Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Hadiah kahwin RM500 juta

Posted: 02 Jan 2013 02:07 PM PST

BEIJING: Seorang jutawan China menghadiahkan pelbagai barangan berharga bernilai RM500 juta, termasuk empat kotak barang kemas, dua kereta mewah, saham dan beberapa rumah sempena perkahwinan anak perempuannya.

Media melaporkan, Pengerusi Kumpulan Fujian Wanli, Wu Duanbiao, juga bermurah hati memberikan anaknya akaun bank dengan simpanan bernilai RM10 juta serta pelbagai rumah mewah. Gambar hadiah perkahwinan itu dimuat naik di Internet mulai kelmarin selepas majlis penuh meriah selama lapan hari itu berakhir.


Majlis itu diadakan di bandar Cizao, Jinjiang, Fujian. Wu - pemilik syarikat pengeluar seramik - turut menganugerahkan menantunya pemilikan sebuah rangkaian kedai runcit di Quanzhou, vila mewah serta rumah agam Wanda. Tidak cukup dengan itu, menantu Wu memperoleh 500 juta saham dalam syarikat Fujian Wanli dengan nilai lebih RM50 juta dan masing-masing sebuah kereta Porsche serta Mercedes yang dihiasi reben merah. Kegembiraan perkahwinan itu turut dikongsi dua pertubuhan kebajikan tempatan yang menerima derma bernilai RM7.5 juta.

Nilai kekayaan sebenar Wu, 54, tidak diketahui dan rekod syarikatnya menunjukkan dia hanya menerima gaji sebanyak RM60,000 tahun lalu. Sementara itu, isteri Wu menggambarkan menantu mereka sebagai 'pemuda yang hebat'.


Sebagai ibu bapa, kata isteri Wu, dia dan suaminya mahukan anak mereka hidup dengan stabil berbanding diri mereka sebagai ahli perniagaan. Ketika ini, menurut laporan media tempatan, pasangan pengantin baru itu mempunyai jawatan dalam lembaga pengarah syarikat Wu.


Mereka juga dilaporkan merancang penyenaraian saham syarikat itu di bursa Korea Selatan. Menantu Wu - hanya dikenali sebagai Xu - adalah kakitangan kerajaan dan mengenali kekasihnya sejak zaman kanak-kanak. Jurucakap Wu mengesahkan pemberian hadiah berkenaan, tetapi menafikan pesta meraikannya berlangsung selama lapan hari.

"Wu suka melakukan sesuatu secara sederhana," katanya. Berdasarkan maklumat di Internet, jamuan perkahwinan anak Wu itu bermula pada 28 Disember dan berlangsung selama lapan hari bagi meraikan tetamu yang ramai. Memberi hadiah mahal memang menjadi tradisi perkahwinan di Fujian, terutama di kawasan Jinjiang dan Shishi. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Juruterbang ternampak pencuri masuk rumah

Posted: 02 Jan 2013 09:37 AM PST

TALLAHASSEE: Seorang juruterbang, David Zehntner tidak menyangka dapat mengesan pencuri ketika dia menerbangkan pesawat peribadinya dari North Carolina ke rumahnya di Florida, semalam.

Jurucakap Sheriff Daerah Charlotte berkata, Zehntner ternampak sebuah trak diletakkan di laluan masuk ke rumahnya.


"Dia merendahkan pesawat dipandu untuk melihat apa yang berlaku di situ.

"Ketika itu Zehntner ternampak seorang lelaki melihat ke arahnya dari tingkap sebelum melarikan diri menaiki trak berkenaan," katanya.


Zehntner segera menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu sebelum dia mengekori pencuri terbabit dari udara. Suspek terbabit akhirnya ditahan polis ketika dia berhenti di satu simpang dan didakwa kerana mencuri.


Jurucakap itu berkata, polis turut menemui sepucuk raifal lengkap berpeluru dalam trak suspek. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Klinik swasta jadi pilihan

Posted: 02 Jan 2013 09:36 AM PST

SINGAPURA: Data kerajaan menunjukkan hospital swasta semakin menjadi pilihan untuk ibu hamil melahirkan anak masing-masing ketika permintaan terhadap perkhidmatan hospital awam semakin merosot.

Pakar populasi dan sosiologi berpendapat, kecenderungan itu mungkin disebabkan jumlah golongan kaya semakin bertambah di negara itu.


Permintaan untuk hospital swasta juga, kata mereka, semakin meningkat mungkin dipengaruhi keinginan orang awam mendapatkan perkhidmatan lebih baik berbanding hospital awam.

Kebanjiran warga asing ke Singapura turut dikaitkan dengan perkembangan itu. Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun lalu, iaitu tahun naga mengikut kalendar Cina, 61.3 peratus daripada keseluruhan kelahiran dicatatkan di Singapura berlaku di hospital swasta.


Angka itu meningkat daripada 53.9 peratus untuk tempoh sama pada 2000 yang juga tahun naga mengikut kalendar Cina. Bagaimanapun, kadar kelahiran di hospital awam sekadar 38.4 peratus antara Januari hingga November 2012 berbanding 45.8 peratus bagi tempoh sama pada 2000.


Baki kelahiran bayi di Singapura berlaku di rumah atau beberapa lokasi lain. Perubahan persepsi juga, kata penganalisis menjadi sebab lebih ramai penduduk Singapura memilih hospital swasta untuk bersalin. Pensyarah sosiologi Universiti Kebangsaan Singapura, Prof Madya Tan Ern Ser, berkata persepsi orang awam adalah perkhidmatan dan kemudahan di hospital swasta lebih baik.

"Mungkin juga pasangan kelas pertengahan bersedia membayar lebih jika mereka hanya mahukan seorang atau dua anak," katanya. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Komunis batal gencatan senjata

Posted: 02 Jan 2013 09:36 AM PST

MANILA: Pemberontak komunis di Filipina membatalkan gencatan senjata dengan kerajaan semalam, hampir dua minggu sebelum tarikh sepatutnya, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap masa depan rundingan damai.

Parti Komunis Filipina (CPP) menyalahkan kerajaan atas keputusan itu.


Menurut CPP, gencatan senjata itu yang dijadual berlangsung dari 20 Disember hingga 15 Januari ditamatkan tengah hari semalam kerana mereka percaya kerajaan cuma mahu ia berlangsung sehingga tempoh berkenaan. "CPP dan militia rakyat perlu meneruskan gerakan menyerang serta perseteruan serta-merta," kata kenyataan dikeluarkan itu. Sementara itu. jurucakap presiden, Edwin Lacierda berkata, kerajaan perlu memantau gencatan senjata berkenan sehingga 15 Januari ini. "Pemberontak mendapati gencatan senjata yang berpanjangan memudaratkan CPP menyebabkan mereka memendekkannya dan menyalahkan kerajaan.

"CPP sentiasa mencari alasan dan kini, sekali lagi mereka cuba untuk menggagalkan usaha perdamaian," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Dua pelajar mati hidu asap gunung berapi

Posted: 02 Jan 2013 09:35 AM PST

JAKARTA: Dua pelajar sekolah menengah ditemui mati di Gunung Sindoro, Jawa Tengah, tengah hari semalam selepas terhidu asap beracun dari gunung berapi aktif.

Mangsa dikenali sebagai Mufakin, 15, dan Fuad, 16.


Jurucakap pasukan mencari dan menyelamat Wonosobo berkata, Mufakin dan Fuad adalah pelajar Sekolah Menengah Rendah Kapulogo di daerah Kepil Wonosobo.

Katanya, mayat remaja terbabit ditemui berhampiran kawah Gerawah.


"Ketika ditemui, kami mendapati udara di kawasan itu dipenuhi bau sulfur," katanya. Menurut jurucakap itu, Mufakin dan Fuad pendaki amatur dan tidak membawa kelengkapan ketika ke situ.


"Mayat mereka dibawa turun melalui laluan Kledung berhampiran daerah Temanggung," katanya. - tempo.co

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


73 Rohingya akan dihantar pulang

Posted: 02 Jan 2013 09:35 AM PST

PHUKET: Pegawai kerajaan semalam berkata, 73 pelarian Rohingya yang ditemui di perairan sebuah pulau percutian Thailand akan dihantar pulang ke negara mereka.

Gabenor Phuket, Maitri Inthusut, berkata pelarian terbabit mengaku tidak mampu meneruskan pelayaran untuk ke Malaysia kerana kepenatan dan bimbang ditimpa bencana di lautan. "Daripada 73 pelarian Rohingya itu, 12 adalah kanak-kanak.


"Mereka akan dihantar kembali ke Myanmar melalui jalan darat menaiki kenderaan disediakan polis imigresen Thailand," katanya. Sementara itu, pelarian terbabit diberikan bekalan ubat-ubatan, makanan dan minyak untuk membantu mereka meneruskan perjalanan.

Thailand mengamalkan dasar tidak menerima pelarian asing tetapi sedia membantu mereka tiba ke negara ketiga. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Takkan bela

Posted: 02 Jan 2013 09:35 AM PST

NEW DELHI: Peguam di sebuah mahkamah yang membicarakan kes rogol beramai-ramai yang mengejutkan seluruh India berkata semalam, mereka tidak akan membela lelaki yang dituduh terbabit dalam serangan dan pembunuhan itu.

Perbicaraan dijangka bermula esok di mahkamah daerah Saket, selatan New Delhi.


Polis dipercayai akan mengemukakan secara rasmi kertas pertuduhan setebal 1,000 muka surat terhadap kumpulan enam lelaki berkenaan.

"Kami mengambil keputusan bahawa tidak ada pegguam yang akan membela tertuduh kerana ia adalah sesuatu yang tidak bermoral untuk membela mereka," kata Sanjay Kumar, peguam dan anggota Majlis Peguam Daerah Saket.


Kumar berkata, 2,500 peguam yang berdaftar dengan mahkamah itu mengambil keputusan demikian bagi memastikan 'keadilan segera,' yang bermakna kerajaan perlu melantik peguam untuk defendan.


Seorang lagi peguam di mahkamah itu mengesahkan pemulauan berkenaan.

Lima lelaki dijangka dituduh merogol, membunuh dan menculik di Mahkamah Saket dan pihak pendakwa raya dipercayai akan meminta hukuman mati dijatuhkan ke atas mereka.


Seorang lagi suspek berusia 17 tahun akan dibicarakan di mahkamah juvana.

Bagaimanapun, polis menjalankan ujian tulang untuk memastikan usia sebenarnya.


Kekejaman serangan terhadap pelajar berusia 23 tahun itu mencetuskan keganasan di New Delhi dan beberapa bandar lain di seluruh India kerana membantah pencabulan berleluasa ke atas wanita dan jenayah seks di negara berkenaan.


Mangsa rogol itu mati di Singapura hujung minggu lalu akibat cedera teruk hingga sebahagian ususnya terpaksa dibuang.


Dia dilapor dirogol berulang kali dan dipukul dengan besi dalam sebuah bas pada 16 Disember sebelum dicampakkan dari kenderaan yang bergerak itu. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Bunuh isteri ketika lawat penjara

Posted: 02 Jan 2013 09:33 AM PST

MAZAR-I-SHARIF: Seorang banduan membunuh isterinya yang melawatnya di penjara. Polis berkata, banduan itu, Din Mohammad bertindak demikian kerana mendakwa isterinya curang selepas dia dipenjara kerana membunuh anggota keluarga wanita itu.

Din menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana perbuatannya membunuh ibu mentua, kakak iparnya serta abang wanita itu di wilayah Samangan, dua tahun lalu.


Isterinya yang namanya tidak didedahkan, melawatnya di penjara di Aybak Isnin lalu dan ditemui mati di sebuah bilik yang dikhaskan untuk banduan menemui isteri mereka.

Dia mengaku membunuh isterinya, kata Ketua Polis wilayah Samangan, Ikram Nikzad.


"Dia diberitahu oleh ibunya bahawa isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.


"Apabila isterinya melawatnya di penjara, Din menjerut wanita itu dengan kain tudung mangsa dan membunuhnya ketika mereka berada di bilik itu," kata Ikram ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, polis menahan ibu Din untuk disoalsiasat. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Perogol cuba gilis mangsa dengan bas

Posted: 02 Jan 2013 09:32 AM PST

NEW DELHI: Sekumpulan perogol yang menyerang dan membunuh seorang wanita dalam sebuah bas di New Delhi bulan lalu, cuba melanggar mangsa dengan kenderaan itu selepas memperkosanya.

Teman lelaki mangsa yang dipukul dan dicampak dari bas berkenaan selepas wanita itu diperkosa berulang kali, sempat menariknya sebelum melanggar mangsa.


Menurut laporan akhbar tempatan, mangsa menggigit tiga penyerangnya ketika cuba menyelamatkan diri.

Kecederaan yang dialami penyerang serta bukti forensik, termasuk contoh darah, air mani dan rambut serta kenyataan teman lelaki mangsa dijangka menjadi bukti utama terhadap tertuduh.


"Wanita dan teman lelakinya dibogelkan dan dicampak dari bas itu. Teman lelakinya berjaya menarik mangsa apabila melihat bas itu cuba melanggarnya," lapor akhbar Indian Express.


Akhbar The Times of India berkata, kertas pertuduhan itu bermula dengan butir mengenai bagaimana pemandu kenderaan persendirian itu yang merogol mangsa, mengumpulkan rakannya untuk bersiar-siar.

Satu daripada tuduhan terhadap tertuduh berkait dengan tindakan memusnahkan bukti memandangkan pemandu itu cuba membasuh bas dan membakar pakaian mangsa. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


1,193 kereta musnah dibakar

Posted: 02 Jan 2013 09:30 AM PST

PARIS: Ratusan kereta musnah dibakar di Perancis setiap kali menjelang sambutan Tahun Baru.

Menteri Dalam Negeri, Manuel Valls berkata, kejadian itu dilakukan oleh remaja yang menyambut kedatangan Tahun Baru dan tahun ini saja, 1,193 musnah.


Kenyataannya itu, bersama dengan jumlah kereta yang musnah, adalah yang pertama dibuat dalam masa tiga tahun.

Kerajaan pimpinan bekas Presiden Nicolas Sarkozy menghentikan pendedahan perbuatan itu dalam usaha untuk mengurangkan jenayah.


Kerajaan Parti Sosialis yang mentadbir Perancis sekarang, berpendapat sebaliknya dengan melihat ketelusan sepenuhnya sebagai cara terbaik menangani jenayah berat.


Sebanyak 1,147 kenderaan dibakar pada 31 Disember 2009, iaitu kali terakhir jumlahnya diumumkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


No comments:

Post a Comment