Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Letak guru pada tahap terbaik

Posted: 26 Jul 2013 10:51 AM PDT

Nilai: "Kementerian mahu guru berada pada tahap lebih baik dari segi kemahiran bahasa Inggeris supaya dapat memberikan pendidikan sempurna kepada pelajar," kata Dr Ranjit Singh Gill, Pengarah Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC).

Pusat berkenaan adalah institusi di bawah pengurusan Bahagian Pendidikan Guru berfungsi sebagai institusi latihan dalam meningkatkan kompetensi pengajaran guru bahasa berkenaan.

Di bawah pusat berkenaan, program `Professional Up-Skilling of English Language Teachers (PRO-ELT)' mula dilaksanakan tahun lalu bagi menambah baik penggunaan bahasa Inggeris.

Dr Ranjit berkata, seramai 5,010 guru Bahasa Inggeris sekolah rendah dan menengah diserap dalam program ini sejak September lalu dan tamat Oktober depan.


Beliau berkata, keistimewaan projek di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) adalah dari segi modul latihan yang digunakan di mana kemahiran guru dipertingkatkan dalam konteks pedagogi.


"Tahun lalu 64 pengajar daripada British Council terbabit dalam program ini dan tahun ini sekurang-kurangnya 110 pembimbing dilantik bagi membolehkan 9,000 lagi guru yang terplih mengikuti PRO-ELT dilatih mulai September tahun ini," katanya.

Katanya, kerajaan mempunyai misi bagi membolehkan guru yang mengikuti kursus ini mencapai tahap tertentu berdasarkan ketetapan sistem penilaian yang ada.

"A1 adalah yang terendah diikuti A2, B1,B2, C1 dan C2 adalah tahap tertinggi menetapkan tahap kebolehan guru. Sistem penilaian ini adalah berdasarkan CEFR (Common European Framework of Reference).

"Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya guru sekolah rendah berada pada tahap B2 dan C1 bagi sekolah menengah dalam tempoh interim," katanya.

Walau bagaimanapun, sasaran akhir adalah untuk semua guru bahasa Inggeris mencapai tahap C1.

Beliau berkata, apa yang menjanjikan keberkesanan program selama 44 minggu yang merangkumi empat jam setiap sesi pada hari bekerja dan enam jam pada hari cuti ini menggunakan suasana pembelajaran sebenar. Selain itu, mereka didedahkan dengan kelas menerusi laman web apabila interaksi antara guru dan pengajar atau e-moderator masing-masing berterusan.

Ia juga memastikan proses pembelajaran iaitu membaca, bertutur, mendengar dan menulis dipraktikkan dalam usaha mempertingkat kemahiran bahasa dan juga aspek pedagogi.

"Kita hanya akan dapat mengetahui hasil kohort pertama mulai Ogos ini dan apa-apa keputusan susulan akan ditentukan kelak.

"Semua guru yang menjalani kursus di 256 pusat latihan ini dijangka melepasi piawaian berdasarkan prestasi mereka yang sedia ada baik sebelum diserap dalam PRO-ELT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Bukan zon dagang

Posted: 25 Jul 2013 03:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Syarat penggunaan tanah bagi lot 58688 dan 58689 yang dicadangkan untuk pembangunan komersial masih dalam kategori perumahan dan bukan untuk zon perdagangan.

Penduduk Hartamas Height, Azim Abdul Aziz berkata, ia hasil pemeriksaan di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada minggu ini dan bukan dakwaan tidak berasas.


"Penduduk tiada masalah jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu membina perumahan di kawasan itu, tetapi perlu juga mengambil kira kesan jangka masa panjang.

"Mengikut perancangan mereka mahu membina tiga blok pangsapuri servis 5, 37 dan 47 tingkat membabitkan jumlah keseluruhan 680 rumah, selain pusat beli-belah di tapak bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan.


"Berdasarkan harga nilai tanah di situ, sudah tentu harga rumah juga tinggi menyebabkan sebahagian besar pembelinya dalam kalangan bukan Bumiputera dan beragama Islam.


"Jika azan berkumandang serta pelbagai aktiviti masjid termasuk ceramah agama pasti bergema di kawasan terbabit hingga ke kawasan kediaman kami di Hartamas Height.

Foto

TAPAK yang dicadangkan untuk pembangunan komersial bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan.

"Sudah tentu pasti akan ada (bakal pembeli) yang mempertikaikan keadaan itu seperti yang berlaku di tempat lain, walhal masjid berkenaa lebih awal dibina berbanding kawasan terbabit.


"Justeru, mengapa DBKL mahu 'cari pasal' dengan meluluskan permohonan pemilik tanah sedangkan ia boleh menimbulkan pelbagai masalah dan pertikaian pada masa depan terutama membabitkan fahaman agama," katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, Datuk bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, DBKL hanya mengikut hak pemilik tanah serta mengambil kira faktor persekitaran.


Malah, beliau menyatakan kesediaan memberi peluang mendengar bantahan penduduk sekiranya ia perlu dilakukan.


Bagaimanapun, Azim mendakwa sudah tiga kali penduduk mengemukakan surat bantahan kepada DBKL menerusi surat, namun sehingga kini tiada maklum balas.


"Selain itu, tempoh bantahan yang terlalu singkat serta papan kenyataan mengenai projek itu berskala kecil menyukarkan semua penduduk tahu mengenai perancangan seterusnya membuat bantahan.


"Walaupun papan kenyataan atau pemberitahuan mengenai perancangan pembangunan di situ dipasang di empat kawasan (sekeliling tapak projek), tetapi saiznya terlalu kecil, tidak sesuai untuk dibaca dan terselindung di sebalik objek lain.


"Kami terpaksa memberhentikan dan keluar kenderaan bagi menghampiri papan kenyataan itu baru dapat membaca apa yang dipamerkan di atasnya.


"Malah, papan kenyataan berhadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pula diletakkan di sebalik pokok seolah-olah tiada tempat yang lebih strategik dan sesuai untuk meletakkannya," katanya.


Tinjauan Harian Metro mendapati kedudukan tiga papan tanda yang lain juga tidak sesuai dan sukar untuk dibaca penduduk yang melalui kawasan terbabit.


"Kami akan menghantar memorandum kepada DBKL pada Isnin depan sebagai bantahan terhadap projek pembangunan komersial itu.


"Perlu diingatkan kami tidak menolak sekiranya mereka ingin membina kediaman seperti yang tertera dalam syarat kegunaan tanah, tetapi bukan membabitkan kawasan komersial termasuk pembinaan pusat beli-belah yang baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

'Tiada niat bercerai'

Posted: 25 Jul 2013 03:07 PM PDT

Kuala Lumpur: "Meskipun saya tahu hati Dayana terluka tetapi kami tiada niat untuk bercerai dan dia dalam proses menerima apa yang berlaku dan pada masa sama, kedua-dua isteri saya sedang berusaha untuk berbaik-baik.

"Bukan niat saya untuk merahsiakan pernikahan ini daripada sesiapa kerana sebelum itu saya sudah menyatakan hasrat untuk berpoligami kepada keluarga saya, keluarga mentua dan Dayana sendiri tetapi apabila mereka semua dapat tahu, maka timbul pelbagai cerita dan saya terpaksa mengadakan sidang media ini untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan," kata Ashraf Muslim mengenai pelbagai kontroversi yang timbul apabila dia mengambil keputusan menikahi Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29.

Ashraf melangsungkan pernikahan dengan isteri keduanya itu di Thailand, 7 Julai lalu. Pernikahannya itu terbongkar apabila isteri pertamanya Dayana atau nama sebenarnya Noor Dayana Lokman, 26, menjumpai maklumat (aturcara) perjalanannya ke negara itu dan tertera nama Sakinah sekali.

Menurut Ashraf, dia sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.


"Saya memang mahu menceritakan sendiri kepada Dayana mengenai pernikahan itu dan tak sangka pula Dayana terlebih dulu terjumpa maklumat itu. Dia marah dan sedih, terpaksalah saya menjelaskan segalanya serta mententeramkannya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

Jalan utama ditutup sempena Hari Pahlawan

Posted: 25 Jul 2013 02:54 PM PDT

Kuala Lumpur: Beberapa jalan utama di sekitar ibu kota ditutup mulai hari ini hingga Selasa sempena sambutan Hari Pahlawan 2013 di Dataran Merdeka, Rabu depan.

Polis Kuala Lumpur dalam laman Facebook berkata, Jalan Raja ditutup kepada lalu lintas dari 8 pagi hingga 1 tengah hari bagi memudahkan sesi raptai sempena sambutan itu.


Jalan Kinabalu/Susur ke Bukit Aman, Jalan Hishamuddin/Jalan Raja, Jalan Hang Kasturi/Jalan Leboh Pasar Besar, Jalan Leboh Pasar Besar/Jalan Mahkamah Persekutuan pula ditutup mulai 6.30 pagi hingga 12 tengah hari pada Rabu depan. — BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

Duit lesap lepas dipukau

Posted: 25 Jul 2013 02:54 PM PDT

Sabak Bernam: Impian pasangan suami isteri untuk membaiki rumah sempena sambutan Aidilfitri ini lebur apabila mereka dipercayai dipukau sekumpulan warga Indonesia sejurus mengeluarkan wang RM10,000 dari sebuah bank di Sungai Besar, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 10 pagi ketika pasangan berusia 77 dan 50 tahun itu berjalan keluar dari bank berkenaan sebaik mengeluarkan wang berkenaan.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, ketika keluar bank, pasangan itu dihampiri seorang wanita warga Indonesia kononnya memerlukan bantuan untuk mengeluarkan wang daripada akaun simpanannya.

"Wanita terbabit meminta mangsa menjadi penjamin bagi membolehkan pengeluaran dilakukan dan selepas beberapa lama bersembang, mangsa seolah-olah tidak sedar diri dan menurut segala arahan diberi wanita terbabit tanpa membantah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

No comments:

Post a Comment