Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Wanita kahwin dengan jambatan

Posted: 04 Jul 2013 08:46 AM PDT

Paris: Tertarik dengan getaran yang ada pada sebuah jambatan, seorang seniman Australia membuat keputusan aneh apabila menjadikan binaan itu sebagai pasangan hidupnya.

Jodi Rose memang sering mengembara ke serata dunia untuk merekodkan getaran pada mana-mana jambatan gantung bagi menyiapkan projek muzik Singing Bridges.


Apabila dia tiba di kawasan Saint-Jean-de-Fos di selatan Perancis, hatinya tersentuh dan segera jatuh cinta kepada sebuah jambatan berusia 600 tahun.

Kata Jodi, dia berkahwin dengan jambatan Le Pont du Diable itu pada 17 Jun lalu dalam majlis tertutup dengan dihadiri hanya 14 orang tetamu.


Seorang daripada mereka ialah Datuk Bandar Saint-Jean-de-Fos.


Pengantin perempuan mengenakan pakaian tradisional dengan baju panjang putih dan membawa sejambak bunga. Media melaporkan, walaupun perkahwinan itu tidak diiktiraf menurut undang-undang Perancis, Jodi berkata, ia tetap bermakna dan kukuh seperti pasangan suami isteri lain. "Saya menghormati mereka yang berkahwin atas dasar romantik dan perasaan seksual, hubungan ini pula berbentuk simbolik yang mementingkan getaran semangat," katanya.

Foto

JODI bersama 'pasangan hidup' pilihannya.

Jambatan itu, kata Jodi, memahami bahawa dia juga menyayangi jambatan - juga lelaki - lain tetapi hubungan mereka membabitkan kepelbagaian kehidupan.


"Ia dibuktikan dengan arus berpusar sungai yang mengalir di bawah tubuh jambatan ini," katanya. Jodi berkata, jambatan itu memiliki ciri suami yang diidamkannya - kukuh, dapat dipercayai, sensasi, baik dan segak.

Jambatan Le Pont du Diable - juga dikenali sebagai Jambatan Syaitan - dibina pada abad ke-11 dan terbukti memiliki daya tahan yang sangat tinggi untuk merentasi masa begitu lama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Anak bapa paling tua di dunia diculik

Posted: 04 Jul 2013 08:42 AM PDT

New Delhi: Lelaki dianggap bapa paling tua di dunia semalam berkata, anaknya yang baru berusia tiga tahun kini hilang dan dipercayai menjadi mangsa culik.

Kata Ramjeet Ragav, 97, dia tidak melihat budak itu, Vikramjeet sejak 55 hari lalu dan mungkin dilarikan ketika pergi membuat rawatan di hospital.


"Kami mencari Vikramjeet setiap hari dan saya kini sudah putus harap.

"Saya tak tahu mengapa atau bagaimana dia hilang," katanya.


Ramjeet menjadi bahan berita di seluruh dunia pada 2010 apabila diiktiraf sebagai bapa tertua di dunia ekoran kelahiran Vikramjeet ketika dia berusia 94 tahun.


Oktober tahun lalu, Ramjeet sekali lagi memecahkan rekod itu dengan kelahiran anak kedua, Ranjeet, kini sembilan bulan.

Isteri Ramjeet, Shakuntala, kini berusia 60 tahun. Keluarga itu menetap di sebuah rumah kecil di perkampungan Kharkhoda, di Haryana.


Kata Ramjeet, Shakuntala pergi ke hospital bersama Vikramjeet kerana demam pada 6 Mei.

Disebabkan terlalu penat, Shakuntala tertidur di terminal bas yang sibuk sambil memegang anaknya.


Bagaimanapun, budak berusia tiga tahun itu hilang apabila Shakuntala terjaga 15 minit kemudian. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Mula berbeza, akhir bersama

Posted: 04 Jul 2013 08:41 AM PDT

Jakarta: Seperti tahun lalu, umat Islam Indonesia tahun ini dijangka memulakan puasa pada hari berlainan tetapi beraya pada hari yang sama.

Keadaan itu itu berlaku kerana kiraan awal yang berbeza untuk menentukan awal bulan takwim Hijriah iaitu terbentuknya anak bulan dan terlihatnya anak bulan.

Pengikut Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia akan mula berpuasa Selasa ini, kata Pengerusi kumpulan itu, Din Syamsuddin.

"Sesuai dengan pendekatan yang diambil Muhammadiyah dari dulu lagi, maka kita akan mula berpuasa pada 9 Julai," katanya,


Menurut Din, kumpulan itu menentukan awal Ramadan dengan mengguna pendekatan hisab hakiki peredaran bulan, bumi dan matahari dan hasil musyawarah Majlis Tarjih dan Tajdid Pimpinan Pusatnya.


Berdasarkan ahli falak, katanya, anak bulan Ramadan sudah ada kerana matahari, bumi dan bulan berada pada garis lurus kira-kira jam 2 petang pada 8 Julai.

"Itu tanda menunjukkan bulan Syaaban sudah berakhir. Pada ketika itu, anak bulan sudah wujud ketika matahari terbenam. Maka kita tidak perlu melihat lagi anak bulan," katanya.

Din juga berkata, Ramadan tahun ini akan berlangsung selama 30 hari. Ini bermakna hari raya puasa akan disambut pada Khamis 8 Ogos.

Sementara itu, Pengerusi Nahdlatul Ulama (NU) Said Aqil Siradj berkata, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia itu akan tetap menggunakan cara rukyah, iaitu melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh 1 Ramadan.

Bercakap kepada wartawan mengenai perkara itu, beliau turut menyangkal anggapan cara rukyah sudah ketinggalan zaman.

Pegawai NU akan melihat anak bulan pada 8 Julai ini dan jika ia tidak kelihatan, pengikutnya akan berpuasa pada Rabu, 10 Julai.

NU menjangka Ramadan kali ini hanya 29 hari, bermakna Aidilfitri jatuh pada 8 Ogos, hari yang sama ditetapkan oleh Muhammadiyah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

12 lagi mangsa gempa dicari

Posted: 04 Jul 2013 08:40 AM PDT

Blang Mancung (Aceh): Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda wilayah ini Selasa lalu mencapai 30 orang.

Menurut pegawai, polis dan anggota tentera masih mencari 12 lagi mangsa yang dilapor hilang di celah runtuhan bangunan.

Sutopo Purwo Nugroho dari Agensi Bantuan Bencana Kebangsaan berkata, tumpuan utama semalam ialah mencari lebih banyak mangsa, membantu mereka yang cedera dan menyediakan bekalan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Menurut Sutopo Purwo, seramai 275 penduduk cedera dan lebih 4,300 rumah dan bangunan ranap dalam gempa bumi 6.1 magnitud itu.


Indonesia sering dilanda gegaran kerana kedudukannya yang berada di Lingkaran Api Pasifik, iaitu arca gunung berapi dan garisan tidak menentu yang mengelilingi Lautan Pasifik.


Pada 2004, gempa 9.1 magnitud yang berlaku di luar pantai Aceh menyebabkan tsunami yang meragut 230,000 nyawa di 14 negara. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Larangan pakai seksi di Bandung

Posted: 04 Jul 2013 08:38 AM PDT

Bandung: Pihak berkuasa Bandung semalam mengeluarkan amaran akan bertindak terhadap mereka yang berpakaian seksi di bandar itu sepanjang Ramadan.

Amaran itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa berkenaan berbincang dengan beberapa pertubuhan Islam.


Ia bertujuan menjaga ketertiban dan keselesaan penduduk mengerjakan ibadah puasa.

Dalam pada itu, jurucakap Persatuan Suara Wanita Jawa Barat, Euis S Rifki berkata, kumpulan itu akan membantu pihak berkuasa memastikan larangan berpakaian seksi dan terdedah dipatuh.


"Memang ada orang yang berpakaian tidak sopan berkeliaran di bandar raya ini. Tetapi bila diperlakukan tidak sopan, mereka marah. "Kerana itu kami akan memantau, termasuk menasihati mereka yang tidak mempedulikan arahan supaya bersopan dan menghormati mereka yang berpuasa," katanya ketika ditemui, semalam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Pracha mahu terus runding

Posted: 04 Jul 2013 08:37 AM PDT

Bangkok: Timbalan Perdana Menteri Pracha Promnok mahukan rundingan damai dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) diteruskan selepas bulan puasa.

Pracha berkata demikian walaupun beberapa agensi keselamatan Thai mahu menilai dan mengkaji semula perbincangan dengan BRN yang pernah diadakan di Kuala Lumpur sebelum meneruskan rundingan untuk menamatkan konflik bersenjata di selatan negara berkenaan.


"Jika kita tidak berbincang dengan mereka (kumpulan pemisah) kita tidak tahu apa masalah sebenar mereka," katanya.

Pracha yang dilantik oleh Perdana Menteri Yingluck Shinawatra untuk mengawasi perkembangan di wilayah berkenaan berkata, beliau bagaimanapun akan berbincang dengan beberapa agensi terbabit mengenai isu itu.


Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, sekiranya persetujuan dicapai untuk meneruskan rundingan damai itu, beliau akan membuat beberapa pengubahsuaian.


Pracha turut menggesa orang ramai memberi masa kepada kerajaan bagi menangani krisis yang sudah meragut ribuan nyawa di Thailand sejak ia mula meletus pada 2004.

Sementara itu, keganasan masih berterusan semalam, dengan sebutir bom meletup pada awal pagi di luar sebuah kedai membaiki barangan elektronik di daerah Bannang Sata, Yala. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Tentera Filipina tembak mati lapan komunis

Posted: 04 Jul 2013 08:36 AM PDT

Manila: Tentera Filipina bertempur dengan pemberontak komunis awal pagi semalam dan membunuh lapan gerila selepas penduduk kampung mengadu didera oleh mereka.

Jurucakap tentera, Leftenan Kol Ramon Zagala berkata, anggotanya menemui senjata api, bahan letupan dan pelancar bom tangan selepas pertempuran dengan anggota Tentera Rakyat Baru di wilayah Sorsogon. Menurut Zagala, penduduk di bandar Juban sebelum itu mengadu kepada tentera bahawa anggota komunis berkenaan memeras wang dan mengancam mereka.


"Aduan itu membawa kepada pertempuran pagi ini (semalam)," kata Zagala.

Rundingan untuk menamatkan pemberontakan komunis di Filipina menemui jalan buntu dua tahun lalu selepas kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat berhubung pembebasan pemimpin komunis yang dipenjara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Ketua Hakim ganti Mursi

Posted: 04 Jul 2013 08:36 AM PDT

Kaherah: Ketua Hakim Mesir, Adly Mansour, mengangkat sumpah sebagai presiden sementara negara itu semalam, sehari selepas tentera menyingkir dan menahan tokoh yang dipilih rakyat melalui pilihan raya, Mohamed Mursi.

Melalui majlis itu, Adly berikrar untuk mempertahankan sistem republik dan menghormati perlembagaan serta undang-undang, selain menjaga kepentingan rakyat. Majlis itu diadakan di Mahkamah Perlembagaan Agung dan ia disambut dengan tepukan gemuruh. Pada acara itu, Adly turut memuji rakyat Mesir, media, tentera dan polis. "Penghormatan untuk rakyat Mesir kerana memperbetulkan jalan gemilang revolusi ini pada 30 Jun," katanya merujuk kepada protes yang menyaksikan jutaan orang awam turun ke jalan raya pada hari ulang tahun pertama Mohamed Mursi menjadi presiden. Kata Adly, protes di seluruh dunia "membuktikan kepada dunia" bagaimana kesungguhan rakyat Mesir berdepan dengan kepelbagaian. Ketua hakim berusia 67 tahun itu kemudian memuji tentera kerana "sentiasa menjadi hati nurani rakyat" dan "tidak teragak-agak sedikit pun untuk memenuhi kehendak negara dan orang ramai." Mengenai media, Adly menganggap ia memiliki "keberanian memimpin rakyat serta membongkar salah laku rejim lama." Sementara itu, seorang pegawai kanan tentera berkata, pasukan itu sedang menahan Mohamed Mursi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Israel berwaspada

Posted: 04 Jul 2013 08:35 AM PDT

Baitulmaqdis: Israel kekal berhati-hati memerhati perkembangan di Mesir selepas tentera negara itu menyingkirkan Mohamed Mursi, semalam.

Pegawai kerajaan yang biasanya pantas memberi kenyataan bagi setiap perkembangan serantau, kebanyakannya berdiam diri selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan Kabinet supaya tidak memberi komen.


Menteri Pengangkutan, Yaakov Katz adalah pemimpin pertama memberi kenyataan terbuka, tetapi tetap enggan membuat komen panjang lebar.

"Kami tiada kaitan setakat ini dan ia adalah isu dalaman Mesir," katanya. Menurut Yaakov, Israel mesti menjaga sempadan dan kepentingannya.


Seorang lagi pegawai yang enggan dikenali berkata, Tel Aviv mengikuti perkembangan itu dengan teliti.


"Tetapi kami tidak membuat sebarang ramalan kerana perkembangan masih berterusan.

"Penting untuk rakyat Mesir menikmati kebebasan pada tahap baru, tetapi keadaan semasa menghantar gelombang kejutan ke seluruh dunia Arab dan ia menyebabkan sedikit kebimbangan di Israel," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

Bashar al-Assad puas hati

Posted: 04 Jul 2013 08:35 AM PDT

Beirut: Presiden Bashar al-Assad semalam memuji protes yang berlaku di Kaherah dan berkata, penyingkiran pemimpin Islam itu bermakna berakhirnya "politik Islam" di negara berkenaan.

Kata Bashar, rakyat Mesir sudah menemui "penipuan" Ikhwanul Muslimin. Bercakap kepada stesen akhbar al-Thawra semalam, Bashar berkata, apa yang berlaku di Mesir adalah kejatuhan politik Islam.


"Itulah nasib sesiapa saja di dunia yang cuba menggunakan agama untuk berpolitik atau kepentingan pihak tertentu," katanya. Sebelum ini, Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zoubi menggesa Mohamed Mursi berundur selaras dengan "kehendak rakyat" negara itu. Kata Omran, Ikhwanul Muslimin adalah pertubuhan pengganas dan menjadi alat kepada AS. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/04

No comments:

Post a Comment