa masuk atau menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Ia didedahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berjaya mematahkan beberapa cubaan membawa masuk atau keluar dari negara ini dan terbaru berhampiran Tanjung Ayam, Pengerang Kota Tinggi di sini, pagi semalam.


Dalam kejadian pada jam 3.05 pagi itu, empat PATI Indonesia bersama seorang tekong dilihat cuba menyusup masuk ke perairan negara dan memecut laju bot dinaiki mereka ketika dihampiri sepasukan APMM yang membuat rondaan.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Rozali Md Said berkata, ketika kejadian sebuah bot laju APMM bersama empat anggota melakukan rondaan berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan.


"Kami dapati, bot gentian kaca berwarna kuning itu dari perairan negara jiran dan cuba menyusup masuk ke negara ini dengan kelajuan rendah.


"Pasukan kami yang curiga cuba menghampiri bot berkenaan sebelum tekong itu memecut laju botnya.

"Kami terpaksa mengejarnya selama 25 minit sebelum tekong bot itu mengalah dan pemeriksaan membawa kepada penemuan empat lelaki Indonesia berusia antara 18 hingga 41 tahun berbaring di dalam bot berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

'Saya, bapa gagal selamat adik'

Posted:

Segamat: "Saya dan bapa bukan saja gagal menyelamatkan adik, malah kami hampir lemas dipukul arus deras," kata Aina Nadira,19, kakak kepada Aina Nabila Zurimi, 13, yang lemas ketika mandi bersama keluarga di Sungai Segamat di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemerih itu hilang dibawa arus Sungai Segamat ketika mandi bersama bapanya, Zurimi Mustaffa, 43, bersama tiga adik beradiknya dan seorang rakan kakaknya.


Aina menuntut di sebuah kolej di Melaka berkata, pada mulanya bapa bersama adik lelaki, Shahril, 15; Aina Nabila; adik bongsu, Aina Sahira, 9, dan rakan sekolej, Nora, 19, tidak merancang untuk mandi di Sungai Segamat.

"Bagaimanapun, tiba-tiba kami terasa ingin mandi di sungai itu dan ketika berada di dalam sungai selama 15 minit, Aina Nabila sempat memberitahu saya kakinya tidak jejak ke dasar sungai.


"Belum sempat saya menasihatkannya supaya pergi ke kawasan lebih cetek saya melihat dia mula terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus sungai dan tenggelam," katanya.


Menurutnya, ketika itu dia dan bapanya cuba berenang menyelamatkan adiknya itu namun hampir lemas dibawa arus sungai dan terpaksa berenang ke tebing.

"Sebelum kejadian adik lelaki menunggang motosikal untuk pulang ke rumah di Kampung Gudang Garam bagi menjemput ibu, Norhaslin Rosli, 41, mandi bersama kami di sungai itu.


"Panik dengan kehilangan adik, kami terus meminta bantuan seorang pengusaha pusat karaoke berhampiran untuk menghubungi pasukan penyelamat," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Jalan Abdullah Sailan Serin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.20 petang dan 20 anggota pasukan penyelamat termasuk lima ahli skuba dikejarkan ke lokasi.


"Keadaan arus deras dan kayu bertaburan dalam sungai itu menyukarkan kami mengesan mangsa namun kami kini cuba menggunakan pendekatan sesuai.


"Usaha mencari dan menyelamat dihentikan jam 12 tengah malam kelmarin keana keadaan cuaca gelap dan bersambung jam 7.30 pagi tadi (semalam) hingga mangsa ditemui," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Hanafi Daud berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh orang ramai kira-kira 1.5 kilometer dari tempat dia hilang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

No comments:

Post a Comment