Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Kami dah tak tahan'

Posted: 24 Jul 2013 11:02 AM PDT

Petaling Jaya: Kira-kira 600 penduduk di Pangsapuri Desa Perangsang, Taman Medan, di sini dihantui keresahan apabila tanah kosong yang dulunya menjadi tapak kebun penduduk kini bertukar menjadi pusat pelupusan sampah haram.

Kegiatan yang bermula sejak awal tahun lalu itu semakin berleluasa apabila ia mula dijaga sekumpulan individu dipercayai samseng yang mengenakan bayaran RM50 kepada setiap lori yang keluar masuk membuang sampah-sarap di situ.


Selain meminta bayaran, kumpulan terbabit dipercayai turut mencederakan penduduk pangsapuri yang mengambil barangan terpakai di situ.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Lina, 34, berkata, ibunya sendiri pernah dimarahi seorang lelaki berbadan tegap dipercayai penjaga tapak berkenaan kerana mengambil kayu untuk dijadikan pagar kebun.


"Selain ibu, pernah juga penduduk lain dimarahi dan ada yang dipukul menggunakan kayu, parang dan kabel elektrik.


"Lebih menyedihkan apabila mereka turut bertindak kasar terhadap warga emas," katanya ketika ditemui di sini.

Foto

LOKASI pembuangan sampah haram berhampiran rumah penduduk.

Foto

Lori sampah bebas membuang sampah di situ.

Lina berkata, kewujudan pusat sampah haram itu menjejaskan kesihatan penduduk kerana timbunan sampah mengundang kehadiran lalat.


Katanya, kawasan dulunya dipenuhi tanaman sayuran dan buah-buahan kini dipenuhi sampah daripada sisa kertas hinggalah makanan basah dan industri.

Katanya, lokasi pembuangan yang terletak di pinggir Sungai Klang itu turut mencemarkan sungai berkenaan apabila pemandu lori terbabit dilihat membuang sampah ke dalam sungai akibat keluasan pusat pelupusan tidak dapat menampung jumlah sampah yang semakin bertambah.


"Kami tidak tahan bau meloyakan yang boleh merebak sehingga satu kilometer terutama selepas hujan. Sekarang kawasan rumah bertambah busuk selain lalat dan anjing liar semakin banyak.


"Selain itu, kehadiran anjing liar membahayakan kerana ia pernah mencederakan penduduk. Anak saya sendiri hampir digigit anjing yang mengejarnya sehingga ke rumah yang terletak di tingkat lima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Berdegil walaupun diberikan notis

Posted: 24 Jul 2013 10:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan tanah kosong yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram oleh sekumpulan individu tidak bertanggungjawab di Taman Medan, di sini miliknya.

Naib Presiden Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB Adelina Iskandar berkata, selepas meneliti mengenai status pemilikan tanah, pihaknya mendapati ia adalah milik kerajaan negeri.


"Walaupun begitu, atas sikap keprihatinan, kami sudah menghantar notis kepada pemilik operasi, April lalu meminta mereka menghentikan pembuangan sampah kerana ia berada di bawah pencawang TNB.

"Saya difahamkan, pemilik tapak juga sering melakukan pembakaran sampah terbuka dan ini mengundang bahaya," katanya.


Adelina berkata, selepas mendapati tiada sebarang tindak balas diterima oleh pemilik operasi, pihaknya sekali lagi menghantar notis sama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Tenaga untuk tindakan selanjutnya.


"Kita tidak ada kuasa untuk meroboh atau menghentikan operasi itu, cuma yang boleh dilakukan ialah kita menghantar notis kepada mereka yang berkenaan supaya diambil tindakan kerana tapak operasi itu turut mengancam talian pencawang milik TNB yang terdapat di situ," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zainun Zakaria ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghalau pemilik operasi berikutan tanah itu adalah milik Jabatan Pengairan Saliran (JPS). "Dua tahun lalu kami pernah membantu JPS membersihkan kawasan itu, tapi pemilik operasi masih berdegil dan meneruskan aktiviti yang menyalahi undang-undang. JPS sepatutnya lebih bertegas dengan kumpulan terbabit kerana tanah itu milik mereka.


"Kami sudah banyak membantu, bahkan sering mengadakan rondaan berkala untuk membanteras kegiatan ini. Namun, setiap kali kami ke sana, pemilik tapak tidak dapat dikesan seolah-olah mereka tahu kehadiran penguat kuasa," katanya.

Katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan di tapak berkenaan bagi membantu JPS membanteras kegiatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Diarah tutup 2 minggu

Posted: 24 Jul 2013 10:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya mengarahkan enam restoran ditutup semalam selama dua minggu selepas mendapati ia kotor sehingga boleh terdedah kepada keracunan makanan.

Arahan itu dikeluarkan dalam Ops Dapur yang turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Kesihatan Daerah dijalankan sekitar Jalan Ipoh, di sini bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri WPKL dan Putrajaya Dr S Balachandran berkata, arahan penutupan itu bagi membolehkan pemilik restoran melakukan kerja pembersihan dan mengubah suai premis. supaya pelanggan terselamat daripada sebarang kejadian keracunan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

'Biarpun aku banyak dosa...'

Posted: 24 Jul 2013 10:56 AM PDT

Seremban: "Saya akui jahil dan banyak dosa, tapi akidah saya masih utuh dan sama sekali tidak akan menyerahkan anak kepada pasangan bukan Islam, biarpun ada yang menawarkan RM30,000."

Demikian kata seorang wanita mualaf mahu dikenali sebagai Rokiah, 30-an yang kini hidup terumbang-ambing dan serba kekurangan selepas diceraikan bekas suami, awal bulan lalu. Keadaan diburukkan lagi apabila janda beranak satu itu kini hamil anak luar nikah dan teman lelakinya pula enggan bertanggungjawab, malah memintanya menggugurkan kandungan.


"Melihat kehidupan saya yang serba daif empat pasangan bukan Islam pernah menyuarakan hasrat mahu memelihara anak saya.

"Ada yang mahu mengambil Amin (anak lelaki berusia dua tahun) dan ada juga yang mahukan anak dalam kandungan saya yang kini berusia empat bulan.


"Walaupun saya mualaf dan banyak dibebani dosa silam, saya tetap akan berusaha menjaga anak saya dan tak mahu mereka keluar daripada Islam," katanya ketika ditemui Harian Metro.


Rokiah berkata, dia kini tidak mempunyai pekerjaan dan hidup menumpang di rumah kakak dan abang iparnya yang bukan beragama Islam bersama tiga anak mereka di Senawang, dekat sini.

"Biarpun ditawarkan puluhan ribu ringgit, saya tidak rela berpisah dengan Amin. Hidup mati saya biarlah dengan Amin dan anak yang masih dalam kandungan. Saya tidak akan menjual mereka," katanya.


Mengimbas kisah hidupnya, Rokiah berkata, selepas diceraikan, dia terpaksa menanggung seorang anak kembarnya, manakala seorang lagi bersama bekas suami yang juga askar di Perak.

Menurutnya yang berasal dari Sarawak dan memeluk Islam pada 2009, selepas bercerai dia menjalinkan hubungan dengan seorang anggota keselamatan di negeri itu hingga terlanjur.


"Saya amat menyesal kerana terlanjur dan ia berlaku kerana selepas bercerai saya hilang arah, tiada pendapatan serta terlalu bergantung harap dengan teman lelaki yang saya kenali Mac lalu," katanya.


Rokiah berkata, sebelum ini dia tinggal di Gerik, Perak bersama bekas suami dan pernah bercerai kali pertama pada tahun lalu sebelum rujuk semula.


"Biarpun rujuk semula, kami tidak tinggal bersama kerana masih tiada persefahaman dan saya terpaksa menumpang di rumah kakak di Senawang.


"Ketika masih belum diceraikan kali kedua, saya berkenalan dengan teman lelaki dan terlanjur hingga hamil, tapi teman lelaki saya enggan bertanggungjawab, malah meminta saya menggugurkan kandungan.


"Bagaimanapun, saya tidak tergamak menggugurkan kandungan saya. Bayi yang saya kandung ini tidak berdosa dan saya tak mahu terus melakukan dosa. Saya mahu teman lelaki bertanggungjawab ke atas kandungan ini," katanya.


Menurut Rokiah, fikirannya kini bercelaru dan tidak tahu hendak berkongsi masalah dengan sesiapa melainkan kakak dan abang iparnya yang bukan Islam.


"Kini, saya tidak bekerja dan terpaksa menyara Amin yang masih kecil selain hanya mampu memberinya susu pekat manis.


"Malah, setiap kali ke klinik kesihatan memeriksa kandungan, saya malu kerana jururawat kerap bertanya nama bapa bayi yang saya kandung," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.


Lebih memilukan, kata Rokiah, ketika Aidilfitri semakin hampir, tiada apapun persiapan dibuat buat dirinya dan anak berikutan tidak mampu.


"Saya kini menumpang di rumah kakak yang mempunyai tanggungan lain selain isi rumah di sini semua tidak bekerja," katanya sambil memberitahu tidak pernah membuat aduan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung masalah dihadapinya.


Sementara itu, Pengarah JHEAINS Datuk Johani Hassan meminta mualaf terbabit segera membuat laporan.


"JHEAINS mempunyai unit saudara baru untuk membantu mualaf yang memerlukan maklumat dan bantuan.


"Jika dia (Rokiah) tidak membuat laporan, macam mana kita mahu hulurkan sumbangan dan membantunya," katanya.


Johani berkata, mana-mana saudara baru yang mempunyai masalah juga digalakkan merujuk kepada JHEAINS atau berkunjung ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini, supaya boleh diberikan bantuan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Kereta terbabas langgar lori ayam

Posted: 24 Jul 2013 10:55 AM PDT

Jasin: Seorang lelaki nyaris rentung apabila Proton Saga dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran persimpangan lampu isyarat Serkam, Merlimau, di sini, malam kelmarin.

Kejadian jam 8 malam berlaku apabila kereta mangsa, lingkungan 20-an dipercayai hilang kawalan selepas merempuh belakang lori ayam di laluan sama.


Rempuhan itu menyebabkan kenderaan mangsa memasuki ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah Nissan Grand Livina dinaiki dua lelaki lingkungan 40-an yang menuju ke bandar Melaka.

Kemalangan mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit remuk, manakala kereta Proton Saga itu terbakar pada bahagian enjin dan pemandunya berjaya diselamatkan orang ramai.


Pemandu lori ayam, Selaiman Madon, 40, berkata, sebelum kejadian, dia memandu keluar dari simpang kilang ayam tempatnya bekerja tidak jauh dari tempat kejadian.


Menurutnya, tiba-tiba dia dikejutkan bunyi dentuman kuat dari bahagian belakang lori dan pada masa sama melihat sebuah kereta melambung ke seberang laluan.

"Saya terus berhenti memberikan bantuan dan berjaya mengeluarkan pemandu Proton Saga yang cedera parah sejurus sebelum api marak membakar kenderaannya.


"Ketika diselamatkan, lelaki itu agak parah dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana kecederaan yang dialami," katanya di sini, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

No comments:

Post a Comment