Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Wan Zack tidak kedekut ilmu

Posted: 05 Jan 2013 12:16 PM PST

Siapa tidak kenal pemain sayap kanan Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Nor yang baru saja menerima dua anugerah cemerlang, Pemain Muda Terbaik dan Pemain Pilihan Kegemaran Ramai Liga Singapura 2012.

Bagaimanapun, anak muda berusia 22 tahun itu tetap merendah diri dan berazam untuk terus berjaya dalam karier bola sepak.

"Saya masih seperti dulu, tidak sekali-kali akan sombong walau sudah di 'atas'."

Itulah kata-kata hikmat diberikan kepada peminatnya, Muhammad Aizat Hussain Shaharuddin pada pertemuan di padang FAM, baru-baru ini.

Foto

AIZAT gembira selepas mendapat jersi ditandatangani Wan Zack.

Foto

WAN ZACK (kanan) memberi tunjuk ajar kepada Aizat cara menimbang bola.


Nyata Wan Zack tidak lokek menurunkan ilmu serta menceritakan perjalanan hidupnya kepada remaja berusia 17 tahun, pemain sayap Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur itu.


Kedua-duanya turut berkongsi kisah duka kehilangan ayah tercinta.

Ayah Aizat baru saja meninggal dunia pada Ramadan lalu manakala bapa Wan Zack, Jun 2010 pada usia 74 tahun.

Ikuti temubual Aizat dan Wan Zack sebelum pemain muda negara itu memberinya tips untuk bermain lebih lincah di padang.

SOALAN: Bagaimana permulaan perjalanan hidup Wan Zack sebagai pemain bola sepak?

JAWAPAN: Asalnya saya lebih gemar bermain badminton tapi kemudian beralih meminati bola sepak kerana terpengaruh dengan kerjaya abang, Wan Azwari yang bermain untuk skuad Sabah.

Kerjaya bola sepak saya bermula seawal usia 12 tahun apabila terpilih menyertai skuad bawah 12 tahun Malaysia.

Saya nekad untuk terus fokus sebagai pemain bola sepak profesional apatah lagi terpilih ke Jepun menyertai perlawanan Bola Sepak Remaja Asia 2003 sebelum diserap untuk beraksi dengan pasukan Harimau Malaya.

S: Apakah tips untuk jadi pemain terbaik?

J: Yang penting kita perlu bersungguh-sungguh, terus berusaha dan sentiasa cuba lakukan yang lebih baik.

S: Bagaimana Wan Zack membahagikan masa bermain bola sepak serta urusan peribadi, dengan keluarga umpamanya?

J: Secara jujur saya tidak mempunyai banyak masa terluang. Terlalu padat dengan latihan di padang pagi dan petang. Mujur keluarga amat memahami.

S: Apakah perasaan Wan Zack apabila kini sudah terkenal dan bagaimana caranya melayan peminat?

J: Bagi saya, terkenal itu tidak penting. Yang lebih utama kita jalankan tugas dengan baik. Saya tetap melayan peminat dengan baik, kita jangan sombong dengan sesiapa pun.

S: Mungkin Wan Zack juga mempunyai idola bola sepak? Siapa agaknya?

J: Cristiano Ronaldo. Bagi saya dia seorang pemain istimewa, sempurna serta mempunyai kelebihan bermain dengan kedua-dua kaki kiri dan kanan.

S: Selain bersukan, apa aktiviti riadah Wan Zack?

J: Saya gemar menembak ikan, memancing ikan dan bermain Play Station (PS)

S: Apa rancangan masa depan? Difahamkan Wan Zack ada rancangan untuk bermain dengan kelab antarabangsa dan jika diberi peluang, kelab mana yang diimpikan?

J: Ya memang impian saya untuk bergelar pemain bola sepak antarabangsa yang disegani. Pastinya hajat di hati untuk mewakili kelab terkenal seperti Manchester United atau Chelsea tapi kita kena bersikap realistik dan saya sekadar memilih kelab di Asia terlebih dulu.

S: Jika diberikan pilihan kerjaya lain, apa pekerjaan yang Wan Zack impikan?

J: Berniaga. Saya mahu bergelar usahawan berjaya.

S: Saya ingin tahu, apa misi atau 'moto' hidup Wan Zack?

J: Sentiasa berusaha.

BIODATA WAN ZACK

NAMA: WAN ZACK HAIKAL WAN NOR
TARIKH LAHIR: 28 JANUARI 1991
UMUR: 22 TAHUN
ASAL: MARAN, PAHANG
ADIK BERADIK: BONGSU DARI SEMBILAN
WARNA KEGEMARAN: MERAH
MAKANAN KEGEMARAN: IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK

BIODATA AIZAT

NAMA: MUHAMMAD AIZAT HUSSAIN SHAHRUDDIN
TARIKH LAHIR: 19 MAC 1996
UMUR: 17 TAHUN
ASAL: KUALA LUMPUR
PENGAJIAN: TINGKATAN LIMA, SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN TUN DR ISMAIL KUALA LUMPUR
ADIK BERADIK: ANAK KEDUA DARI TIGA BERADIK
WARNA KEGEMARAN: MERAH
MAKANAN KEGEMARAN: NASI GORENG KAMPUNG

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Tiba masa jual Balotelli

Posted: 05 Jan 2013 12:07 PM PST

Pengurusan Manchester City dilapor bersedia menjual Mario Balotelli selepas pengurus, Roberto Mancini didakwa mengaku tidak mampu mengubah sikap penyerang muda Itali itu.

Meskipun Mancini secara terbuka mendakwa Balotelli kekal milik City, sumber menyatakan, pengurus warga Itali itu didakwa memutuskan sudah sampai masanya melepaskan penyerang berusia 22 tahun itu.


City bagaimanapun enggan membuat kenyataan terbuka akan menjual Balotelli kerana bimbang ia menyebabkan nilainya jatuh lagi.

Namun, tanpa sumbangan di atas padang, hanya satu gol liga dijaringkan musim ini dan kerap melakukan pelbagai masalah di luar padang, Mancini yang sebelum ini acap kali mempertahankan Balotelli kini akur tidak lagi mampu berbuat apa-apa untuk mengubah sikapnya.


Mancini secara terbuka menceritakan insiden pergaduhan di padang latihan kelmarin dan menegaskan, sedia memberi ratusan peluang untuk berubah. Pengurus City itu marah kerana Balotelli dilihat sengaja melakukan terjahan terhadap rakan sepasukannya, Scott Sinclair.


"Tindakannya itu bukan kerana kepenatan selepas menjalani latihan berat. Terjahan itu dilakukannya dengan niat, ketika dia masih cergas dan sebab itulah Mancini berang," kata saksi kejadian.

Bagaimanapun bekas pemain Inter Milan itu tidak akan didenda dan disenarai dalam skuad yang turun menentang Watford di Stadium Etihad, semalam.


Pengurusan City bagaimanapun kini sedia berbincang dengan kelab yang ingin membelinya. AC Milan dilapor berminat mendapatkan khidmat Balotelli tapi City hanya ingin menjualnya, bukan meminjamkannya sekali gus mungkin menyebabkan dia hanya mungkin dapat dijual pada musim panas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Fergie mahu perpindahan Fryers dihalang

Posted: 05 Jan 2013 12:06 PM PST

Manchester: Sir Alex Ferguson meminta pengurusan Liga Perdana Inggeris menghalang perpindahan Zeki Fryers ke Tottenham kerana mendakwa perpindahan itu dirancang bagi membolehkan pemain itu meninggalkan Manchester United dengan bayaran £3 juta (RM14.6 juta).

Ferguson menuntut siasatan dilakukan untuk mengesan bukti bagi menjelaskan bagaimana bekas pertahanan United berusia 20 tahun menyertai Spurs dengan bayaran £3 juta daripada Standard Liege minggu ini, empat bulan selepas menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Belgium itu.


"Saya kecewa. Benar-benar kecewa," kata pengurus United. "Ia manipulasi yang kurang menyenangkan. Mereka cuba membelinya pada akhir musim lalu tapi kami gagal mencapai persetujuan.

"Mereka membawanya untuk sesi ujian dan ke Portugal bersama skuad Tottenham tapi kemudian mendakwa tidak mampu membelinya. Tiba-tiba dia menyertai Standard Liege dan apabila saya mendengarnya, saya jangka dia akan ke Tottenham pada Januari.


"Liga Perdana Inggeris sepatutnya menghentikan pendaftaran hingga siasatan dijalankan. Mungkin ada bukti, rekod perbualan telefon atau sebagainya." Tottenham berharap dapat menandatangani Fryes apabila kontraknya di United berakhir musim panas lalu tapi gagal memenuhi harga £6 juta (RM29.3 juta) selepas jelajah pra musim di Portugal. Kenyataan daripada laman web kelab Belgium itu menyatakan: "Pertahanan muda itu rindukan keluarga dan tidak dapat menyesuaikan diri hidup berjauhan.


"Apabila kelab London menunjukkan minat, kami faham situasi itu dan tidak menentang untuk mengembalikan pemain itu ke England." -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

'Dia bantah arahan saya'

Posted: 05 Jan 2013 12:06 PM PST

Manchester: Penyerang Itali, Mario Balotelli boleh dilayangkan dua kad merah akibat tindakannya melakukan terjahan terhadap rakan sepasukan, Scott Sinclair.

Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan, tindakan yang dilakukan Balotelli keterlaluan membuatkan beliau tidak dapat mengawal perasaan.


"Jika ia perlawanan sebenar, dia sepatutnya dilayangkan dua kad merah dan digantung enam perlawanan.

"Saya hilang sabar selama dua saat dan saya arah Balotelli untuk meninggalkan padang. Dia bagaimanapun enggan menyebabkan saya mencekak baju dan menolaknya keluar daripada padang.


"Dia sepatutnya tidak membantah arahan saya. Biasanya insiden seperti ini berlaku antara dua pemain tapi saya melakukannya kerana marah tindakan yang dilakukan Balotelli terhadap rakan sepasukannya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Anggap Piala FA istimewa

Posted: 05 Jan 2013 12:05 PM PST

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger sentiasa menganggap Piala FA istimewa selepas melakar rekod cemerlang pada kejohanan itu tapi musim ini pastinya lebih kritikal untuk membuktikan sama ada beliau berhak kekal mengendalikan kelab itu.

Wenger dikritik hebat musim ini yang memuncak apabila pasukannya dibelasah Swansea di laman sendiri.


Sebulan selepas kekalahan itu, Arsenal akan menuju ke Wales Selatan untuk perlawanan pusingan ketiga Piala FA malam ini tapi kali ini lebih bersedia hasil aksi mantap sejak beberapa perlawanan lalu.

Bagaimanapun, mereka masih kekal di tangga keenam Liga Perdana Inggeris, ketinggalan 18 mata berbanding pendahulu, Manchester United dan sekali lagi hanya akan menjadi watak pembantu dalam perburuan gelaran.


Selepas tersingkir daripada Piala Liga di tangan pasukan League Two, Bradford dan berdepan Bayern Munich pada pusingan kedua Liga Juara-Juara, Piala FA adalah peluang terbaik Arsenal untuk mengakhiri kemarau trofi lapan tahun.


Trofi terakhir hadir menerusi kejohanan ini pada 2005, kali keempat Wenger menjulang piala bersama Arsenal dan satu lagi kejayaan musim ini pasti menyemarakkan sokongan terhadap pengurus itu yang hilang sejak beberapa tahun lalu.

Jika tersingkir awal, ia pasti menggandakan tekanan terhadap urusan pembelian pemain oleh pengurus itu, dengan kekecewaan penyokong Arsenal terhadap kegagalan mendapatkan pengganti setaraf Robin van Persie dan Cesc Fabregas.


Wenger yang membenarkan penyerang Marouane Chamakh menyertai West Ham secara pinjaman hingga akhir musim ini, mengaku ini bukan masanya untuk merehatkan pemain.

"Saya akan menurunkan pasukan yang saya fikir berpeluang memenangi perlawanan ini, dengan mempertimbangkan penggiliran pemain," kata Wenger.


"Jika dinilai kemenangan Queens Park Rangers ke atas Chelsea, Rabu lalu, boleh dikatakan tiada perbezaan antara semua pasukan liga.


"Pasukan mereka teratur, mempunyai kekuatan fizikal dan jika tidak di tahap terbaik, kami tidak boleh menang perlawanan ini. Ia sama buat semua orang.


"Manchester United mendahului liga tapi mereka turut tewas tiga perlawanan musim ini, saya percaya pasukan pada peringkat ini sungguh kompetitif. "Piala FA pula istimewa kerana ia sesuatu yang menarik. Ia ditonton seluruh dunia dan mempunyai sejarah istimewa di England, ia sesuatu yang saya hormati."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Liverpool harus hati-hati hadapi Mansfield

Posted: 05 Jan 2013 12:04 PM PST

Mansfield, England: Geoff Hurst mungkin pernah memenangi Piala Dunia 1966 buat England tapi tidak pernah melupakan kekalahan kepada pasukan kerdil, Mansfield yang bersedia mencipta satu lagi kejutan terhadap Liverpool dalam aksi Piala FA, malam ini.

Kunjungan Reds ke Field Mill adalah perlawanan pusingan ketiga yang menampilkan pertembungan dua pasukan berbeza status, apabila kelab popular terpaksa diundi berdepan pasukan kerdil.


Ia menampilkan pasukan bertaraf Eropah, Liverpool menentang pasukan divisyen kelima, Mansfield yang tersingkir daripada Liga Bola Sepak pada 2008 dan masih bersuaha untuk melepaskan diri daripada Gabungan Kebangsaan.

Mereka menggelarkan pertemuan itu sebagai elemen istimewa Piala FA dan banyak yang menjadi perhatian apabila pengurus Mansfield, Paul Cox yang meraikan hari lahirnya yang ke-41, hari ini berkahwin sehari sebelum perlawanan itu.


Finalis tahun lalu, Liverpool mungkin memberi peluang pertama buat pemain baru bernilai £12 juta (RM58.7 juta) dan perlu memenangi Piala FA untuk menyelamatkan musim mereka yang hambar.


Begitupun jika bintang Reds seperti Luis Suarez dan Steven Gerrard ingin mengelak daripada dibelasah pasukan kerdil, mereka perlu mendengar nasihat legenda Piala Dunia, Hurst yang menjaringkan hatrik ketika England menewaskan Jerman Barat di final 1966.

Detik gemilang Mansfield hadir pada 26 Februari 1969, apabila pasukan West Ham yang dikendalikan Hurst berkunjung ke Field Mill pada perlawanan pusingan kelima dan tewas 0-3. Beliau menulisnya dalam autobiografi Memories of Mansfield. Pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson menerima mesej yang disampaikan Hurst.


"Mereka benar-benar bersedia. Ia akan menjadi final bagi mereka dan kami perlu menganggapnya sebagai final dan melakukan tugas itu dengan sempurna," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Bryan idam watak pelakon filem aksi

Posted: 05 Jan 2013 12:04 PM PST

Jaguh terjun negara, Bryan Nickson Lomas mahu bergelar pelakon andai bukan atlet.

Soalan: Jika anda bukan atlet, anda mungkin seorang...

Jawapan: Pelakon filem aksi.

S: Mengapa?

J: Bagi saya menjadi pelakon amat mencabar sebab perlu ada keupayaan menukar watak. Tugas itu tidak mudah tapi seronok terutama jika berlakon filem aksi.

S: Siapa idola anda?

J: Pastinya Tom Cruise kerana dia amat hebat jika berlakon dalam filem aksi. Namun, pada masa sama saya turut meminati Zizan dan Johan Maharaja Lawak kerana terlalu kelakar.

S: Filem kegemaran anda?

J: Semua filem aksi lakonan Tom Cruise terutama siri Mission Imposibble. Saya juga meminati Pirates of the Carribeans.

S: Mungkin jika anda benar-benar diberi peluang untuk berlakon, anda akan terima tawaran itu?

J: Buat masa ini saya sekadar

S: Siapa pelakon tempatan yang anda benar-benar ingin bertemu?

J: Zizan! kerana dia amat kelakar.

S: Bagaimana pencapaian anda tahun ini, serta perancangan tahun depan?

J: Saya membuka tirai 2012 dengan cemerlang. Gandingan bersama Huang Qiang mendapat gangsa di Terbuka Kanada sebelum menyumbang emas pertama buat Malaysia di Terbuka Amerika Syarikat. Lantaran itu, saya menetapkan sasaran tinggi menyumbang pingat di Olimpik tapi nasib tidak menyebelahi saya di London. Tahun ini saya lebih utamakan akademik selain meningkatkan lagi prestasi sepanjang latihan di Bukit Jalil.

S: Siapa pendorong anda dalam sukan ini?

J: Saya terbabit dalam sukan terjun secara tidak sengaja kerana saiz badan yang bersesuaian. Ibu dan bapa menyokong saya untuk pergi jauh meskipun kami tidak memiliki latar belakang sukan terjun.

S: Selain terjun apakah keistimewaan ada pada anda?

J: Disebabkan saya anak tunggal lelaki, saya selalu tolong ibu di rumah terutama mencuci pinggan. Saya amat gemar mencuci pinggan dan itu keistimewaan saya yang jarang ada pada lelaki lain. Boleh dikatakan saya anak emak dan sering menolongnya membuat kerja rumah. Tetapi memasak memang langsung saya tidak tahu.

S: Jika bukan terjun, sukan apa yang akan anda sertai?

J: Bola sepak.

S: Siapa pemain bola sepak yang menjadi idola anda?

J: Wayne Rooney

S: Prinsip hidup?

J: 'Agi idup agi gelaban' sebagai anak Sarawak, itu prinsip saya yang membawa bermaksud berjuang habis-habisan.

S: Kali pertama orang melihat anda, orang akan fikir anda...

J: Sombong! sebab muka saya serius tapi bila sudah kenal, kawan-kawan kata saya seorang yang 'gila-gila'.

S: Jika diberi peluang untuk berpacaran dengan artis atau selebriti popular, siapa yang anda inginkan?

J: Jennifer Aniston sebab pandai berlakon dan mempunyai rupa paras cantik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Boateng tak kejar wang

Posted: 05 Jan 2013 11:57 AM PST

Kapten T-Team, George Boateng, bermain bola bukan kerana wang tetapi nama.

Menurut bekas pemain antarabangsa Belanda kelahiran Ghana itu, dia bangga menjadi Boateng pertama beraksi di Liga Perdana Inggeris dan Boateng pertama bermain dalam Liga Malaysia (Liga M).


Baginya, Liga M tidak kurang hebatnya dan pemain tengah berusia 37 tahun itu mahu peminat bola sepak tanah air mengingati namanya selama-lamanya.

"Untuk itu, saya mesti berjaya di sini dan akan melakukan apa saja untuk memastikan pasukan Titans meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini.


"Saya tahu pasukan yang bertanding dalam Liga Super musim ini hebat-hebat namun yakin pasukan yang saya sertai juga mampu bersaing dan tidak ada sebab kenapa kami tidak boleh menempa kejayaan," katanya.


Boateng yang sebelum ini pernah mewakili kelab Aston Villa, Middlesborough dan Hull City berkata, dia tertarik untuk beraksi dengan T-Team kerana pasukan berstatus kelab itu dibimbing Peter Butler, bekas pemain EPL yang disegani ramai.

"Liga Super di sini juga semakin menjadi tarikan ramai pemain kelab ternama Eropah seperti Daniel Guiza dan Simone Del Nero yang sudahpun disambar Johor Darul Takzim.


"Bekas pemain Aston Villa seperti saya, Bosko Balaban juga bermain di negara ini bersama Selangor musim lalu dan kini giliran saya pula datang dan membantu menaikkan nama bola sepak Malaysia." Kata Boateng, keistimewaan T-Team baginya terletak di barisan kejurulatihan profesional yang mampu membentuk pasukan berjaya.

"Selain Butler, The Titans juga mempunyai jurulatih kecergasan Croatia, Sebastian Knapic yang terbukti mampu meningkatkan prestasi pemain.


"Bagi saya kecergasan paling penting. Pemain hebat sekalipun andai tidak cergas, tidak berguna juga." Katanya lagi, jurulatih penjaga gol, Kondic Dado, juga dari Croatia, berkebolehan membentuk penjaga gol yang baik dan sekiranya diberi peluang, Iqbal Suhaimi dan Suhardy Alby bakal menjadi penjaga gawang berkaliber satu masa nanti.


"Saya sedia mencurah ilmu kepada pemain muda T-Team dan tahu rakan sepasukan, Caleb Folan juga akan berbuat demikian.


"Saya ke sini bukan untuk bercuti tetapi memenangi gelaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

No comments:

Post a Comment