Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


PBSNT tak lepas Affize

Posted: 07 Jan 2013 12:29 PM PST

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) tidak mahu melepaskan Mohd Affize Faisal Mamat untuk beraksi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mahu menggunakan khidmat bekas pemain Harimau Muda A itu bagi kempen Liga Super musim ini.

Presiden, Datuk Che Mat Jusoh berkata, mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain berusia 23 tahun itu perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran selepas kontraknya bersama Harimau Muda A tamat.


"Kalau mengikut peraturan FAM, mana-mana pemain yang sudah tamat kontrak bersama pasukan Harimau Muda perlu kembali ke pasukan negeri asal. Jika pasukan negeri tidak mahu barulah pemain itu dilepaskan ke pasukan lain.

"Tapi dalam kes Affize, kami memerlukannya. Memang kami tidak mendaftarkan namanya dalam pasukan kerana dia tidak mahu mengadakan perbincangan dengan kami. Kami tidak boleh mendaftarkan namanya jika dia tidak menandatangani kontrak. Tapi hingga kini kami masih mengosongkan satu tempat untuknya," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Dalam laporan semalam, Affize menyatakan keinginan untuk beraksi dengan ATM atas dasar mahu menimba pengalaman di luar dan berharap PBSNT dapat mengeluarkan sijil perpindahan dengan segera.


Jurulatih ATM, B Sathianathan berkata, pihaknya sudah mendaftarkan pemain tengah itu musim ini dan berharap keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status FAM Khamis ini memihak kepada mereka.

Foto

Mohd Affize Faisal Mamat

Foto

Datuk Che Mat Jusoh

Che Mat bagaimanapun menyangkal dakwaan mereka membuat keputusan pada saat akhir untuk memancing semula Affize selepas ATM berminat mengambil pemain itu.


"Kami tak pernah cakap kami tak nak (Affize), kalau kami tak mahu ambil dia, sudah lama kami melepaskannya kepada pasukan lain. ATM dan Affize sudah menghantar surat kepada kami sebelum ini dan kami juga sudah memaklumkan kepada mereka kami tidak boleh melepaskan Affize." Ketika ditanya adakah Terengganu masih mahu mengambil Affize bermain sedangkan pemain itu secara terbuka menyatakan keinginan untuk beraksi bersama pasukan lain, beliau berkata: "Ini bukan soal minat atau tidak, ini soal peraturan. FAM sudah tetapkan peraturan itu dan semua pihak perlu patuh. Jika tidak FAM perlu ubah peraturan itu dan kami harap Affize beraksi bersama kami."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Fitri cabar kejuaraan

Posted: 07 Jan 2013 12:18 PM PST

Kuala Lumpur: Pengurus SCK Honda Racing, Soong Chee Kieong percaya Mohd Fitri Ashraff Razali mampu menjadi pencabar utama merebut gelaran juara kategori CP130 sebaik Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2013 membuka tirai, Mac ini.

Sebagai pelumba termuda pasukan, Fitri sudah membuktikan keupayaannya pada musim lalu. Walaupun sentiasa dibayangi tiga rakan sepasukan yang lebih senior, Azlan Shah Kamaruzaman, Norizman Ismail dan Affendi Rosli, dia berjaya menamatkan tiga perlumbaan di atas podium untuk mengakhiri musim 2012 di tangga ketujuh keseluruhan.


Pada penampilan pertama dalam kelas perdana sepanjang tahun lalu, pelumba berusia 18 tahun itu turut konsisten melayakkan diri ke sesi saringan Superpole (10 pelumba terbaik Ujian Masa) dan melakukan catatan terpantas untuk bermula dari petak pertama di Melaka.

Lebih membanggakan, gabungan Fitri dan juara CP130 2012, Azlan Shah turut membantu SCK Honda Racing mengekalkan gelaran Anugerah Berpasukan Terbaik buat kali dua berturut-turut.


"Fitri pelumba berbakat. Dia mempunyai ciri-ciri seorang juara. Berbekal daya pemikiran dan juga jentera yang tepat, dia berpeluang cerah bersaing merebut takhta keseluruhan CP130 tahun ini," kata Chee Kieong.


"Kami juga akan memberi lebih tumpuan kepada Fitri memandangkan hanya dia yang belum memenangi sebarang gelaran. Azlan sudah memenanginya tahun lalu manakala Norizman sudah memenangi dua gelaran pada 2005 dan 2011. Affendi pula memenangi gelaran lebih besar apabila muncul juara Underbone Kejuaraan Motosikal Asia Petronas pada 2009.

"Paling penting, kami percaya Fitri sudah cukup bersedia untuk mengharungi cabaran musim ini. Dia mempunyai tahap disiplin dan keinginan yang tinggi. Dia sudah membuktikan sebelum ini dengan bantuan rakan sepasukan dan juga krew, banyak peningkatan ditunjukkannya.


"Namun begitu, bukan mudah untuk menjadi juara terutama dengan peningkatan kemampuan jentera dan juga pelumba pasukan lain. Begitupun, kami percaya Fitri sudah sedia mengharungi segala halangan." Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di www.malaysiancubprix.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Larian Melawati 10km uji ketahanan

Posted: 07 Jan 2013 12:17 PM PST

Kuala Lumpur: Penggemar acara larian jarak pendek dan sederhana berpeluang menguji ketahanan diri sambil memulakan kalendar cabaran tahun baru dengan menyertai Larian Melawati 10km pada 3 Februari.

Acara anjuran Kelab Rekreasi Taman Melawati dengan sokongan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu akan dilepaskan di Padang Bola Sime Darby, Jalan Perak, Taman Melawati, Hulu Klang, pada jam 7.30 pagi.


Presiden Kelab Rekreasi Taman Melawati, Zulkifli Mohamed berkata, ia kali kelima larian itu dianjurkan selepas kali terakhir pada 2009 sebelum tertangguh dua tahun kerana masalah logistik dan sokongan penaja. Malah, bagi edisi kali ini, jadual asal sepatutnya pada Disember lalu tapi ditunda ke Februari.

"Kami mensasarkan 1,000 penyertaan dan pertandingan terbuka termasuk warga asing. Setakat Ahad lalu, sudah ada 850 penyertaan diterima termasuk tujuh warga asing dengan lima dari Brunei dan seorang dari New Zealand dan Perancis," katanya.


Dua kategori dipertandingkan, Terbuka Lelaki dan Wanita membabitkan peserta berusia 18 tahun ke atas. Bayaran RM53 dikenakan sebagai yuran penyertaan setiap kategori yang membolehkan peserta menerima baju-t rasmi tajaan Brooks, medal dan sijil menamatkan perlumbaan.


Selain itu, pemenang setiap kategori juga menerima RM500, diikuti RM300 kedua dan RM200 ketiga.

Zulkifli berkata, tarikh tutup penyertaan pada 30 Januari tapi sekiranya sasaran 1,000 peserta dicapai, pihaknya akan menutup penyertaan lebih awal. Mereka yang berminat boleh mendaftar secara atas talian di www.themarathon shop.com.my atau menghubungi 6019-2577021 (Zulkifli).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Bintang Frenz tunjang masa depan negara

Posted: 07 Jan 2013 10:44 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas penganjuran penuh cemerlang, Piala Antarabangsa Frenz 2012 yang menutup tirai kelmarin, bakal dijadikan acara tahunan pada masa depan.

Tapi bagi perspektif Malaysia, jika persembahan pemain muda beraksi dalam kejohanan itu diambil kira, ia turut menjanjikan sukan bola sepak negara akan mempunyai masa depan yang cerah.


Walaupun wakil negara, Frenz United Malaysia sekadar meraih tempat ketiga selepas menewaskan satu lagi pasukan negara, skuad B-15 Malaysia, 2-0, kedua-dua pasukan dilihat berupaya menjadi penyumbang utama kepada skuad kebangsaan pada masa depan.

Antara nama yang berpotensi untuk mewarnai pasukan kebangsaan membabitkan pemain seperti Kogileswaran Raj, Najmuddin Samat, R Dinesh dan Shahrul Akmal Adnan manakala Frenz United boleh berbangga dengan Haziq Hossain, Akhmar Haiqal Azhar serta Hafizuddin Zuki.


Ketua jurulatih B-15 Malaysia, S Balachandran yang akan mengendalikan latihan anak buahnya di Gambang turut gembira dengan prestasi yang mereka pamerkan.


"Yang pasti, kami akan cuba untuk mendedahkan pemain dengan lebih banyak pertandingan peringkat umur seperti ini. Kami perlu bertemu pasukan lebih kuat jika ingin mempelajari sesuatu," kata bekas pemain tengah Kuala Lumpur itu.

Frenz United Malaysia, dibentuk daripada pemain yang dipilih daripada pelbagai kejohanan, turut membuatkan pihak penganjur bangga.


Pada final kelmarin, Slovakia muncul juara selepas menewaskan Persepolis dari Iran menerusi sepakan penalti 5-3 di Stadium MBPJ untuk membawa pulang AS$50,000 (RM152,000). Persepolis sebagai naib juara menerima AS$25,000 (RM76,000) Penyerang Slovakia, Lubomir Tupta yang menjaringkan empat gol turut dinamakan Pemain Paling Bernilai dan menerima AS$3,000 (RM9,100) manakala Slavia Praha meraih Trofi Fairplay.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Mula langkah kanan

Posted: 07 Jan 2013 10:44 AM PST

Kota Kinabalu: "Permulaan yang baik". Itu nada ringkas diluahkan pengurus pasukan Sabah, Alijus Sipil selepas Sabahawks menewaskan KL SPA Putrajaya FC, 2-1 pada aksi pembuka tirai Liga Perdana di Stadium Likas, petang semalam.

Walaupun mengaku perlawanan itu agak mencabar, Alijus berkata, Sabah akan terus memperbaiki kelemahan pada perlawanan akan datang.


"Perlawanan ini agak mencabar dan kita dapat lihat pasukan lawan memberi tentangan hebat kepada kita.

"Namun, kita akan lihat perlawanan akan datang dan memperbaiki segala kelemahan yang ada," katanya.


Alijus juga mahu pemain menjadikan perlawanan itu sebagai titik permulaan mencipta kemenangan pada aksi akan datang.


Pemain pertahanan, Shahrul Azhar Ture menjadi wira Sabahawks apabila membantu Sabah meraih tiga mata penuh.

Gol pertama Sabah dihasilkan melalui tendangan percuma Shahrul pada minit kelima selepas Mohd Farid Saibun dijatuhkan di luar kotak penalti bagi menewaskan penjaga gol Muhamad Nuraizat Abd Aziz.


Selepas berlaku pergelutan d depan gawang Sabah, KL SPA Putrajaya FC berjaya memperoleh gol penyamaan apabila pemain import Sabah, Rhys David Weston tertendang masuk ke gawang sendiri pada minit ke-28.

Sebaik tamat waktu rehat, Sabah terus menggempur gawang pelawat. Pada minit ke-50, percubaan pemain import, Koh Traore berjaya ditepis penjaga gol lawan.


Sabah berjaya mendapat gol kedua hasil sepakan penalti Shahrul selepas Wan Mohd Alif dijatuhkan pada minit ke-71.


Sabah akan bertemu KL Sime Darby di Stadium Selayang, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Johor tak pamer bisa

Posted: 07 Jan 2013 10:43 AM PST

Johor Bahru: Masih tiada keistimewaan yang dimiliki Johor selepas tidak mampu melakar kemenangan biarpun beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 0-0 dengan Sime Darby FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Larkin, malam tadi.

Hanya kegarangan 10 minit pertama cuba ditonjolkan skuad bergelar Merah Biru itu yang memburu gol, namun segala taktik dirancang tidak membuahkan hasil apabila kerap disekat pertahanan lawan atau bola tersasar dari gawang.


Ketepatan sepakan ke pintu gol juga tidak menjadi apabila sepakan deras Jasazrin Jamaludin pada minit ke-11 sekadar sipi di sudut kiri gawang gol ketika penjaga gol, Md Suffian A Rahman sudah tewas.

Kekalutan yang berlaku berpunca dari bola sepakan sudut hampir diterjemah dengan jaringan Jasazrin Jamaludin yang merembat deras dari luar kotak penalti pada minit ke-11 namun sekadar tersasar di sudut kiri pintu gol Sime Darby FC ketika penjaga gol Md Suffian A Rahman sudah tertewas. Sime Darby FC turut memiliki peluang terbaik memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-18 apabila Mohd Syukur Saidin bijak memperdaya benteng pertahanan Johor sebelum merembat deras namun penjaga gol, Mohd Fazli Paat sempat merebahkan badan untuk menampan bola dengan kaki.


Nasib tidak menyebelahi skuad Merah Biru apabila dua peluang terhidang pada minit ke-27 hasil bola rembatan leret Jasazrin hanya sipi dari gawang gol selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid disusuli tiga minit kemudian tandukan Mohd Izuan Jarudin sekadar melewati palang gol.


Sepatutnya skuad Merah Biru melangkah masuk ke bilik persalinan dengan keadaan selesa mendahului pasukan pelawat namun bola sepakan penalti Juan Muriel Orlando pada minit ke-39 dipersia-siakan oleh pemain import dari Argentina itu selepas merembat bola tinggi.

Bersambung babak kedua, tuan rumah cuba menggandakan asakan untuk memburu gol namun masih buntu apabila gerakan di posisi tengah tampak hilang rentak memudahkan tugas anak didik Ismail Zakaria mematah setiap asakan. dan terpaksa melupakan khidmat Andre Francisco selepas pemain itu mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Kesilapan benteng bawa padah

Posted: 07 Jan 2013 10:43 AM PST

Kangar: "Kami tidak sepatutnya kalah perlawanan ini selepas beraksi dengan baik dan mendahului tapi kesilapan benteng pertahanan mengundang padah kerana membolehkan lawan mencipta jaringan."

Begitu kata ketua jurulatih Perlis, Yunus Alif ketika mengulas keputusan perlawanan pertama Liga Perdana yang menyaksikan skuad kendaliannya tewas kepada Sarawak 1-2 di Kangar, petang semalam. Kekalahan itu sekali gus mengecewakan beliau dan pengurusan yang mensasarkan untuk mencipta kemenangan dan meraih tiga mata penuh di laman sendiri.


"Kesilapan bukan sekali tapi dua kali apabila mereka menjaringkan gol sebelum rehat.

"Mereka membenarkan lawan menjaringkan dua gol mudah dan menjadi punca kekalahan Perlis," katanya.


Yunus yang jelas kecewa dengan keputusan itu berkata, pada babak kedua, Perlis beraksi lebih baik dan mencipta beberapa peluang tapi jentera depan gagal melakukan penyudahan bermakna.


Perlis yang memiliki kelebihan penonton terlebih dulu menggegar jaring melalui jaringan Antwi Dennis Agyare pada minit ke-15.

Bagaimanapun, penyerang import lawan, Ivan Babic memadam kelebihan itu pada minit ke-32 sebelum kedudukan berubah lagi lima minit kemudian apabila ketua pasukan, Bobby Gonzales menjaringkan gol kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Jang yakin beri cabaran

Posted: 07 Jan 2013 10:42 AM PST

Seremban: Negeri Sembilan yang berwajah baru sudah sedia mengharungi saingan Liga Super musim ini dengan misi melakar kemenangan ke atas Selangor dalam aksi pembuka tirai di Stadium Shah Alam, malam ini.

Sekalipun menyedari tugas itu bukan mudah, ketua jurulatih, Divaldo Alves tetap yakin kemampuan anak buahnya untuk merealisasikan sasaran itu hasil persiapan rapi pasukannya.


Katanya, barisan kesebelasan terbaik sudah ditentukan dengan menampilkan pemain berpengalaman, antaranya Hamsani Ahmad, Mohd Fauzi Nan, Azmeer Yusof, William Paul Modibo di bahagian benteng pasukan.

Bahagian tengah dan sayap pula membabitkan Idris Karim, Abdul Rashid Mahmud, Shahurain Abu Samah dan Eddy Helmi Abdul Manan serta barisan depan diterajui Emanuel Matias De Porras.


"Saya mempunyai barisan pemain berpengalaman di semua posisi dan mereka menunjukkan gandingan baik sepanjang persiapan terutama ketika perlawanan persahabatan.


"Saya yakin kemampuan mereka menggalas cabaran ketika turun menentang Selangor dalam aksi pembuka tirai malam esok (ini).

"Sekalipun bermain di tempat lawan, saya percaya pemain mampu mempamerkan persembahan mantap seperti dirancang dan meraih tiga mata," katanya.


Bekas pengendali Persebaya FC itu berkata, semua pemain utama skuad bimbingannya kini mempamerkan prestasi terbaik.

Beliau yang berasal dari Portugal tidak menolak mengharapkan gandingan De Porras dan Eddy Helmi dapat memperagakan aksi berbisa di depan gawang lawan.


"Saya tidak nafikan De Porras dan Eddy Helmi menjadi sandaran utama tapi kita juga ada Idris, Mohd Nazrin Mohd Nawi, Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Firdaus Azizul, yang mampu menjaringkan gol."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Fandi rehatkan Del Nero

Posted: 07 Jan 2013 10:41 AM PST

Johor Bahru: Kelab Johor Darul Takzim tidak akan menurunkan pemain import, Simone Del Nero (gambar) kerana masih dibelenggu kecederaan apabila bertandang ke Stadium Darulmakmur menentang Pahang, malam ini.

Bagaimanapun ketiadaan pemain dari Itali itu yang pernah beraksi dalam kancah Serie A bersama Lazio tidak membimbangkan ketua jurulatih skuad Harimau Selatan, Fandi Ahmad kerana mempunyai pengganti untuk mengisi posisi tengah itu.


Beliau berkata, Del Nero semakin pulih daripada kecederaan dan menjalani latihan ringan di bawah pengawasan pegawai fisioterapi dan kelibatnya hanya akan dipertaruhkan pada aksi kedua apabila Johor Darul Takzim menentang Perak di laman sendiri, Jumaat ini.

"Saya tidak mahu ambil risiko dengan menurunkan Simone. Sasaran kita tetap tiga mata walaupun saya akui bakal berdepan tentangan sengit Pahang. Tapi, saya lihat semua pemain sudah bersedia memberikan persembahan terbaik.


"Besar kemungkinan saya akan menggunakan rangkaian tiga penyerang iaitu Daniel (Guiza), Norshahrul (Idlan Talaha) dan Safee (Sali) walaupun formasi yang bakal dibentuk belum diputuskan kerana benteng pertahanan juga perlu kemas bagi mengelak Pahang mencipta kejutan," katanya.


Walaupun pada awalnya Fandi tampak cuba melakukan perubahan taktik ketika mengubah posisi Aidil Zafuan Abd Radzak ke posisi bek kanan, namun selepas beberapa sesi latihan dan aksi persahabatan pra musim, jelas pemain pertahanan kebangsaan itu kekok beraksi di kedudukan baru itu.

"Pada awalnya memang ada rancangan mengubah posisi Aidil tapi saya lihat dia kurang selesa. Saya ambil keputusan untuk menggandingkannya bersama Muslim (Ahmad) bagi menguatkan pertahanan tengah dan saya harap kedua-dua pemain itu tidak mengecewakan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Felda United buru tiga mata

Posted: 07 Jan 2013 10:40 AM PST

Seremban: Felda United FC mengharapkan keputusan memuaskan dicapai apabila menentang Terengganu pada aksi permulaan Liga Super 2013 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah Kuala Terengganu, petang ini.

Ketua jurulatih, K Devan yakin anak buahnya dapat menterjemahkan strategi dirancang bagi meraih tiga mata walaupun beraksi di gelanggang lawan.


Katanya, selepas gigih menjalani latihan dan berjaya menunjukkan prestasi serta persefahaman baik, kini tiba masanya setiap pemain membuktikan kemampuan dengan memberikan persembahan bertenaga pada cabaran sebenar saingan berprestij ini.

"Kami sudah bersedia untuk memulakan cabaran dan saya harap pemain dapat memberikan persembahan terbaik pada aksi pembuka tirai ini dengan keputusan membanggakan sebagai suntikan semangat untuk meneruskan cabaran berikutnya.


"Walaupun Terengganu memiliki reputasi lebih baik dalam Liga Malaysia, ia tidak bermakna kami tidak boleh mencapai kemenangan. Saya sudah mengingatkan pemain supaya beraksi sebagai satu pasukan dan berikan yang terbaik," katanya.


Mengenai pemain yang bakal diturunkan, Devan berkata, semua pemain berada pada prestasi baik dari segi fizikal dan mental dan beliau mempunyai beberapa pilihan untuk menurunkan kesebelasan terbaik petang nanti.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan menggandingkan Muhamad Ghaddar dan Razali Umar Kandasamy di posisi penyerang sambil mengharapkan mereka dapat melakukan sentuhan berbisa dengan merobek gawang Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

No comments:

Post a Comment