Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Beri alasan kaki kejang

Posted: 01 Jan 2013 10:23 AM PST

SHAH ALAM: Bimbang ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor kerana cukai jalan kereta yang dipandu tamat tempoh, seorang lelaki nekad memandu melawan arus di Tol Batu Tiga, di sini, sempena Operasi Ambang Tahun Baharu 2013, di sini, malam kelmarin.

Namun sebaik ditahan, lelaki berusia 24 tahun terbabit mendakwa terpaksa bertindak sedemikian kerana mahu segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana kakinya kejang akibat bermain bola sedangkan dia memandu menghala ibu kota. Pengarah JPJ Selangor, Datuk Yusoff Ayob berkata, lelaki itu ditahan atas kesalahan cukai jalan dan perlindungan insurans keretanya sudah tamat tempoh pada 15 November tahun lalu.


Katanya, operasi bersepadu yang dijalankan di laluan menghala Kuala Lumpur dari arah Shah Alam disertai 55 anggota JPJ Selangor, sembilan anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan lapan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, bermula jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

"Kami menjalankan pemeriksaan ke atas 241 motosikal, 211 kereta, 15 lori serta 33 kenderaan lain dan 237 saman dikeluarkan JPJ bagi pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada insurans kenderaan, cukai jalan tamat tempoh dan pelbagai kesalahan lain. "Sebanyak 23 kereta, 21 motosikal dan sebuah lori disita dan dibawa ke ibu pejabat JPJ Selangor untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.


Yusoff berkata, tiga lelaki warga tempatan berusia 18 hingga 21 tahun ditahan penguat kuasa AADK kerana positif ujian dadah. Beliau meminta pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan pihak berkuasa dan memberikan kerjasama kepada JPJ ketika pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02


Bekas KSU cabar penguat kuasa Jawi ditahan

Posted: 01 Jan 2013 10:21 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua setiausaha sebuah kementerian yang sudah bersara dan bergelar Datuk serta seorang rakannya yang juga berstatus sama ditahan bersama 36 pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah pusat karaoke di Bukit Bintang, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 7 malam itu, kedua-dua VIP terbabit berhibur dan dipercayai dalam keadaan mabuk.


Menurut sumber, 'Datuk' terbabit yang berusia lewat 50-an berlagak sombong dan mendakwa kebal daripada undang-undang.

"Datuk terbabit tidak gentar dengan kesalahan syariah yang dilakukannya, malah mencabar penguat kuasa Jawi untuk mengambil tindakan.


"Semua GRO disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan kerana mengingkari pihak berkuasa agama manakala kedua-dua VIP terbabit disiasat kerana bersubahat. "Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.


Sementara itu, dalam serbuan berasingan sempena sambutan tahun baru, puluhan pengunjung remaja Islam yang asyik berpesta arak di sebuah disko terkemuka, di sini, nekad melompat dari tingkat atas disko berkenaan kerana takut diperiksa polis dan pihak berkuasa agama, awal pagi semalam.

Ada antara mereka cedera dan luka di anggota badan akibat terjatuh. Remaja berusia 18 hingga 25 tahun itu meneguk arak dan berpesta ketika serbuan.


Malah, terdapat pengunjung merempuh pintu hadapan dan melepaskan diri. Operasi dijalankan 60 anggota dan pegawai diketuai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama polis D7 KL dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jam 2 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02


Tersepit 3 jam celah batu ketika mandi

Posted: 01 Jan 2013 10:19 AM PST

PETALING JAYA: Anak lelaki pengasas syarikat jualan langsung DCL, Datuk Azlina Che Abdullah tersepit selama tiga jam di celah batu ketika mandi di kolam renang sebuah hotel, di sini, semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa Putera Faizal Setapa, 13, cedera di badan akibat tersepit terlalu lama.


Azlina berkata, anak keduanya daripada lima beradik itu cuba naik atas batu yang dijadikan sebagai pembahagi kolam renang berkenaan sebelum tersepit.

Katanya, ketika itu, dia dan suami bersiap dalam bilik sebelum keluar melihat anaknya yang mengerang kesakitan.


"Pihak hotel cuba menarik tangan Faizal, namun tidak berjaya sebelum meminta bantuan bomba yang tiba lima minit kemudian.


"Anggota bomba mengambil masa tiga jam untuk mengeluarkan anak saya apabila terpaksa memecahkan batu berkenaan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, keluarganya menginap di hotel berkenaan malam kelmarin, sempena menyambut tahun baru dan tidak menyangka berlaku kejadian itu.


"Akibat kejadian itu, anak saya cedera di bahagian belakang dan dirawat di sebuah hospital," katanya anak lelakinya itu kini trauma dengan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02


Rekrut rakan sekolah, adik sertai geng samun

Posted: 01 Jan 2013 10:18 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun dikesan merekrut rakan sekolah dan adik kandungnya untuk menyertai kumpulan samun diketuainya sebagai cara mudah mendapat wang belanja harian.

Difahamkan, kumpulan samun yang diketuai remaja bawah umur terbabit bergerak dengan motosikal sebelum menyamun mangsa secara rambang di kawasan gelap sekitar Bandar Tasik Sri Permaisuri.


Lebih mengejutkan, ketua kumpulan samun cilik yang dianggotai tujuh remaja berusia 15 hingga 19 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau membabitkan samun kedai runcit setahun lalu dan masih berada di bawah perintah pengawasan mahkamah yang tamat Julai depan.

Mendedahkan mengenai kumpulan samun cilik terbabit, Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kegiatan kumpulan samun remaja itu terbongkar selepas pihaknya menerima maklumat daripada seorang mangsa mereka, awal pagi semalam.


Menurutnya, ketika sepasukan anggota bertugas di kawasan berkenaan, mereka didatangi seorang remaja berumur 14 tahun yang mendakwa disamun tujuh remaja bermotosikal.


"Sebaik menerima aduan, anggota berkenaan membawa mangsa ke kawasan perumahan berhampiran dan ternampak sekumpulan remaja berkumpul dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota itu mendekati kumpulan remaja terbabit dan selepas memperkenalkan diri sebagai polis, mereka cuba melarikan diri namun lima daripada mereka ditahan," katanya, semalam.


Beliau berkata, sebaik ditahan mangsa membuat pengecaman dan menyatakan kumpulan itu yang menyamunnya sejam sebelum itu dan lima remaja terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

Katanya, pemeriksaan dalam poket seluar remaja berusia 16 tahun yang dipercayai ketua kumpulan samun itu membawa kepada penemuan sebuah telefon bimbit milik mangsa.


"Pemeriksaan lanjut mendapati ketua kumpulan samun itu pernah ditahan atas kesalahan samun kedai runcit di kawasan sama tahun lalu dan dia dikenakan tindakan perintah pengawasan mahkamah selama dua tahun yang tamat pada 18 Julai depan.


"Meskipun, masih berada di bawah perintah pengawasan mahkamah, remaja ini masih meneruskan kegiatan jenayah, malah merekrut ahli baru untuk kumpulan samunnya dari kalangan rakan sekolah dan adik kandungnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02


Gigit jari remaja gatal

Posted: 01 Jan 2013 10:17 AM PST

MELAKA: Mengejutkan apabila seorang remaja lelaki mencabul kehormatan seorang wanita dalam tandas di sebuah stesen minyak di Jalan Munysi Abdullah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.25 petang, mangsa yang juga pegawai khidmat pelanggan berusia 28 tahun terkejut apabila remaja berusia 13 tahun terbabit merempuh masuk ke dalam tandas wanita di stesen minyak itu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek kemudian bertindak memeluk, mencium dan meraba mangsa.

"Wanita itu menjerit untuk mendapatkan bantuan sebelum jeritannya didengari orang awam dan pekerja stesen minyak berkenaan.


"Mangsa berjaya diselamatkan, manakala remaja terbabit ditangkap sebelum diserahkan kepada polis sejurus selepas itu," katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, remaja itu ditahan reman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Sementara itu, dalam laman sosial facebooknya, mangsa mendakwa ketika dia membuka pintu tandas itu untuk keluar, datang seorang remaja berusia belasan tahun memegang dan menutup mulutnya.


"Dia mencium pipi dan meraba buah dada saya, ketika bergelut cuba melawannya, saya menjerit meminta pertolongan sehingga pelanggan dan kakitangan sebuah bank berdekatan terdengar jeritan saya.

"Ketika bergelut saya sempat menggigit jarinya, selepas beberapa kali mencuba untuk membuka pintu akhirnya saya terdengar suara beberapa orang di luar tandas," katanya.


Menurutnya, dia sekali lagi mencuba membuka pintu berkenaan.


"Saya bernasib baik kerana ketika itu terdapat seorang pekerja stesen minyak bersama seorang wanita dan lelaki berada di luar.


"Mereka menangkap remaja berkenaan dan menahannya di tandas lelaki sehingga polis sampai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02


No comments:

Post a Comment