Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dua beradik temui ajal di plaza tol

Posted: 02 Jan 2013 02:05 PM PST

KUALA LUMPUR: Dua beradik maut manakala seorang rakannya parah selepas terbabit kemalangan di Kilometer 24, Lebuhraya Silk, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa yang dikenali sebagai Henry, 24, hilang kawalan sebelum melanggar tembok Plaza Tol Sungai Ramal.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Zulkifli Jonit berkata, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas sebaik tiba di tempat kejadian.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa dan adiknya yang dikenali sebagai Balamurugam, 19, maut di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.


"Seorang lagi rakan mangsa yang berusia 20-an parah dan dibawa ke Hospital Kajang," katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, mayat dua beradik terbabit dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Mishan Benu berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 8.20 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.


"Kami mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit masing-masing di bahagian pemandu, penumpang depan dan belakang dengan mengambil masa 15 minit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Hanya sempat selamatkan ubat

Posted: 02 Jan 2013 02:00 PM PST

AMPANG: "Hanya sempat selamat ubat mak," kata Kamariah Karim, 50, selepas rumah diduduki ibunya yang uzur, Zabedah Puteh, 76, hangus terbakar dalam kejadian di Jalan Raya 8 di Kampung Pandan Dalam di sini, semalam.

Menurut Kamariah, kejadian disedari kira-kira jam 8.40 malam selepas mendengar jeritan jiran yang memaklumkan api dari rumah sebelah telah merebak.


Katanya, ketika kejadian dia sedang solat Isyak manakala ibunya makan malam.

"Ketika kejadian, adik lelaki hanya sempat mengambil ubat kencing manis dan darah tinggi ibu kerana api marak begitu cepat.


"Bagaimanapun, saya bersyukur kami berempat selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Menurut Eksekutif Editor Foto NSTP, Johari Embi, yang juga menantu kepada Zabedah, dia menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 9 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian dari pejabat di Bangsar.

"Ibu mentua tinggal di rumah berkenaan sejak lebih 50 tahun lalu, namun kami redha dengan kejadian yang menimpa dan bersyukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku," katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Mazlan Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.53 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

"Tujuh jentera termasuk lori tangki dari lima balai bomba dikejarkan ke tempat kejadian. Kita menghadapi kesukaran memadam api berikutan tekanan air yang sangat rendah di kawasan berkenaan, namun api berjaya dikawal jam 11.19 malam sebelum dipadam sepenuhnya lima minit kemudian," katanya.


Menurut Mazlan lagi, punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Tahan 7 lelaki kes pergaduhan

Posted: 02 Jan 2013 12:40 PM PST

SHAH ALAM: Polis menahan tujuh lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan polis berhubung kes tembakan dan pergaduhan di Jalan Bukit Kapar, Klang, pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, semua mereka berusia 23 hingga 36 tahun ditahan berhampiran kawasan kejadian jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi hari sama.


Menurutnya, semua yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga mendapati mereka negatif dadah.

"Mereka dibebaskan dengan jaminan selepas polis berpuas hati dengan maklumat diberikan.


"Masih terdapat beberapa individu yang belum ditahan dan polis kini giat mengesan mereka," katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Mati jatuh beranda kondominium

Posted: 02 Jan 2013 12:40 PM PST

KLANG: Penduduk Kondominium Bandar Baru Klang, di sini, gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dipercayai terjatuh dari tingkat 12, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mayat Billorejoy Benjamin, 21, dari Sabah, ditemui penduduk sebelum memaklumkan kejadian itu kepada rakan serumah mangsa.


Sepupu mangsa yang dikenali sebagai Chris, 25, berkata, sepupunya selalu menghabiskan masa di beranda dan tidak sangka sepupunya itu mati disebabkan terjatuh dari beranda berkenaan.

Beliau berkata, kali terakhir dia melihat mangsa yang juga penuntut jurusan pembantu perubatan pada jam 2.30 pagi sebelum diberitahu rakan serumah, Benjamin dijumpai di tingkat bawah jam 8.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


Ramai tak tahu diskaun 50%

Posted: 02 Jan 2013 12:40 PM PST

SHAH ALAM: Tawaran diskaun 50 peratus untuk memohon pasport antarabangsa yang bermula semalam, masih tidak diketahui umum secara meluas.

Hal ini berlaku apabila orang ramai yang tidak mengetahui mereka boleh mendapat diskaun berkenaan sekiranya tergolong dalam kumpulan warga emas dan kanak-kanak bawah 12 tahun.


Pemohon, Che Dah Adon, 64, berkata, beliau tidak mengetahui tawaran itu sehingga dimaklumkan pegawai Imigresen ketika membuat permohonan memperbaharui pasport antarabangsanya dan suami di pejabat Imigresen Shah Alam. "Saya dan suami datang bagi memperbaharui pasport yang tamat tempoh Februari depan kerana saya dan suami, Md Salleh Senan, 66, bakal menunaikan umrah pada bulan depan.

"Bagaimanapun, apabila saya tiba di pejabat Imigresen, saya dimaklumkan kami layak untuk menerima diskaun itu. Jadi, saya dan suami hanya perlu membayar RM300 berbanding RM600 seperti sebelum ini untuk melanjutkan tempoh pasport ke lima tahun," katanya.


Pada masa sama, Che Dah berkata, beliau juga berpuas hati dengan sistem yang digunakan kerana beliau hanya perlu menunggu dua jam sebelum mendapat pasport yang sudah diperbaharui.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03


No comments:

Post a Comment