Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Rozaimi terkejut

Posted: 31 Dec 2012 07:46 AM PST

"PENGIKTIRAFAN ini adalah untuk seluruh rakyat Sabah," kata penyerang Harimau Muda A kelahiran Sabah, Rozaimi Abd Rahman yang disenaraikan antara 10 pemain terbaik Asia 2012 oleh saluran sukan antarabangsa, ESPN.

Anak muda berusia 20 tahun dari Bongawan itu mengaku terkejut apabila namanya terpilih bersama bintang Manchester United dari Jepun, Shinji Kagawa yang turut tersenarai sebagai pemain terbaik Asia.


"Saya terharu dan gembira kerana tersenarai walaupun agak terkejut kerana prestasi saya turun naik kecuali ketika bermain bersama Harimau Muda pada Kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun di Yangon, Myanmar, Jun lalu dengan menjaringkan 10 gol.

"Mungkin kerana aksi itulah saya dipilih ESPN, bagi saya ramai lagi yang layak seperti Safiq Rahim, Safee Sali dan Wan Zack Haikal. Namun mungkin nasib lebih menyebelahi saya," katanya di Kota Kinabalu, semalam.


Rozaimi kini bercuti bersama keluarga dan akan kembali menyertai kem latihan skuad Harimau Muda A kendalian jurulatih, Ong Kim Swee bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar.


Bekas pemain pinjaman Selangor pada Piala Malaysia 2012 itu gembira kerana dapat mengharumkan nama Sabah di persada antarabangsa menerusi bola sepak dengan tersenarai antara 10 pemain terbaik Asia tahun ini dan mendedikasikannya kepada seluruh rakyat negeri ini.

"Memang inilah yang saya mahu lakukan, seperti Matlan Marjan yang menjadi idola saya. Dulu dia turut mengharumkan nama Sabah dan Malaysia dengan menjaringkan dua gol ketika menentang England.


"Saya harap pengiktirafan ini menjadi pendorong untuk saya beraksi lebih cemerlang membawa cabaran Harimau Muda A terutama untuk Sabah jika disenaraikan kembali tahun depan," katanya.

Selain Rozaimi dan Kagawa, senarai 10 pemain terbaik Asia oleh ESPN turut merangkumi Omar Abdulrahman (UAE), Koo Ja Cheol dan Lee Keun Ho (Korea Selatan), Bambang Pamungkas (Indonesia), Yuto Nagatomo (Jepun), Teerasil Dangda (Thailand), Amjad Radhi (Iraq) dan Ali Al Habsi (Oman).


Ini adalah pengiktirafan kedua diterima Rozaimi selepas Anugerah Pemain Harapan Negara, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


‘Pengalaman menakjubkan’

Posted: 31 Dec 2012 07:34 AM PST

BRISBANE (Australia): Maria Sharapova menganggap tahun lalu paling bermakna dalam kariernya selepas menjuarai Terbuka Perancis selain membawa bendera Russia pada upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik London.

"Banyak perkara yang berlaku," katanya. "Ia catatan Grand Slam yang mengambil masa agak lama buat saya berbanding pemain lain.


"Saya sedar memerlukan beberapa tahun untuk bertindak lebih berkesan pada permukaan gelanggang tanah liat," katanya mengenai kejuaraan di Roland Garros.

"Pengalaman Olimpik tidak akan saya lupakan kerana ia kali pertama menjadi Olimpian. Saya adalah atlet wanita pertama Russia membawa bendera negara dan ia amat mengharukan. Ia satu pengalaman menakjubkan." Maria yang bertanding pada kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu ini berkata, saingan tenis wanita masa kini lebih sengit dan hebat berbanding sebelum ini.


"Ia lebih berbentuk fizikal berbanding sebelum ini. "Mungkin lima tahun lalu, beberapa perlawanan awal sekadar pemanas badan dan tidak perlu fikir pusingan pertama perlu mempamerkan permainan terbaik.


"Kini ia amat berbeza kerana saya mungkin berdepan lawan yang mempunyai keputusan bagus, mengalahkan pemain ternama, tidak cukup konsisten tapi liat untuk ditundukkan.

"Tahap tidak konsisten itu menyebabkan ranking mereka tidak bagus dan saya berdepan mereka dalam beberapa pusingan awal.


"Tenis kini lebih sukar. Begitu juga dengan teknologi dan raket serta peningkatan yang kami miliki. "Terlalu banyak perkara dalam sukan tenis yang sukan lain tidak perlu pertimbangkan seperti bola, raket dan tali. Semuanya berubah saban tahun." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Djokovic nyaris alami kecederaan

Posted: 31 Dec 2012 07:33 AM PST

PERTH (Australia): Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic terselamat daripada kecederaan serius selepas membantu Serbia mengatasi Itali pada kejohanan berpasukan campuran Piala Hopman, semalam.

Djokovic yang hanya tiba di bandar raya itu lewat kelmarin selepas memenangi kejohanan pertunjukan di Abu Dhabi, terlalu unggul buat pemain Itali, Andreas Seppi apabila menang 6-3, 6-4.


Selepas perlawanan itu, Djokovic menandatangani autograf buat peminat remaja di tepi gelanggang. Namun ketika peminat menyerbu untuk mendapatkan tumpuan bintang Serbia itu, penghadang antara gelanggang dengan tempat penonton tertimpa kakinya.

Djokovic keluar gelanggang dan membatalkan sidang akhbar untuk menerima rawatan.


Namun pemain berusia 25 tahun itu tidak mempamerkan sebarang kecederaan apabila kembali ke gelanggang bagi beregu campuran tidak lama kemudian.


"Saya baik," katanya. "Ia satu kejutan kecil dan saya gembira kanak-kanak terbabit tidak cedera. Keadaan saya bagus." Djokovic yang mengintai peluang menjuarai Terbuka Australia kali ketiga berturut-turut di Melbourne bulan ini, mencatat kemenangan ke-10 ke atas Seppi, pada pertembungan pertama mereka sejak pemain Serbia itu bangkit daripada kekalahan dua set pertama sebelum menang pada Terbuka Perancis tahun lalu.

Bagaimanapun, Djokovic dan pasangannya Ana Ivanovic tumpas pada perlawanan beregu campuran. Serbia, pilihan utama kejohanan lapan negara itu, menang 2-1. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Jimenez rehat tiga bulan akibat kemalangan ski

Posted: 31 Dec 2012 07:26 AM PST

MADRID: Bintang golf Sepanyol, Miguel Angel Jimenez terlepas aksi sekurang-kurangnya tiga bulan selepas kakinya patah dalam satu kemalangan ketika bermain ski hujung minggu lalu.

"Saya bermain ski di Sierra Nevada, hilang kawalan dan terjatuh. Saya berasa sangat sakit dan tahu ada sesuatu yang patah," katanya yang menjalani pembedahan di sebuah klinik di Malaga.


"Tulang kaki tibia di bahagian atas kaki kanan saya patah dan mereka meletakkan dua skru.

"Ia mungkin mengambil masa tiga, empat atau lima bulan untuk pulih sebelum kembali beraksi. Saya bermain dengan baik tapi perkara ini terjadi dalam kehidupan." Jimenez, 49 tahun Sabtu ini, dipilih sebagai pemain bulanan terbaik Eropah, November lalu selepas kemenangan pada Terbuka Hong Kong menjadikannya juara paling tua dalam sejarah Jelajah Eropah pada usia 48 tahun 318 hari. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Spekulasi terjawab

Posted: 31 Dec 2012 07:26 AM PST

MILAN: Alexandre Pato setuju untuk berhijrah ke Corinthians, menurut ejennya, berikutan spekulasi menyatakan penyerang itu ingin meninggalkan AC Milan.

Timbalan presiden Rossoneri, Adriano Galiani berada di Brazil pada cuti musim sejuk Serie A dalam usaha menguruskan perpindahan pemain itu ke Brazil dan usaha itu dilihat berjaya.


"Pato sudah memilih Corinthians," kata ejennya, Gilmar Veloz. "Sejak memutuskan untuk kembali ke Brazil, Corinthians adalah pilihan pertama.

"Saya faham Pato perlu berpindah dan meraih pengalaman di kelab lain dan dia memilih Corinthians. malah Galliani memahami alasannya.


"Corinthians menyambut baik kepulangannya dan mereka akan melakukan apa saja untuk membantu Pato menyesuaikan diri.


"Masih ada beberapa butiran perlu diselesaikan antara dua kelab itu. Tapi saya tidak berhak untuk bercakap mengenainya." Robinho adalah seorang lagi pemain Brazil di San Siro yang disebut-sebut mengintai peluang berhijrah ketika pasaran perpindahan pemain bulan ini dibuka namun belum ada sebarang perkembangan buat bekas penyerang Manchester City dan Real Madrid itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Serero tersenarai bersama Afrika Selatan

Posted: 31 Dec 2012 07:25 AM PST

JOHANNESBURG: Afrika Selatan menyenaraikan pemain berpangkalan di Belanda, Thulani Serero dalam skuad Piala Negara-Negara Afrika sekalipun pemain tengah itu tidak beraksi sejak September lalu.

Dia adalah seorang daripada tujuh pemain yang beraksi di luar negara dipilih dalam skuad 23 pemain dengan jurulatih, Gordon Igesund menyifatkannya sebagai "koleksi pemain muda yang menakjubkan".


Igesund sedia mempertaruhkan kecergasan Serero kerana pemain berusia 22 tahun dari Ajax Amsterdam itu mempunyai keupayaan untuk membantu kemenangan pasukan.

Serero menyertai kem latihan tiga perlawanan minggu ini dan meyakinkan jurulatih itu dia cergas selepas berehat tiga bulan kerana kecederaan pangkal paha.


"Ini satu pasukan impian yang saya percaya mampu merealisasikan harapan kami pada kejohanan ini," kata Igesund.


Pemain yang tersingkir termasuk Thanduyise Khuboni, Teko Modise, Andile Jali, Daine Klate, Sifiso Myeni dan Delron Buckley.

"Tidak kira apa yang dilakukan, kami tidak boleh memuaskan hati semua pihak tapi saya percaya kami memilih yang terbaik mewakili negara ini pada AFCON 2013," kata Igesund.


"Kami memiliki pemain terbaik dalam kem latihan dan mereka bersaing antara satu sama lain bagi merebut posisi masing-masing.

"Namun, pemain yang tersingkir tidak harus kecewa kerana mereka boleh disenaraikan semula jika ada kecederaan." Pertahanan, Bongani Khumalo yang bermain di kelab Greece, PAOK Salonika, akan mengetuai Bafana Bafana.


Tuan rumah, Afrika Selatan bermain perlawanan persahabatan menentang Norway pada 8 Januari dan Algeria empat hari kemudian, sebelum perlawanan pembukaan menentang Cape Verde di Soccer City, Johannesburg pada 19 Januari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Deportivo pecat Oltra

Posted: 31 Dec 2012 07:25 AM PST

MADRID: Deportivo La Coruna memecat jurulatih Jose Luis Oltra selepas permulaan buruk kelab itu musim ini menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot menjelang cuti perayaan Krismas.

"Kami memutuskan ini masa terbaik melakukan perubahan," kata presiden Depor, Augusto Cesar Lendoiro dalam laman web rasmi kelab, www.canaldeportivo.com.


"Hari ini atau mungkin esok, kami harap dapat memperkenalkan jurulatih baru," katanya.

Media Sepanyol melaporkan, bekas jurulatih Sporting Lisbon, Domingos Paciencia akan mengisi kekosongan itu sekali gus menyelamatkan Depor daripada kembali tersingkir ke divisyen dua selepas Oltra mengemudi mereka naik ke divisyen utama musim lalu.


Pasukan itu sudah lama merosot sejak memenangi kejuaraan La Liga pada 2000 dan salah sebuah kelab Sepanyol dibelenggu masalah kewangan.


Selepas 17 perlawanan, Depor hanya meraih dua kemenangan dan di tangga tercorot dengan 12 mata. Perlawanan pertama mereka tahun ini adalah menanti kunjungan pasukan tangga keempat, Malaga hujung minggu ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Sinar Reds!

Posted: 31 Dec 2012 07:25 AM PST

LONDON: Penyerang Luis Suarez kembali memberikan sinar buat Liverpool yang mempamerkan prestasi tidak konsisten dalam kempen Liga Perdana Inggeris apabila pemain Uruguay itu tampil dengan persembahan hebat untuk membantu pasukannya menumpaskan Queens Park Rangers 3-0, awal pagi semalam.

Dalam tempoh 16 minit pertama, pemain berusia 25 tahun itu kelihatan memastikan kemenangan Liverpool secara solo dengan melepasi kawalan pertahanan lawan untuk menjaringkan gol pertama sebelum meledak gol kedua enam minit kemudian.


Kelincahan Suarez yang dibeli Liverpool dengan harga �22 juta (RM108 juta) gagal dibendung QPR pada perlawanan itu.

Kemenangan itu menggembirakan Suarez sejak berpindah dari Ajax Amsterdam pada Januari 2011 memandangkan bintang Amerika Selatan itu diselubungi kontroversi sepanjang dua tahun di Merseyside.


Pemain Uruguay itu digantung lapan perlawanan dan denda �40,000 (RM190,000) kerana mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap kapten Manchester United, Patrice Evra tahun lalu dan kemudian enggan berjabat tangan dengan pemain Perancis itu sebelum perlawanan di Old Trafford.


Suarez sekali lagi dihukum kerana membuat isyarat lucah di Fulham sebelum meraih reputasi buruk kerana didakwa kerap merebahkan badan untuk mendapat sepakan percuma atau penalti.

Tujuh gol dalam 12 penampilan sejak awal November lalu membuktikan pengaruhnya untuk Liverpool yang memburu tempat beraksi di kejohanan elit Eropah musim depan.


Kapten kelab, Steven Gerrard yang sentiasa menyokong Suarez, menghamburkan pujian kepada rakan sepasukannya itu yang mencipta dua gol di Loftus Road.

"Dia seperti ahli silap mata," kata kapten England, Gerrard.


"Dia mempamerkan permainan hebat sejak menyertai kelab ini. Pemain QPR hanya perlu berdepan dengannya dua kali setahun, kami pula berlatih dengannya setiap hari. Setiap minggu dia mempamerkan kehebatannya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Mancini yakin pintas United

Posted: 31 Dec 2012 07:24 AM PST

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini yang bakal menyaksikan anak buahnya berdepan Stoke City di laman sendiri, malam ini menegaskan kedudukan liga masih belum relevan hingga Februari.

City akan turun menentang Stoke dengan defisit tujuh mata berbanding pendahulu liga, Manchester United selepas kedua-dua pasukan berjaya meraih kemenangan Sabtu lalu.


Skuad kendalian Mancini tewas dua daripada empat perlawanan liga termasuk kalah di tangan United, bulan lalu.

Bagaimanapun mereka bangkit selepas kekalahan mengejut 0-1 kepada Sunderland dengan kemenangan 4-3 di Norwich meskipun kehilangan Samir Nasri yang dilayangkan kad merah.


Sejak kecundang 2-3 kepada United, Mancini tetap yakin beliau tidak perlu panik kerana masih ada baki separuh musim dan komitmen anak buah Alex Ferguson dalam kempen Liga Juara-Juara akan memberi kesan kepada pasukan itu selepas ini.


Cabaran yang bakal dipikulnya lebih sukar apabila Yaya Toure dan Kolo Toure tidak dapat diturunkan kerana menyertai Piala Negara-Negara Afrika selepas aksi Piala FA menentang Watford, Sabtu ini.

Namun Mancini yakin mereka mampu mengejar United sementara menanti kepulangan dua pemain Ivory Coast itu.


"Tidak penting untuk melihat kedudukan liga kerana saingan belum berakhir tapi kami perlu bekerja keras, menang dan kemudian barulah kami lihat kembali kedudukan kami bulan depan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


Pemain komited sahaja dikehendaki QPR: Redknapp

Posted: 31 Dec 2012 07:24 AM PST

LONDON: Harry Redknapp menegaskan hanya pemain yang benar-benar komited boleh menyertai Queens Park Rangers berjuang untuk mengelak daripada tersingkir selepas pasukan kendaliannya ketinggalan lapan mata daripada zon selamat Liga Perdana berikutan kekalahan di tangan Liverpool.

Kekalahan itu menyebabkan QPR ketinggalan tiga mata dengan pasukan di tangga kedua tercorot, Reading dan hanya sekali dalam sejarah Liga Perdana ada pasukan terselamat selepas berada di tangga terbawah pada hari Tahun Baru iaitu West Bromwich Albion pada 2005.


Redknapp mengesahkan akan membawa masuk beberapa pemain baru pada pasaran perpindahan pemain bulan ini namun hanya memilih pemain yang sanggup berjuang untuk kelab.

"Bukan mudah mendapatkan pemain pada pertengahan musim apabila anda berada di tangga tercorot tapi jika ada pemain yang sanggup memikul cabaran, itulah pemain yang kami mahukan," kata pengurus QPR itu.


"Saya masih yakin kami boleh menyelamatkan kedudukan. Kami akan mendapatkan beberapa pemain baru.


"Kami perlukan muka-muka baru dan itulah yang akan kami lakukan. Jika kami boleh membawa masuk pemain yang bagus, kami mampu memberikan tentangan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31


No comments:

Post a Comment