Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Chong Wei optimis pertahan kejuaraan

Posted: 06 Jan 2013 01:31 PM PST

Datuk Lee Chong Wei membayangkan saingan pembuka tirai 2013 di Terbuka Korea bakal menjadi miliknya meskipun persiapannya tidak cukup sempurna.

"Persiapan kurang sempurna, masa banyak dihabiskan untuk mengembalikan tahap kecergasan, lagipun saya baru saja berkahwin dua bulan lalu. "Tapi saya mahu pastikan kejuaraan tahun lalu kekal milik saya," kata Chong Wei yang ingin mempertahankan kejuaraan Terbuka Korea berstatus Siri Super Premier.


Sambil mengaku tahap kecergasan kini belum berada di tahap terbaik, Chong Wei berkata, kejohanan pembuka tirai itu menjadi penanda aras penting untuk saingan sepanjang tahun ini kerana dia tidak akan beraksi dalam semua kejohanan seperti sebelum ini.

"Tahun ini saya sasarkan kejohanan besar saja termasuk Kejohanan Dunia. Saya tidak kisah apa juga keputusan di sini (Korea) tapi lebih baik jika saya menang.


"Saya sukakan Terbuka Korea kerana ketika ini suhunya amat sejuk. Saya gemar beraksi di tempat sejuk kerana tenaga saya boleh bertahan lebih lama." Chong Wei membuka cabaran menentang Wang Zheng Ming dari China sebelum dijangka berdepan Chen Jin di separuh akhir dan Chen Long di perlawanan akhir, Ahad ini.


Tahun lalu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu menewaskan Lin Dan pada perlawanan akhir sekali gus membalas dendam ke atas juara Olimpik London itu dan kini memburu gelaran ketiga, selepas 2010 dan 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Messi pilihan utama

Posted: 06 Jan 2013 01:25 PM PST

Lionel Messi dijangka muncul pemain pertama memenangi anugerah Ballon d'Or buat kali keempat berturut-turut sekali gus melengkapkan statusnya sebagai pemain terhebat generasinya.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi pilihan utama untuk memenangi anugerah itu, mengetepikan pencabarnya iaitu rakan sepasukan di Barcelona, Andres Iniesta dan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.


Ia akan menjadi pencapaian terbaik pada permulaan tahun baru bagi pemain antarabangsa Argentina itu yang muncul penjaring terbanyak La Liga musim ini dengan meledak 25 gol selepas memperbaharui rekod 40 tahun Gerd Mueller sebagai penjaring terbanyak dalam tempoh setahun.

Dia menamatkan tahun lalu dengan menjaringkan 91 gol dalam semua pertandingan.


Namun Messi menegaskan, rekod jaringannya itu tidak bermakna jika Barcelona tidak memenangi kejuaraan La Liga atau gagal pada saingan Liga Juara-Juara.


"Amat menarik dapat memperbaharui rekod tapi yang penting adalah kemenangan pasukan. Sasaran saya adalah memenangi kejuaraan bersama pasukan ini iaitu liga Sepanyol, Piala Raja Sepanyol atau Liga Juara-Juara," katanya.

Messi tetap merendah diri menjelang pengumuman anugerah itu awal pagi esok di Zurich.


"Jika Iniesta menang, ia satu penghormatan atas segala sumbangannya selama ini," katanya.

Messi dan bekas bintang Perancis yang juga Presiden UEFA, Michel Platini, adalah dua pemain yang memenangi anugerah itu tiga kali berturut-turut sementara bintang Belanda, Johan Cruyff dan Marco Van Basten turut pernah memenanginya tiga kali.


Ronaldo yang juga kapten Portugal, mengaku dia pastinya gembira jika memenangi anugerah itu tapi tidak menganggap ia penamat segala-galanya jika tidak menang.


"Jika saya menang sudah pasti bagus. Jika tidak, saya tidak kisah. Memang saya mahu menang. Saya tidak mahu menipu atau bersikap hipokrit," kata penyerang Real berusia 27 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Lazio makin rapati kedudukan Juventus

Posted: 06 Jan 2013 01:25 PM PST

Milan: Lazio terus memberi tekanan kepada pendahulu Serie A, Juventus dan kini hanya ketinggalan lima mata selepas dua gol pada lewat permainan membolehkan mereka melakar kemenangan dramatik 2-1 ke atas Cagliari yang beraksi sembilan pemain.

Pasukan bergelar Biancocelesti itu berjaya dikekang pasukan pelawat dari Sardinia pada babak pertama.


Namun skuad kendalian Vladimir Petkovic menguasai babak kedua dan Abdoulay Konko menyamakan kedudukan pada minit ke-79 untuk memadam jaringan pendahuluan Cagliari yang disempurnakan Marcu Sau sebelum sepakan penalti lewat permainan Antonio Candreva mengesahkan kemenangan.

Sau berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan menarik menewaskan penjaga gol Lazio, Federico Marchetti pada babak pertama.


Pada minit ke-79, tuan rumah mengikat kedudukan menerusi tolakan Konko dan hampir menambah jaringan apabila tandukan Giuseppe Biava menguji ketangkasan penjaga gol, Michael Agazzi selepas menerima hantaran lintang Hernanes.


Pada minit ke-83, Agazzi menerima kad kuning kerana sengaja melengah-lengahkan perlawanan.

Lazio terus membuat asakan dan usaha mereka berhasil lapan minit sebelum tamat selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kerana Agazzi mengasari penyerang, Miroslav Klose.


Agazzi dilayangkan kad merah dan Cagliari semakin terdesak apabila pemain tengah, Andrea Cossu turut diarah keluar padang kerana membantah keputusan itu.

Penjaga gol kedua Cagliari, Vlada Avramov masuk mengambil tempat Agazzi namun pemain Serbia itu gagal menyelamatkan sepakan penalti Candreva.


Kemenangan Lazio itu membolehkan mereka menjarakkan kedudukan empat mata dengan Fiorentina. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Deportivo La Coruna bermula sempurna

Posted: 06 Jan 2013 01:24 PM PST

Madrid: Deportivo La Coruna bermula sempurna di bawah kendalian jurulatih baru, Domingos Paciencia dengan gol babak kedua Luis Pizzi membantu mereka menewaskan Malaga, 1-0 dan kini tidak lagi menghuni tangga tercorot.

Malaga bagaikan masih bercuti menentang Depor yang berusaha memikat Paciencia selepas skuad itu mempamerkan aksi hambar terutama benteng pertahanan yang bolos 39 gol sejak kembali ke La Liga.


Paciencia mempunyai rekod corak bertahan yang baik dan sekalipun baru mengendalikan beberapa sesi latihan, ada tanda-tanda peningkatan selain turut berbisa di bahagian serangan.

"Saya hanya mengendalikan empat sesi latihan dan kami tidak boleh lupa kerja keras jurulatih terdahulu (Jose Luis Oltra)," kata Paciencia.


"Ada beberapa perkara yang boleh kami tingkatkan dan saya memuji apa yang dilakukan Oltra sebelum saya tiba di sini." Pizzi memecah kebuntuan selepas 57 minit apabila menyambut kuisan ke belakang Jesus Gomez dan menggelecek Martin Demichelis sebelum merembat ke penjuru gawang Malaga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Murray kekal kejuaraan

Posted: 06 Jan 2013 01:24 PM PST

Pemain Scotland, Andy Murray menggunakan pengalamannya untuk menewaskan bintang muda Bulgaria, Grigor Dimitrov 7-6 (7/0), 6-4 sekali gus mempertahankan gelaran kejohanan Antarabangsa Brisbane, semalam.

Pada pertarungan akhir bertaraf tinggi, Murray bangkit daripada ketinggalan 1-4 pada set pertama dan menang set kedua untuk menundukkan cabaran Dimitrov yang berbakat.


"Saya berasa standard permainan hari ini mantap," kata Murray yang mengaku perlu menukar taktik pada set pertama selepas Dimitrov mempamerkan permulaan bertenaga.

"Ada banyak rali berkualiti dan saya perlu mengubah beberapa perkara. Dia memulakan perlawanan dengan baik dan sangat agresif.


"Saya perlu menukar sedikit beberapa perkara ketika perlawanan dan berjaya mengutip banyak mata selepas itu dengan menggunakan kelebihan pukulan forehand dengan baik. Pukulan balas saya juga baik," katanya.


Kemenangan dalam tempoh 87 minit itu membolehkan Murray merangkul gelaran ATP ke-25 dalam kariernya dan persediaan sempurna menjelang Terbuka Australia bermula minggu depan.

Namun dia terpaksa bekerja keras untuk melakar kemenangan ke atas Dimitrov, pemain yang memiliki corak permainan hampir sama dengan pemain hebat, Roger Federer.


Pemain berusia 21 tahun dari Bulgaria itu mengaku pengalaman Murray menjadi pemisah antara kedua-dua pemain.

"Saya berjaya mendahului dengan merampas servis lawan dan saya tidak bermain seteruk yang saya fikirkan," katanya.


"Tapi dia salah seorang pemain yang mampu membalas pukulan dengan baik. Dia mendapat mata daripada beberapa servis saya pada mata penting dan ia meningkatkan keyakinannya.


"Apabila dia perlu bermain dengan baik, dia akan bermain dengan sempurna. Dia berjaya memukul bola dengan baik ketika perlu melakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Djokovic, Ana kecundang lagi

Posted: 06 Jan 2013 01:24 PM PST

Perth: Pasangan Serbia, Novak Djokovic dan Ana Ivanovic mengalami satu lagi kekalahan memilukan pada Piala Hopman apabila kecundang di tangan Sepanyol pada perlawanan akhir, semalam.

Beraksi bersama di kejohanan berpasukan campuran buat kali ketiga, pasangan itu melangkah ke final sebagai pasukan pilihan namun Sepanyol diwakili Anabel Medina Garrigues dan Fernando Verdasco akhirnya muncul sebagai juara menerusi kemenangan beregu campuran.


Djokovic meletakkan Serbia di depan dengan kemenangan 6-3, 7-5 ke atas Verdasco namun Anabel menyamakan kedudukan apabila mengatasi Ana 6-4, 6-7 (3/7), 6-2 sebelum beregu Sepanyol itu menang saingan beregu campuran 6-4, 7-5.

Sebarang keraguan berhubung komitmen kuartet itu terhapus dengan kemenangan Sepanyol dan Djokovic dan Ana nyata begitu kecewa selepas mereka tewas pertarungan beregu.


Pasangan Serbia itu terlalu menginginkan kemenangan selepas gagal dalam dua penampilan sebelum ini.


Pada 2006, ketika bertanding sebagai Serbia dan Montenegro, pasangan itu gagal ke final selepas kiraan semula mata pada peringkat kumpulan.

Pada 2011, mereka layak ke final namun terpaksa melupakan hasrat itu apabila Ana mengalami kecederaan perut.


Keadaan bertambah teruk buat Djokovic apabila dia turut tewas pada perlawanan akhir ketika bergandingan dengan Jelena Jankovic pada 2008.

"Ia amat mengecewakan kerana kami tidak berjaya meraih gelaran juara kerana itu adalah matlamat kami," kata Djokovic. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Gasquet lonjak ke-5 terbaik

Posted: 06 Jan 2013 01:23 PM PST

Doha: Pemain nombor 10 dunia, Richard Gasquet mencerahkan peluang melonjak ke kelompok lima terbaik dunia tahun ini apabila bangkit daripada ambang kekalahan sebelum menjuarai Terbuka Qatar, kelmarin.

Pilihan kedua dari Perancis itu meraih kemenangan menakjubkan 3-6, 7-6 (7/4), 6-3 ke atas pemain bukan pilihan dari Russia, Nikolay Davydenko yang memenangi set pertama dan mendahului 5-2 dengan merampas servis lawannya dua kali pada set kedua.


Pada saat genting itu, Gasquet terus bertahan dan selepas Davydenko keletihan di hujung set penentuan, Gasquet menyambar kesempatan itu untuk melakar kejuaraan kelapan dalam kariernya.

"Ini satu kejayaan besar yang amat sukar buat saya," kata Gasquet mengenai pertarungan dua setengah jam itu.


"Nikolay kepenatan dan saya berusaha sedaya upaya. Ia satu kemenangan yang baik kerana dia bermain dengan pantas.


"Ia juga satu kemenangan mengagumkan di sini kerana ramai pemain ternama menang sebelum ini." Antara pemain ternama menyertai kejohanan itu sebelum ini adalah Rafael Nadal yang terpaksa menarik diri tahun ini dan Roger Federer, kedua-duanya ditundukkan oleh Davydenko dalam laluannya memenangi kejuaraan tiga tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Peluang belajar ilmu legenda

Posted: 06 Jan 2013 01:23 PM PST

Lebih 50 peserta menyertai klinik berbasikal dikendalikan bekas pemenang pingat emas Sukan SEAP 1965, Shaharudin Jaffar di Kompleks Rakan Muda Lendu, Alor Gajah, Melaka baru-baru ini.

Walaupun kesihatan tidak menentu pada usia 73 tahun, beliau masih gah memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada peserta dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.


Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Alor Gajah dan Kelab Sukan dan Rekreasi Arena FM itu turut membabitkan penyertaan bekas pelumba negara, Suhaimi Shaharudin.

Penasihat program, Yahya Ibrahim berkata, peserta diberi pendedahan mengenai ciri-ciri keselamatan, teknik penjagaan basikal selain panduan untuk menjadi pelumba terbaik negara.


Katanya, legenda negara itu mengendalikan bengkel pengendalian basikal yang turut membabitkan penyertaan ibu bapa serta golongan veteran.


"Sokongan Shaharudin terhadap program itu adalah komitmen beliau untuk melahirkan pelumba pelapis negara," katanya.

Sementara itu Shaharudin berkata, kehadirannya di Melaka mengimbau kembali pembabitannya sebagai Setiausaha Persatuan Berbasikal Melaka pada 1968.


Ketika itu, katanya, beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan Melaka mampu melahirkan pelumba terbaik negara.

Antara pencapaian Shaharudin sebelum ini ialah juara peringkat sekolah Perak dan Selangor sejak 1958-1962, gangsa (berpasukan) Sukan Asia Jakarta 1962 selain turut juga menyertai Kejohanan Berbasikal Asia 1963, Sukan Empayar British 1962 dan Sukan Komanwel Australia 1962.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Slovakia juara, Fufa ketiga

Posted: 06 Jan 2013 01:23 PM PST

Petaling Jaya: Skuad kebangsaan Bawah 15 Slovakia muncul juara pertama bola sepak Piala Antarabangsa Frenz 2012 sekali gus membalas dendam ke atas Persepolis dari Iran menerusi penentuan penalti 5-3 pada aksi final di Stadium Petaling Jaya, malam tadi.

Tuan rumah, Frenz United Malaysia (Fufa) menduduki tempat ketiga selepas mengejutkan pasukan kebangsaan Bawah 15 bimbingan S Balanchandran, 2-0 di tempat sama pada sebelah petang.


Slovakia yang tewas 1-3 pada peringkat Kumpulan B sebelum ini, bangkit memberi persembahan terbaik untuk menahan asakan Persepolis menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan selepas aksi 80 minit.

Tiada masa tambahan diberikan dan pengadil terus memulakan sepakan penalti penentuan, menyaksikan Slovakia menyempurnakan semua lima tendangan dengan Iran hanya tiga. Kapten Persepolis, Saeed Hossinpour turut gagal menyempurnakan tendangan pertama.


Pemain sayap Slovakia, Lubomir Tupta muncul 'Pemain Paling Bernilai' selepas mempamerkan persembahan konsisten sepanjang kejohanan 10 hari itu selain penjaring terbanyak dengan empat gol. Dia menerima hadiah wang tunai AS$3,000.


Sementara itu, Mohd Akhmar Haiqal Azhar melakar namanya dalam senarai penjaring apabila meledak dua gol. Jaringan pertama minit ke-58 hasil suasana kelam-kabut di depan gawang B-15 Malaysia manakala gol kedua menerusi tandukan tipis Mohd Akhmar yang membuatkan penjaga gol, Mohd Haziq Nazli mati langkah lapan minit sebelum perlawanan berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Tiada masa suka ria

Posted: 06 Jan 2013 01:22 PM PST

Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan tidak punya masa untuk meraikan kejayaan merangkul trofi pertama musim ini, Piala Sultan Haji Ahmad Shah, sebaliknya tumpuan kini terarah kepada aksi pertama Liga Super menentang pasukan dari Singapura, LionsXII, Rabu ini.

Perlawanan di gelanggang rasmi ATM musim ini, Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu, penampilan pertama skuad The Gladiators dalam Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana musim lalu.


Sathianathan sedar aksi menentang LionsXII bukan mudah memandangkan mereka berdepan pasukan yang sebahagian besar pemainnya beraksi membantu Singapura muncul juara Piala AFF 2012.

"Moral pemain LionsXII pasti tinggi selepas menjuarai Piala AFF. Justeru, perlawanan pertama pasti sukar buat kami," katanya selepas menyaksikan anak buahnya menang penalti 4-3 ke atas Kelantan. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 masa penuh perlawanan, malam kelmarin.


Kemenangan di Stadium Shah Alam itu, bagaimanapun sedikit sebanyak mengubat duka ATM yang tewas 2-3 di tangan Kelantan pada final Piala Malaysia tahun lalu sekali gus menyuntik semangat mereka untuk mencapai misi merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim ini.


Ketika ditanya mengenai piala yang menjadi buruannya, Sathianathan berkata: "Daripada tiga piala itu, saya lebih berminat trofi Liga Super atau Piala FA kerana jika menjuarai salah satu daripadanya, kami berpeluang beraksi dalam kejohanan Piala AFC musim depan." Tapi di Malaysia, Piala Malaysia dianggap pertandingan paling berprestij dan piala itu juga kami perlu beri perhatian." Mengulas mengenai label pasukan pilihan juara musim ini selepas pemain menjulang piala pembuka tirai kelmarin, jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, masih terlalu awal untuk memperkatakannya biarpun anak buahnya beraksi cemerlang apabila bangkit menewaskan Kelantan.

"Saya berbangga dengan semangat juang pemain kerana mereka tidak berputus asa mencari gol selepas ketinggalan. Kejayaan itu baik untuk moral pemain tapi mereka perlu konsisten kerana ini hanya permulaan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

No comments:

Post a Comment