Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Warga Amerika belum serik

Posted: 03 Jan 2013 09:04 AM PST

RICHMOND: Beratus-ratus orang peminat berkumpul di pameran senjata api di Virginia, hanya beberapa minggu selepas 27 orang maut dalam keganasan di sebuah sekolah di Connecticut.

Ketika gesaan orang ramai supaya pemilikan senjata api seperti yang digunakan dalam tragedi itu dikekang, peniaga berkumpul untuk menjual produk mereka di Chantilly, Virginia, hujung minggu lalu.


Media melaporkan, kadar jualan senjata api di pameran itu turut mencatat rekod tertinggi.

Seorang pengedar senjata api memberitahu, syarikatnya menjual lebih 10 pucuk raifal AS-15 seperti digunakan Adam Lanza ketika menembak mati 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa sebelum dia membunuh diri pada 14 Disember lalu.


Katanya, jualan itu dibuat hanya dalam tempoh sejam.


"Kadar jualan itu memang luar biasa," katanya. Dalam tragedi bulan lalu, Lanza, 20, menembak mati ibunya di rumah mereka sebelum menyerang Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, dan melepaskan tembakan rambang.

Selain AS-15, Lanza turut membawa beberapa pucuk senjata api lain.


Pertunjukan Senjata Api Kebangsaan diadakan di Pusat Ekspo Dulles itu turut menjual peluru, raifal, senjata separa automatik serta mesingan. Beberapa jurujual berkata, semua simpanan mereka untuk pameran itu habis dijual dalam tempoh beberapa jam saja.

Antara senjata paling popular, kata seorang jurujual, ialah raifal separa automatik dan magazin peluru 30 butir.


"Secara purata, 1.8 senjata api dijual dalam tempoh seminit," katanya.


Pengunjung pula sanggup berbaris berjam-jam untuk menjadi pengunjung pertama pameran berkenaan.


Sementara itu, peminat berkata, permintaan tinggi itu didorong kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan undang-undang baru diperkenalkan bagi mengharamkan pengeluar menghasilkan senjata api berkeupayaan tinggi seperti diguna Lanza. Seorang daripada mereka, Aaron Sizemore, berkata peminat senjata api mahu mendapatkan senjata yang diidamkan sekian lama kerana mungkin ia sukar diperoleh pada masa depan.


"Kami juga mungkin terpaksa mengeluarkan lebih perbelanjaan untuk mendapatkannya nanti," katanya. Harga minimum untuk sepucuk raifal AR-15 ialah RM2,200.


Lebih menggerunkan, remaja dan kanak-kanak juga dibenarkan memasuki pameran berkenaan dan kebanyakan pengunjung turut menandatangani petisyen membantah sebarang langkah pengawalan senjata api. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Rebecca mahu lelong dara untuk bantu rawat ibu uzur

Posted: 03 Jan 2013 09:01 AM PST

BRASILIA: Seorang remaja Brazil mahu melelong daranya supaya wang yang diperoleh itu dapat membantu merawat ibunya yang uzur.

Menurut media tempatan, Rebecca Bernardo, 18, sedia mengorbankan daranya untuk mengadakan hubungan seks dengan mana-mana lelaki yang menawarkan bidaan tertinggi. Kini menuntut di sekolah menengah, Rebecca berkata, dia mendapat idea menjual kehormatan dirinya selepas membaca kisah Catarina Migliorini sebelum ini. Catarina menerima bayaran RM2.5 juta kerana menjual daranya akhir November tahun lalu. Sejurus selepas menawarkan daranya, Catarina mendapat bidaan daripada lelaki seluruh dunia.


Justeru, Rebecca berkata, dia berharap keadaan sama berlaku terhadap dirinya. "Wang yang diperoleh nanti akan digunakan merawat ibu saya yang terlantar akibat strok," katanya.

Sebelum ini, kata Rebecca, dia cuba menjual barangan kosmetik dan menjadi pelayan tetapi wang diperolehnya tidak mencukupi. Sementara itu, jiran Rebecca berkata, gadis terbabit tidak pernah tahu siapa bapanya.


Kata mereka, kakak Rebecca pula mati tahun lalu.


"Tiada sesiapa lagi yang boleh membantu kerana Rebecca tinggal bersama ibunya di rumah.

"Strok menyebabkan ibu Rebecca cuma mampu terbaring.


"Bagi kami, tindakan Rebecca itu boleh dianggap sebagai pilihan terakhir dia untuk membantu ibunya," katanya. Setakat ini bidaan tertinggi untuk dara Rebecca ialah RM170,000. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Baju emas 2013

Posted: 03 Jan 2013 08:57 AM PST

MUMBAI: Sepasukan tukang emas mahir menghabiskan masa 15 hari menyiapkan sepasang baju khas untuk seorang ahli perniagaan India bagi membolehkan dia melaram menyambut kedatangan 2013.

Menurut laporan media semalam, sepanjang tempoh 15 hari itu, tukang emas terbabit bekerja 18 jam sehari sebelum dapat menyiapkan baju berkenaan.


Baju itu didakwa berharga RM800,000.

Akhbar melaporkan, ahli perniagaan di Pune, Mumbai itu mahukan baju berkenaan dihiasi enam butang kristal Swarovski - sebuah jenama pengeluar barang kemas elit berpangkalan di Austria.


Selain itu, ahli perniagaan terbabit juga mahu melaram dengan seutas tali pinggang emas.


Ahli perniagaan terbabit berkata, dia menganggap pakaian dan tali pinggang itu sebagai satu bentuk pelaburan.

"Memakai baju emas memang menjadi satu daripada impian saya," katanya. Ahli perniagaan terbabit berkata, sebelum ini dia memiliki emas seberat 10 kilogram membabitkan 10 rantai emas, enam gelang, 25 cincin dan seutas jam tangan.


"Jika orang lain membeli kereta atau pergi bercuti, bagi saya emas menjadi daya tarikan mutlak.

"Tidak timbul isu keselamatan kerana saya juga mengupah pengawal peribadi," katanya. - HT

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Cinta pandang pertama masih diyakini

Posted: 03 Jan 2013 08:57 AM PST

NEW YORK: Kebanyakan warga Amerika Syarikat (AS) percaya kepada cinta pandang pertama, tidak pernah membaca e-mel pasangan mereka dan yakin seks yang memuaskan sangat penting bagi menjamin kejayaan sesebuah hubungan.

Berdasarkan pungutan pendapat disiarkan semalam, majoriti warga AS menganggap, pilihan rancangan televisyen pasangan mereka menjadi punca utama pertengkaran berbanding masalah kerja rumah, membaca di tempat tidur atau mencuci bilik mandi. Menurut CBS.com yang mengendalikan pungutan pendapat berkenaan, 56 peratus penduduk negara itu percaya kepada cinta pandang pertama dan peratusan itu lebih tinggi di kalangan pasangan suami isteri atau individu yang menjalin hubungan romantik. Kajian itu disertai 1,100 orang dewasa yang ditanya mengenai aspek cinta, perkahwinan dan perhubungan lelaki, wanita. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Al-Jazeera beli stesen TV Gore

Posted: 03 Jan 2013 08:57 AM PST

NEW YORK: Al-Jazeera kini memiliki rangkaian kabel bermasalah, Current TV, sekali gus memberikan stesen itu akses kepada berjuta-juta penduduk Amerika Syarikat, lapor The New York Times, semalam.

Akhbar itu melaporkan, al-Jazeera selama ini memang mencari jalan untuk menyebarkan programnya kepada penduduk AS dan pemilikan itu membolehkan ia menjadi realiti.


Current TV diasaskan bekas Naib Presiden AS, Al Gore.

Menurut akhbar berkenaan, terma perjanjian pemilikan rangkaian itu belum didedahkan, tetapi majalah Forbes mendakwa, ia mungkin membabitkan pembayaran sebanyak AS$400 juta (RM1.2 bilion).


Daripada jumlah itu, Gore mungkin mendapat untung sehingga AS$100 juta (RM303 juta).


Ketika ini, Current TV dilanggan kira-kira 60 juta penduduk AS. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Jabatan agama gelap RM25b

Posted: 03 Jan 2013 08:56 AM PST

JAKARTA: Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) semalam melaporkan bahawa pihaknya mendapati banyak transaksi yang tidak telus dalam tabung jemaah haji diuruskan Kementerian Hal Ehwal Agama sejak lapan tahun lalu.

Ketua PPATK, Muhammad Yusuf memberitahu wartawan dalam laporan akhir tahun kelmarin, PPATK mendapati berlaku penggelapan wang dalam pengurusan tabung jemaah haji.


"Kami sedang mengaudit tabung itu kerana sesetengah perbelanjaan tidak jelas," katanya sebagaimana dipetik daripada kompas.com.

Muhammad berkata, kementerian itu menguruskan 80 trilion rupiah (RM25.1 bilion) wang tabung haji dengan faedah 2.3 trilion rupiah (RM722 juta) dari 2004 hingga tahun lalu. "Jemaah kita tidak perlu berjalan kaki dari Makkah ke Madinah dengan jumlah wang sebanyak itu," katanya sambil menegaskan jemaah negara itu sepatutnya mendapat lebih banyak kemudahan yang dibiaya tabung itu.


Muhammad berkata, kemusykilan lain didedahkan apabila wang RM25.1 bilion didepositkan ke dalam sebuah bank tanpa pengesahan yang jelas. Dia berkata, kementerian itu gagal menjelaskan mengapa ia memilih bank terbabit untuk mendeposit wang berkenaan.


"Perbezaan satu peratus faedah daripada satu bank dengan bank lain adalah banyak," katanya.

Muhammad berkata, PPATK mendapati prosedur pemesanan makanan untuk jemaah dan penginapan lain mengikut pertukaran wang asing juga tidak jelas.


"Kami telah menyerahkan keputusan audit kepada Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK), agar ia bukan saja dianalisis tetapi juga disiasat secara lebih lanjut," katanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya KPK, Busyro Muqoddas berkata, pihaknya telah menghantar empat pegawai untuk memantau pelaksanaan pengurusan haji secara langsung. - kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Wanita hamil gantung diri selepas suami enggan pulang

Posted: 03 Jan 2013 08:55 AM PST

CHIANG MAI: Seorang wanita suku kaum Karen yang hamil menggantung diri di dalam kediamannya di daerah Doi Tao di sini kerana dia percaya suaminya telah meninggalkannya, kata polis.

Pegawai polis Doi Tao, Leftenan Kolonel Thongchai Kannikar berkata, ketegangan antara mangsa, Daraporn Pudok yang hamil tiga bulan dengan suaminya menjadi punca dia membunuh diri.


Suami Daraporn keluar untuk minum arak pada malam tahun baru dan sejak itu enggan pulang ke rumah. Wanita berusia 24 tahun itu yang kecewa dan rasa ditinggalkan memutuskan untuk menamatkan riwayat hidupnya. Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan tiada kecederaan ditemui pada tubuh mangsa. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


2 lelaki tinggalkan Singapura secara haram ditahan

Posted: 03 Jan 2013 08:55 AM PST

SINGAPURA: Pegawai imigresen di republik ini memulakan tahun baru dengan menumpaskan cubaan dua lelaki yang cuba meninggalkan negara itu secara haram.

Pegawai imigresen semalam menemui dua lelaki bersembunyi dalam but sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia di pusat imigresen Woodlands. Pemandu berusia 36 tahun dan penumpang berusia 55 tahun warga Malaysia itu serta dua rakyat India, masing-masing berusia 51 dan 31 tahun segera ditahan. Hukuman kerana tinggal melebihi tempoh atau memasuki negara itu secara haram ialah enam bulan penjara dan minimum tiga sebatan, manakala hukuman meninggalkan republik itu secara haram ialah denda hingga Sg$2,000 (RM4,956) atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali. - AsiaOne

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Penjawat awam Jakarta tampil dengan pakaian tradisional Betawi

Posted: 03 Jan 2013 08:54 AM PST

JAKARTA: Penjawat awam di bandar raya ini memulakan hari pertama bekerja tahun ini dengan mengenakan pakaian tradisional Betawi sebagaimana diarahkan Gabenor Joko 'Jokowi' Widodo yang mahu menyerlahkan budaya asal Jakarta di ibu negara Indonesia itu.

Penolong pentadbiran di pejabat hal ehwal pentadbiran, Sylviana Murni berkata, Jokowi telah menandatangani undang-undang baru gabenor Disember lalu mengerahkan bagaimana penjawat awam perlu berpakaian pada hari bekerja.


"Undang-undang itu berkuatkuasa kelmarin. bagaimanapun, kerajaan memberikan masa kepada penjawat awam untuk menyesuaikan undang-undang baru itu," katanya ketika membuat pengumuman di dewan bandar raya.

Di bawah undang-undang itu, penjawat awam perlu memakai uniform hijau masyarakat (linmas) pada hari Isnin, uniform khaki biasa pada Selasa, batik tradisional Betawi pada Rabu dan batik pada Khamis dan Jumaat. Undang-undang baru itu menambah pakaian Betawi pada kod pakaian lama. Batik disertakan dalam kod pakaian penjawat awam sejak beberapa tahun lalu, ekoran popularitinya yang kian meningkat. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


Pegawai alam sekitar dibunuh pembalak haram

Posted: 03 Jan 2013 08:54 AM PST

MANILA: Kerajaan Filipina menyuarakan kemarahan terhadap pembalak haram yang berhasrat menentang larangan memusnahkan hutan di seluruh negara, ekoran pembunuhan seorang pegawai alam sekitar pada hari tahun baru.

Dua lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan raifal M-16 menembak pegawai alam sekitar, Alfredo Almueda di kepala ketika dia menunggu di pusat pemeriksaan hutan untuk memintas sebuah trak yang membawa balak Selasa lalu, kata kerajaan dalam satu kenyataan.


"Kami mengutuk dengan keras pembunuhan seorang lagi pegawai alam sekitar. Kami berang dengan serangan itu," kata Setiausaha Alam Sekitar, Ramon Paje dalam kenyataan dikeluarkan malam semalam.

Paje berkata, Almueda, 59, menjadi mangsa usaha berterusan pembalak haram untuk menutup mulut "pembela alam sekitar".


"Serangan ini jelas menunjukkan kekejaman mereka yang bertanggungjawab menjarah dan memusnahkan hutan kita," katanya. Pembunuhan Almueda menjadikan bilangan kakitangan jabatan alam sekitar, petugas dan sukarelawan yang dibunuh kepada 21 sejak larangan membalak di seluruh negara dikuat kuasa dua tahun lalu. Filipina telah kehilangan lebih separuh daripada kawasan hutan sejak seabad lalu dengan hanya 7.6 juta hektar masih kekal. -MT

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04


No comments:

Post a Comment