Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lebih bertenaga lepas hisap darah

Posted: 15 Jul 2013 10:14 AM PDT

Pittsburg: Ramai pasangan yang mempunyai tradisi mingguan, tetapi kebanyakannya tidak seaneh yang dikongsi oleh Lia Benninghoff dan Aro Draven.

Mereka yang menjalani kehidupan seperti pontianak, meminum darah masing-masing seminggu sekali.

Lia, 20, bertemu Draven, 38, di laman web mencari jodoh Februari lalu. Kedua-duanya sukakan gaya kehidupan 'gothic' dan Draven mahukan hubungan yang lebih intim.

"Apabila dia menjelaskan bahawa perkongsian darah akan menjadikan kami lebih rapat, saya meminta dia untuk mencuba menghisap darah saya," kata Lia.

Foto

DRAVEN hiris tangan dengan pisau cukur agar darah dapat dihisap Lia.

Foto

LIA (kiri) dan Draven minum darah masing-masing.


"Draven menghiris anggota tubuhnya dengan pisau cukur dan menawarkan saya darahnya. Saya kemudian menghiris anggota tubuh saya dan dia menghisap darah saya.


"Saya merasakan lebih bertenaga apabila darahnya meresapi tubuh saya. Ia pengalaman magis lebih intim daripada seks."

Pasangan itu merancang untuk berkahwin pada hari Halloween depan.

Tetapi, mereka belum memberitahu ibu bapa Lia bahawa mereka sudah bertukar menjadi pontianak.

"Ibu bapa saya sangat gembira dengan hubungan saya bersama Draven, tetapi mereka tidak tahu kami pontianak dan Draven yang mengubah saya," katanya.

Bagaimanapun, bukan mereka saja yang menjalani kehidupan seperti itu.

Julia Caples, 45, juga adalah pontianak dari Wilkes, Barre, Pennsylvania yang menghisap hampir dua liter darah setiap bulan.

Dia menghisap darah penderma yang ditemuinya ketika sesi perjumpaan ghaib atau pengunjung kedai pelik yang dibukanya dekat kediamannya.

"Ketika saya berikan darah untuk dihisap dan turut menghisap darah mereka, saya rasa lebih kuat dan lebih sihat," katanya.

"Secara santifik, tiada khasiat yang banyak dalam darah, tetapi mungkin terdapat beberapa nilai berharga yang kita belum temui lagi." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

Lendir siput bantu naik seri wajah

Posted: 15 Jul 2013 08:54 AM PDT

Tokyo: Ia sudah lama dianggap sebagai parasit di taman, tetapi nampaknya siput kini menjadi kawan berbanding musuh apabila menyentuh soal antipenuaan.

Penemuan terbaru rawatan muka yang membabitkan siput hidup untuk bergerak pada kulit muka menjadi kaedah baru paling mujarab dalam bidang kecantikan.

Semuanya kerana lendir siput yang dikatakan dapat membantu menaikkan seri wajah.

Lendir yang mengandungi paduan protein, antioksida dan asid hyularonic yang berkuasa itu dikatakan dapat mengekalkan kelembapan kulit, mengurangkan radang kulit dan menyingkirkan sel kulit mati.


Dalam rawatan 60 minit ditawarkan di sebuah salun di Tokyo, wajah dibersihkan sebelum siput diletakkan pada pipi dan dahi sebelum dibiarkan merayap.


Rawatan muka dinamakan Celebrity Escargot Course itu berharga £161 (RM773), termasuk beberapa siri urutan muka, masker dan penggunaan mesin denyutan elektrik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

Padah lekat kokain di punggung

Posted: 15 Jul 2013 08:54 AM PDT

Phoenix (Arizona): Seorang wanita di bandar raya ini ditahan Selasa lalu kerana didakwa cuba menyeludup 1.5 kilogram kokain ke Arizona dengan melekatkan dadah itu pada punggungnya.

Pegawai kastam Amerika Syarikat berkata, Dora Anna Gutierrez, 39, cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira AS$24,000 (RM 76,574).


Dora bukan individu pertama dituduh bertindak kreatif untuk menyeludup dadah. Minggu lalu, seorang wanita Oklahoma bukan saja mengaku bersalah menyembunyikan tiga bungkus dadah meth dalam punggungnya, tetapi turut menyorokkan sepucuk pistol berisi peluru dalam kemaluannya.

Pada November lalu, seorang lelaki dari Delaware dituduh menyembunyikan kokain dan ganja dalam kaki palsunya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

18 mati terpijak

Posted: 15 Jul 2013 08:47 AM PDT

Timika: Lapan belas penonton mati terpijak pada satu perlawanan tinju di pedalaman timur Indonesia selepas penyokong peninju yang kalah merusuh kerana tidak bersetuju dengan keputusan pengadil.

"Tujuh belas orang mati. 12 daripada mereka wanita dan 38 lagi cedera," kata jurucakap polis wilayah Papua I Gede Sumerta Jaya, semalam.


Kira-kira 1,500 orang menonton kejuaraan tempatan itu lewat kelmarin di sebuah stadium di bandar Nabire apabila penyokong yang tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan membaling kerusi.

"Semua penonton meluru keluar kerana bimbang keganasan tidak dapat ditangani. Ramai yang jatuh dan sebahagiannya dipijak hingga mati," kata Sumerta.


Seorang saksi dipetik sebagai berkata: "Terdapat lima pintu dalam stadium, tetapi hanya dua dibuka." Kejadian mati terpijak sering berlaku di Indonesia, Pada 2011, dua orang mati apabila puluhan ribu peminat bersesak-sesak menonton perlawanan akhir bola sepak antara Indonesia dengan Malaysia. Pada Februari 2008 pula, 10 orang mati apabila ratusan peminat cuba keluar dari satu konsert rock di Bandung sementara September tahun itu juga, 21 orang maut di Jawa Timur ketika mereka berebutmendapatkan bantuan wang tunai sempena Ramadan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

Polis contoh hadapi 2 tuduhan bunuh

Posted: 15 Jul 2013 08:47 AM PDT

Singapura: Seorang anggota polis yang pernah digambarkan selaku pegawai contoh, semalam menghadapi tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan dan anaknya.

Staf Sarjan Kanan Iskandar Rahmat, 34, berdepan dengan hukuman mati jika sabit kesalahan dalam kes yang mengejutkan republik itu. Iskandar yang bertugas di Balai Polis Beduk dituduh membunuh pemilik bengkel kereta Tan Boon Sin, 67, dan anaknya, Tan Chee Heong, 42, Rabu lalu.


Boon Sin ditetak hingga mati di rumahnya sementara mayat anaknya ditemui satu kilometer dari kediaman itu selepas diheret sebuah kereta dengan meninggalkan kesan darah di jalan raya yang sibuk sementara pemandu lain memerhatikan kejadian ngeri itu.

Iskandar hanya muncul seketika di mahkamah untuk membolehkan tuduhan itu dibacakan kepadanya sebelum dibawa semula oleh kereta peronda untuk ditahan. Dia dijangka dihadapkan sekali lagi Isnin depan.


Iskandar yang sebelum ini pernah dijadikan pegawai contoh dalam laman pasukan polis Singapura, meninggalkan kereta mangsa dan melarikan diri ke Malaysia dengan menaiki skuter. Dia ditangkap di Johor Bharu dua hari kemudian sebelum dibawa pulang ke Singapura.


Iskandar yang sudah berkeluarga dan berkhidmat selama 14 tahun sebelum ini diisytihar muflis Khamis lalu. Setakat ini, polis tidak mendedahkan motif pembunuhan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

Peluk cium harimau lima tahun

Posted: 15 Jul 2013 08:46 AM PDT

Malang: Hubungan Mulan Jamila dan Abdullah Soleh bukan saja dikritik, tetapi juga dikecam. Bagaimanapun, pasangan itu tidak mempedulikannya.

Mereka berkongsi bilik, berpeluk dan bergurau setiap hari.


Namun, perbezaan antara mereka tidak boleh dipandang ringan. Mulan ialah harimau Bengal berusia lima tahun dan Abdullah ialah jurulatihnya.

Pemilik Mulan, Nur Muhammad yang juga memiliki sebuah zoo persendirian di Kepanjen, daerah kecil Malang di Jawa Timur berkata, sejak kecil lagi Mulan berkongsi bilik khas dengan Abdullah.


"Apabila Abdullah meninggalkannya, walaupun hanya sejam, Mulan akan mengaum dan membuat bising. Dia akan gelisah. Ngaumannya sungguh menakutkan," kata Nur.


Abdullah, 34, mengaku harimau yang seberat 150 kilogram itu kini sukar untuk ditangani. "Mulan sudah terlalu besar. Kuku dan giginya kini terlalu tajam. Saya sering cedera setiap kali kami bergurau," katanya. - JG

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

Universiti mohon maaf

Posted: 15 Jul 2013 08:39 AM PDT

Bangkok: Universiti utama Thailand, semalam memohon maaf kerana mempamerkan sepanduk dengan gambar pemimpin Nazi Adolf Hitler di samping Spiderman dan superhero lain.

Pegawai Universiti Chulalongkorn berkata, sepanduk itu dibuat pelajar yang tidak menyedari bahawa imej Hitler boleh mencetuskan kemarahan sesetengah pihak.


Perkataan bermakna 'tahniah' turut tertera pada sepanduk besar itu. Ia digantung di depan fakulti seni universiti itu. Dekan fakulti, Suppakorn Disatapundhu berkata, sepanduk itu dilukis pelajar baru dan menganggapnya sebagai kesilapan akibat daripada kejahilan.

Universiti itu mengeluarkan kenyataan memohon maaf daripada dekan berkenaan.


Sepanduk itu digantung selama dua hari sebelum diturunkan Sabtu lalu selepas dikecam.


Gambar yang disiarkan di Internet menunjukkan pelajar yang menerima ijazah memimikkan imej Hitler dengan seorang mengangkat sebelah tangan, memberi tabik Nazi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

Penyamun tertidur di balkoni ditahan

Posted: 15 Jul 2013 08:39 AM PDT

Bangkok: Polis semalam menahan seorang pencuri yang tertidur di balkoni sebuah kedai yang hendak dirompaknya.

Saksid Suwitsaet, 27, mengaku memanjat laluan kecemasan untuk memasuki kedai itu, tetapi gagal.


Kerana kepenatan dan mengantuk, dia kemudian terlena. Pemilik kedai, Somsak Saengjan, 47, menahan Saksid selepas menemui dia tertidur pagi semalam dan menyerahkannya kepada polis, kata jurucakap polis Kapten Anucha Naetjinda.

Saksid ketika disoal siasat berkata, dia merompak kerana mahu mendapatkan wang bagi membeli arak dan pernah merompak kedai itu sebelum ini serta sempat menonton televisyen sebelum berjaya melarikan diri. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

NSC kaji kemelut selatan Thai

Posted: 15 Jul 2013 08:38 AM PDT

Bangkok: Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC) Thai akan mengadakan perbincangan pada 18 Ogos ini untuk menilai keadaan di selatan negara itu.

Perbincangan itu juga mungkin mencadangkan penarikan balik perintah darurat yang dikenakan ke atas tiga wilayah berkenaan Pattani, Yala dan Narathiwat.


Setiausaha Agung NSC Paradorn Pattanatabut berkata demikian semalam selepas fasilitator Malaysia mengumumkan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) bersetuju mengurangkan keganasan sepanjang Ramadan hingga 18 Ogos. Sejak bulan Ramadan bermula, belum ada orang terbunuh dalam serangan berkait dengan perjuangan pemisahan di wilayah berkenaan. Tahun lalu, purata pembunuhan membabitkan kematian pada Ramadan ialah dua orang sehari.

Paradorn juga menegaskan negara jiran memuji tindakan Thailand kerana berusaha untuk menyelesaikan sengketa bersenjata yang berlarutan sejak 2004. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

Ribuan protes mahkamah

Posted: 15 Jul 2013 08:37 AM PDT

Sanford (AS): Beribu-ribu penunjuk perasaan turun ke jalan raya di sekitar AS ketika Presiden Barack Obama merayu orang ramai supaya bertenang selepas mahkamah membebaskan seorang lelaki daripada kesalahan menembak mati remaja berkulit hitam.

Antara bandar raya yang menjadi lokasi protes pembebasan George Zimmerman itu ialah New York, San Francisco, Boston, Detroit dan Chicago.


Sekurang-kurangnya enam orang ditahan di Los Angeles awal pagi semalam ketika polis antirusuhan menyuraikan "perhimpunan haram" berhampiran bangunan CNN di Hollywood. Penunjuk perasaan melaungkan slogan "Tiada keadilan, tiada keamanan!" sambil menghalang lalu lintas di sebatang laluan penting di sebuah bandar raya lain. Zimmerman, 29, yang ketika itu bertugas sebagai pengawas kejiranan didakwa mengejar Trayvon Martin, 17, di kawasan berpagar di Sanford.

Dia menembak Martin selepas mereka bergaduh pada malam 26 Februari 2012.


Peguam bela berjaya meyakinkan juri bahawa Zimmerman yang berkulit putih dan berdarah Hispanik melepaskan tembakan sebagai cara mempertahankan diri akibat tindakan Martin menjatuh dan menghentak kepalanya ke jalan raya.


Protes semalam mengingatkan orang ramai kepada ketegangan kaum berdarah pada April 1992 di Los Angeles.

Protes teramai dicatatkan di New York City apabila beberapa ribu orang berarak ke Times Square dengan diawasi polis.


Sementara itu Obama berkata, warga AS perlu bertenang dan menerima keputusan mahkamah.

"Negara ini mempunyai undang-undang dan juri sudah membuat keputusan.


"Kini saya meminta warga AS menghormati permintaan ibu bapa mangsa yang mahu semua pihak bertenang," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15anyblog

No comments:

Post a Comment