Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bintang Glee mati dalam bilik hotel

Posted: 14 Jul 2013 09:07 AM PDT

Vancouver: Bintang siri televisyen Glee, Cory Monteith ditemui mati dalam bilik hotel disewanya di Kanada semalam.

Aktor bermasalah yang terkenal sebagai Finn Hudson dan menjadi kegilaan remaja dalam siri popular itu baru-baru ini menghabiskan masa di klinik pemulihan kerana ketagihan dadah.


Pekerja di Hotel Pacific Rim di Vancouver menemui mayat pelakon itu yang ketika tengah hari selepas dia gagal mendaftar keluar seperti sepatutnya dari tingkat 21 hotel berkenaan.

Polis berkata, Monteith, 31, keluar bersama kawan-kawannya pada malam kelmarin.


Timbalan Ketua Polis Doug Lepard berkata, tiada tanda-tanda menunjukkan berlakunya perbuatan khianat. Bedah siasat dijangka dilakukan hari ini.


Berita kematian Monteith mengejutkan ramai bintang Glee yang lain dan sejurus selepas kematiannya tersebar, bertalu-talu ucapan takziah disebarkan di Twitter.

Foto

MONTEITH ditemui mati di Hotel Pacific River, Vancouver Kanada, semalam.


Bintang Glee Dot-Marie Jones yang melakonkan watak jurulatih bola sepak Shannon Beiste berkata, dalam Twitter: "Tiada apa dapat dikatakan, hati saya hancur!" Dia juga menyifatkan Monteith sebagai "kawan yang baik" dan "lelaki hebat".


Bintang sitcom New Girl, Zooey Deschanel turut menyuarakan komennya di Twitter: "Satu kehilangan yang tragik bagi seorang lelaki muda yang berbakat. Doa dan ingatan kami buat keluarga dan individu tersayangnya." Stesen televisyen 20th Century Fox yang menerbitkan Glee juga memberi ucapan penghormatan kepada aktor itu dengan ucapan "bakat luar biasa dan individu luar biasa. Dia teman sekerja yang ceria dan kami semua pasti akan merinduinya."

Pengurus Monteith dalam satu kenyataan mengatakan, "Kami semua terkejut dan bersedih dengan kehilangan tragik ini." Pada April lalu, Monteith mengakui dia menjalani rawatan "ketagihan dadah" dan meminta ruang privasi ketika proses pemulihan. Sementara itu, pelakon gandingannya dalan Glee yang juga teman wanitanya, Lea Michele memberitahu sebuah majalah bahawa dia menyayangi, menyokong Monteith dan bangga kerana aktor itu mendapatkan rawatan bagi ketagihannya.

Ia bukan kali pertama Monteith berada di pusat pemulihan. Dia mula menerima rawatan ketika berusia 19 tahun dan pernah bercakap mengenai usahanya untuk mengatasi masalah ketagihan dan mengatakan dia mempunyai masalah yang serius dan mengambil "apa saja". - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

RM10 juta tutup mulut 'skandal'

Posted: 14 Jul 2013 08:59 AM PDT

London: Seorang bintang rock Britain kini bergelut untuk menyelamatkan rumah tangganya selepas seorang wanita menuntut dia membayar pampasan dan menyara anak luar nikah mereka.

Dalam pendedahan media semalam, artis terbabit diminta membayar £2 juta (RM10 juta) jika tidak mahu rahsia mereka didedahkan kepada isterinya. Wanita itu juga menuntut artis terbabit menyara anak mereka sehingga dia berusia 18 tahun.


Wanita terbabit dilaporkan berkata: "Bayar segera atau saya akan beritahu isteri kamu." Anak luar nikah itu dipercayai dilahirkan selepas artis terbabit mengadakan hubungan seks dengan wanita berkenaan selepas bertemu di AS.

Hubungan itu kemudian berakhir di situ saja. Sumber berkata, penyanyi rock itu kini terdesak merahsiakan kewujudan anak perempuan luar nikahnya itu daripada pengetahuan isterinya. "Penyanyi itu bertanggungjawab, bukan saja secara moral, tetapi menurut undang-undang.


"Kini semuanya terserah kepada penyanyi terbabit kerana maklumat yang selama ini dirahsiakannya ada di tangan wanita berkenaan," katanya. Sumber itu berkata, wanita berusia 30-an itu amat pasti siapa bapa kepada anak yang dilahirkannya.


"Dia bukan wanita murahan, malah dia seorang profesional berjaya," katanya. Penyanyi itu - anggota sebuah kumpulan rock yang berjaya mempunyai keluarga dan sentiasa dikenali sebagai bapa bertanggungjawab. Dianggap seorang daripada artis paling popular, dia juga melakar kejayaan besar di peringkat antarabangsa. Setakat ini dia tidak memaklumkan mengenai anak luar nikah itu kepada isterinya, tetapi menghantar sejumlah peguam untuk berunding dengan wanita berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Menteri Itali 'orang utan'

Posted: 14 Jul 2013 08:59 AM PDT

Rome: Seorang senator dari kumpulan antiimigran, semalam dikecam kerana menyamakan menteri pertama berkulit hitam Itali, Cecile Kyenge, menyerupai orang utan.

Calderoli dikatakan membuat kenyataan itu dalam pertemuan parti Liga Utara di bandar Treviglio.


"Saya sukakan haiwan, tetapi apabila saya melihat gambar Cecile saya tidak dapat berhenti daripada memikirkan persamaannya dengan orang utan," katanya.

Kenyataan itu yang menjadi sensasi di media sosial mencetuskan kemarahan di seluruh negara.


Perdana Menteri Enrico Letta berkata, kenyataan Senator Roberto Calderoli itu "tidak dapat diterima." "Kenyataan Calderoli yang dilaporkan dalam akhbar hari ini (semalam) yang mengaitkan Cecile tidak dapat diterima dan melampaui batasan," katanya.


Dua anggota Senat daripada Parti Demokratik, Khalid Chaouki dan Gianni Cuperlo menuntut peletakan jawatan Calderoli yang menjadi Timbalan Speaker Senat. "Kenyataan dirujuk kepada menteri Cecile itu tidak patut diucapkan seorang lelaki mewakili institusi kami," kata Cuperlo. Calderoli terkenal dengan komen dan tindakan provokatifnya. Pada 2006, dia dipaksa meletakkan jawatan kerajaan ketika pemerintahan perdana menteri Silvio Berlusconi selepas memakai kemeja-T dengan gambar kartun menghina Nabi Muhammad SAW.

Sejak dilantik ke jawatan menteri awal tahun ini, wanita kelahiran Congo itu beberapa kali dilempar penghinaan oleh Liga Utara. AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

4 polis mati diserang hendap

Posted: 14 Jul 2013 08:58 AM PDT

Moscow: Empat anggota polis ditembak mati kelmarin dalam satu kejadian serang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di wilayah Dagestan, Caucasus, kata pegawai kerajaan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, keempat-empat polis itu memandu ke Kampung Burshi selepas mereka menerima laporan mengenai kejadian rompakan.


Bagaimanapun, katanya, mangsa diserang hendap ketika meninggalkan kawasan itu.

Sebagai wilayah Islam besar di Laut Caspian, Dagestan menjadi kawasan paling bermasalah di Russia sejak beberapa tahun ini dengan serangan hampir setiap hari terhadap pasukan keselamatan dipersalahkan kepada militan Islam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Cuba damai lepas Ramadan

Posted: 14 Jul 2013 08:57 AM PDT

Manila: Filipina semalam berkata, kerajaan menyasarkan untuk menandatangani perjanjian damai terakhir dengan pejuang Islam di selatan negara itu selepas Ramadan bagi menamatkan konflik yang membunuh puluhan ribu, susulan daripada kejayaan besar dalam rundingan.

Ketua perunding perdamaian Miriam Coroner-Ferrer berkata, kerajaan boleh mencapai persetujuan itu dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalam tempoh beberapa minggu selepas kedua-dua belah pihak bersetuju dengan formula perkongsian harta lewat kelmarin.


"Sesi menandatangani itu menunjukkan kedua-dua belah pihak benar-benar komited mahu menyelesaikan rundingan damai. "Tiada siapa mahu ia gagal," katanya kepada media selepas sesi menandatangani formula perkongsian harta di Kuala Lumpur.

Melalui perjanjian itu, Manila bersetuju membenarkan pejuang Islam memiliki 75 peratus pemerolehan perkongsian dari sumber semula jadi dan bahan mineral di wilayah autonomi dicadangkan untuk penduduk majoriti Islam di pulau selatan Mindanao.


Untuk sumber tenaga, kedua-dua belah pihak bersetuju membahagikan pemerolehan secara adil.


Kata Miriam, Manila sentiasa optimis terhadap potensi perjanjian itu.

"Namun, ia diimbangi antara niat yang baik dan kekangan keadaan," katanya. Malah, kata Miriam, rundingan selama enam hari itu hampir berakhir akibat wujud kegagalan persefahaman.


"Ia hampir terjejas, tetapi ketabahan kedua-dua belah pihak dan keinginan yang baik membuahkan hasil," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Tiada cadangan pindah penjara

Posted: 14 Jul 2013 08:57 AM PDT

Medan: Pejabat Kementerian Undang-Undang Dan Hak Asasi Kemanusiaan di Sumatera Utara semalam berkata, kerajaan tidak bercadang memindahkan Penjara Tanjung Gusta selepas berlaku rusuhan di situ sehingga menyebabkan lebih seratus banduan melarikan diri pada malam Jumaat lalu.

Ketua pejabat kementerian itu di Medan, Budi Sulaksana berkata, pihaknya belum membincangkan mengenai perkara itu.


"Kami masih menumpukan perhatian kepada langkah pemulihan penjara," katanya.

Budi berkata, hampir 100 peratus bangunan depan penjara itu musnah. Justeru tiada perbincangan untuk memindahkan lokasi penjara itu disebut setakat ini.


"Kami memberikan keutamaan memperbaiki bangunan itu yang musnahselepas dibakar banduan. "Kerja baik pulih perlu dilakukan secepat mungkin," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Filipina mahu PBB beri senjata lengkap

Posted: 14 Jul 2013 08:56 AM PDT

Manila: Filipina meletakkan syarat kepada PBB untuk membolehkan lebih 300 tentera pengamannya terus ditempatkan di Bukit Golan.

Antara syarat dikenakan, Manila mahu tentera terbabit diberikan senjata tambahan untuk perlindungan mereka di wilayah dilanda konflik yang memisahkan Israel dengan Syria itu.


Pengunduran tentera Filipina akan memberi tamparan hebat kepada PBB apabila bilangannya kian berkurangan secara drastik sejak beberapa bulan lalu apabila beberapa negara turut berbuat demikian.

Ketua tentera pengaman PBB, Herve Ladsous memberitahu Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario, PBB akan berkerjasama "dengan semua pemegang saham bagi menyediakan apa yang diperlukan sejajar dengan perjanjian pengunduran." Pentadbiran Presiden Benigno Aquino tidak mengatakan dengan segera sama ada rayuan PBB itu mencukupi untuknya mengekalkan 342 tentera Filipina di Bukit Golan melebihi tarikh 11 Ogos apabila kontinjen askar Filipina itu digantikan dengan tentera baru. Benigno meminta tahap keselamatan ditingkatkan untuk tentera berkenaan, mengatakan mereka berdepan "misi berisiko" jika tahap keselamatan mereka di zon penampan yang kian bahaya itu tidak diperkukuh.


Austria menarik balik 377 tentera pengamannya daripada pasukan 911 bulan lalu meninggalkan hanya tentera Filipina dan India. PBB dan Amerika Syarikat meminta Filipina mengekalkan tenteranya dan memberi amaran "ketegangan maksimum" di Bukit Golan jika tentera Filipina berundur selepas sebilangan negara lain menarik balik tentera mereka, kata del Rosario.


Croatia mengundurkan tenteranya pada Mac lalu kerana bimbang menjadi sasaran dan tentera Jepun juga turut berundur. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Ramai terkejut polis suspek bunuh

Posted: 14 Jul 2013 08:56 AM PDT

Singapura: Orang ramai ternyata terkejut selepas mendapati suspek pembunuhan berganda di Kovan minggu lalu membabitkan anggota penguat kuasa undang-undang Singapura.

Identiti suspek didedahkan Menteri Dalam Negeri Teo Chee Hean dan Pesuruhjaya Polis Ng Joo Hee dalam sidang akhbar semalam. Kelmarin, polis Malaysia menyerahkan seorang anggota polis Singapura yang ditahan di Johor kerana disyaki terbabit dalam dua kes pembunuhan. Sarjan Iskandar Rahmat, 34, disyaki membunuh pemilik bengkel kereta Tan Boon Sin, 67, dan anak lelakinya Tan Chee Heong, 42.


Kata Ng, dia tidak dapat mengingat bilakah kali terakhir seorang anggota polis menjadi suspek kes pembunuhan. Siasatan menunjukkan polis yang bertugas di Bedok itu berdepan masalah kewangan dan disiplin. Iskandar diisytiharkan muflis Khamis lalu sehari selepas kes pembunuhan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Nenek dicekup bawa syabu

Posted: 14 Jul 2013 08:55 AM PDT

Jakarta: Seorang nenek berusia 68 tahun dari Malaysia ditahan polis Pinrang di Sulawesi Selatan kerana membawa 359 gram serbuk methamphetamine atau dikenali sebagai syabu.

Muhayyang Lana merancang untuk membawa dadah berkenaan ke kampung Rubae di daerah Wattang Sawitto, di Pinrang.


Timbalan Ketua Polis Pinrang, Hamid Andri semalam berkata, Muhayyang tiba dengan menaiki kapal KM Thalia di Pelabuhan Nusantara di Parepare, Sulawesi Selatan dan menuju ke Kampung Rubae dengan membonceng motosikal.

Hamid berkata, polis mengekori Muhayyang dari pelabuhan sebelum menahannya di Kampung Bili-Bili, daerah Duppa, di Pinrang.


"Kami menemui tujuh bungkusan serbuk methamphetamine seberat 350 gram dan wang tunai RM10,000 dalam beg suspek," katanya. Menurut suspek, dadah itu ingin dihantar kepada seorang penduduk di kampung berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Kandas dalam masjid

Posted: 14 Jul 2013 08:54 AM PDT

Amman: Pembangkang utama Syria yang disokong Barat semalam berkata, kira-kira 200 orang awam terperangkap dalam sebuah masjid di pinggir Damsyik ketika pertempuran di antara tentera kerajaan dan seteru mereka terus meningkat.

Menurut kenyataan dikeluarkan Gabungan Syria, PBB perlu menghantar "amaran keras" kepada tentera rejim Presiden Bashar al-Assad bagi menyelamatkan keadaan.


Gabungan pembangkang itu juga mahu PBB menuntut kerajaan "membebaskan serta-merta" orang awam yang berada di sebuah masjid di Qaboun. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada orang awam terbabit berada di situ untuk berlindung atau secara kebetulan sedang beribadah apabila pertempuran berlangsung.

"Jika tiada tindakan pantas diambil, ribuan orang awam di Qaboun mungkin menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai tentera Bashar kerana kereta perisai dan tentera elit sedang bergerak ke situ," kata pertubuhan itu.


Sementara itu aktivis di Syria berkata, serangan mortar melanda tiga daerah berasingan di Damsyik, membunuh seorang mangsa dan mencederakan beberapa yang lain.


Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, pengeboman itu dilakukan serentak dengan serangan tentera Syria ke atas kem pelarian Palestin di Yarmouk. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

No comments:

Post a Comment