Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Masih hidup walau dua kali diisytihar mati

Posted: 30 Dec 2012 08:32 AM PST

TOMSK (Siberia) : Seorang nenek dua kali bangkit daripada mati, malah terselamat selepas tiga hari berada di sebuah rumah mayat.

Wanita Russia berusia 61 tahun itu diisytiharkan mati sebanyak dua kali oleh doktor tetapi hidup semula, termasuk beberapa minit sebelum dibedah siasat.

Hardy Lyudmila Steblitskaya menghabiskan masa tiga hari di rumah mayat yang sejuk ketika keluarganya meratapi kematian bekas tukang masak itu di rumah mereka.

Akhbar Siberian Times melaporkan, kali pertama Hardy mengejutkan doktor, rakan dan keluarganya ialah November tahun lalu dan kali kedua pada Oktober tahun ini.


Dalam kejadian tahun lalu, dia dibawa ke Hospital Wilayah Tomsk dan dirawat beberapa hari kerana tidak sihat.


Apabila anaknya, Anastasia, 29, menelefon hospital, dia diberitahu bahawa ibunya sudah mati.

Anastasia yang begitu sedih mula merancang majlis pengebumian ibunya dan menyampaikan berita itu kepada rakan dan anggota keluarga lain.

Dia membelanjakan RM6,000 untuk membeli bunga, keranda, urusan gali kubur serta makanan.

Apabila dia ke hospital untuk mengambil mayat Hardy, dia diberitahu supaya tunggu kerana doktor belum menjalankan bedah siasat.

Seorang doktor yang kelihatan terkejut kemudian memberitahu ibunya tidak mati dan masih bernafas di katilnya.

Anastasia yang hampir tidak percaya dengan kata-kata doktor itu, memasuki bilik ibunya dan mendapati wanita itu memanggill namanya. Dia menjerit sehingga beg yang dipegangnya terlepas.

"Saya begitu terkejut hingga terlupa untuk masuk semula ke bilik itu dan memeluk ibu saya. Sebaliknya saya menelefon rakan dan keluarga dan meminta supaya kerja menggali kubur dihentikan," katanya kepada akhbar itu.

Ibunya hanya ingat bahawa dia berada di hospital itu pada hari Jumaat dan terjaga di rumah mayat pada Isnin.

Pada Oktober lalu, Hardy yang menghidap sakit jantung, dikatakan sudah tidak bernyawa lagi ketika dimasukkan ke sebuah hospital tetapi kali ini doktor berjaya menyedarkannya semula selepas beberapa jam. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


2 organ suami selamat isteri

Posted: 30 Dec 2012 08:30 AM PST

LONDON: Tidak mungkin ada hadiah yang begitu berharga daripada yang diberikan David Whaymand kepada isterinya pada Krismas lalu.

Apabila Carolyn yang menghidap fibrosis sista (cystic fibrosis) diberitahu buah pinggangnya gagal berfungsi dan satu-satunya harapan untuk pulih ialah dengan menjalani pemindahan, suaminya tanpa teragak-agak menawarkan satu daripada buah pinggangnya.


Ia satu tindakan penuh kasih sayang dan membuatkan David gembira untuk melakukannya selepas 15 tahun berkahwin dengan buah hatinya sejak kanak-kanak lagi.

Namun, apa yang menjadikan pengorbanannya lebih menakjubkan ialah, dalam keadaan terdesak yang sama 13 tahun lalu, dia memberikan sebahagian daripada peparunya kepada Carolyn.


Dua sumbangan itu dipercayai adalah yang pertama di dunia. Doktor dan pakar pemindahan berkata, setakat ini tidak ada kes seorang penderma yang masih hidup menyumbangkan dua organnya. Ini kerana bahaya yang dihadapi dalam pembedahan seumpama itu.


Hakikat bahawa penerima dalam kedua-dua kes itu ialah isteri David sendiri menjadikan kisah ini lebih menarik memandangkan adalah sesuatu yang luar biasa bagi seorang suami berupaya mendermakan kepada isterinya kerana untuk mencari organ yang sesuai bagi tujuan pemindahan amatlah sukar.

Pembedahan terbaru itu berjaya dilakukan di Hospital Hamersmith di London Barat pada 12 Disember lalu dan pasangan itu sempat merayakan Krismas bersama di kediaman mereka yang berharga RM2.5 juta di Ingatestone, Essex.


David, 39, akauntan di bank JP Morgan berkata: "Mereka berkata, perkahwinan adalah dalam sakit dan sihat. Apabila saya mengahwini Carolyn. saya tahu ia bukan perkara mudah kerana dia mungkin mati tanpa menjalani pemindahan peparu. Saya tidak teragak-agak untuk menjadi penderma.

"Saya sudah bersedia untuk melakukan pengorbanan yang boleh menyebabkan kedua-dua kami mati.


"Saya tidak sanggup untuk melihat Carolyn mati kerana tidak dapat penderma peparu.


"Dan apabila dia memerlukan buah pinggang, sudah tentu saya bersedia untuk berkorban sekali lagi. "Ia lebih mudah daripada pembedahan pertama," katanya.


Bagi Carolyn, peguam yang berusia 42 tahun, ia amat sukar untuk menjelaskan pengorbangan David kepadanya.


"Dia lebih bimbangkan penderitaan saya daripada penderitaannya sendiri," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Mangsa rogol mahu kahwin Februari

Posted: 30 Dec 2012 08:29 AM PST

NEW DELHI: Mangsa rogol beramai-ramai di Delhi yang meninggal di Singapura kelmarin dijangka berkahwin dengan teman lelakinya dalam tempoh beberapa minggu lagi, menurut beberapa rakannya.

Mangsa yang juga anak kesayangan bapanya diyakini oleh semua rakan bakal mencapai kejayaan selepas selesai menamatkan pengajian dalam bidang perubatan.


Ketika rakyat India meluahkan simpati yang mendalam terhadap mangsa berusia 23 tahun yang diperkosa oleh sekumpulan perogol pada 16 Disember lalu itu, mereka yang mengenalinya menggambarkan mangsa sebagai seorang wanita muda yang sedang dilamun cinta dan disayangi ramai. Walaupun belum rasmi bertunang, semua rakan mengetahui mangsa merancang untuk berkahwin dengan teman lelakinya yang turut cedera parah dalam serangan itu yang menyebabkan kematian mangsa. Rakan mangsa, Meena Rai berkata, dia menemani mangsa membeli-belah pakaian dan hadiah perkahwinan. "Dia sepatutnya berkahwin Februari depan dengan lelaki sama yang turut diserang dalam bas itu bersamanya," katanya yang tinggal bersebelahan kediaman mangsa di Mahavir Enclave, kawasan kejiranan di barat daya New Delhi.

"Mereka telah membuat semua persediaan dan merancang parti perkahwinan di Delhi," katanya. Seorang lagi rakan yang menghadiri upacara pembakaran mayat semalam mengesahkan majlis perkahwinan akan berlangsung dalam tempoh beberapa minggu lagi.


"Kami tahu dia akan berkahwin Februari depan. Seluruh kawasan kejiranan sangat teruja mengenainya," kata Usha Rai.


Pada 16 Disember lalu, mangsa dan teman lelakinya keluar menonton wayang gambar "The Life of Pi" di pusat beli-belah sebelum menaiki bas yang disangka akan membawa mereka pulang. Menurut laporan, serangan terhadap pasangan itu bermula apabila teman lelaki mangsa menjadi bahan cemuhan mengenai mengapa seorang wanita yang belum berkahwin berada di luar rumah pada lewat malam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


4 dibunuh cuba curi mayat ketua kartel dadah

Posted: 30 Dec 2012 08:27 AM PST

BANDAR RAYA MEXICO: Anggota marin Mexico membunuh empat lelaki bersenjata yang cuba mencuri mayat ketua kartel dadah Zetas yang dibunuh tentera sehari sebelum itu di negeri Veracruz.

Kerajaan negeri berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu mahu mengambil mayat Angel Enrique Uscanga atau nama gelarannya, "The Pokemon" yang dikenal pasti sebagai pemimpin kumpulan ganas di wilayah itu. Kumpulan lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah anggota marin dari kenderaan mereka sebaik tiba malam Sabtu lalu dekat bangunan di bandar Cordoba, di mana pihak berkuasa menyimpan mayat Uscanga dan empat lagi yang mati dalam pertempuran dengan tentera. Anggota marin membalas tembakan dan membunuh empat lelaki bersenjata terbabit. Pihak berkuasa turut merampas bom tangan dan senjata lain.


Pada Oktober lalu, pemimpin kartel Zetas Heriberto Lazcano ditembak anggota marin Mexico di utara negara itu dan mayatnya dicuri dari rumah mayat 12 jam kemudian.

Keadaan itu menimbulkan keraguan di Mexico mengenai sama ada pemimpin dadah itu benar-benar terbunuh, tetapi pihak berkuasa berkata, cap jari dan foto yang diambil sebelum kecurian itu membuktikan mangsa telah dibunuh.


Pihak berkuasa Veracruz berkata, Uscanga dan empat lagi lelaki dibunuh dalam pertempuran dengan tentera Khamis lalu, tetapi kerajaan tidak memberikan maklumat lanjut mengenainya selain menyatakan ia juga berlaku di Cordoba. Anggota marin merampas enam raifal, satu roket dan sebuah pelancar roket. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Drebar teksi pulang wang RM300,000

Posted: 30 Dec 2012 08:27 AM PST

BANGKOK: Seorang pemandu teksi memulangkan sebuah beg mengandungi tiga juta baht (RM299,755) kepada pengendali trak pembawa wang tunai yang tercicir wang itu di Jalan Rama III.

Pongsin Jirakulthavornpat memberitahu Jor Sor 100, stesen radio trafik dimiliki tentera bahawa dia memandu di jalan itu bersendirian kira-kira jam 2 pagi semalam apabila menemui beg mengandungi wang berkenaan.


Dia mengambilnya sebelum menghubungi stesen radio terbabit agar mencari pemilik wang berkenaan.

Pada jam 6 pagi, kakitangan keselamatan trak pembawa wang tunai milik syarikt Brink membuat laporan di balai polis Bukalo mengenai kehilangan satu daripada 27 beg mengandungi wang tunai dengan jumlah keseluruhan 53 juta baht (RM5.3 juta) ketika membawa wang itu untuk dimasukkan ke dalam mesin teler automatik (ATM) Bank Komersial Siam di kawasan Thon Buri. Ketua trak itu, Tossaporn Rewnak berkata, dia dan rakannya dimaklumkan penunggang motosikal dekat Hospital Krungdhon 1 di jalan Taksin bahawa satu daripada dua pintu belakang trak itu terbuka.


Mereka memberhentikan kenderaan itu dan mendapati kunci pintu belakang trak yang terbuka itu tertanggal. Mereka kemudian menghitung beg wang itu dan mendapati satu daripadanya sudah hilang. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


7 cedera bom meletup dalam bas

Posted: 30 Dec 2012 08:26 AM PST

ISULAN (Filipina): Sebutir bom meletup dalam bas penumpang dan mencederakan sekurang-kurangnya tujuh orang di selatan negara ini dalam serangan dipercayai dilakukan kumpulan peras ugut, kata polis semalam.

Bom buatan sendiri itu meletup di bahagian belakang bas yang membuat perjalanan lewat malam semalam di bandar Isulan di wilayah Sultan Kudarat.


Letupan itu merosakkan kenderaan terbabit dan menyebabkan kebakaran kecil, tetapi tidak mengakibatkan kecederaan parah antara penumpang dan pemandunya, kata Ketua Polis Superintendan Rolen Balquin. Bagaimanapun, letupan itu menyebabkan kaca tingkap bas penumpang bersebelahan pecah mencederakan pemandu dan dua penumpangnya. Empat orang yang berada di tepi jalan di situ turut cedera ekoran terkena serpihan kaca. Insiden itu berlaku walaupun kawalan keselamatan dipertingkat ekoran kemungkinan serangan sama yang mensasarkan penumpang bas di selatan negara berkenaan pada masa lalu. Balquin berkata, anggotanya menangkap seorang ahli kumpulan peras ugut terkenal, Al Khobar yang meletupkan sebutir bom tepi jalan bulan lalu di bandar Tacurong. Suspek memberitahu polis, serangan itu adalah sebahagian cubaan memeras ugut wang daripada syarikat bas. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Lelaki bawa dadah dari Malaysia ditahan

Posted: 30 Dec 2012 08:26 AM PST

MEDAN: Pegawai Pejabat Kastam dan Eksais Medan di Sumatera Utara menahan seorang lelaki, Tjioe Mak Jie kerana cuba menyeludup dadah dari Malaysia ke Indonesia.

Tjioe, 45, dari Jalan Tangguk Bongkar ditahan membawa 710 gram serbuk methamphetamine atau dikenali sebagai serbuk meth ketika tiba di Lapangan Terbang Polonia, Medan Jumaat lalu. Pegawai kastam dikenali sebagai Rizki disyaki berkelakuan mencurigakan sejurus tiba di lapangan terbang itu.


Pegawai kastam kemudian melakukan pemeriksaan keselamatan dan menemui dua pakej serbuk meth dalam kasut suspek. "Dadah itu dibawa dari Malaysia dan disembunyikan dalam kasutnya," kata Rizki. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


3 banduan tawan pengawal penjara sebagai tebusan

Posted: 30 Dec 2012 08:25 AM PST

RATCHABURI: Tiga banduan di penjara Khao Bin semalam menjadikan pengawal penjara sebagai tebusan selepas mereka cuba melarikan diri dari kompleks penjara, lapor laman web Daily News.

Laman web akhbar itu melaporkan, ketiga-tiga banduan terbabit yang ditahan di Zon 6 penjara berkenaan, memandu traktor yang digunakan untuk pembinaan bangunan dalam tembok penjara kira-kira jam 3.30 petang. Pengawal penjara terbabit ternampak percubaan mereka untuk melarikan diri dan cuba menghalangnya. Bagaimanapun, dia ditangkap tiga lelaki terbabit yang bersenjatakan pisau dan objek logam tajam. Dua daripada tiga tahanan itu adalah pesalah dadah dan seorang disabitkan dengan kesalahan membunuh serta menjalani hukuman penjara seumur hidup. Mereka menawan pengawal penjara itu dalam bangunan yang masih dalam pembinaan. Pihak polis dilaporkan masih berunding dengan mereka agar menyerah diri. Ratusan anggota polis, termasuk polis rusuhan dikerah ke penjara itu kerana pihak berkuasa bimbang keadaan itu akan mendorong tahanan lain membuat kekacauan. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


No comments:

Post a Comment