Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kejam! Kejam! Kejam!

Posted: 05 Jan 2013 01:27 PM PST

Sungguh zalim apabila seorang bayi perempuan baru dilahirkan ditemui mati dalam tong sampah yang dipenuhi longgokan sisa tulang ayam, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, bayi perempuan terbabit disumbatkan ke dalam beg berwarna biru sebelum dicampakkan di belakang sebuah restoran makanan segera di Jalan Onn Jaafar, di sini.


Lebih mengerikan apabila mayat bayi terbabit yang masih berdarah dan bertali pusat turut dimasukkan ke dalam beg itu bersama urinya.

Sumber polis berkata, bayi perempuan itu yang dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh beberapa jam ditemui seorang pengutip sampah yang mencari barangan terpakai di kawasan itu.


Menurutnya, pengutip sampah yang mengais tong sampah milik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu dikatakan menemui beg itu sebelum membukanya.


"Bagaimanapun, dia terkejut sebelum menjerit ketakutan dan berlari dari lokasi mayat bayi itu ditemui. Tindakan lelaki itu menarik perhatian orang ramai yang menghubungi polis.

"Anggota polis forensik yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian menemui mayat bayi berlumuran darah itu di dalam tong sampah," katanya.


Bagaimanapun, polis belum dalam memastikan sama ada bayi itu mati akibat dibuang ke dalam tong sampah atau ketika dia dilahirkan.

"Ini kes pertama membabitkan bayi dibuang di bandar raya ini tahun ini. Polis menghantar mayat bayi itu ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, untuk bedah siasat.


"Setakat ini polis belum dapat mengenal pasti bangsa bayi itu. Orang ramai ada maklumat diminta menghubungi Balai Polis Ipoh di talian 05-2451500 untuk bantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Pelajar kolej mati kena kelar leher

Posted: 05 Jan 2013 01:23 PM PST

Seremban Seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta di bandar ini ditemui mati, dipercayai dibunuh, dengan kesan kelar di leher di rumah bapa saudaranya di Taman Desa, Mantin, dekat sini, malam kelmarin.

Mayat S Sintuja, 19, yang berasal dari Temerloh, Pahang, ditemui sepupunya dalam keadaan terbaring di atas lantai di bilik tidur, jam 8.30 malam, sebelum menghubungi bapanya.


Sumber berkata, si mati yang masih menuntut di Kolej Tafe, Sikamat, dekat sini, dikatakan kerap bermalam di rumah bapa saudaranya pada cuti hujung minggu.

"Hasil siasatan awal, bapa saudara mangsa memberitahu pada setiap petang Jumaat, dia membawa balik mangsa ke rumahnya sebelum menghantar pulang ke kolej kediaman pada Ahad.


"Mangsa sudah setahun menuntut di kolej berkenaan dan menetap di asrama kolej," katanya.


Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, ketika mayat ditemui, semua pintu di dalam rumah dalam keadaan tidak berkunci, namun tiada kesan pecah masuk atau barangan hilang.

"Sebilah pisau turut ditemui di atas katil berdekatan mayat mangsa," katanya.


Kata sumber itu, daripada keterangan bapa saudara mangsa, dia keluar dari rumah sekitar jam 6 petang sebelum menerima panggilan daripada anaknya mengenai kejadian itu, jam 9 malam.

Beliau berkata, susulan itu polis kini menahan reman bapa saudara dan sepupu mangsa bagi membantu siasatan kes itu.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.


Menurutnya, setakat ini polis masih mengenal pasti motif kejadian dan siasatan dijalankan dari segenap aspek.


"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Hadiah kepada pembaca setia

Posted: 05 Jan 2013 01:23 PM PST

Wajah baru Harian Metro dan Metro Ahad (HM/MA) dilancarkan secara rasmi dalam majlis ringkas di Balai Berita, di sini, semalam.

Sempena pelancaran, Pengarang Kumpulan HM/MA, Datuk Mustapa Omar berkata, wajah baru akhbar nombor satu negara itu yang lebih padat dengan berita setempat dan terkini adalah hadiah kepada pembaca setia HM/MA sejak dilancarkan lebih 21 tahun lalu.


"Sebenarnya perancangan untuk wajah baru HM.MA bermula sejak beberapa bulan lalu lagi. Saya harap 2013 menjadi tahun bertuah kepada HM/MA untuk terus mendapat tempat di hati pembaca.

"Ini kerana kita memantapkan lagi pengisian dan paparan HM/MA. Ia sebagai tanda kasih kita kepada pembaca yang setia menyokong kita selama ini," katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Kumpulan NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP, Mohammad Azlan Abdullah dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.


Sumbangan sempena pelancaran itu ditaja HEE Marquee Tent Rental Sdn Bhd yang menyediakan replika ais sebagai gimik.


Mengenai wajah baru MA hari ini, pelbagai pengisian baru dimuatkan, antaranya Info Grafik, R2, My Tek, Spy Siber dan Jom Kayuh.

Akhbar dalam Kumpulan NSTP ini diterbitkan pada 25 Mac 1991 bermula dengan edisi Kuala Lumpur.


Sempena sambutan tahun pertamanya selepas itu, akhbar ini mengembang sayap ke Johor pada 25 Mac 1992, sementara Metro Ahad diterbitkan 20 Ogos 1995.

Harian Metro kemudian berkembang dengan penyampaian berita mengikut wilayah yang diterbitkan dalam lima edisi, termasuk Kuala Lumpur yang meliputi seluruh Lembah Klang.


Setakat ini, HM/MA akhbar bahasa Melayu yang mendominasi penjualan akhbar di negara ini dengan purata pembaca lebih empat juta sehari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

'Wanita Medan miliki pakej idaman '

Posted: 05 Jan 2013 01:20 PM PST

Kuala Lumpur Pakej dimiliki wanita Indonesia, terutama dari Medan, mencakupi senarai kriteria wanita idaman segelintir lelaki tempatan.

Tidak hairan, ada lelaki Malaysia sanggup berulang-alik ke Indonesia semata-mata untuk mencari jodoh menepati ciri-ciri diingini daripada gadis seberang.


Pakar Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, perawakan wanita Medan yang manis, lemah-lembut dan bersopan-santun menyebabkan ramai lelaki tempatan tewas dengan 'X-factor' atau kelebihan itu.

"Biarpun lelaki tempatan sentiasa mengikuti peralihan zaman dengan hidup gaya moden dan boleh menerima hakikat bahawa pemikiran serta tingkah laku wanita kini berbeza, mereka masih berfantasi memiliki pasangan yang patuh dan tidak pernah berkata tidak kepadanya.


"Lelaki mempunyai senarai panjang mengenai wanita idaman. Mereka mahukan isteri setia melayan dan tidak pernah mempertikaikan setiap tindak-tanduk mereka.


"Ibaratnya, lelaki mahukan layanan gah seperti raja di rumah, kepuasan itu mungkin diperoleh daripada pasangan dalam kalangan wanita Medan yang masih menebal sikap hormat kepada suami," katanya mengulas isu berkaitan lelaki tempatan gemar mengahwini wanita Medan.

Beliau berkata, kelebihan berwajah ayu serta penerimaan keluarga wanita kerana percaya dengan kemampuan lelaki Malaysia menyara kehidupan keluarga membuatkan perkahwinan dua negara itu berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Bukan semua tidak bahagia

Posted: 05 Jan 2013 01:19 PM PST

Medan Tidak semua lelaki Malaysia gagal mengecapi kebahagiaan berkongsi hidup dengan wanita Medan, sebaliknya mampu menikmatinya asalkan bijak bertindak sebagai ketua keluarga.

Ini dibuktikan pasangan Ismail Othman, 45, yang berasal dari Melaka dan Diana Osman, 39, dari Kampung Tanjung Putus, Kecamatan Padang Tualang, dekat sini.


Diana dan Ismail mendirikan rumah tangga 22 tahun lalu dan dikurniakan dua anak perempuan, Isliana, 18, dan Selina, 10, serta seorang anak lelaki, Mohd Danial, 13.

Ismail berkata, semua ahli keluarganya tinggal di Malaysia dan hanya pulang ke Medan jika ada urusan tertentu atau menyambut lebaran.


Dia yang tidak segan berkongsi cerita mengenai rumah tangganya berkata, pada peringkat awal, hasratnya mendapat tentangan keluarga yang kurang bersetuju dengan tindakannya memperisterikan wanita dari seberang kerana khuatir berdepan pelbagai masalah.


"Sebenarnya saya dua kali putus tunang dengan gadis tempatan sebelum berjumpa isteri. Ketika itu kami bekerja di kilang sama dan bermula dengan usik mengusik, timbul bibit percintaan.

"Saya masih ingat ketika hendak berkahwin, saya yang menguruskan semua urusan daripada perihal keperluan perkahwinan hinggalah urusan imigresen.


"Malah, ketika majlis pernikahan, saya datang ke sini seorang diri dengan hanya berpandukan kepada alamat diberikan isteri," katanya.

Ketika itu Ismail membawa RM7,000 dan setiba di lapangan terbang pada waktu malam, dia berpura-pura keletihan serta mengaku pernah ke kampung isteri kerana bimbang ditipu pemandu teksi, sedangkan itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Medan.


"Sepanjang perjalanan, saya hanya tidur dan sesekali membuka mata serta membiarkan pemandu teksi bertanyakan alamat kepada orang lain hinggalah saya tiba di rumah bakal mentua," katanya.


Menurutnya, rumah isterinya jauh dari bandar, malah telegram yang dihantar tidak boleh sampai ke rumah, menyebabkan tiada siapa menjemputnya di lapangan terbang.


"Hanya ada satu telefon di sini, itupun enam kilometer dari sini, dan jika berutus surat, selepas seminggu baru kami dapat meluahkan rasa rindu masing-masing," katanya.


Menurutnya, ada satu perkara yang dipelajarinya sepanjang berkongsi hidup dengan wanita Medan, iaitu si suami harus mempunyai pegangan agama teguh, selain memiliki kesabaran tinggi kerana jika kedua-dua elemen itu tidak dimiliki, rumah tangga boleh hancur.


"Saya mengahwini isteri kerana tahu dia hidup serba daif dan pasti dia tidak peduli jika kami hidup susah satu hari nanti. Bagaimanapun, segala-galanya berubah kerana selepas berumah tangga, saya dapat rasakan isteri tidak gemar hidup serba kekurangan.


"Apapun, saya bersyukur dengan limpahan rezeki diberikan Allah serta kesabaran dimiliki hingga membolehkan kami bahagia hingga ke hari ini," katanya.


Menurutnya, ramai rakannya tidak dapat melayari alam rumah tangga dengan wanita Medan bagi tempoh lama kerana mereka akan berubah sikap selepas mempunyai anak dan mula mengejar kemewahan atau hiburan yang tidak dikecapi ketika hidup susah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

No comments:

Post a Comment