Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Hanya sempat selamat ubat ibu

Posted: 03 Jan 2013 01:27 PM PST

AMPANG: "Hanya sempat selamat ubat mak," kata Kamariah Karim, 50, selepas rumah diduduki ibunya yang uzur, Zabedah Puteh, 76, hangus terbakar dalam kejadian di Jalan Raya 8, di Kampung Pandan Dalam, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, kebakaran itu disedari jam 8.40 malam selepas mendengar jeritan jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar.


Katanya, ketika itu, dia bersolat Isyak manakala ibunya makan malam.

"Ketika kejadian, adik lelaki saya hanya sempat mengambil ubat kencing manis dan darah tinggi ibu kerana api marak begitu cepat.


"Bagaimanapun, saya bersyukur kami selamat dan tidak mengalami kecederaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Menurut Eksekutif Editor Foto The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Johari Embi yang juga menantu Zabedah, dia menerima panggilan mengenai kejadian jam 9 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian dari pejabat di Bangsar.

"Ibu mentua saya tinggal di rumah berkenaan sejak lebih 50 tahun lalu bersama adik ipar, Khalid Karim, 47 tahun.


"Terlalu banyak kenangan di rumah berkenaan, namun kami reda dan bersyukur mereka semua terselamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Mazlan Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran dua rumah berkenaan jam 8.53 malam dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.


"Sebanyak tujuh jentera termasuk dua 'water tanker' daripada lima balai bomba dikejarkan ke tempat kejadian.


"Kami menghadapi kesukaran memadam api akibat tekanan air yang sangat rendah di kawasan berkenaan, namun api berjaya dikawal jam 11.19 malam sebelum dipadam sepenuhnya lima minit kemudian," katanya.


Menurutnya, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Ugut hantar mayat anak

Posted: 03 Jan 2013 01:19 PM PST

AMPANG JAYA: Bayar atau terima mayat. Itu antara ugutan dilakukan sekumpulan tiga lelaki kepada sebuah keluarga selepas menculik seorang lelaki berusia 24 tahun dalam kejadian di Taman Melawati, di sini, Selasa lalu.

Mangsa dilaporkan diculik kumpulan penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang dalam kejadian jam 9 malam sebelum mengurung mangsa di sebuah rumah di Lembah Klang.


Menurut sumber, selepas menahan mangsa, seorang daripada suspek menghubungi keluarga lelaki terbabit dan meminta wang tebusan RM10,000.

"Malah, kumpulan terbabit turut mengugut menghantar mayat mangsa ke rumahnya sekiranya tidak menerima wang berkenaan," katanya.


Katanya, panik dengan ugutan itu, keluarga mangsa membayar wang diminta sebelum mangsa dibebaskan jam 8 malam, kelmarin. "Kumpulan terbabit mengugut sekiranya tuntutan mereka itu gagal dipenuhi dalam 24 jam, mereka (penculik) akan menghantar mayat mangsa pulang ke rumah," katanya.


Katanya, bapa mangsa berusia awal 50-an pada mulanya cuba berunding untuk mengurangkan wang tebusan berkenaan namun tidak dipersetujui kumpulan terbabit.

Selepas menerima wang berkenaan, kumpulan terbabit membebaskan mangsa kurang sejam kemudian.


Mangsa dan bapanya membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.


Katanya, mangsa sudah dibebaskan selepas bayaran dibuat keluarganya dan siasatan lanjut dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Ikhlas serah memorandum

Posted: 03 Jan 2013 01:18 PM PST

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) semalam, menyerahkan memorandum berhubung penahanan empat peniaga Uptown Danau Kota, Setapak pada 27 November lalu, kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman, semalam.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, memorandum itu bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai insiden membabitkan dua anggota polis ketika penahanan itu.


Menurutnya, penjelasan itu diharap dapat dibuat pada satu temujanji yang akan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Paksa minum air najis

Posted: 03 Jan 2013 01:18 PM PST

SERDANG: Dipaksa minum air najis dan cecair peluntur. Itu penderitaan ditanggung seorang pembantu rumah sejak setahun lalu selain turut dipukul dengan kayu oleh majikannya dalam kejadian di Seri Kembangan, di sini.

Penderitaan mangsa yang berusia 25 tahun itu berakhir kelmarin selepas melarikan diri dari rumah itu jam 1 pagi sebelum membuat laporan polis.


Sumber berkata, selain dipukul, mangsa hanya diberi makan sekali sehari selain tidak dibayar gaji.

Katanya, mangsa beberapa kali cuba melarikan diri dari 'penjara' buatan majikannya itu, namun tidak berjaya kerana semua pintu dikunci.


"Mangsa nekad lari dari rumah itu selepas tidak tahan dengan penderaan majikannya yang berusia 30-an itu yang memaksanya minum cecair peluntur dan air najis.


"Wanita itu terpaksa mengikut arahan kerana tidak mahu disakiti, namun hampir saban hari dipukul dengan kayu," katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Guna jalan alternatif

Posted: 03 Jan 2013 01:16 PM PST

SUBANG JAYA: Polis menasihatkan penduduk Putra Heights, di sini, menggunakan jalan alternatif dan tidak melalui Persiaran Putra Bahagia selagi kerja penilaian keselamatan struktur tanah belum selesai.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihak berkuasa tempatan serta pemaju akan menilai semula struktur tanah bagi memastikan keselamatan 11,000 penduduk sekitar Putra Heights terjamin.


Katanya, polis dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan memantau keselamatan dengan mendirikan bilik gerakan berhampiran kawasan runtuhan.

"Polis akan meletakkan anggota bagi memantau kawasan kejadian. Sehingga siasatan selesai, kami meminta penduduk menggunakan jalan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


No comments:

Post a Comment