Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Potong gaji untuk ‘buat visa’

Posted: 30 Dec 2012 09:13 AM PST

PELABUHAN KLANG: Niat 33 pekerja lelaki warga asing untuk mencari rezeki di Malaysia terbantut apabila kerugian RM313,500 selepas ditipu sebuah syarikat perkhidmatan logistik, di sini.

Mereka yang terdiri daripada 26 warga India, Pakistan (lima) dan dua warga Bangladesh mendakwa syarikat tempatan itu mengambil RM4,200 hingga RM6,500 setiap seorang yang dipotong daripada sebahagian gaji mereka bagi Ogos 2010 hingga Oktober lalu kononnya bagi membuat permohonan permit kerja dan visa.


Ketua Biro Politik Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), K S Kottapan berkata, pekerja terbabit yang sudah bekerja di Malaysia sejak Ogos 2010 bimbang kerana hingga kini belum memperoleh permit kerja seperti dijanjikan majikan terbabit.

"Apabila ditanya, pengurusan syarikat itu memberi alasan Jabatan Imigresen menyimpan pasport semua pekerja terbabit menyebabkan urusan permohonan permit berkenaan tergendala.


"Syarikat terbabit juga berjanji untuk membayar semula tunggakan gaji itu pada 15 Oktober lalu, namun hingga hari ini (semalam) mereka belum memperolehnya," katanya pada sidang media di Pejabat Tenaga Kerja, di sini, semalam.


Kottapan berkata, akibat tidak tahan dengan sikap majikan mereka, semua pekerja terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 24 Disember lalu.

"Kami juga sudah ke pejabat kedutaan masing-masing dua hari lalu dan mereka berjanji akan menghubungi syarikat terbabit secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


88% pertubuhan belia mungkin dibatal

Posted: 30 Dec 2012 09:06 AM PST

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 88 peratus pertubuhan belia di Malaysia berpotensi untuk dibatalkan mengikut Seksyen 23 Akta Pertubuhan Belia ekoran kegagalan untuk mengemukakan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD).

Pendaftar Pertubuhan Belia, Madzrib Ibrahim berkata, berdasarkan rekod Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia, 3,796 daripada 4,305 pertubuhan tunggal didapati berstatus tidak aktif.


Menurutnya, sindrom ini sekali gus memberi gambaran negatif terhadap status keaktifan pertubuhan belia akibat sikap tidak ambil berat pemimpin pertubuhan.

"Daripada jumlah itu, 3,002 daripada pertubuhan berstatus cawangan atau gabungan, manakala 289 daripada Kelab Rakan Muda, 78 daripada Majlis Belia Daerah dan tujuh Majlis Belia Negeri.


"Sehingga kini pejabat pendaftar sudah mengeluarkan 243 perintah sementara pembubaran kepada pertubuhan belia yang didaftar pada 2008, manakala 226 pertubuhan sudah diberi notis untuk mengemukakan MYKD di bawah Subseksyen 23(1)," katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Penutup Konvensyen Pengurusan Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan 2012, di sini, semalam.


Konvensyen yang dihadiri 180 pemimpin pertubuhan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin pertubuhan mengenai aspek perundangan khususnya di bawah Akta 688 Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


2 lelaki pukau jurutera kebas RM5,000

Posted: 30 Dec 2012 09:05 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera kerugian RM5,000 yang baru dikeluarkan daripada mesin juruwang automatik (ATM) selepas dipukau dua lelaki yang baru dikenali di bangunan KL Sentral, di sini, kelmarin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Fairuz, 40, berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu selepas mengeluarkan wang dia didatangi dua suspek yang mempelawanya menyertai peluang perniagaan.


"Saya bagaikan diarah untuk mengikuti setiap arahan mereka dan selepas dipelawa minum dalam sebuah restoran di KL Sentral, saya tanpa sedar memasukkan wang yang baru dikeluarkan dari akaun saya ke dalam akaun lain.

"Mereka turut mengambil resit transaksi itu dengan dakwaan kononnya sebagai bukti pelaburan dalam perniagaan mereka sebelum meninggalkan saya bersendirian di kawasan itu," katanya, semalam.


Menurutnya, selepas bingung ditinggalkan bersendirian dia balik ke pejabatnya sebelum membuat keputusan untuk menunaikan solat Asar.


"Ketika mengambil wuduk baru saya tersedar dan mendapat tahu sudah memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun orang lain.

"Saya percaya dipukau dan bagi mengelakkan orang lain menerima nasib sama, saya membuat laporan di Balai Polis Brickfields untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Tembakan ketika berbual

Posted: 30 Dec 2012 09:05 AM PST

GEORGETOWN: Seorang lelaki maut apabila ditembak dari jarak dekat ketika berbual dengan rakannya di hadapan sebuah rumah di Jalan Lembah Permai, Taman Brown, Gelugor, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, S Kalimuthu, 29, dari Jalan Yeap Chor Ee, di sini, mati ketika dalam perjalanan ke hospital selepas terkena tembakan di bahu kanan.


Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan baru pulang dari sebuah pusat beli-belah sebelum tiba di rumah berkenaan dan berbual bersama dua lagi rakan lain.

"Ketika sedang berbual, dua kereta menghampiri mereka dan seorang lelaki keluar dari sebuah kereta terbabit lalu melepaskan tembakan dari dekat.


"Tembakan itu terkena bahu kanan mangsa hingga dia rebah sebelum kumpulan penjenayah terbabit melarikan diri," katanya.


Sumber berkata, melihatkan keadaan itu, rakan mangsa membawanya ke sebuah hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba.

"Siasatan awal mendapati, kumpulan penjenayah terbabit menaiki kereta Toyota Vios serta Perodua Kenari dan suspek yang menembak mangsa bertubuh tinggi dan agak kurus.


"Selain itu, hasil semakan awal juga mendapati mangsa pernah menganggotai sebuah kumpulan kongsi gelap dan kemungkinan penjenayah menembaknya kerana dendam lama," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Cinta terhalang bersalut dosa

Posted: 30 Dec 2012 09:04 AM PST

BATU PAHAT: Satu pasangan mendakwa keengganan keluarga perempuan merestui keinginan mereka untuk berkahwin menyebabkan pasangan itu mengambil jalan songsang mengenepikan dosa dengan bersekedudukan sejak lebih setahun lalu hingga melahirkan seorang anak lelaki sedangkan mereka boleh menggunakan wali hakim berikutan berada di luar kawasan.

Malah, pasangan berkenaan bersekedudukan di rumah keluarga lelaki berusia lewat 20-an itu yang tinggal bersama bapa dan tiga anak angkat bapanya.


Kelakuan sumbang mereka terbongkar apabila penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) Batu Pahat menyerbu rumah berkenaan di Punggor Rengit di sini, menerusi Ops Ambang Tahun Baru, jam 1.30 pagi, semalam.

Dalam serbuan itu, wanita berusia 20-an terbabit mendakwa bersekedudukan selepas buntu hubungan bersama teman lelakinya tidak direstui keluarga di Kemunting, Perak.


Menurut wanita itu, dia mengenali teman lelakinya empat tahun lalu dan sudah banyak kali memberitahu keluarganya di Perak, mereka mahu berkahwin.


Dia mendakwa keluarga enggan menerima teman lelakinya itu menyebabkan mereka tinggal bersama setahun lalu hingga melahirkan anak lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


No comments:

Post a Comment