Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya mahu terus berjuang'

Posted: 11 Jan 2013 03:44 PM PST

"Saya akan meneruskan tugas sebagai Presiden. Saya seorang pejuang dan banyak lagi perkara berkaitan bola sepak yang perlu saya selesaikan," kata Sultan Ahmad Shah sekali gus menjawab desakan ditimbulkan sekumpulan penyokong tegar bola sepak negara yang menuntut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu meletak jawatan gara-gara kegagalan Malaysia mempertahankan kejuaraan Piala AFF.

Sultan Ahmad Shah yang ditemui sebaik tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan petang semalam berkata, desakan itu tidak sesekali menjejaskan tumpuannya untuk terus memperjuangkan arena bola sepak negara.


"Saya tidak ada apa-apa dengan desakan itu. Ini negara bebas dan demokrasi. Mereka boleh mendesak saya atau siapa saja untuk letak jawatan dan saya tidak boleh salahkan mereka dalam hal itu.

"Ada juga yang meminta saya supaya terus menjadi Presiden dan buktinya, sekumpulan penyokong yang menyambut kepulangan saya tadi mendesak saya tidak melepaskan jawatan.


"Saya baru saja pulang dan dalam masa terdekat, saya akan menghadiri mesyuarat Exco FAM di ibu negara tapi mesyuarat itu bukanlah untuk membincangkan mengenai pengunduran saya sebaliknya mahu mencari jalan bagaimana memperbaiki kedudukan kita dalam bola sepak Asia dan dunia." Baru-baru ini, sekumpulan penyokong tegar bola sepak negara mendesak Sultan Ahmad Shah supaya melepaskan jawatan selaku pemimpin nombor satu FAM selepas Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF.


Berikutan jawapan yang diberikan Sultan Ahmad Shah itu, segala kemelut dan persoalan mengenai kesediaan beliau melepaskan jawatan selaku Presiden FAM itu sudah sewajarnya terjawab dan beliau meminta semua pihak menunggu kehadiran kongres badan induk bola sepak negara itu untuk melihat sebarang perubahan dalam pucuk pimpinan.

Sultan Ahmad Shah berkata, kegagalan Malaysia dalam saingan tertinggi bola sepak Asean itu sesuatu yang biasa dan lumrah dalam arena bola sepak.


"Kalah dan menang adat pertandingan. Mana boleh kita harapkan kemenangan saja kerana tidak ada siapapun yang mahu kalah. Jangan disebabkan kekalahan di Piala AFF, kita putus asa. Kita masih mempunyai ramai pemain muda yang belum diketengahkan dan itulah yang kami usahakan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Terry beraksi buat kali pertama

Posted: 11 Jan 2013 11:15 AM PST

London: Bekas kapten England, John Terry (gambar), yang tidak beraksi selama dua bulan kerana kecederaan lutut, mengambil langkah pertama untuk kembali ke pasukan utama selepas bermain selama 45 minit bersama pasukan B-21 kelab itu, kelmarin.

Aksi pertahanan tengah Chelsea berusia 32 tahun itu ditonton pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez apabila dia tampil sebagai pemain lebih usia ketika kemenangan 2-0 ke atas pasukan jiran, Fulham.


"John mencetus inspirasi terhadap semua pemain," kata pengurus B-21 Chelsea, Dermot Drummy.

"Dia mempamerkan contoh teladan namun paling penting dia dilihat berada dalam keadaan baik." Lutut Terry tercedera ketika menentang Liverpool, perlawanan pertama sejak kembali daripada penggantungan empat perlawanan kerana meluahkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pertahanan QPR, Anton Ferdinand dan dijangka diketepikan selama tiga minggu.


Kapten kontroversi Chelsea itu belum lagi tampil buat juara Eropah itu di bawah kendalian Benitez yang mengambil alih 10 jam selepas pemecatan Roberto Di Matteo, November lalu.


Chelsea, keempat dalam carta Liga Perdana Inggeris, berkunjung ke Stoke hari ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

'Tiada rasa rendah diri'

Posted: 11 Jan 2013 11:14 AM PST

Joe Hart (gambar) menegaskan tiada unsur rasa rendah diri dalam kem Manchester City sekalipun sudah 37 tahun mereka tidak mengalahkan Arsenal pada saingan liga di gelanggang lawan.

Walaupun Blues menyingkirkan anak buah Arsene Wenger pada perlawanan Piala Liga di Stadium Emirates, musim lalu, Tony Book mengendalikan pasukan ketika kali terakhir mereka mengecap kemenangan dalam saingan liga utama.


Namun Hart tidak berasa statistik mengaibkan itu perlu dibimbangkan.

"Rekod dicipta untuk dipecahkan," katanya. "Kami berasa yakin boleh tampil di mana-mana dan melakar kemenangan.


"Ia tidak berlaku di Emirates tapi tidak mungkin kami tampil ke sana dan berasa kami akan kalah.


"Ia satu gelanggang yang hebat, suasana hebat dan berasa seperti kami boleh pergi dan mempamerkan permainan terbaik. Harap-harap itulah yang berlaku, Ahad ini (esok)." City akan ketinggalan 10 mata sekiranya Manchester United menewaskan Liverpool pada perlawanan terdahulu, akibat beberapa persembahan buruk yang menyaksikan mereka keciciran lebih banyak mata berbanding sasaran pada peringkat ini.

"Ia mengecewakan kami," katanya. "Kami tahu keupayaan sendiri tapi ada beberapa ketika pemain tidak beraksi dengan hebat. Tahun lalu, dua atau tiga pemain beraksi hebat dan ia sudah cukup buat kami memenangi perlawanan.


"Senario agak sukar pada masa ini. Namun kami cuba menanganinya dan masih berasa positif." City tampil tanpa pemain berpengaruh, Yaya Toure yang sudah bersama negaranya, Ivory Coast bagi kempen Piala Negara-Negara Afrika dan hanya kembali pada pertengahan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Benitez meluap-luap

Posted: 11 Jan 2013 11:14 AM PST

Rafael Benitez biasanya tidak suka berkunjung ke Stoke City namun prestasi direkodkan kelabnya membuktikan harapan terbaik Chelsea menyelamatkan musim ini adalah di luar daripada Stamford Bridge.

Kelab London itu kelihatan lebih mantap beraksi di gelanggang lawan, jauh berbeza daripada persembahan juara Eropah itu di gelanggang sendiri selepas dua kekalahan berturut-turut menjejaskan impian mereka meraih kejuaraan musim ini.


Kekalahan 0-2 di tangan Swansea pada separuh akhir pertama Piala Liga, kelmarin menyebabkan fokus kembali kepada rasa tidak puas hati yang melanda kelab itu sejak beberapa bulan lalu.

Penyokong Chelsea menyambut kekalahan itu dengan mengutuk kedua-dua pengurus sementara, Benitez dan rakan senegaranya, Fernando Torres yang semakin buntu mencetak gol selain mengecam kegagalan kelab menawarkan kontrak baru kepada pemain kesayangan peminat, Frank Lampard.


Memburukkan lagi keadaan, penampilan terakhir Chelsea di gelanggang sendiri menyaksikan kekalahan mengejut 0-1 di tangan Queens Park Rangers yang menghuni tangga tercorot Liga Perdana, keputusan yang menamatkan impian kejuaraan Blues.


Keputusan itu membayangi kemenangan menakjubkan di Everton selain kemenangan besar 5-1 ke atas Southampton pada pusingan ketiga Piala FA hujung minggu lalu, kemenangan kelima berturut-turut Chelsea di laman lawan pada aksi domestik.

Pertahanan tengah Chelsea, Gary Cahill gagal mencari jawapan terbaik kepada kemelut itu, anak buah Benitez berdepan lebih banyak kritikan jika pulang dari Stadium Britannia tanpa sebarang mata.


"Saya tidak tahu apa silapnya dengan persembahan kami di gelanggang sendiri," kata Cahill. "Biasanya, kami sukar ditundukkan di Stamford Bridge dan meraih keputusan diingini. Kami hanya perlu konsisten dengan apa yang kami lakukan.

"Kami berdepan detik sukar pada masa ini apabila pasukan lawan berkampung di kawasan mereka dan menghukum kami dengan serangan balas pantas.


"Kami menguasai bola tapi ia tidak berguna kecuali anda mencipta banyak peluang. Pada babak pertama menentang Swansea kami mencipta peluang dan jika menggunakan satu atau dua peluang, mereka pasti kalah, begitu juga perlawanan menentang QPR." Benitez perlu memutuskan sama ada Torres atau Demba Ba bertindak sebagai penyerang yang lebih berbisa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Villas-Boas akui kelebihan Redknapp

Posted: 11 Jan 2013 11:13 AM PST

London: Andre Villas-Boas percaya pengetahuan mengenai pemain utama Tottenham Hotspur memberi kelebihan buat Harry Redknapp pada pertembungan pertama dengan bekas kelabnya sejak meninggalkan White Hart Lane.

Redknapp dua kali membantu Spurs menduduki empat kelompok teratas Liga Perdana Inggeris ketika mengendalikan kelab itu selama tiga setengah tahun dan pemain seperti Gareth Bale, Jermain Defoe dan Aaron Lennon (gambar) adalah bintang utama pasukan.


Namun beliau akan berusaha mengatasi mereka pada pertembungan jiran setempat London di Loftus Road, malam ini apabila pasukan tangga tercorot, QPR mengintai peluang meraih satu lagi kemenangan bagi berjuang mengelakkan turun divisyen.

"Ia satu kelebihan besar. Apabila mengurus sebuah kelab, anda mengetahui pemain dengan amat baik," kata pengurus Tottenham, Villas-Boas.


"Beliau kenal, tahu kualiti dimiliki mereka dan Harry boleh menggunakan kelebihan itu.


"Mereka sudah melakukan banyak perkara bersama, beliau tahu kekuatan dan kelemahan mereka." QPR mengejutkan juara Eropah, Chelsea 1-0 pada perlawanan terakhir kempen Liga Perdana dan satu lagi kemenangan akan menyemarakkan harapan untuk kekal beraksi di liga utama musim depan.

"Semua perkara berubah buat Redknapp dan kini beliau bersama QPR, menewaskan Chelsea dan ia pasti meningkatkan keyakinan," kata pengurus dari Portugal itu.


Namun Tottenham bermotivasi kerana sedar boleh merapatkan kedudukan kepada tiga mata dengan juara bertahan, Manchester City buat sekurang-kurangnya sehari andai mereka menang.

Ketika Arsenal menentang City esok, ia memberi peluang buat Spurs merapatkan jurang dengan pendahulu Manchester United, yang bertembung dengan Liverpool malam esok. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Messi belum puas

Posted: 11 Jan 2013 11:13 AM PST

Tidak dinafikan Barcelona kini sembilan mata di depan pencabar terdekat Atletico Madrid, namun Lionel Messi yang baru saja menerima anugerah Ballon d'Or kali keempat berturut-turut minggu ini enggan mendabik dada menganggap kejuaraan kini dalam genggaman kelab Catalan itu.

Penyerang Argentina enggan memandang rendah cabaran yang bakal dihadapi menjelang salah satu perlawanan paling sukar La Liga apabila berkunjung ke penghuni tangga keempat, Malaga esok.


"Liga belum berakhir, sebelum ini Real Madrid pernah merapatkan jurang meskipun kami memiliki kelebihan hampir sama dan kami tidak boleh anggap sudah menang liga dan perlu mesti terus berjuang tanpa melakukan kesilapan.

"Saya mahu menang banyak gelaran tahun lalu, sasaran saya memperbaiki persembahan setiap masa dan tidak puas hati dengan apa yang dikecapi," katanya yang menjaringkan 91 gol tahun lalu.


Barca turut memiliki David Villa yang belum diturunkan sepenuh masa musim ini, namun kembali menjaringkan gol apabila meledak dua jaringan ketika menewaskan Cordoba, 5-0 dalam aksi Piala Raja Sepanyol, kelmarin.


Malaga mencatat kemenangan pada kejohanan itu pertengahan minggu ini apabila menewaskan Eibar, 4-1 dan kedua-dua pasukan kini bertemu di suku akhir sekali gus bakal menyaksikan mereka bertembung tiga kali dalam tempoh 10 hari.

Bekas penyerang Barca, Javier Saviola yang kini bersama Malaga membayangkan perlawanan itu amat besar baginya.


"Perlawanan ini amat istimewa. Setiap perlawanan menentang pasukan besar bagus tapi kami akan bermain untuk menang," kata pemain Argentina itu.

Atletico mara ke suku akhir untuk menentang Real Betis dan akan mendapat semula khidmat penjaring terbanyak, Radamel Falcao yang terlepas aksi berkesudahan seri 1-1 dengan Mallorca, Ahad lalu.


Real pula akan menentang Osasuna, selepas menjaringkan lapan gol dalam dua kemenangan selepas rehat musim sejuk. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Inter idam pulih cabaran buru gelaran

Posted: 11 Jan 2013 11:12 AM PST

Rome: Inter Milan yang turun menentang Pescara, hari ini mengharapkan kemenangan untuk menghidupkan semula harapan memburu kejuaraan selepas kelab gergasi Serie A itu pada perlawanan pertama di laman sendiri tahun ini.

Sebelum rehat musim sejuk, skuad bimbingan jurulatih muda, Andrea Stramaccioni, 36, tampil penuh yakin apabila pasukan diberi sentuhan Amerika Latin itu memburu kedudukan peneraju liga, Juventus.


Namun selepas itu, mereka tergelincir ke tangga kelima, sembilan mata di belakang Juventus dengan hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan terakhir.

Dengan pemain berpengalaman Argentina, Walter Samuel mengalami kecederaan (tendon buku lali) dan perpindahan Wesley Sneijder yang belum selesai, Inter tidak boleh kecewa lagi terutama selepas tewas 0-3 kepada Udinese, minggu lalu.


Meskipun Inter menewaskan pasukan muda, Pescara 3-0 pada perlawanan pertama musim ini pada Ogos lalu, spekulasi yang dilaporkan media mengatakan kemerosotan itu disebabkan ketiadaan Sneijder.


Pemain Belanda itu menjadi inspirasi kehebatan kelab itu sejak beberapa tahun lalu namun tindakan drastik kelab memotong gaji tahunan kepada enam juta euro (RM24.076 juta) mengubah segala-galanya.

Rabu lalu, Galatasaray tampil mengemukakan tawaran mendapatkan Sneijder dan persetujuan dilapor sudah dicapai.


Begitupun Presiden Inter Massimo Moratti berkata, bola kini berada di tangan perancang utama itu.

"Kami bertemu Galatasaray dan segala-galanya berjalan lancar, kini terpulang kepada pemain itu," kata Moratti. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Victoria impi rekod gemilang

Posted: 11 Jan 2013 11:11 AM PST

Victoria Azarenka mengharungi pengalaman menarik sepanjang tahun lalu, membuka musim dengan rentetan 26 kemenangan dan merangkul empat gelaran berturut-turut, termasuk Grand Slam pertamanya di Terbuka Australia.

Dia mengakhiri musim lalu dengan enam gelaran, menduduki ranking nombor satu dunia dan memenangi pingat gangsa untuk kategori perseorangan dan emas beregu campuran di Olimpik, London.


Biarpun tidak sehebat Serena Williams yang berjaya merangkul Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas membuat kemunculan semula, dia merekodkan kemenangan terbanyak ke atas 10 pemain terbaik dunia berbanding pemain lain dalam jelajah WTA tahun lalu.

Namun impiannya mempertahankan gelaran di Melbourne hampir berakhir 10 hari lalu selepas ibu jari kakinya dijangkiti virus.


Kerana tidak mahu mengambil risiko memburukkan lagi kecederaannya itu, pemain berusia 23 tahun itu menarik diri daripada pertemuan menentang Serena pada separuh akhir Kejohanan Antarabangsa Brisbane, 30 minit sebelum mereka dijadualkan bertarung.


Bagaimanapun, pengkritik menganggap ia hanya satu taktik demi memastikan Victoria tidak mendedahkan strateginya kepada pencabar utama gelaran di Melbourne.

Tahun lalu, pemain tinggi lampai itu bebas daripada sebarang kecederaan sebelum melakar kemenangan awal musim di Melbourne dan dia berkata, tindakan di Brisbane dilakukannya kerana ingin memberi fokus jitu bagi menghadapi Grand Slam pertama.


Keputusan itu berbaloi apabila pemain nombor satu dan pilihan utama, semalam mengumumkan sudah pulih sepenuhnya.

"Ia semakin baik," katanya kepada wartawan di majlis undian rasmi Terbuka Australia.


"Saya mula berlatih beberapa hari lalu dan amat gembira kecederaan itu tidak lagi mengganggu saya.


"Persediaan berjalan sempurna, saya turun dalam beberapa perlawanan sebelum kecederaan itu tapi gembira dengan diri saya ketika ini." Victoria menewaskan Maria Sharapova pada perlawanan akhir Terbuka Australia tahun lalu untuk meletakkan namanya dalam kelab pemenang Grand Slam meskipun sudah beberapa tahun sebelum itu mengancam kedudukan pemain utama.


Pada usia 19 tahun empat tahun lalu, dia mengejutkan Serena di Melbourne apabila memenangi satu set pada pusingan keempat sebelum cuaca panas keterlaluan memaksanya menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

Els kagumi jarak pukulan Colsaerts

Posted: 11 Jan 2013 11:11 AM PST

Durban, Afrika Selatan: Juara empat kejohanan utama, Ernie Els (gambar) terkejut dengan kemampuan Nicolas Colsaerts dari Belgium, pemain yang dilabel memiliki pukulan paling jauh di Kejohanan Golf Volvo, semalam.

"Mereka sepatutnya letak satu plak. Saya datang dari negara lain dan perlu berdepan dengan 'binatang' ini," kata Els bergurau selepas pusingan pertama berakhir di Durban.


Colsaerts mencatat drive paling jauh di Jelajah Eropah dan PGA tahun lalu dengan purata pukulan 318.6 ela, tiga ela lebih jauh berbanding juara Masters AS, Bubba Watson.

"Saya beraksi di sini sejak 1986 dan tidak pernah melihat bola berada di sana, tiada siapa pernah melakukannya," kata Els ketika mengulas pukulan drive sejauh 419 ela di par lima lubang tiga. Els merekodkan empat bawah par 68 ketika menentang Colsaerts yang melakukan 73 pukulan untuk berkongsi kedudukan tempat kedua di belakang pemain Thailand, Thongchai Jaidee (65).


"Ia kali pertama dan saya gembira dapat bermain dengannya. Saya bermain dengan Bubba dan (Dustin) Johnson dan mereka pernah lakukan pukulan 40 ela lebih jauh berbanding kami.


"Amat menarik apabila melihat mereka membawa keluar driver. Bola pukulan mereka jatuh di tempat yang anda tidak pernah lihat sebelum ini." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

MBMB tetap bangga

Posted: 11 Jan 2013 11:10 AM PST

Walaupun tewas di suku akhir Kejohanan Liga Bola Sepak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kebangsaan di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini, pasukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tetap bangga dengan pencapaian mereka.

Ini berikutan gabungan pemain muda dan veteran mampu membolehkan skuad itu mara ke peringkat itu sebelum tewas 0-2 kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).


Jurulatih MBMB yang juga bekas pemain Olimpik 1980 negara, Ramli Junit (gambar kecil)(gambar kecil), 57, berkata, tersekat di suku akhir tetap dianggap pencapaian memberangsangkan terutama apabila lebih daripada separuh daripada pemain pasukan adalah muka baru.

Bagaimanapun kecemerlangan di peringkat kumpulan selepas menewaskan MP Ampang Jaya, MB Petaling Jaya dan MBJB gagal diulangi di suku akhir.


"Pencapaian itu tetap membanggakan walaupun kami gagal mengulangi pencapaian terbaik muncul naib juara di Johor Bahru, dua tahun lalu.


"Bagaimanapun, kami mengharapkan saingan Liga PBT 2013 kelak mampu meletakkan pasukan ini kembali gah atau sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian ini," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, beliau akan terus mencurah khidmat buat MBMB sebelum bersara tiga tahun lagi.


Memulakan tugas sebagai penguat kuasa pada 1980, dia yang baru dinaikkan pangkat ke jawatan Pembantu Penguat Kuasa Tertinggi berkata, walaupun sudah bergelar veteran, khidmatnya masih diperlukan.

Ramli yang pernah melatih skuad remaja, Piala Presiden, Sukan Malaysia (Sukma) dan Liga Semi Pro Melaka 1996 itu berkata, beliau akan terus berkhidmat dengan MBMB selagi khidmatnya diperlukan.


Ketika beraksi untuk Melaka bersama Datuk Soh Chin Aun, Akop Itam, Jantan Ali, Ramli Abdullah, Lim Teong Kim, Lim Chuan Chin, Hashim Marman dan Azmi Hassan, beliau turut membantu menjulang imej bola sepak Melaka setanding pasukan gergasi ketika itu dengan menyaingi pasukan seperti Singapura dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

No comments:

Post a Comment