Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Hanya latihan pramusim!

Posted: 22 Jul 2013 08:47 AM PDT

Shah Alam: Sebahagian proses latihan!

Itu adalah hakikat dan pandangan pengendali Chelsea, Jose Mourinho mengenai aksi persahabatan Blues menentang skuad kebangsaan di Stadium Shah Alam, malam kelmarin yang menyaksikan anak buahnya mudah menang 4-1 di hadapan 40,000 penonton.


Selepas sekadar menewaskan Singha All Stars, 1-0, Chelsea bangkit menerusi tiga jaringan pemain muda pada babak pertama untuk menggambarkan kehebatan gergasi EPL itu disusuli gol Victor Moses di penghujung perlawanan menewaskan Mohd Farizal Marlias sebelum Mohd Fadhli Shas menyumbat gol sagu hati tuan rumah.

"Saya gembira kerana ia sebahagian proses latihan kami. Kami menjalani latihan menentang Thailand (Singha All Stars) dan Malaysia. Ia sesi latihan apabila kami mempraktikkan apa yang kami berlatih setiap hari.


"Oleh kerana sesi latihan tertutup, anda tidak boleh merasai apa yang kami terjemahkan dalam padang namun sebaliknya bagi saya. Saya melihat menerusi aspek pertahanan dan menyerang. Kaedah itu penting bagi saya dan pemain," kata Mourinho yang gembira dengan perkembangan dipamer skuad kendaliannya itu.


Beliau yang kembali membimbing Chelsea musim ini menambah, keputusan perlawanan tidak penting kerana ia sebahagian daripada proses membentuk karektor pasukan.

Foto

NORSHAHRUL (kiri) diasak pemain Chelsea, Michael Essien di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Hingga kini beliau gembira dengan perkembangan pemain dalam aspek identiti, personaliti dan mentaliti untuk menang yang membolehkan Chelsea bermain menurut cara digemarinya.


Tanpa berselindung pengendali dari Portugal itu memuji skuad kebangsaan apabila mempamerkan tentangan terutamanya pada babak pertama permainan.

"Separuh masa pertama kami bermain dengan baik menentang lawan yang bagus, meletakkan tekanan kepada kami di bahagian belakang selain serangan balas pantas dan kreatif.


"Namun babak kedua berbeza kerana Malaysia melakukan terlalu banyak pertukaran dan 20 kali perlawanan terhenti menyebabkan kehilangan rentak.


"Perlawanan ini menghiburkan buat penonton. Kami mempamerkan corak permainan diingini." Skuad negara menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Amri Yahyah untuk menerajui jentera serangan pada babak pertama namun peluang paling hampir untuk meledak jaringan menerusi rembatan K Gurusamy m-22 disusuli percubaan kencang kapten Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak m-39 yang dinafikan penjaga gol Mark Schwarzer.


Gol-gol Chelsea dijaringkan Bertrand Traore, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Victor Moses.


Chelsea akan meneruskan Jelajah Asia dengan bertandang ke Indonesia menentang skuad republik itu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Bayern garang

Posted: 22 Jul 2013 08:35 AM PDT

Berlin: Bayern Munich meraih satu lagi kejuaraan selepas menewaskan tuan rumah Borussia Moenchengladbach 5-1 pada final Piala Telekom kelmarin ketika pemain baru Thiago Alcantara menjaringkan gol sulungnya.

Selepas membenam Hamburg 4-0 pada separuh akhir Sabtu lalu, juara Eropah itu memastikan satu lagi kemenangan dengan pemain baru Alcantara menyumbat gol pada babak pertama untuk meraih gol pertamanya buat kelab Bavaria itu.


Bayern muncul kelab pertama Jerman meraih tiga kejuaraan Eropah, liga dan piala musim lalu dan mereka menokok satu lagi trofi dalam koleksi mereka.

"Kami gembira, memang bagus memenangi satu pertandingan pramusim," kata jurulatih Pep Guardiola yang mengubah formasi Bayern kepada 4-1-4-1 daripada formasi sebelum ini 4-2-3-1.


"Kami masih perlu memperbaiki beberapa aspek, kami belum cukup banyak melakukan gerakan tapi ia masih awal musim dan ada masa yang lama." Alcantara melakukan penampilan sulung bersama Bayern Sabtu lalu menentang Hamburg di Borussia Park, gelanggang Moenchengladbach, kemudian pemain berusia 22 tahun itu meledak gol pertamanya buat juara Eropah itu kelmarin.


Kapten skuad B-21 Sepanyol itu diikat dari Barcelona minggu lalu dengan perjanjian empat tahun dan bayaran permulaan 20 juta euro (RM83.8 juta), selain tambahan 5 juta euro (RM20.9 juta) daripada kutipan perlawanan persahabatan antara Bayern dan Barcelona tidak lama lagi.

Selepas memenangi semua enam perlawanan persahabatan pramusim menentang kelab kerdil sebelum ini, pasukan kendalian Guardiola melepasi ujian pertama menentang kelab Bundesliga dengan penuh bergaya.


Pada final yang dimainkan 30 minit setiap babak, Franck Ribery membuka jaringan pada minit ke-17 manakala gol lain dijaringkan kapten Philipp Lahm (m-23), Alcantara (m-26), Arjen Robben (m-41) dan Thomas Mueller (m-89).

Moenchengladbach membalas satu gol menerusi penyerang Belanda, Luke de Jong yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-30. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Donovan 'pencetus' gah AS

Posted: 22 Jul 2013 08:34 AM PDT

Baltimore, Maryland: Penyerang berpengalaman, Landon Donovan mencetus inspirasi Amerika Syarikat (AS) semalam apabila tuan rumah membelasah El Salvador 5-1 untuk layak ke separuh akhir Piala Emas CONCACAF.

Kemenangan itu membolehkan mereka bertemu Honduras, yang mengatasi Costa Rica 1-0 untuk mara ke separuh akhir. Mexico menentang Panama pada satu lagi separuh akhir di Arlington, Texas, esok.


Donovan, 31, yang bercuti empat bulan awal tahun ini, membantu pasukan dengan gol pada babak kedua dan tiga kali mencipta peluang gol.

Dia membantu gol pembukaan Clarence Goodson pada minit ke-21 sebelum Joe Corona menjadikan kedudukan 2-0 buat AS lapan minit kemudian.


Pemain El Salvador, Rodolfo Zelaya menyempurnakan sepakan penalti untuk merapatkan jurang sebelum rehat babak pertama namun AS terus mengamuk selepas rehat.


Eddie Johnson dan Mikkel Diskerud menambah gol hasil lorongan Donovan, yang turut menjaringkan gol pada lewat perlawanan.

Honduras menyingkirkan Costa Rica menerusi gol tunggal Andy Najar yang menanduk masuk hantaran lintang Alexander Lopez pada minit ke-49. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Mickelson takluk Muirfield

Posted: 22 Jul 2013 08:26 AM PDT

Gullane, Scotland: Phil Mickelson mengimbau kembali perasaannya yang umpama roller-coaster sejak beberapa minggu lalu selepas melakukan permainan sempurna untuk menjuarai Terbuka British buat kali pertama, kelmarin.

Berada dalam kedudukan baik memburu kejuaraan sepanjang minggu, pemain Amerika Syarikat berusia 43 tahun itu mencatat 66 pukulan di Muirfield untuk meraih kemenangan penuh emosi hanya lebih sebulan selepas muncul naib juara Terbuka AS buat kali keenam.


"Perasaannya sungguh berbeza," katanya.

"Selepas kecewa di Terbuka AS, saya gunakannya sebagai motivasi dan batu loncatan dan hasilnya saya nikmati perasaan mengagumkan. Ia satu hari akan saya kenang sepanjang hayat." Mickelson belajar pentingnya ketabahan sebagai seorang pemain golf, sesuatu yang berguna di lapangan berangkai seperti Muirfield.


"Saya bermain dengan amat baik di Terbuka AS, antara yang terbaik sepanjang karier. Saya bekerja lebih kuat dan dalam masa sebulan saya mengubah perasaan saya." Mickelson memanaskan badan menghadapi Terbuka British edisi ke-142 dengan menjuarai Terbuka Scotland dua minggu lalu.


"Saya tidak langsung memikirkan mesti melakukan birdie atau cuba memaksa catatan birdie. Saya hanya cuba melakukan pukulan yang baik. Saya melakukan beberapa pukulan putt yang bagus." Mickelson, yang memulakan saingan dengan dua atas par, membenam birdie pada lubang kelima, kesembilan, 13, 14, 17 dan 18 dan hanya mempunyai satu bogey dalam kadnya iaitu di lubang ke-10.

Dia membenam birdie dari jarak 10 kaki pada green terakhir untuk memastikan kemenangan sekalipun beberapa pemain belum menamatkan saingan di lapangan dan dia mengangkat tangannya sebelum memeluk kedi Jim Mackay.


Mickelson akan beraksi pada kejohanan Klasik CIMB di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur dari 24 hingga 27 Oktober ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Marquez cipta sejarah MotoGP

Posted: 22 Jul 2013 08:25 AM PDT

Monterey, California: Penunggang muda Marc Marquez memenangi Grand Prix Amerika Syarikat semalam sekali gus melebarkan jurang mata sebagai pendahulu untuk menjadi pelumba termuda dalam sejarah MotoGP memenangi dua perlumbaan berturut-turut.

Pelumba dari Sepanyol berusia 20 tahun itu menang di Jerman awal bulan lalu, meraih kemenangan ketiga musim ini apabila menewaskan pelumba petak utama dari Jerman, Stefan Bradl di Laguna Seca.


"Saya gembira kerana meraih keputusan ini menjelang cuti musim panas," kata Marquez. "Ia litar baru dan saya meraih 25 mata." Bradl menjejak podium pertama dan juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi dari Itali, ketiga. Kemenangan itu menyaksikan pelumba pasukan Repsol Honda menjadi pelumba rookie pertama menang di Laguna Seca.

Marquez turut memenangi perlumbaan di sirkit baru di Austin, Texas, April lalu dan minggu lalu di Jerman, berjaya memintas rekod Freddie Spencer sebagai pelumba termuda merangkul dua kemenangan berturut-turut.


Bermula di petak kedua, Marquez berjaya memintas lawan dua kali termasuk memintas Rossi di selekoh sukar Corkscrew pada awal perlumbaan.


Dia kemudian memintas Bradl untuk memenangi perlumbaan itu dengan kelebihan 2.2 saat.

Marquez kini mengatasi rakan sepasukan Dani Pedrosa 16 mata ketika perlumbaan di pertengahan saingan. Lorenzo di tempat ketiga, ketinggalan 26 mata berbanding Marquez. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Fabio wajib tingkat prestasi

Posted: 22 Jul 2013 08:24 AM PDT

Seremban: Selepas gagal membantu Negeri Sembilan mencatat kejayaan pada saingan Liga Super, penyerang import Leandro Barbosa Fabio dituntut meningkatkan persembahan pada Piala Malaysia, 20 Ogos ini.

Pemain dari Brazil berusia 34 tahun itu kurang menyerlah sejak bersama Negeri Sembilan pada pertengahan musim apabila setakat ini sekadar menjaringkan dua gol liga.


Jurulatih Ridzuan Abu Shah berkata, Fabio yang menggantikan Emmanuel De Porras dari Argentina perlu memainkan peranan proaktif dengan menunjukkan persembahan lebih baik.

Katanya, kelemahan ketara dihadapi pasukan adalah di bahagian serangan apabila banyak peluang jaringan gagal disempurnakan yang menyumbang kepada kegagalan pasukan. "Mengikut perancangan, kehadiran Fabio diharap membawa perubahan tapi sasaran itu tidak tercapai hingga pasukan turun ke Liga Perdana musim depan.


"Bagi menghadapi saingan Piala Malaysia ini, saya harap Fabio menunjukkan kebangkitan dengan mempamerkan prestasi lebih baik kerana pasukan menaruh harapan tinggi dia mengemudi barisan depan dengan lebih berkesan," katanya.


Beliau juga berharap Fabio membentuk keserasian gandingan bersama Mohd Nazrin Mohd Nawi dan S Sivanesan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Perak banyak pilihan

Posted: 22 Jul 2013 08:24 AM PDT

Ipoh: Jurulatih Perak Mohd Azraai Khor Abdullah mengaku mempunyai banyak pilihan berikutan pendedahan diberikan kepada lapan pemain Piala Presiden ketika Liga Super lalu.

Kini pemain terbabit seperti Muhammad Syamil Khairi, Mohd Norhakim Isa, G Mugenthiran, Amirul Azahan Aznan dan Mohd Haiqal Faquan Sadarudin bersedia pada bila-bila masa menggantikan pemain senior pada saingan Piala Malaysia, 20 Ogos ini.


"Saya tidak bimbang jika menghadapi masalah kecederaan atau penggantungan kerana mempunyai khidmat lapan pemain muda yang sudah diberi pendedahan secukupnya.

"Kami sudah sedia menghadapi kempen Piala Malaysia.


"Hanya perlu mantapkan persefahaman pasukan antara pemain utama dan simpanan," katanya.


Menurutnya detik kebangkitan Seladang sudah mula dirasai dalam baki empat perlawanan liga yang menyaksikan Perak mencatat dua kemenangan, satu seri dan sekali kalah.

"Setiap pemain bersemangat dan saya harap perwatakan mantap ditunjuk pada penghujung liga dijelmakan sekali lagi dalam saingan Piala Malaysia." Azraai yang mempunyai nostalgia cemerlang dalam trofi Piala Malaysia bersama Kedah dan Negeri Sembilan berharap dapat melakukan sentuhan magis bersama Seladang pula.


"Jika pemain mampu melaksanakan perancangan dengan berkesan, saya yakin Perak mampu ke final."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Trio memanah kempunan

Posted: 22 Jul 2013 08:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Trio memanah negara gagal mencipta sejarah meraih pingat emas pertama Piala Dunia apabila kecundang aksi final yang berlangsung di Medellin, Colombia awal pagi semalam.

Gandingan Khairul Anuar Mohamad, Atiq Bazil Bakri dan Haziq Kamaruddin yang tampil di sirkit ketiga Piala Dunia ini hanya mampu meraih 203 mata berbanding lawan yang mengumpul 209 mata dibarisi Juan Rene Serrano, Luis Eduardo Velez dan Luis Alvarez.


Kegagalan barisan pemanah negara kendalian ketua jurulatih Lee Jae hyung mempamerkan aksi konsisten dan tepat pada dua set awal membawa padah apabila sekadar mengumpul 97 mata ketika lawan mendahului dengan 106 mata dan ia memberi kesan kepada baki dua set.

Bagaimanapun ia membaiki pencapaian berbanding dua sirkit awal tahun ini di China (suku akhir) dan Turki (pusingan pertama).


Namun untuk kategori individu, persembahan Atiq dan Haziq mencuri tumpuan apabila melangkah ke pusingan keempat ketika pemanah utama negara Khairul terkandas di pusingan ketiga.


Atiq yang juga pemanah muda negara mengejutkan pemanah handalan Amerika Syarikat, Jake Kaminski di pusingan ketiga namun kecundang kepada Jeff Henckels dari Luxembourg di pusingan berikutnya.

Manakala Haziq yang pernah beraksi di Olimpik 2012 pasti mendapat kembali keyakinan dan rentak panahan selepas sekian lama bergelut dengan prestasi susulan kemampuan melangkah ke pusingan keempat namun kecundang kepada pemanah Perancis Gael Prevost.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Zaqhwan tidak tersenarai

Posted: 22 Jul 2013 08:22 AM PDT

Kuala Lumpur: Musashi Boon Siew Honda Racing mengumumkan pelumba muda, Mohd Zaqhwan Zaidi tidak menyertai perlumbaan terkemuka Suzuka Endurance Race ke-36 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun pada 26 hingga 28 Julai ini.

Juara bertahan saingan kategori 4-Hour itu pada asalnya membuat kemunculan kedua tahun ini namun peraturan baru perlumbaan memutuskan pelumba musim penuh Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) tidak lagi dibenarkan menyertai kategori itu.


Keputusan dibuat selepas persetujuan bersama antara promoter kejuaraan dan pasukan bertanding yang melihat penyertaan pelumba musim penuh ARRC kategori SuperSports 600cc bakal memberikan banyak kelebihan berbanding pelumba kategori 4-Hour yang rata-rata muka baru dalam sukan ini.

"Saya sedih kerana tidak dapat mengambil bahagian tahun ini kerana menjadi medan pendedahan berguna kepada saya," katanya.


Walaupun kecewa, pelumba 18 tahun itu tidak menyalahkan mana-mana pihak dan memahami alasan promoter kejuaraan terpaksa bertindak sedemikian.


"Mereka mahukan satu perlumbaan adil dan saya tidak salahkan mereka atas peraturan baru ini.

"Sebenarnya saya rasa tidak memiliki banyak kelebihan di grid kerana ini hanyalah tahun kedua saya beraksi dalam perlumbaan SuperSports 600cc.


"Tetapi memandangkan kami mengharungi 12 perlumbaan (enam pusingan) setahun, ia mungkin dilihat sebagai satu kelebihan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Olahraga semakin merosot

Posted: 22 Jul 2013 08:22 AM PDT

Kuala Lumpur: Biarpun pahit untuk ditelan, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) terpaksa menerima hakikat dan mengaku taraf sukan itu semakin merosot.

Ketika tarikh akhir melayakkan diri ke Sukan SEA Myanmar hampir tamat, hanya 11 atlet sudah melepasi had kelayakan secara merit dan tiada sebarang pertambahan atlet selepas beberapa siri kejohanan seperti Kejohanan Universiti Dunia dan Kejohanan Terbuka Vietnam berakhir.


Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad tetap optimis masih ada atlet mampu melayakkan diri dan mereka diminta terus berusaha dan menggunakan segala peluang yang ada. "Saya akui taraf sukan ini sudah merosot dan perlukan masa untuk dibangunkan semula. Atlet perlu terus berlatih terutama dengan suasana baru dan pengurusan baru.

"Kekangan bajet menyebabkan banyak rancangan tergendala namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha meningkatkan kembali martabat sukan olahraga," katanya. Antara atlet yang sudah melayakkan diri terdiri daripada lima atlet lompat tinggi terdiri daripada S Navinraj, Nauraj Singh Randhawa, A Kavee Alagan, Mohd Azly Ghazali dan Lee Hup Wei, Lo Choon Sieng dan Muhammad Khairil Harith Harun (20km jalan kaki), Iskandar Alwi (lompat bergalah), S Kannathasan dan Mohamad Arif Zulhilmi, Casier Renee Kelly Lee (baling tukul besi) dan kuartet 4x400m lelaki.


Beliau yang mengambil alih teraju KOM daripada Datuk Seri Shahidan Kassim pada penggal lalu berkata, atlet berpeluang menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan pada 19 dan 20 Oktober ini dilihat sebagai medan terakhir sebelum senarai nama diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

No comments:

Post a Comment