Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sedia bantu

Posted: 03 Jan 2013 04:29 AM PST

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mahu juara baru GP Kebangsaan, Misbun Ramdan Misbun terus mempamerkan peningkatan sekali gus memuncak di pentas antarabangsa, seperti dilakukannya 11 tahun lalu.

"Sekarang kita ada juara baru kebangsaan dan dia masih berada dalam skuad pelapis. Saya harap selepas ini Ramdan akan terus cemerlang, yakin dan lebih bersemangat," kata Chong Wei ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.


Pemain nombor satu dunia itu setuju pemain elit dan pelapis di belakangnya mula menunjukkan peningkatan diharapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama ini.

"Masuk 2013, saya harap pemain remaja mempunyai semangat dan kemahuan baru." Pemain kelahiran Pulau Pinang yang mengumpul 10 gelaran GP Kebangsaan itu juga mengaku tidak akan lokek untuk menurunkan ilmu kepada pemain pelapis negara.


"Saya sedia bantu jika Ramdan mahu, kami berlatih bersama-sama, dia pemain masa depan kita tapi semuanya bergantung kepada diri pemain itu sendiri. Kemahuan tinggi perlu datang daripada mereka." Sementara itu, Chong Wei berkata, dia kini berada di tahap optimum untuk mempertahankan dua kejuaraan kejohanan awal tahun 2013 iaitu Siri Super Premier Terbuka Korea dan Siri Super Terbuka Malaysia.


Pemain negara yang beraksi di kejohanan itu akan bertolak pada Sabtu ini dengan cuaca sejuk pasti menjadi ancaman pencapaian terbaik mereka di negara itu.

Terbuka Korea akan berlangsung dari 8-13 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Strategi baru Savio hadapi aksi LTdL

Posted: 02 Jan 2013 09:24 AM PST

PENGURUS legenda dunia berbasikal, Gianni Savio yang membimbing Androni-Venezuela sedar berdepan tugas sukar mempertahankan trofi juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 apabila kehilangan tiga tonggak yang membantu mereka merangkul gelaran itu.

Namun pada masa sama, beliau menegaskan kehadiran mereka di bumi Malaysia bukan untuk melancong.


Androni-Venezuela kini tampil tanpa Jose Serpa, Jose Rujano dan Jonathan Monsalve yang sudah berpindah ke pasukan lain dan walaupun Monsalve bakal kembali ke Malaysia bersama pasukan baru, Vini Fantini, pasukan berpangkalan di Itali ini tetap memiliki senjata baru. "Kami akan mencipta sesuatu yang baru," janji Savio yang sedar pasukannya tidak akan menurunkan pelumba pilihan untuk bersaing dalam klasifikasi keseluruhan dan berentap dengan pelumba handalan seperti Pierre Rolland dari Europcar dan wakil Orica-GreenEdge, Cameron Meyer. "Kami akan memberi peluang kepada dua pelumba profesional muda dari Itali, Diego Rosa yang memenangi peringkat sukar Giro Bio tahun lalu bagi menjalankan tugas sebagai pelumba pendaki.

"Patrick Facchini yang mengumpul lapan kemenangan dan dipilih sebagai Pelumba Elit Terbaik Tuttobici Oscar turut menggalas tugas pelumba penting dalam pasukan ini. "Walaupun berkayuh sebagai pelumba pembantu sebelum ini, Carlos Ochoa dan Jackson Rodriguez akan mempunyai lebih kebebasan kali ini dan kami juga memiliki pelumba ketiga, juara kebangsaan ujian masa Venezuela, Tomas Gil. Pelumba keenam kami adalah Omar Bertazzo yang bertindak sebagai pelumba pecut." "Kami bukan datang dengan matlamat memenangi gelaran individu keseluruhan seperti ketika memiliki Serpa, Rujano dan Monsalve beberapa tahun lalu tapi kami akan cuba mencipta beberapa kejutan. Walaupun dengan pelumba kurang terkenal, kami mampu memberi impak dalam jelajah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Persepolis, Slovakia mara

Posted: 02 Jan 2013 09:24 AM PST

SLOVAKIA dan Persepolis dari Iran menyambar dua tiket Kumpulan B ke separuh akhir bola sepak Piala Antarabangsa Frenz 2012 selepas melakar kemenangan bergaya ke atas lawan masing-masing di dua gelanggang berbeza, malam tadi.

Di Stadium Inspen, Bangi, Slovakia menang selesa 5-0 ke atas kelab dari Thailand, Chonburi FC untuk muncul juara kumpulan, memintas Persepolis dengan kelebihan satu gol walaupun terikat enam mata.


Persepolis yang muncul naib juara menang 2-1 ke atas Frenz United Indonesia di Stadium Petaling Jaya (MBPJ).

Pada separuh akhir esok, Slovakia akan menentang naib juara Kumpulan A, Frenz United Malaysia manakala Persepolis berdepan anak buah S Balachandran, B-15 Malaysia.


Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium MBPJ pada jam 4 petang dan 8.30 malam.


Persepolis yang ketinggalan 0-1 seawal minit kelima kepada Frenz United Indonesia hasil jaringan Manes Novan Rianto, bangkit dengan dua gol Vahid Aftari, pada minit ke-34 dan 36 sebelum Reza Karimipiraghoom mengukuhkan kedudukan pada lewat permainan separuh masa kedua.

Perlawanan ini juga menyaksikan dua pemain Indonesia, Hendra Putra Satriya muncul pemain pertama dilayangkan kad merah kejohanan yang bermula 28 Disember lalu dan diikuti Reva Adi Putra.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Lebih ramai pelumba sertai Kapcai Endurance

Posted: 02 Jan 2013 09:22 AM PST

PENYERTAAN yang lebih besar dijangka pada pusingan keenam KBS-MAM Kapcai Endurance Race di Litar Elite Speedway Plus di Subang Jaya, pada hujung minggu ini.

Tanpa sebarang aktiviti sukan permotoran ketika ini, pihak penganjur menjangka perlumbaan di Selangor itu dapat menarik penyertaan yang lebih besar dengan sesi pendaftaran bermula esok.


"Kami menjangkakan penyertaan yang lebih mantap pada pusingan ini dan beberapa pasukan yang gagal layak ke Grand Final akan kembali untuk mencuba peluang sekali lagi.

"Pada pusingan terakhir di Melaka bulan lalu, sebanyak 50 pasukan mengambil bahagian," kata Pengurus Projek, Eizwar Supiar (gambar) yang juga Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), dalam kenyataan, semalam.


Perlumbaan itu dibahagikan kepada tiga kategori membabitkan bawah 100cc, bawah 120cc dan bawah 150cc dan ia terbuka kepada pelumba berusia 16 tahun ke atas.


Buat julung kali, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama MAM menganjurkan siri perlumbaan tahan lasak khusus bagi mencungkil bakat baru dalam perlumbaan motosikal.

Bagi setiap pusingan, tujuh pasukan dalam setiap kategori akan layak ke Grand Final di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 23 dan 24 Februari dengan juara setiap kategori akan menerima slot automatik untuk perlumbaan Piala SIC Ninja 250 2013. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Ferrer nyaris tersingkir

Posted: 02 Jan 2013 09:21 AM PST

DOHA: Pilihan utama, David Ferrer memulakan musim baru dengan kekalahan set pertama menentang Dustin Brown, pemain dari pusingan kelayakan yang berada di luar kelompok 150 pemain terbaik dunia selain beraksi di gelanggang yang rosak bagaikan kawah di permukaan bulan.

Baik pulih termasuk membabitkan pita perekat dan gam di permukaan gelanggang yang terkoyak lima kaki di garisan belakang.


Permainan ditangguhkan lebih sejam berikutan permukaan gelanggang yang membimbangkan.

Pemain nombor lima dunia dari Sepanyol itu mengambil masa dua setengah jam sebelum melepasi pusingan pertama Terbuka Qatar awal pagi semalam menerusi kemenangan 5-7, 6-3, 6-2 ke atas Brown, pemain tinggi lampai Jerman kelahiran Jamaica yang dipanggil 'Dreddy'.


"Semuanya tidak mudah," kata Ferrer.


Brown bertindak cemerlang dengan pukulan servis yang agresif, kerap bermain di depan jaring dan keupayaannya bermain voli manakala senario di luar gelanggang kerap berlaku kepada Ferrer.

Dua tahun lalu, dia dan Andy Roddick terpaksa menangguhkan permainan pada Terbuka AS kerana keretakan berhampiran garisan belakang menyebabkan air mengalir dan memaksa mereka bertukar gelanggang dan tahun lalu di New York, taufan menyebabkan pertemuan Ferrer dan Novak Djokovic pada separuh akhir tergendala sepanjang hari.


Roddick membuat komen dalam Twitter bagi menangani masalah di Doha dengan mencadangkan mereka "mengubah Ferrer ke gelanggang 13", gelanggang yang menyaksikan pemain Amerika itu melengkapkan kemenangannya ke atas pemain Sepanyol itu pada Terbuka AS 2011.

"Ya, terlalu banyak perkara berlaku," kata Ferrer yang turut mengaku nasibnya agak malang. "Nasib saya agak buruk. Saya tak tahu kenapa." Senarai pemain pilihan sepatutnya menyaksikan Ferrer bertemu Richard Gasquet, pemain nombor 10 dunia dari Perancis, pada final Sabtu ini. Gasquet mudah mengatasi pemain dari pusingan kelayakan dari Republik Czech, Jan Hernych 6-3, 6-4. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Kejutan Johanna

Posted: 02 Jan 2013 09:20 AM PST

WELLINGTON: Kejohanan Klasik ASB hanya tinggal tiga pemain pilihan selepas pusingan kedua, semalam apabila pilihan kedua, Julia Goerges dikejutkan pemain Sweden, Johanna Larsson (gambar).

Sekalipun berada 55 anak tangga di depan Johanna, pemain nombor 18 dunia itu kecundang 5-7, 7-6 (7/1), 3-6 dalam tempoh dua jam 32 minit.


Pilihan keenam dari Kazakhstan, Yaroslava Shvedova terkandas di tangan pemain Russia, Elena Vesnina 2-6, 3-6 sekali gus menyaksikan pemain Poland, Agnieszka Radwanska, Yanina Wickmayer (Belgium) dan Mona Barthel (Jerman) menjadi pemain pilihan yang masih bertahan.

Selepas Johanna menang set pertama dalam masa 50 minit, dia tumpas set kedua menerusi tie-break sebelum merampas servis Julia pada pertengahan set ketiga untuk meraih kemenangan.


"Ia permulaan baik tahun ini," kata Johanna yang kini berdepan pilihan kelapan, Mona pada suku akhir.


"Saya amat gembira layak ke suku akhir pada awal tahun, ia terlalu bermakna buat saya." Mona menundukkan juara Auckland dua kali, Eleni Daniilidou 7-6, (8/6) 6-2 untuk memastikan tempat ke suku akhir.

Pilihan utama, Agnieszka tidak berdepan masalah pada pusingan kedua apabila menewaskan Simona Halep dari Romania, 6-3, 6-1. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Devvarman ancam boikot Piala Davis

Posted: 02 Jan 2013 09:20 AM PST

CHENNAI (India): Sukan tenis India diselubungi kontroversi kelmarin berikutan laporan pemain utama mungkin memboikot perlawanan Piala Davis menentang Korea Selatan bulan depan sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Kelompok pemain diketuai Somdev Devvarman mahukan pembahagian lebih baik bagi hadiah kemenangan Piala Davis, perubahan dalam kakitangan sokongan dan terbabit dalam pemilihan gelanggang bagi perlawanan.


Persatuan Tenis Seluruh India (AITA) dan pemain kini berkongsi 50-50 bagi hadiah kemenangan serta pendapatan daripada kejohanan itu yang disalurkan badan induk dunia.

Pemain juga mahukan kapten, Shiv Misra dan jurulatih kebangsaan, Nandan Bal diganti dan pakar fisioterapi sepenuh masa diserapkan dalam skuad.


Namun kedua-dua pihak, AITA dan Devvarman menafikan laporan akhbar Hindustan Times, kelmarin yang mendakwa pemain tidak akan beraksi pada perlawanan menentang Korea Selatan jika tuntutan mereka tidak dilayan.


Perlawanan Kumpulan Satu zon Asia-Oceania di New Delhi dari 1 hingga 3 Februari ini membolehkan pemenang layak ke play-off Kumpulan Dunia tahun depan.

"Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa atau melakukan kenyataan yang mengejutkan," kata Devvarman pada Terbuka Chennai. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Bangkit Real!

Posted: 02 Jan 2013 09:19 AM PST

MADRID: Kapten Real Madrid, Iker Casillas mengaku pemain tidak gembira selepas ketinggalan 16 mata berbanding pendahulu La Liga, Barcelona namun menafikan tekanan di bilik persalinan semakin memuncak dan bertekad merampas kembali tempatnya selepas digugurkan ke bangku pemain simpanan bulan lalu.

Casillas cuba menenangkan spekulasi mengenai perbalahan dalam kelab selepas jurulatih Jose Mourinho mengetepikannya daripada kesebelasan utama ketika menentang Malaga di La Roselada 29 Disember lalu yang menyaksikan Real Madrid tumpas 2-3.


Mourinho menegaskan keputusan diambil hanyalah atas dasar teknikal semata-mata.

Ketika ditanya mengenai tekanan yang menyelubungi bilik persalinan, penjaga gol berusia 31 tahun itu berkata: "Bukan tekanan sebenarnya. Kedudukan kami dalam liga tidak begitu baik apabila kami mengalami beberapa kekalahan. Kami mahu menang dan apabila apa yang diharapkan tidak menjadi, kami semua sedih. Kami mahu menang untuk diri kami sendiri dan peminat." Pada sidang media pertama 2013, kapten Real Madrid itu berkata, dia berharap cuti Krismas memberi ruang buat pasukan kembali pulih dengan menganggap kekalahan kepada Malaga dan keciciran banyak mata menyebabkan mereka ditinggalkan jauh di belakang pendahulu liga.


"Kami tidak boleh berterusan seperti ini dan ini bukan yang kami jangkakan. Kami tidak boleh putus asa. Kami perlu teruskan usaha, berlatih dan meraih keputusan baik. Sekarang sudah 2013 dan kami perlu mengumpul banyak mata meskipun menyedari situasi kami sukar tapi ia tidak mustahil." Casillas berkata, dia berada pada prestasi terbaik namun akan berusaha keras merampas kembali posisinya dalam skuad bagi perlawanan menentang Real Sociedad, Ahad ini.


"Saya dalam keadaan baik. Saya giat berlatih. Saya perlu terus meningkat setiap hari. Saya bukan mesin dan perlu belajar daripada kesilapan," katanya.

Kapten Sepanyol itu turut menafikan sudah kehilangan keghairahan untuk meraih gelaran selepas menikmati banyak kejayaan sebelum ini.


"Jika saya tidak mempunyai harapan itu, saya tidak akan duduk di sini. Saya setuju dengan Mourinho kerana kami perlu memiliki cita-cita dan keinginan. "Saya perlu berjuang dan merebut semula tempat dalam skuad. Itu sasaran saya dan saya harap jurulatih senaraikan saya dalam kesebelasan utama Ahad ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Kelab Bundesliga pinjam Dong Won

Posted: 02 Jan 2013 09:18 AM PST

LONDON: Penyerang antarabangsa Korea Selatan, Ji Dong Won menyertai kelab Bundesliga, Augsburg secara pinjaman hingga hujung musim ini dari Sunderland, umum kelab Liga Perdana itu kelmarin.

"Penyerang Sunderland, Dong Won melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke FC Augsburg," menurut kenyataan dalam laman web Sunderland.


"Pemain antarabangsa Korea Selatan itu yang menyertai Black Cats pada musim panas 2011 dari kelab Liga-K, Chunnam Dragons, akan kekal bersama kelab Bundesliga Jerman itu hingga hujung musim ini." Dong Won menjaringkan dua gol dalam 21 penampilan buat Sunderland musim lalu, termasuk gol kemenangan lewat perlawanan menentang juara, Manchester City pada Januari tahun lalu namun dia gagal menyerlah musim ini.

Pengurus Sunderland, Martin O'Neill berkata, pemain berusia 21 tahun itu sukar menyesuaikan diri dengan corak permainan fizikal bola sepak Inggeris.


"Secara umum ia tempoh yang mengecewakan buatnya akhir-akhir ini," kata O'Neill.


"Dia bermain pada Sukan Olimpik, saya tahu dia tidak sering berada dalam kesebelasan utama Korea Selatan tapi mungkin selepas gol menentang City tahun lalu, dia berasa masa buatnya untuk diberikan lebih banyak peluang dalam kesebelasan utama." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Rombakan Ferguson mengena

Posted: 02 Jan 2013 09:17 AM PST

WIGAN (England): Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengesahkan akan merobak skuadnya sekali lagi untuk menghadapi pusingan ketiga Piala FA di West Ham United, hujung minggu ini.

United mengekalkan kelebihan tujuh mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Wigan Athletic, kelmarin.


Ia perlawanan keempat dilalui United dalam tempoh 10 hari dan hanya empat pemain iaitu David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans dan Michael Carrick berada dalam kesebelasan utama bagi empat perlawanan itu.

Ferguson melakukan lima pertukaran daripada barisan pemain yang menewaskan West Bromwich Albion, 2-0, Sabtu lalu dan berusaha memastikan anak buahnya berada pada prestasi terbaik. "Benar, kami akan melakukan beberapa pertukaran bagi saingan Piala FA.


"Contohnya pemain seperti Patrice Evra dan Michael Carrick, kami keluarkan mereka selepas memperoleh gol ketiga.


"Mereka berhak untuk direhatkan kerana sudah beraksi dalam banyak perlawanan. "Kami mempunyai barisan pemain lain yang lebih cergas.

"Shinji Kagawa sudah kembali beraksi. Kami mempunyai banyak pilihan pemain yang boleh diturunkan," katanya.


United melakar lapan kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris dengan hanya keputusan seri 1-1 di Swansea City menjejaskan rekod cemerlang mereka.

Bagaimanapun, pengurus United itu berkata, kegagalan musim lalu meskipun United selesa dengan kelebihan lapan mata sebelum mengharungi enam perlawanan terakhir, menjadi pengajaran kepada mereka supaya lebih berhati-hati dan tidak terlalu selesa berada di kedudukan teratas.


"Sejak beberapa tahun lalu, Disember adalah bulan yang cukup istimewa bagi kami. Kali ini, kami selesa dengan kelebihan tujuh mata dengan baki 17 perlawanan.


"Yang penting kami tidak boleh melakukan kesilapan sama seperti musim lalu," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


No comments:

Post a Comment