Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Faizal disambar

Posted: 30 Dec 2012 08:15 AM PST

IMPIAN Faizal Saari untuk beraksi di luar negara tercapai akhirnya selepas penyerang skuad hoki negara berusia 21 tahun itu disambar oleh kelab Mumbai Magicians untuk beraksi dalam Liga Hoki India (HIL) yang bakal berlangsung selama sebulan bermula 16 Januari depan.

Kali pertama dianjurkan, HIL menyaksikan penampilan ramai pemain berstatus bintang dari seluruh dunia yang dipilih untuk beraksi bersama lima kelab yang bakal bersaing dalam liga itu.


Selain Faizal, penjaga gawang negara, S Kumar juga terpilih untuk beraksi dengan kelab Uttar Pradesh Wizards.

Apa yang menarik kedua-duanya bakal menerima gaji cukup lumayan dalam tempoh singkat itu dengan Faizal ditawarkan gaji sebanyak AS$26,000 (RM79,560) sementara Kumar pula AS$15,000 (RM45,900).


Jumlah itu difahamkan lebih besar berbanding gaji diterima oleh pemain negara yang beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM).


"Inilah impian yang saya nantikan sejak dulu lagi iaitu untuk beraksi di luar negara. Saya memang mahu belajar sesuatu yang baru selain daripada beraksi di liga Malaysia.

"Sudah tentu saya gembira kerana terpilih untuk beraksi di HIL sebab bukan mudah untuk menempatkan diri di liga yang juga disertai ramai pemain hebat.


"Bagi saya wang bukan soal utama tapi seperti yang saya katakan tadi, kesempatan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman baru," katanya yang mengesahkan menerima gaji lumayan itu.

Jelas Faizal, dia mungkin akan berangkat ke India pada 8 Januari kerana jurulatih kelabnya itu mahu menemui pemain hari berikutnya.


Faizal yang sering menjadi tonggak utama skuad negara, sebelum ini pernah menimba pengalaman di liga Australia bersama kelab Southern Hotshots tetapi dia tidak dapat menyertai satu musim penuh berikutan masalah visa.


Pemain kelahiran Terengganu itu kemudiannya menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab Sepanyol, Athletic Terassa Club sekitar Julai lalu, tetapi dia terpaksa menolaknya kerana khidmatnya lebih ditagih skuad negara menghadapi saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Permulaan sempurna

Posted: 30 Dec 2012 08:11 AM PST

ABU DHABI: Novak Djokovic memulakan musim dengan sempurna apabila menundukkan Nicolas Almagro 6-7 (4/7), 6-3, 6-4 pada final kejohanan pertunjukan, Kejohanan Mubadala, awal pagi semalam.

Djokovic tampil penuh bertenaga pada perlawanan separuh akhir Jumaat lalu apabila dia membenam pemain nombor lima dunia, David Ferrer dalam straight set, manakala Almagro, pengganti saat akhir Rafael Nadal yang menarik diri kerana kecederaan, dipaksa bertungkus-lumus oleh Janko Tipsarevic.


Namun pemain Sepanyol itu menamatkan set pertama 7/4 menerusi tie-break, dengan Djokovic, pemenang tahun lalu, ada ketikanya kelihatan tidak bermaya.

Pemain nombor satu dunia itu bagaimanapun segera bangkit dan dia mematahkan servis Almagro bagi memulakan set kedua, namun dia gagal menjadikan kedudukan 2-0 apabila Almagro merampas semula servisnya.


Satu 'double-fault' daripada pemain Sepanyol itu membolehkan pemain Serbia itu kembali di depan dan kali ini dia berjaya mengekang lawan dan memenangi set kedua.


Set penentuan berlanjutan hingga permainan ke-10 apabila Almagro melakukan tiga kesilapan servis berturut-turut sekali gus menghadiahkan Djokovic kemenangan.

"Ia satu lagi pengalaman fantastik buat saya beraksi di Abu Dhabi. Ini satu kejohanan yang amat bagus, anda sering berdepan perlawanan hebat, yang sukar menentang lawan hebat, begitu juga penonton yang ramai," kata Djokovic.


Almagro berkata: "Saya gembira beraksi di sini dan berterima kasih kepada penganjur kerana memanggil saya pada saat akhir kerana ia sesuatu yang mengagumkan untuk berada di sini." Perlawanan bagi tempat ketiga-keempat dimenangi pemain Sepanyol, Ferrer apabila dia mengalahkan Tipsarevic dari Serbia 7-6 (7/4), 6-2.

Semua empat pemain akan menuju ke Australia untuk melengkapkan persiapan mereka menghadapi Terbuka Australia yang bermula 14 Januari ini di Melbourne dengan Djokovic adalah juara bertahan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Jadual Ferrer terlalu padat

Posted: 30 Dec 2012 08:11 AM PST

MADRID: Skuad Piala Davis Sepanyol 2013, yang kehilangan Rafael Nadal kerana kecederaan, menerima satu lagi tamparan apabila pemain nombor lima dunia, David Ferrer berkata dia akan terlepas aksi pembukaan musim menentang Kanada.

Ejen Ferrer, Albert Molina, mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu tidak akan beraksi bagi perlawanan Kumpulan Dunia dari 1 hingga 3 Februari di Vancouver.


"Ia kerana jadual perlawanan. Dia bermain di Doha dan Auckland dan kemudian Terbuka Australia, jadi dia tidak boleh terus ke Kanada selepas itu," kata Molina.

"Dia akan hanya terlepas perlawanan menentang Kanada. Perlu diingatkan David hanya mempunyai cuti selama lima hari tahun ini, jadi ia pasti memenatkan. Dia perlu memikirkan mengenai diri sendiri." Juara lima kali Sepanyol, yang muncul naib juara di tangan Republik Czech musim ini, akan tampil tanpa pemain nombor empat dunia, Nadal, yang diketepikan sejak Jun lalu kerana kecederaan lutut.


Juara Grand Slam 11 kali itu dijadualkan kembali di negara Teluk minggu ini namun mengumumkan minggu lalu virus dalam perut menyebabkannya tidak boleh beraksi pada Terbuka Australia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Andrea terlepas Terbuka Australia akibat lutut

Posted: 30 Dec 2012 08:10 AM PST

PERTH (Australia): Impian bekas pemain 10 terbaik dunia, Andrea Petkovic untuk beraksi pada Terbuka Australia musnah selepas dia mengalami kecederaan lutut pada Piala Hopman.

Pemain Jerman yang mudah mengalami kecederaan itu terpaksa memutuskan untuk tidak meneruskan perlawanan perseorangan pada kejohanan berpasukan campuran itu kelmarin berikutan kecederaan lutut kanan, selepas memenangi set pertama menentang pemain remaja Australia, Ashleigh Barty.


Dia menarik diri daripada Piala Hopman, yang mana dia bergandingan dengan pemain veteran, Tommy Haas dan akan pulang segera ke Jerman bagi menjalani pemulihan.

Andrea berharap diketepikan selama sebulan saja dan berkata dia lega kerana kecederaan itu tidak terlalu serius berbanding 2008.


"Saya berasa lega ia bukannya ACL, saya bimbang sesuatu yang lebih buruk. Saya harap semuanya baik selepas sebulan." Andrea, 25, mengalami ACL pada perlawanan pertamanya pada Terbuka Australia 2008. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Falcao idam kota janji kelab

Posted: 30 Dec 2012 08:10 AM PST

DUBAI: Penyerang Atletico Madrid, Radamel Falcao berkata dia akan kekal bersama kelab Sepanyol itu hingga sekurang-kurangnya hujung musim ini dan dia tidak bercadang untuk berhijrah dalam masa terdekat.

"Saya berasa bangga apabila mendapat tahu beberapa kelab besar mahukan saya dalam pasukan mereka," katanya kepada wartawan ketika satu persidangan sukan di Dubai.


Dia menjelaskan perpindahan pada musim sejuk tidak pernah difikirkannya dan berkata: "Sasaran saya adalah untuk memenuhi cita-cita kelab ini." "Saya akan menunggu hingga hujung musim dan saya tidak tahu apa akan berlaku selepas itu," katanya.

Oktober lalu, Falcao, yang menjadi buruan kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan Chelsea, berkata dia tidak terfikir langsung untuk meninggalkan Atletico Madrid "buat masa ini". - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Del Piero jadi sasaran

Posted: 30 Dec 2012 08:09 AM PST

MELBOURNE: Bekas pemain sensasi Itali, Alessandro Del Piero perlu diberi lebih perlindungan ketika beraksi di atas padang selepas melalui satu lagi perlawanan yang agak kasar bersama kelabnya, Sydney FC dalam saingan Liga A, kata jurulatih kelab itu, Frank Farina.

Pemain veteran berusia 38 tahun itu yang pernah memenangi Piala Dunia bersama Itali tidak dapat diturunkan apabila bertemu Adelaide United hari ini selepas menjadi sasaran pertahanan lawan ketika Sydney menang 1-0 ke atas pendahulu liga, Central Coast Mariners, minggu lalu.


"Dia dikasari sebanyak lapan hingga 10 kali ketika perlawanan itu dan akibatnya, dia tidak dapat turun berlatih dan tidak cergas sepenuhnya.

"Ia satu tamparan buat kami dan sesuatu yang memalukan bagi penduduk Adelaide. Saya rasa dia perlu diberi lebih perlindungan ketika beraksi di padang.


"Corak permainan kami agak kasar dan Del Piero adalah seorang pemain tegap yang dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan sebegitu, tapi dia sering dikasari dan jika ia terus berlaku, dia pasti akan terlepas untuk beraksi kerana faktor kecederaan," katanya.


Selepas menyertai Sydney, Del Piero melalui musim suram bersama kelab yang sedang bergelut itu dengan terlepas beberapa perlawanan kerana kecederaan hamstring.

Del Piero pernah mengadu mengenai kekasaran yang diterimanya ketika beraksi bersama kelab itu, sekali gus menguatkan spekulasi kelab itu mungkin akan membenarkannya meninggalkan kelab itu.


Sydney ketika ini menduduki tangga kedua tercorot dalam 10 pasukan yang beraksi di liga itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Hakeem kendali skuad Iraq

Posted: 30 Dec 2012 08:09 AM PST

KUALA LUMPUR: Persatuan bola sepak Iraq melantik Hakeem Shakir sebagai ketua jurulatih sekali gus menamatkan spekulasi pelantikan Diego Maradona bagi jawatan itu.

Hakeem, 49, yang mengemudi Iraq ke pusingan akhir Kejohanan B-19 Asia di Emiriah Arab Bersatu tahun ini, menjadi jurulatih sementara pasukan kebangsaan sejak jurulatih dari Brazil, Zico meletak jawatan November lalu.


FA Iraq mengesahkan pelantikan Hakeem, menurut Konfederasi Bola Sepak Asia dalam laman web rasmi semalam.

Awal bulan ini, ejen mewakili Maradona berkata bintang legenda Argentina itu, bekas jurulatih kelab UAE, Al Wasl dan kini pakar runding mereka, teruja dengan prospek mengemudi Iraq ke pusingan akhir Piala Dunia Brazil 2014.


Bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson dari Sweden turut dicalonkan untuk mengisi kekosongan jawatan itu.


Tugasan pertama Hakeem selepas pelantikannya secara tetap adalah Piala Negara-Negara Teluk di Bahrain, minggu depan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Liberia pecat jurulatih Smith

Posted: 30 Dec 2012 08:08 AM PST

MONROVIA: Liberia memecat jurulatih kebangsaan, Kaetu Smith serta seluruh kakitangan kejurulatihan kelmarin selepas keputusan buruk yang menjejaskan peluang pasukan itu layak ke Piala Dunia 2014.

Pemain legenda Liberia, George Weah ditugaskan untuk mencari pengganti Smith yang hanya bertugas selama tujuh bulan namun menyaksikan pasukan negara itu hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan kelayakan Piala Dunia setakat ini.


"Persatuan Bola sepak Liberia membubarkan keseluruhan kakitangan kejurulatihan pasukan kebangsaan Liberia berikutan persembahan buruk dalam pertandingan antarabangsa akhir-akhir ini," menurut satu kenyataan.

"LFA melantik George Weah untuk mengetuai satu jawatankuasa bagi membentuk kakitangan teknikal baru secepat mungkin kerana pasukan kebangsaan akan kembali beraksi pada kelayakan Piala Dunia, Mac depan." Smith hanya mengendalikan lima perlawanan sejak dilantik Mei lalu namun gagal mencatat sebarang kemenangan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


‘Kami mangsa silap pengadil’

Posted: 30 Dec 2012 08:06 AM PST

NORWICH (England): Pengurus Manchester City, Roberto Mancini mendakwa pasukannya menjadi mangsa kesilapan pengadil selepas Samir Nasri dibuang padang kerana menghantuk kepala pemain lawan ketika skuad juara bertahan itu menang 4-3 di Norwich.

Pengendali dari Itali itu tidak gembira dengan keputusan pengadil Mike Jones yang melayangkan kad merah kepada Nasri atas kesalahan bergaduh dengan pemain pertahanan Norwich, Sebastien Bassong yang hanya menerima kad kuning dalam insiden yang berlaku pada babak pertama di Carrow Road, kelmarin.


Mancini sudah diminta oleh Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan yang dibuat selepas kekalahan 0-1 di tangan Sunderland Rabu lalu apabila beliau menyatakan pengadil Kevin Friend "terlalu banyak makan pada hari Krismas." City akan memohon rayuan kad merah Nasri itu yang bakal mengakibatkan pemain itu digantung tiga perlawanan namun sama ada FA akan menerima teori konspirasi Mancini itu sehingga kini masih belum pasti.

"Kedua-dua pemain masing-masing menggunakan kepala jadi jika anda mahu membuang seorang pemain, anda perlu membuang kedua-dua pemain itu sekali gus, bukan hanya Nasri seorang," katanya.


"Nasri kata dia menggunakan kepalanya jadi OK tapi pemain lawan juga melakukan perkara sama.


"Penjaga garisan juga perlu bertanggungjawab kerana ia bukan keputusan yang tepat.

"Anda mahu mengarahkan kedua-dua pemain keluar padang? Ia keputusan yang OK kerana pengadil ada di situ, beliau melihat semuanya. Penjaga garisan di belakang pemain, beliau tidak dapat melihat. Kami akan membuat rayuan." Mancini mengakui Nasri sepatutnya dipersalahkan kerana bertindak balas atas kekasaran dilakukan Bassong seminit sebelum babak pertama tamat tetapi beliau menegaskan City mendapat layanan kurang adil berbanding pasukan lain.


"Saya tidak berpuas hati dengan Nasri dan dia akan didenda namun keputusan yang dibuat oleh pengadil tidak betul," katanya.

"Nasri memang melakukan kesilapan namun selepas pemain lain juga melakukan perkara yang sama, mengapa pengadil hanya membuang seorang pemain saja?" - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Wenger yakin Walcott kekal

Posted: 30 Dec 2012 08:06 AM PST

LONDON: Arsene Wenger menegaskan beliau boleh meyakinkan Theo Walcott untuk kekal di Arsenal selepas bintang England itu mencipta hatrik ketika membelasah Newcastle di Emirates, awal pagi semalam.

Skuad Gunners kenduri gol apabila membenam Newcastle 7-3 untuk melakar kemenangan keempat berturut-turut sejak disingkirkan oleh pasukan Liga Dua, Bradford City dalam kempen Piala Liga.


Paling mendapat tumpuan pada perlawanan itu adalah aksi hebat Walcott yang bermain di posisi penyerang dan pemain berusia 23 tahun itu membuka tirai jaringan pada babak pertama sebelum meledak dua gol lagi untuk memastikan mata penuh buat skuad dari utara London itu.

Bekas bintang Southampton itu masih belum menandatangani kontrak baru untuk kekal di Emirates selepas tamat musim ini meskipun sudah ditawarkan gaji baru.


Namun Wenger kagum dengan persembahan Walcott dan pengendali dari Perancis itu yakin persetujuan akan dicapai selepas ini.


"Dia bermain sangat baik dan mempamerkan kemampuan sebenarnya," kata Wenger.

"Dia boleh bermain sebagai penyerang tengah dan saya yakin prestasinya terus meningkat. Saya percaya dia kini menjadi penyerang yang bagus. Dia banyak belajar kerana dia pemain yang bijak dan dia akan terus meningkat.


"Keinginan saya untuk mengekalkannya di sini tetap tidak berubah seperti sebelum perlawanan ini lagi. Keinginan saya adalah untuk melihat dia menandatangani sambungan kontrak dan saya fikir tempatnya adalah di sini.

"Saya berharap kami boleh melakukannya. Saya fikir dia suka kelab ini, sama seperti kelab ini menyukainya." Walcott mempamerkan persembahan memukau dari awal hingga tamat sekali lagi memperlihatkan kemampuan berbeza Arsenal musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


No comments:

Post a Comment