Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Perkahwinan bersenjata

Posted: 07 Jan 2013 12:51 PM PST

Washington: Pasangan di Amerika Syarikat sering memilih untuk meraikan majlis perkahwinan mereka dengan melepaskan tembakan senjata api pilihan masing-masing.

Dalam senario yang pelik, mereka juga bergambar dengan senjata api pada hari istimewa itu dengan melangsungkan perkahwinan mereka di kedai senjata api, The Gun Store di Las Vegas.


'Perkahwinan bersenjata' masih terbukti popular walaupun kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Rendak Sandy Hook bulan lalu mencetuskan perdebatan hangat mengenai dasar kawalan senjata api di Amerika Syarikat.

Penganjur The Gun Store nenegaskan, tidak ada majlis perkahwinan dibatalkan walaupun selepas tragedi itu.


Malah, tempahan masih banyak diterima. Pasangan tiba dari seluruh pelusuk dunia, termasuk Britain, untuk melangsungkan perkahwinan di kedai itu, lengkap dengan berpakaian pengantin, sebelum menembak senjata separuh automatik, termasuk pistol, UZI dan AK47.


Pakej berharga RM1,500 itu, termasuk khidmat paderi, akses kepada padang sasar VIP persendirian dan setiap lima das tembakan untuk pengantin lelaki dan perempuan.

Satu lagi pakej yang diberi nama Mr & Mrs Smith & Wesson, menawarkan lebih banyak pilihan senjata, peluru dan sasaran.


Emily Miller yang bertugas sebagai paderi di kedai itu berkata: "Kami berada di sini kerana orang sukakan satu sama lain dan senjata api.

"Senjata bukan semata-mata mengenai marah dan benci. Ia sesuatu yang menyeronokkan dan cara bertenaga untuk kikiskan emosi dan sikap agresif." Sejak Februari tahun lalu, 10 'perkahwinan bersenjata' dilangsungkan setiap bulan.


Sepasang pengantin datang dari Ottawa, Kanada tempat undang-undang senjata lebih ketat berbanding Nevada. Bilik gereja, yang biasanya digunakan untuk membersihkan senjata, ditaburkan dengan kelopak bunga ros.


Sepucuk senjata UZI dan Tommy digantung di atas pentas.


Ketika pasangan itu melafazkan ikrar perkahwinan mereka, bunyi kuat senjata boleh didengar dari lapang sasar berdekatan.


Mereka kemudian bergerak ke lapang sasar untuk mengikat ikrar mereka dengan menembak menggunakan senjata yang disediakan. - DAILY MAIL

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Daging kering kuda laut, buaya dirampas

Posted: 07 Jan 2013 12:33 PM PST

Hong Kong: Pihak berkuasa kastam Hong Kong merampas sejumlah besar daging kering haiwan yang semakin pupus, kuda laut dan daging buaya yang diseludup ke bandar raya itu dalam satu kontena makanan eksotik bernilai lebih RM3 juta.

Sebanyak 579 kilo daging kering buaya dan 311 kilogram kuda laut kering ditemui tersembunyi dalam lori kontena yang ditanda 'tanduk rusa,' bersama-sama dengan sarang burung, ekor rusa kering dan cicak tokek. Pemandu berusia 52 tahun dari Hong Kong ditangkap selepas pegawai kastam memintas trak itu di Lok Ma Chau, berhampiran sempadan tanah Besar China, Sabtu lalu, menurut kenyataan Jabatan Kastam, semalam.


"Antara yang dirampas ialah daging buaya kering dan kuda laut, haiwan yang semakin pupus," kata kenyataan itu.

Kuda laut menjadi rebutan di kebanyakan negara di Asia kerana dipercayai boleh dijadikan ubat dan menguatkan seks. Menurut undang-undang Hong Kong, mereka yang didapati bersalah menyeludup kargo ke bandar raya itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda maksimum RM774,000.


Sebagai tambahan, mereka yang didapati bersalah mengimport, mengeksport atau memiliki spesies yang semakin pupus untuk tujuan perdagangan berdepan dengan hukuman penjara dua tahun dan denda maksimum RM1.96 juta.


Rampasan terbaru itu dilakukan selepas kastam Hong Kong minggu lalu membuat rampasan ketiga terbesar gading gajah dalam masa tiga bulan. Nilai 779 gading yang seberat lebih setan itu ialah kira-kira RM4 juta. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

2 bayi dijual di laman web

Posted: 07 Jan 2013 12:33 PM PST

Jakarta: Komisi Nasional Perlindungan Anak (Komnas PA) mengkritik laman web beli-belah Tokobagus.com kerana memuat turun sebuah iklan memaparkan dua bayi berusia 18 bulan untuk dijual pada harga 10 juta rupiah (RM 3,158) setiap seorang.

Iklan bertajuk "Dua bayi mongel" dimuat turun oleh satu akaun milik seorang lelaki bernama Farkhan yang mendakwa menginap di Kalimantan Barat.


Pengerusi Komnas PA, Arist Merdeka Sirait, menggesa polis menyiasat kes itu dan menyatakan kedua-dua iklan itu dan Tokobagus patut bertanggungjawab atas perkara itu.

"Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan," katanya kepada Jakarta Post.


"Walaupun ia hanya sebuah iklan, kedua-dua pihak patut dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang perlindungan kanak-kanak dan penyeludupan manusia," katanya.


Komnas PA mempertikai laman web berkenaan seharusnya menghalang penggunanya daripada memuat turun iklan sedemikian. Undang-undang 2002 terhadap perlindungan kanak-kanak menetapkan penyeludupan kanak-kanak berdepan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun atau denda 60 juta (RM18,910) hingga 300 juta rupiah (RM94,552).

Jurucakap laman web berkenaan, Ichwan Sitorus memberitahu tempo.com bahawa sistem keselamatan mereka terjejas, mengatakan individu yang memuat turun iklan itu menceroboh masuk ke laman web berkenaan. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Cubaan seludup sumbu badak

Posted: 07 Jan 2013 12:32 PM PST

Bangkok: Seorang lelaki Vietnam ditahan bersama sumbu badak bernilai hampir RM2 juta dolar dalam bagasinya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di sini, kata pihak berkuasa Thai semalam.

Enam batang sumbu seberat 10.6 kilogram dan bernilai dalam anggaran 18 juta baht (RM1.79 juta) dipercayai diseludup dari Mozambique, kata pihak berkuasa Perhilitan. Suspek berusia 56 tahun itu ditahan malam kelmarin sebaik tiba di Thailand dengan penerbangan dari Habsyah dan menunggu untuk menaiki penerbangan seterusnya ke Hanoi.


"Dia meninggalkan beg pakaiannya di tempat tuntutan bagasi dan dengan sengaja tidak mengambilnya, seolah-olah dia mahu ia diambil oleh orang lain," kata pegawai Perhilitan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Narongrit Sookprakarn.

Lelaki terbabit didakwa membawa masuk bahagian haiwan spesies terancam ke dalam negara itu tanpa kebenaran. Jika disabitkan bersalah, dia berdepan hukuman penjara empat tahun dan denda sekurang-kurangnya 40,000 baht (RM3,998).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Kepala terdampar

Posted: 07 Jan 2013 12:32 PM PST

Sydney: Polis semalam menjalankan ujian forensik terhadap apa yang dipercayai kepala manusia.

Bahagian mayat manusia itu ditemui dalam beg plastik yang terdampar di sebuah pantai di Perth oleh seorang kanak-kanak perempuan yang bercuti bersama keluarganya di Pulau Rottnest, luar pantai Perth, Australia Barat.


"Kami percaya ia kepala manusia. Bagaimanapun, kami belum dapat mengesahkannya. Kami tidak boleh mengesahkannya sehingga pakar forensik menamatkan pemeriksaan," kata Inspektor Denise Grant.

Pihak berkuasa menutup bahagian selatan Pulau Rottnest untuk melakukan siasatan lanjut. Pulau itu kawasan tumpuan popular pelancong yang boleh dijejaki dengan menaiki feri dari Perth.


Menurut polis, 'kepala' itu dipercayai sudah lama berada di laut.


"Barangan ini yang mungkin kepala manusia, masih diperiksa patologi forensik. Buat masa ini, kawasan tempat ia ditemui masih menjadi kawasan perlindungan forensik dan akses ke situ masih ditutup," kata jurucakap polis, Sarjan Gerry Cassidy kepada rangkaian televisyen ABC. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Thailand tahan lelaki dikehendaki FBI

Posted: 07 Jan 2013 12:31 PM PST

Bangkok: Polis Thailand menahan seorang warga Algeria yang dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat kerana didakwa meraih puluhan juta dolar menerusi jenayah siber.

Hamza Bendelladj, 24, ditahan lewat malam kelmarin ketika cuba transit menerusi Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari Malaysia, kata Ketua Polis Imigresen, Phanu Kerdlabpol.


"Kami dimaklumkan mengenai ketibaannya oleh FBI yang mengekori kesnya sejak tiga tahun lalu," kata Phanu.

Hamza, lulusan sains komputer di Algeria pada 2008, didakwa menggodam akaun peribadi 217 bank dan syarikat kewangan seluruh dunia dan memperoleh sejumlah besar wang secara haram.


"Dengan hanya satu transaksi dia boleh memperoleh 10 hingga 20 juta dolar. Peralatan utamanya hanya satelit dan komputer riba. "Dia menjelajah ke seluruh dunia dengan penerbangan kelas pertama dan menjalani kehidupan mewah, " kata Phanu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Skandal seks lagi

Posted: 07 Jan 2013 12:31 PM PST

Singapura: Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dikejutkan dengan satu lagi kes skandal seks atas talian, tiga bulan selepas kes Alvin Tan.

Akhbar Sin Chew melaporkan, seorang pelajar universiti itu didakwa memuatnaikkan video 14 minit menunjukkan seorang lelaki onani dan mengukur kemaluannya dengan pembaris.


Video itu dimuat naik Jun lalu dan juga mengandungi nama lelaki terbabit, alamat e-mel serta Persekutuan Koperasi Kebangsaan Singapura (SNCF), tempat dia memperoleh biasiswa.

Menurut akhbar The New Paper, pembaca menelefon akhbar itu untuk memaklumkan mengenai video berkenaan.


Bagaimanapun, pelajar itu menafikan terbabit dan membuat laporan polis.


Dia sudah dipanggil pihak pentadbiran NUS dan SNCF untuk memberi penjelasan mengenai video itu sementara polis melancarkan siasatan. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

No comments:

Post a Comment