Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Zaha, Januzaj memukau

Posted: 14 Jul 2013 09:55 AM PDT

Bangkok: David Moyes tertarik dengan penampilan sulung menakjubkan dua bintang sedang meningkat ketika beliau mengalami kekalahan mengejut pada perlawanan pertamanya menguruskan kelab itu di Thailand, kelmarin.

Persembahan hambar kelab juara Liga Perdana itu bagaimanapun diselamatkan dengan penampilan penuh helah pemain remaja Belgium Adnan Januzaj, sebelum pemain baru Wilfried Zaha masuk sebagai pemain gantian dan hampir menyamakan kedudukan.


Selepas 27 tahun dan 38 trofi di bawah kendalian Alex Ferguson, Moyes mengakui kekalahan 0-1 di tangan Bintang Singha, pasukan yang dibentuk daripada pemain terbaik liga Thai, bukanlah satu keputusan yang cemerlang.

Namun beliau agak terpikat dengan Zaha, wira Crystal Palace yang membantu kelab itu melangkah ke Liga Perdana, dan berasakan dia pasti bersedia bagi penampilan sulung kompetitif musim ini.


"Saya fikir apabila Wilf masuk dia memberikan kami suntikan semangat. Dia bagaimanapun tidak bernasib baik kerana gagal menjaringkan gol," kata Moyes yang menambah "Saya harap begitulah" apabila ditanya jika Zaha akan diberi peluang musim baru ini.


"Kami akan pantau apa yang dilakukannya. Kami membawanya ke sini untuk memberinya peluang," kata pengendali berbangsa Scotland itu.

Foto

JANUZAJ (kanan) pantas.

Foto

MOYES (kanan) melambai tangan kepada penyokong walaupun United tewas.

"Ini kali pertama saya bekerja dengannya, kali pertama saya berpeluang melihatnya secara dekat jadi dia pastinya menjadi sebahagian daripada skuad dan kami akan berusaha memberinya peluang dalam pasukan utama sebanyak mungkin." Selepas masuk pada babak kedua, Zaha terlepas satu tandukan dari jarak dekat namun lapan minit sebelum tamat, dia hampir menyelamatkan United daripada diaibkan apabila sepakan lencongnya menggegar palang dari dalam kotak penalti.


Januzaj, 18, memulakan perlawanan di kanan dan dia memukau dengan sentuhan one-touch, kepantasan dan hantaran tepat.

"Saya fikir dia bermain baik malam ini, saya fikir dia satu kelebihan buat kami," kata Moyes mengenai Januzaj.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Kerah latihan keras fizikal

Posted: 14 Jul 2013 09:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Tan Kim Her menjangkakan perebutan gelaran juara beregu lelaki pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China 5-11 Ogos depan lebih cenderung kepada pertarungan mental dan fizikal pemain.

Justeru beliau mengerah keringat pemain, mengikuti latihan fizikal yang dikendalikan jurulatih fizikal Institut Sukan Negara (ISN) Rosdhi Abdul Ghani untuk tempoh tiga minggu.


"Pada pemerhatian saya, setiap kali bermain di China, permainan menjadi perlahan dan tidak boleh mematikan bulu tangkis terlalu awal. Saya pasti, kali ini juga China akan menggunakan bulu tangkis yang bergerak perlahan," kata Kim Her.

Sambil mengakui ada pemain yang merungut kepenatan dan sakit-sakit badan ketika menjalani latihan fizikal itu, beliau berkata: "Jika bukan sekarang merasai kepenatan, bila lagi?" "Dalam tempoh tiga minggu, pemain akan mengikuti latihan ketahanan fizikal dan ketangkasan. Permainan rali panjang akan menentukan pemenang pada setiap perlawanan.


"Jika skil menjadi ukuran, Indonesia dan gandingan Eropah ada peluang untuk menang namun beraksi di Guangzhou nanti, saya pasti ketahanan fizikal dan mental menjadi penentu. Korea, China dan Jepun lebih mengutamakan kekuatan, jadi pemain kita terutamanya Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mesti meningkatkan kekuatan fizikal dan ketahanan mental," kata Kim Her lagi.


Selain latihan berjalan lancar, Kim Her berkata, tiada pemain negara di belenggu masalah kecederaan.

Skuad negara akan bertolak ke Hong Kong 25 Julai ini, untuk menjalani latihan pusat, tiga hari selepas undian dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Teck Zhi raih gelaran utama

Posted: 14 Jul 2013 09:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Soo Teck Zhi menyelamatkan imej negara apabila mencuri satu gelaran pada Kejohanan Remaja Asia B-19 di Kota Kinabalu, Sabah, sekali gus gelaran pertama diraih pemain perseorangan lelaki di bawah program akademi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Teck Zhi yang mengejutkan pilihan utama dari Thailand, Thammasin Sittikom di separuh akhir kelmarin, tidak menoleh ke belakang lagi selepas mendapat peluang beraksi di pentas final, biarpun pencapaiannya itu langsung tidak diduga.


Diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, dia bermula cemerlang apabila menjinakkan pilihan kesembilan dari Korea, Jin Jeon Hyuk, 21-17 di set pertama namun menyebabkan penyokong setia di Kota Kinabalu cemas apabila dia tewas 13-21 pada set kedua.

Menyedari peluang tidak mungkin datang berulang kali, Teck Zhi menamatkan cabaran pemain Korea itu dengan kemenangan 21-15 di set penentuan.


"Saya amat berpuas hati dengan pencapaian ini dan gembira menjadi pemain BAM pertama meraih gelaran di peringkat remaja," kata Teck Zhi.


Sebelum ini, hanya Zulfadli Zulkifli pernah muncul juara remaja Asia pada 2011, tetapi pemain itu bukan kelahiran BAM, sebaliknya bergelar pemain kelab dari KLRC.

Malah kemenangan Teck Zhi itu lebih manis berbanding kejayaan Zulfadli kerana kejohanan lebih berkualiti dan kompetitif dengan kehadiran pemain China.


Begitupun penganjuran di Stadium Likas kali ini boleh dianggap antara yang terburuk kerana dilaporkan bahawa stadium itu tidak menggunakan alat penghawa dingin sejak hari pertama meskipun mendapat rungutan daripada wartawan bertugas, pegawai pasukan serta pemain sendiri.

BAM seharusnya menangani masalah ini dengan sebaik mungkin biarpun kejohanan dianjurkan di luar Kuala Lumpur. Mungkin juga Sabah BA boleh dilarang daripada menganjurkan kejohanan badminton antarabangsa selepas ini disebabkan kegagalan menyediakan dewan dengan sempurna.


Stadium Likas bukan kali pertama digunakan untuk kejohanan badminton, malah stadium itu pernah menganjurkan acara lebih besar iaitu Siri Super Final yang pertama pada 2008.


China mengungguli dua kategori iaitu beregu lelaki dan wanita selepas final kedua-dua acara itu menemukan semua pemain China.


Korea pulang dengan satu kejuaraan iaitu beregu campuran menerusi Choi Sol Kyu-Chae Yoo Jung yang menewaskan gandingan China, Liu Yuchen-Huang Dongping 21-11, 19-21, 21-13.


Gelaran juara perseorangan wanita pula milik Jepun apabila pilihan ketiga, Aya Ohori menewaskan pilihan utama dari Thailand, Ongbamrungphan Busanan 21-11, 16-21, 21-13.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Tamada kuasai litar Chennai

Posted: 14 Jul 2013 09:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing menguasai aksi Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) apabila kedua-dua pelumba, Makoto Tamada dan Azlan Shah Kamaruzaman meraih kedudukan podium satu – dua sebaik perlumbaan berakhir di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India, semalam.

Selepas tiga pusingan beraksi dalam saingan ARRC, Tamada akhirnya berjaya meraih gelaran juara yang pertama untuk dirinya setelah muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 27 minit 47.541 saat.


Bermula dari petak pertama, pelumba negara, Azlan Shah sekadar berpuas hati di kedudukan kedua dengan masa keseluruhan 27:47.776s sambil rakan senegara, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Hong Leong Yamaha) di kedudukan ketiga, 27:53.897s.

Saingan Perlumbaan 2 berakhir dengan lebih dramatik selepas perlumbaan terpaksa diberhentikan pada pusingan ke-10 apabila bendera merah dikibarkan akibat kemalangan yang menimpa Tamada, namun pelumba itu bernasib baik apabila dinobatkan sebagai juara berdasarkan kedudukan sehingga pusingan kesembilan.


Tamada muncul juara dengan masa keseluruhan 15:36.927s sambil Azlan sekali lagi berada di kedudukan kedua 15:37.218s diikuti Mohd Zamri ketiga, 15:38.166s.


"Sejak dari awal lagi saya sememangnya mahu mendapatkan kemenangan di dalam saingan ARRC dan saya berpuas hati kerana dapat melakukannya di sini. Lebih menggembirakan, pasukan kami berjaya meraih gelaran juara dan tempat kedua di sini," jelas bekas pelumba Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP itu).

Gelaran naib juara pula terus mengukuhkan kedudukan Azlan Shah di tangga teratas dalam senarai pelumba keseluruhan dengan mengumpul 120 mata manakala Tamada naik ke kedudukan kedua dengan 88.5 mata dan Mohd Zamri ketiga, 81 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Farkhan masih diperlukan

Posted: 14 Jul 2013 09:46 AM PDT

Kuala Lumpur: "Khidmat Mohd Farkhan Haron masih diperlukan".

Itu pendirian Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong selepas dikejutkan dengan berita pengguguran pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 itu beberapa hari lalu.


Menurut Zolkples yang kecewa dengan perkembangan terbaru itu berkata, punca berlakunya perkara berkenaan adalah kerana salah faham.

"Pada saya ia adalah masalah kecil yang boleh diselesaikan. Jadi saya akan memanggil Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja dalam masa terdekat untuk menyelesaikannya. Beri ruang kepada saya untuk selesaikan ia pada minggu ini atau minggu depan," katanya.


Sebelum ini peninju berusia 25 tahun itu digugurkan PTAM kerana didakwa tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya kepada program latihan dan badan induk sukan itu bertindak menamakan peninju Angkatan Tentera Malaysia berusia 27 tahun dari Sabah, Rudy Petrus yang turut bertanding dalam kategori 75 kilogram, sebagai pengganti.


Namun sehari selepas pengguguran itu disiarkan media, Farkhan tampil menafikannya dan menjelaskan sudah menarik diri daripada skuad kebangsaan selepas kecewa dengan ketiadaan perancangan yang sistematik PTAM sehingga mendorongnya bertindak demikian.

"Saya tidak mahu mendedahkan secara terperinci masalah yang dihadapi Farkhan dengan PTAM. Namun aspek pertandingan yang dibangkitkan Farkhan turut akan saya teliti sama ada pihak persatuan yang tidak mahu menghantar peninju atau sememangnya kekurangan kejohanan di pentas antarabangsa," katanya.


Jelas Zolkples, Farkhan masih muda serta berbakat dan beliau turut yakin peninju kelahiran Johor itu masih berminat untuk kembali aktif.

"Saya ingin melihat dia beraksi di Sukan SEA (Myanmar) pada Disember dan Sukan Komanwel 2014. Bukan setiap hari kita dapat melahirkan peninju berbakat seperti dia selepas era Adnan Jusoh dan Sapok Biki," katanya.


Menurutnya Zolkples, segala yang berlaku terhadap diri Farkhan sebelum ini iaitu kematian bapanya dan terbabit dalam kes mahkamah turut perlu diambil kira dalam membuat segala pertimbangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Peluang acara 50m rifle prone raih pingat di Kazan

Posted: 14 Jul 2013 09:45 AM PDT

Kazan: Acara 50m rifle prone berpasukan lelaki negara mempunyai peluang menyumbangkan pingat kepada kontinjen temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade ke-27) pada acara itu yang akan berlangsung di Lapang Sasar Sviyaga Shooting Complex hari ini.

Hisyam Adzha berkata dia dan rakan sepasukannya Mohd Nurahimin Abd Halim dan Mohamad Lutfi Othman lebih yakin beraksi dalam kategori itu yang menjadi acara kegemaran mereka.


"50m rifle prone memang acara kegemaran kami berbanding hari ini dalam acara 10m air rifle.

"Kami lebih yakin untuk beraksi esok, saya percaya kalau masing-masing buat catatan peribadi terbaik, peluang untuk mendapat tiga kedudukan terbaik itu ada," kata Hisyam.


Dalam acara 10m air rifle berpasukan lelaki semalam trio itu gagal membuat bidikan terbaik apabila menduduki tempat ke-12 daripada 15 pasukan dengan 1,819.6 mata.


Pingat emas dimenangi Liu Zhiguo/Cao Yifei/Liu Lilong dari China dengan 1,877.8 mata, pingat perak diraih Nazar Luginets/Sergey Kamenskiy/Sergei Kruglov dari pasukan tuan rumah, Russia (1,874.3 mata) manakala pingat gangsa menjadi milik Park Sung-hyun/Jeyul Jeyon/Lee Jeawon dari Korea Selatan dengan 1,855.0 mata.

Mohd Nurahimin yang juga adik kepada penembak kebangsaan Nur Ayuni, berkata; "Paras prestasi atlet menembak China dan Russia sangat tinggi... memang sukar untuk ditandingi. Kami memerlukan lebih banyak latihan dalam acara 10m air rifle. "Acara itu tidak sama dengan 50m rifle prone". - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Pasukan ragbi universiti negara longlai

Posted: 14 Jul 2013 09:42 AM PDT

Kazan: Pasukan ragbi universiti negara mempamerkan aksi longlai selepas tewas kepada Great Britain dan Belgium pada peringkat Kumpulan B temasya Universiti Dunia (Universiade) ke-27 yang membuka tirainya di Stadium Tulpar, semalam.

Dalam perlawanan 7-Sebelah itu, skuad negara dibelasah 5-59 ketika menentang juara bertahan Great Britain pada perlawanan pertama mereka.


Great Britain memulakan asakan awal apabila Redden Cordy melakukan 'try' pada minit awal permainan sebelum Dorian Luc Jones menyempurnakan 'conversion' untuk mendahului 7-0.

Dua minit kemudian, Edward Danteni Nason Mama dan Tomos Luke Treharne menambah mata buat pasukan lawan, masing- masing menerusi try dan conversion yang sekali gus memberi kedudukan selesa 14-0 kepada Great Britain.


Great Britain terus mengganas untuk menamat babak pertama 42-0.


Babak kedua menyaksikan Great Britain menambah 17 mata untuk mendahului 59-0.

Skuad negara meraih lima mata menerusi try yang dilakukan Mohamad Shubli Mohamad di minit terakhir perlawanan.


Turut berada dalam Kumpulan B ialah Georgia dan Belgium. Dalam perlawanan kedua menentang Belgium, skuad negara turut dikecewakan 0-38.

Dengan dua kekalahan itu, pasukan negara gagal ke suku akhir. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Tiada tindakan buat Badhri: Rajagobal

Posted: 14 Jul 2013 09:34 AM PDT

Kelana Jaya: Ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal membayangkan untuk tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap perancang tengah Kelantan Mohd Badhri Radzi yang boleh menarik nafas lega selepas gagal melaporkan diri di kem latihan pusat Harimau Malaya beberapa hari lalu.

Pengendali berusia 57 tahun itu ketika ditanya mengenai tindakan disiplin yang mungkin dikenakan terhadap Badhri berkata: "Tidak, dia sudah melaporkan diri... sekarang kita akan tengok (pemeriksaan kecederaannya)".


"Sekarang kita tunggu doktor dan ahli fisioterapi membuat pemeriksaan terhadap Badhri, lepas itu baru kita akan membuat keputusan berdasarkan tahap kecederaannya. Jika sempat pulih dia akan kekal di sini dan sebaliknya," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, petang semalam.

Badhri yang dikenali sebagai Piya mencetuskan kontroversi apabila tidak melaporkan diri untuk kem latihan skuad kebangsaan yang dijadualkan mengadakan beberapa aksi persahabatan dan kunjungan ke Jepun dalam masa terdekat.


Situasi itu mengundang reaksi keras pengurus skuad negara Datuk Seri Subahan Kamal yang dilaporkan berkata, tindakan tegas menanti pemain itu kerana gagal melaporkan diri di Wisma FAM, Khamis lalu dan bertindak mengeluarkan surat tunjuk sebab.


Pemain berusia 31 tahun itu dikatakan mengalami kecederaan hamstring dan diarahkan datang untuk melaporkan diri kepada Rajagobal bagi menjalani ujian perubatan dengan pegawai perubatan Jumaat lalu, namun gagal dengan memberikan alasan masalah penerbangan.

"Saya fikir semua pihak perlu faham polisi FAM. Semua pemain yang dipanggil perlu melaporkan diri walaupun mengalami kecederaan, hanya kecederaan teruk seperti tidak boleh berjalan kita boleh terima, (tidak hadir ke FAM) namun mestilah disertakan dengan laporan doktor.


"Seperti yang dilakukan Azamuddin Mohd Akil sebelum ini. Kita periksa dulu keadaan dia dan ternyata memerlukan tempoh lima minggu untuk pulih (patah jari)," katanya.

Badhri sebelum ini diangkat sebagai perancang tengah terbaik negara selepas menjulang Kelantan meraih tiga piala musim lalu. Malah kehebatannya berterusan tidak terhenti di situ apabila membantu Kelantan mempertahankan Piala FA musim ini serta menjadikan The Red Warriors empat pasukan terbaik Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Almeida tekad buat kejutan

Posted: 14 Jul 2013 09:33 AM PDT

Kuala Terengganu: Selepas berjaya mengekalkan T-Team beraksi dalam Liga Super musim depan, pengendali sementara Eduardo Almeida sekali lagi bertekad mahu mencipta kejutan pada saingan Piala Malaysia pula.

Harapan tinggi jurulatih dari Portugal itu bukan saja mahu melihat pasukan bimbingannya berjaya malah turut mengidam mengucup trofi Piala Malaysia yang membuka tirai pada 17 Ogos ini.


Bagaimanapun, hasrat jurulatih dan pengarah teknikal Akademi Bola Sepak Titans Muda itu masih samar apabila kedudukannya membimbing pasukan itu masih menjadi teka-teki.

Ini berikutan kontraknya bersama The Titans itu sudah berakhir selepas perlawanan terakhir Liga Super menentang Terengganu baru-baru ini.


Jurulatih itu berkata, sehingga kini beliau belum menerima keputusan muktamad sama ada akan kekal melatih pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia kerana difahamkan tugas membimbing mahu diserahkan kepada penolong jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor.


"Saya dimaklumkan keputusan membimbing pasukan ini akan diputuskan dalam mesyuarat lembaga pengarah dalam tempoh terdekat. Jadi, saya harap pihak pengurusan terus memberi kepercayaan kepada saya untuk membuktikan sesuatu dalam Piala Malaysia pula.

"Selepas diberi tanggungjawab melatih pasukan ini dalam empat perlawanan terakhir Liga Super, saya yakin pasukan ini mampu membuat kejutan dalam Piala Malaysia. Saya juga bercita-cita mahu menjulang piala itu bersama T-Team," katanya, semalam.


Pengendali berusia 36 tahun itu berkata, beliau bukan mahu memandang rendah keupayaan Che Ku Mar zuki tetapi berilah peluang kepadanya berganding bahu memastikan T-Team lebih menyerlah dalam saingan Piala Malaysia.

"Saya rasa rekod saya bersama pasukan ini lebih bagus selepas mengambil alih daripada Peter Butler dan Che Ku Marzuki kerana berjaya mengekalkan pasukan daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.


"Saya harap pihak pengurusan membuat keputusan bijak demi melihat pasukan ini berjaya dalam Piala Malaysia nanti. Saya berjanji akan melakukan yang terbaik jika diberi peluang sekali lagi," katanya.


Sepanjang T-Team di bawah Almeida pasukan menunjukkan peningkatan dengan mencatatkan dua kemenangan ke atas FELDA United (4-0) dan Negeri Sembilan (2-1) serta tumpas kepada Selangor 1-3 dan seri 2-2 dengan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Jalaluddin mahu rakan sepasukan manfaat latihan

Posted: 14 Jul 2013 09:32 AM PDT

Kuantan: Kapten Jalaluddin Jaafar mahu rakan sepasukan memanfaatkan sesi latihan sepanjang Ramadan bagi memperkasakan Pahang menghadapi saingan Piala Malaysia.

Pemain pertahanan itu berkata, kedudukan lima terbaik yang diraih dalam saingan Liga Super diharap memberi motivasi kepada pasukan mencatat kejayaan dalam saingan piala berprestij itu nanti.


Menurutnya, kegagalan menduduki tempat ketiga terbaik tidak sepatutnya melunturkan semangat, sebaliknya prestasi lebih baik perlu dipersembahkan.

"Saya harap rakan sepasukan yang mula menjalani latihan pertama malam ini berada pada prestasi terbaik untuk memperbaiki kelemahan serta menajamkan lagi jentera serangan.


"Jika semua ini dapat dilakukan saya percaya Pahang yang mendapat sokongan padu peminat mampu melangkah lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu," katanya semalam.


Sementara itu, pemain tengah Mohd Hafiz Kamal tidak sabar untuk turun menjalani latihan sebagai persediaan awal menghadapi perlawanan lebih getir dan berprestasi tinggi.

Menurutnya, kejayaan menjaringkan empat gol dalam Liga Super diharap mampu diteruskan dalam saingan Piala Malaysia.


"Saya harap rakan lain juga berusaha untuk memastikan misi Pahang ke separuh akhir terlaksana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

No comments:

Post a Comment