Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Hodak sasar empat piala

Posted: 04 Jan 2013 09:40 AM PST

GELARAN juara tiga trofi yang diraih musim lalu nyata belum memberi kepuasan kepada pengendali Kelantan, Bojan Hodak.

Sebaliknya, pengendali dari Croatia itu sangat bernafsu untuk melihat anak buahnya mengecewakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, malam ini.


Ia bagi memenuhi sasarannya meraih empat piala musim ini sekali gus mencipta sejarah muncul pasukan pertama menyapu bersih semua piala yang dipertandingkan.

"Saya dimaklumkan di Malaysia belum pernah ada pasukan memenangi semua empat piala dalam semusim.


"Sebab itu saya harap kami dapat memenangi saingan pertama ini selain mempertahankan tiga piala dimenangi musim lalu dan akhirnya cuba untuk mencipta sejarah," katanya pada sidang media semalam.


Bojan akui kehilangan enam pemain utama yang berhijrah ke pasukan lain musim ini sedikit sebanyak menuntutnya untuk melakukan perubahan taktikal.

"Tanpa (Muhammed) Ghaddar dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), saya terpaksa melakukan sedikit rombakan taktikal.


"ATM bagus. Mereka mungkin tidak pernah menewaskan kami ketika bertemu tiga kali musim lalu tapi kami juga tidak mudah untuk menewaskan mereka." Bukan sekadar jentera serangan saja memeningkan kepala Bojan, malah ketiadaan penjaga gawang utama, Khairul Fahmi Che Mat yang terikat dengan jadual persandingannya hari ini menuntutnya melakukan pilihan tepat siapakah antara dua penjaga gawang sedia ada yang akan diturunkan.

"Saya hanya akan membuat keputusan selepas sesi latihan malam ini (semalam)."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


Benitez enggan kecundang lagi

Posted: 04 Jan 2013 09:31 AM PST

SOUTHAMPTON: Rafael Benitez mengaku pertembungan Chelsea dan Southampton pada pusingan ketiga Piala FA amat penting berikutan kekalahan mengejut mereka di tangan QPR dalam Liga Perdana.

Benitez akur kekalahan 0-1 di gelanggang sendiri Rabu lalu di tangan kelab tercorot liga itu menyebabkan Blues kini ketinggalan 14 mata di belakang Manchester United memaksa mereka mencipta rentetan kemenangan menakjubkan untuk menjuarai Liga Perdana.


Impian Chelsea di Eropah kini bergantung kepada Liga Europa susulan kegagalan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan sebelum bertemu Swansea pada separuh akhir Piala Liga minggu depan, Benitez sedar Blues tidak boleh menerima kejutan lagi di St Mary's, malam ini.

Rekod kelab barat London itu dalam Piala FA amat mengagumkan, tiga kejuaraan dalam empat tahun terakhir termasuk kejayaan musim lalu ke atas Liverpool.


Selepas musim bermasalah, tambahan trofi di Wembley, Mei ini pasti disambut baik dan sekurang-kurangnya mengesahkan dakwaan Benitez beliau boleh memulihkan pasukan itu selepas dilantik sebagai pengurus sementara menggantikan Roberto Di Matteo.


Halangan pertama ditempuhi mereka adalah pasukan Southampton yang semakin meningkat dan kini terkeluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana menerusi perbezaan gol selepas permulaan buruk musim ini.

Chelsea sepatutnya diperkuat dengan kembalinya Juan Mata, Ramires, Ashley Cole dan Eden Hazard dalam kesebelasan utama, selepas mereka memanaskan bangku pemain simpanan menentang QPR.


Benitez tidak menyesal dengan keputusan itu dan mendakwa pemain keletihan selepas jadual padat sepanjang Disember termasuk berkunjung ke Jepun bagi menyertai Piala Kelab Dunia.

"Ia sukar, terutamanya bagi kami apabila bermain banyak perlawanan dengan beberapa pemain," kata Benitez.


"Kami perlu menanganinya dan kadang kala jika salah menguruskannya, saya boleh kata ia satu kesilapan. Tapi saya perlu cuba menanganinya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


Lampard intai kelab hebat sambung karier

Posted: 04 Jan 2013 09:31 AM PST

LONDON: Frank Lampard sudah pasti akan meninggalkan Chelsea hujung musim ini, menurut ejen pemain antarabangsa England itu kelmarin, namun dia tidak bercadang menamatkan kariernya di China.

Lampard, 34, kini berada di penghujung kontraknya bersama juara Eropah itu dan satu sambungan kontrak belum ditawarkan.


"Kini, Frank hanya memikirkan masa depan, yang pasti dia akan berhijrah pada hujung musim," kata ejennya, Steve Kutner.

"Frank mahu beraksi buat sebuah pasukan hebat, bertarung merebut kejuaraan dan memenangi trofi lagi.


"Pemain dengan kaliber sepertinya patut beraksi di peringkat tertinggi. Serie A adalah satu kemungkinan," kata Kutner yang menegaskan perpindahan ke China mahupun Russia tiada dalam perancangan mereka.


Los Angeles Galaxy, kelab Liga Super China, Guizhou Renhe dan kelab bermasalah Liga Perdana Inggeris, QPR semuanya dikaitkan menjadi destinasi Lampard. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


Everton lega Jagielka sambung kontrak

Posted: 04 Jan 2013 09:30 AM PST

LONDON: Pertahanan tengah England, Phil Jagielka menyambung kontrak bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Everton selama dua tahun lagi hingga 2017.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Everton dari Sheffield United pada 2007 dan sejak itu melakukan hampir 200 penampilan dalam semua pertandingan.


Dia menjadi sebahagian anggota skuad England pada Euro 2012 dan melakukan 16 penampilan antarabangsa.

"Kami bangga Phil setuju untuk bermain lebih lama di Goodison Park," kata ketua eksekutif, Robert Elstone.


"Phil penting dan berpengaruh dan saya seperti juga pemain serta penyokong Everton, tidak sabar melihatnya menyarung jersi biru lebih lama lagi.


"Rundingan berlangsung baru-baru ini dan sudah berakhir. Saya berterima kasih kepada Phil dan wakilnya kerana sikap profesional dipamerkan mereka sepanjang perbincangan itu." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


Pemain Red Devils puas hati

Posted: 04 Jan 2013 09:30 AM PST

LONDON: Ryan Giggs menegaskan Alex Ferguson tidak berdepan masalah untuk memuaskan hati pemain Manchester United menjelang pertembungan pusingan ketiga Piala FA menentang West Ham, awal pagi esok.

Ferguson menggilirkan pemainnya sepanjang tempoh Krismas dengan hanya David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans dan Michael Carrick beraksi dalam semua empat perlawanan liga.


Tempoh Krismas menyaksikan United meraih 10 mata untuk mengekalkan kelebihan tujuh mata di puncak carta Liga Perdana Inggeris.

Berikutan kemenangan 4-0 ke atas Wigan, Selasa lalu, Ferguson merancang rombakan bagi perlawanan Piala FA di Upton Park, membayangkan pemain tengah Jepun, Shinji Kagawa mungkin beraksi dalam kesebelasan utama buat kali kedua sejak kembali daripada rehat dua bulan kerana mengalami kecederaan lutut.


Giggs, 39, hanya memainkan peranan sokongan musim ini, begitu juga Paul Scholes, 38, dan kedua-dua pemain veteran itu bermula dalam kesebelasan utama 13 kali dalam aksi liga.


Namun pemain tengah Wales itu menegaskan, pemain United sudah biasa dengan tindakan Ferguson menggilirkan pemain skuadnya.

"Sukar apabila sudah bersedia bagi perlawanan, contohnya pada Rabu dan tidak bermain, kemudian perlu bersiap sedia bagi perlawanan Sabtu," kata Giggs.


"Namun kami perlu memiliki kecergasan terbaik, memastikan mampu bertindak cemerlang dan tidak memuncak ketika pertengahan minggu kerana turut perlu bersedia bagi perlawanan Sabtu.

"Ramai pemain berdepan situasi itu kerana kami memiliki skuad besar dan tidak akan bermain setiap perlawanan.


"Pemain seperti saya dan Scholes mungkin kurang bermain berbanding pemain lain tapi kami tetap perlu bersedia apabila diperlukan.


"Peranan saya dalam pasukan sudah berubah sejak lima atau enam tahun lalu. Saya seorang pemain berpengalaman dan gembira dapat untuk membantu pemain muda.


"Saya tidak kerap bermula dalam kesebelasan utama tapi mesti bersedia jika diperlukan." Sejak akhir-akhir ini, Ferguson berkali-kali meluahkan kekecewaannya terhadap kegagalan United memenangi Piala FA sejak 2004. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


Ba setuju untuk sertai Chelsea

Posted: 04 Jan 2013 09:30 AM PST

LONDON: Chelsea mengesahkan sudah mengikat Demba Ba dari Newcastle United sekali gus menamatkan aksi 18 bulan bersama Magpies dan membantu mereka menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris, musim lalu.

Jurucakap kelab barat London itu berkata, pemain berusia 27 tahun itu menyertai kelab dengan kontrak tiga setengah tahun namun bayaran perpindahan tidak didedahkan dan dia boleh diturunkan bagi pertembungan pusingan ketiga Piala FA antara Blues dan Southampton, malam ini.


"Saya berasa bagus untuk berada di sini, amat gembira dan bangga," kata pemain antarabangsa Senegal kelahiran Perancis itu dalam laman web rasmi kelab (www.chelseafc.com).

"Penting buat saya dan Newcastle untuk menyelesaikan masa depan saya. Kini mereka ada sepanjang bulan untuk membeli seseorang dan bagi saya, lebih cepat lebih bagus. Kini saya berada di sini dan hanya perlu menyesuaikan diri.


"Apabila kelab yang memenangi Liga Juara-Juara mahukan anda, keputusannya amat mudah. Kelab ini amat besar dan ia banyak membantu keputusan saya." Newcastle mengesahkan memberi kebenaran untuk menghubungi pemain itu selepas berjaya memenuhi harga diminta �7 juta (RM34 juta) sekali gus menebus kontraknya.


Ba yang berpindah ke Tyneside pada 2011 kemudian diketepikan daripada skuad kendalian Alan Pardew yang kalah 1-2 di tangan Everton, Rabu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


'Cukup! jangan buat drama'

Posted: 04 Jan 2013 09:29 AM PST

"MAT Yo sedia bayar pampasan untuk tebus kontrak tapi jumlahnya bukan RM400,000."

Itu titah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut menyifatkan kenyataan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa agak keterlaluan kerana Norshahrul Idlan Talaha seolah-olah bersikap berdiam diri.


Tunku Ismail berkata, Norshahrul sudah melantik peguam untuk menguruskan pembayaran tebus kontrak itu tapi jumlah yang akan dilunaskan mengikut ketetapan mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila menetapkan mana-mana pemain yang berpindah ke pasukan baru perlu membayar maksimum RM250,000 mengikut peraturan Artikel 39.2 "Hentikanlah! Kenapa perlu berdrama lagi. Saya hairan dengan sikap seorang individu yang dianggap ikon bola sepak Kelantan tapi cuba mempolitikkan bola sepak. Kita sudah berada di era bola sepak profesional, sikap mestilah profesional juga dan tidak perlu kebudak-budakkan.

"Segala pampasan Kafa terhadap Mat Yo, beliau sendiri yang akan selesaikan dalam masa terdekat. Malah dia sudah melantik peguam untuk menyelesaikan urusan itu, namun semuanya mengikut peraturan ditetapkan FAM dan saya tidak nampak kenapa dia kena bayar sampai RM400,000.


"Nasihat saya, janganlah ambil kesempatan, cubalah bersikap profesional. Jika FAM tetapkan jumlah itu yang perlu dibayar, maka Mat Yo akan melangsaikannya secepat mungkin dan saya juga tidak mahu isu itu berpanjangan. "Saya harap tiada persatuan negeri cuba memburuk-burukkan satu sama lain kerana kita berada di bawah satu bumbung, iaitu FAM dan kita perlu hormat badan induk bola sepak negara itu," katanya di sidang media khas di Hotel Thistle, Johor Bahru, semalam.


Semalam, Arena Metro melaporkan Annuar berang selepas Mat Yo masih gagal melunaskan pampasan tebus kontrak yang sepatutnya dibuat 30 hari selepas tarikh pendaftaran bersama pasukan kerana sudah menandatangani kontrak bersama Johor Darul Takzim bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

"Saya sedia menerima kunjungan Annuar dan pintu rumah saya sentiasa terbuka jika beliau mahukan penjelasan dan saya harap isu dibangkitkan itu dapat diselesaikan demi mutu bola sepak Malaysia," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


Annuar jawab kritikan PBNJ

Posted: 04 Jan 2013 09:29 AM PST

PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meminta beliau bertindak secara profesional dengan tidak mempolitikkan isu berkaitan tebus kontrak Norshahrul Idlan Talaha ke Johor Darul Takzim.

Menurut Annuar, isu tebus kontrak Norshahrul atau Mat Yo hanya membabitkan Mat Yo dan Kafa, bukannya PBNJ.


"Isu tebus kontrak antara Mat Yo dan Kafa tiada kena mengena dengan PBNJ. PBNJ hanya terbabit dalam isu perpindahan dan kita tidak menghalang Mat Yo berhijrah ke Johor Darul Takzim," katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


Tak perlu Safiq untuk menang

Posted: 04 Jan 2013 08:44 AM PST

KETIADAAN Safiq Rahim yang dilabel antara pemain berstatus bintang Selangor, langsung tidak mencetuskan rasa gusar pengendali Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M), 8 Januari ini.

Safiq yang dianggap jeneral padang terbaik Selangor, mengambil keputusan untuk menyertai kelab berbelanja besar, Johor Darul Takzim pada musim ini sekali gus mencetuskan tanda tanya adakah ketiadaannya di bahagian tengah mampu ditampung pemain sedia ada.


"Kami tidak berdepan masalah walaupun Safiq tiada pada musim ini sebab saya percaya dengan kebolehan pemain baru yang dibawa masuk.

"Shukur (Jusoh) umpamanya adalah pemain baru yang akan mengisi tempat Safiq. Saya percaya dia dapat memikul tugas itu dengan baik," katanya pada majlis pengenalan skuad Selangor musim ini di Stadium Shah Alam, semalam.


Selain Shukur, antara beberapa muka baru yang menyertai Selangor musim ini ialah bekas penjaga gawang Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli serta pemain import, Francis Forkey Doe, juga dari Terengganu.


Jelas Irfan, fokusnya kini lebih terarah kepada memenuhi sasaran pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mahu skuad bimbingannya memenangi sekurang-kurangnya satu trofi pada musim ini.

"Kami akan berkerja keras untuk merealisasikan sasaran pengurusan." Selain memastikan anak buahnya memenangi satu trofi, Irfan meletakkan sasaran mahu anak buahnya melepasi saingan suku akhir Piala AFC selepas diundi dalam Kumpulan H.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


Stadium Lumut boleh main malam

Posted: 04 Jan 2013 08:43 AM PST

KELUH-kesah peminat Seladang mungkin reda sedikit apabila perlawanan bola sepak Liga Super 2013 membabitkan Perak di Stadium Lumut bermula Selasa ini boleh diadakan pada sebelah malam.

Kelulusan itu diperoleh daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas pemeriksaan tahap pencahayaan stadium di pangkalan Tentera Laut itu dilakukan kelmarin.


Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, bacaan cahaya di stadium itu sebanyak 1,700 lux, melebihi had ditetapkan FAM, 1,000 lux.

"Pafa sudah mendapat surat pengesahan FAM dan perlawanan di Stadium Lumut boleh diadakan di sebelah malam.


"Ini perkembangan baik buat peminat yang sebelum ini berada dalam dilema jika perlawanan diadakan pada sebelah petang kerana perlu mengambil cuti dan menghadapi pelbagai kesukaran lain," katanya.


Perak terpaksa bermain di Stadium Lumut yang mempunyai kapasiti 18,000 penonton apabila tergolong dalam kelompok pasukan tidak boleh mengadakan perlawanan di sebelah malam kerana cahaya Stadium Perak di Ipoh tidak menepati piawaian FAM.

Berikutan itu Perak terpaksa bermain di Lumut untuk sekurang-kurangnya lima perlawanan bermula dengan pertemuan menentang T-Team.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/05


No comments:

Post a Comment