Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


BAM cuba pikat Zulfadli

Posted: 28 Jul 2013 09:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baru Datuk Mohamad Norza Zakaria menaruh keazaman untuk meningkatkan lagi prestasi badminton negara, namun antara langkah pertama akan dilakukan beliau adalah membawa masuk pemain berbakat, Zulfadli Zulkifli ke dalam badan induk badminton negara itu.

"Saya akan bawa masuk Zulfadli dan mahu bakatnya berkembang dalam BAM. Dia seorang pemain yang amat bagus tapi nampaknya bergelut dalam proses transisi dari peringkat remaja ke senior," kata Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA).


BAM sebelum ini pernah cuba membawa masuk Zulfadli namun tidak berjaya, atas alasan bapa Zulfadli iaitu Zulkifli Sidek meletakkan banyak syarat jika BAM mahukan juara remaja dunia, Asia dan Komanwel 2011 itu.

"Bagi saya, untuk membawa masuk Zulfadli bukanlah satu masalah kerana dia seorang pemain yang baik. Malah dia sendiri tiada masalah untuk menyertai BAM, cuma mungkin saya perlu berbincang dengan bapa yang juga jurulatihnya, mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kebaikan semua pihak.


"Memang sayang jika bakat Zulfadli terbiar begitu saja. Bakatnya boleh berkembang lagi dan mampu pergi lebih jauh, apa lagi ketika kita mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei," kata Norza.


Norza berkata, selain menarik Zulfadli ke dalam BAM, badan induk badminton negara itu perlu lebih fokus kepada program pembangunan di peringkat akar umbi selain memilih pemain tanpa timbul isu "pilih bulu".

Foto

ZULFADLI antara bakat muda yang boleh digilap menjadi pengganti Datuk Lee Chong Wei.

"Kita mempunyai ramai pemain yang bermain badminton tapi perkembangan nampaknya statik. Jadi kami perlu mencari jalan dan cara baru untuk mengubahnya." Sekiranya Norza berjaya membawa masuk Zulfadli, ia bakal mengubah landskap badminton negara terutamanya selepas BAM kehilangan Misbun Ramdan Misbun yang keluar dan menyertai kelab kendalian bapanya, Misbun Sidek.


Berdasarkan maklumat dalaman BAM, sebelum ini mereka gagal mendapatkan Zulfadli kerana bapanya, Zulkifli mahu melatih sendiri anaknya dalam persatuan itu.

Malah pemain pelapis perseorangan yang dikendalikan Hendrawan ketika ini tinggal lima orang, iaitu Goh Soon Huat, Iskandar Zulkarnain, Nur Azryn Ayub, Loh Wei Sheng dan Goh Giap Chin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Gunners tawan Asia

Posted: 28 Jul 2013 09:34 AM PDT

Tokyo: Arsenal pulang dengan penuh yakin serta positif selepas pengurus Arsene Wenger menyifatkan anak buahnya berjaya melepasi jelajah pramusim di Asia yang dilabel sebagai sukar dan cukup mencabar.

Kelab utara London itu pulang kelmarin dan akan mengharungi beberapa lagi perlawanan persahabatan sebelum menentang Aston Villa pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris, 17 Ogos ini tetapi apa yang menjadi persoalan hingga kini, mereka masih belum mengikat mana-mana pemain bintang dalam usaha menguatkan pasukan.


"Kami sudah membuat persediaan awal," kata Wenger dalam laman web Arsenal sambil menambah mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri selepas mengharungi perlawanan sukar di Asia.

"Sekarang ia bergantung kepada berapa cepat kami akan kembali cergas kerana perlawanan di Asia cukup sukar," katanya.


Gunners menang semua empat perlawanan jelajah Asia dan walaupun berdepan sedikit kesukaran ketika menentang kelab Liga-J, Urawa Reds mereka tetap melakar kemenangan 2-1.


Wenger mengharungi kem latihan yang ketat di Jepun dan mengharungi dua perlawanan dalam cuaca mencecah 30 Selsius.

Pengurus Perancis itu pernah membawa anak buahnya mengharungi perlawanan dalam keadaan cuaca lebih panas ketika di Indonesia dan Vietnam.


Sepanjang jelajah dua minggu itu, Arsenal membelasah Pasukan Impian Indonesia 7-0 dan membenam skuad kebangsaan Vietnam 7-1.

Mereka menang 3-1 ke atas kelab Jepun Nagoya Grampus Eight, kelab yang pernah dibimbing Wenger selama 18 bulan sebelum berpindah ke Arsenal pada 1996.


"Kami mahukan perlawanan yang bermakna dan akhirnya kami berpeluang mengharunginya," kata Wenger. "Ia permulaan yang baik buat kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Kegembiraan Pellegrini terjejas

Posted: 28 Jul 2013 09:33 AM PDT

Hong Kong: Pemain pertahanan Matija Nastasic terpaksa diusung keluar ketika beraksi di Hong Kong kelmarin, sekali gus menjejaskan kegembiraan Manuel Pellegrini yang baru lagi bergelar pengurus Manchester City.

Rembatan voli Edin Dzeko dari luar kotak penalti pada minit kesembilan, iaitu gol kedua daripada dua perlawanan, cukup untuk melonjakkan City selaku juara ketika menang 1-0 ke atas Sunderland pada final Piala Barclays Asia.


Begitupun, dalam perlawanan itu, Dzeko gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila tendangannya sekadar melewati palang.

Pellegrini berkata, keadaan padang yang tidak begitu sempurna di Stadium Hong Kong, venue sama yang menyaksikan perlawanan membabitkan Manchester United Isnin lalu, sebagai punca kepada kecederaan buku lali Nastasic.


Perkara sama terus dibangkitkan selepas pemain antarabangsa Belgium, Jan Vertonghen yang beraksi bersama Spurs, mengalami kecederaan sama ketika mereka tewas kepada Sunderland 3-1 di venue sama Rabu lalu.


Pellegrini sekadar mampu menggigit bibir selepas melihat Nastasic mengalami kecederaan itu.

"Saya tidak tahu apa yang hendak diberitahu, doktor perlu memeriksanya apabila tiba di Manchester nanti, selepas itu baru kami dapat tahu keadaan sebenar kecederaannya," kata Pellegrini ketika ditanya mengenai sejauh mana buruknya kecederaan yang dialami Nastasic, 20. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Bayern tak panik

Posted: 28 Jul 2013 09:33 AM PDT

Berlin: Pengurus Bayern Munich Pep Guardiola berkata, kelab juara Eropah itu tidak perlu menekan butang panik walaupun tewas 2-4 di tangan Borussia Dortmund pada saingan Piala Super Jerman, pertembungan yang dianggap ulangan pertemuan Liga Juara-Juara Mei lalu.

Ia kekalahan pertama buat pengurus kelahiran Sepanyol itu sejak mengambil alih tugas daripada Jupp Heynckes. Tahun lalu, Heynckes membimbing Munich muncul pasukan pertama Jerman memenangi tiga kejuaraan, Eropah, liga dan piala tempatan.


Pemain tengah Dortmund Marco Reus menjaringkan gol keduanya pada minit ke-86 untuk melengkapkan kejayaan pasukannya pada perlawanan di Westfalenstadion itu.

Bayern beraksi tanpa pemain tengah utama Franck Ribery dan Bastian Schweinsteiger dan ketika saingan Bundedesliga akan bermula pada 9 Ogos ini, Guardiola berkata kelemahan pasukannya pasti dapat diatasi.


"Secara keseluruhannya, saya gembira dengan prestasi pasukan," kata bekas jurulatih Barcelona berusia 42 tahun itu.


"Kami beraksi baik dan apa yang berlaku ialah senario membabitkan individu. Walaupun kami tewas, saya tidak berasakan Dortmund lebih baik berbanding kami.

"Kami masih mempunyai baki 10 hari untuk mempersiapkan diri menghadapi Bundesliga serta memperbaiki kesilapan kecil yang sedang berlaku." Pemain sayap Belanda Arjen Robben yang menjaringkan gol kemenangan Bayern ketika menang 2-1 pada final Liga Juara-Juara, meledak dua gol pada pertemuan awal pagi semalam.


Walaupun tewas, kekalahan terbesar Bayern sejak tewas 5-2 kepada Dortmund pada final Piala Jerman 2012 di Berlin, kapten pasukan Philipp Lahm berkata tidak ada sebab untuk mereka gelabah.

"Kami masih dalam pramusim dan kami melepaskan gol pada saat yang buruk tetapi ia boleh dibaiki," kata Lahm. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Higuain sah sarung jersi Napoli

Posted: 28 Jul 2013 09:32 AM PDT

Madrid: Selepas berteka-teki selama beberapa minggu, penyerang Real Madrid Gonzalo Higuain akhirnya sah menjadi milik Napoli sekali gus menamatkan spekulasi yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Arsenal.

Nilai perpindahan pemain itu dipercayai meningkat beberapa kali ganda sekali gus menguntungkan Real yang membelinya pada harga 12 juta euro (RM51 juta) pada 2006.


Sejak berada di Real, aksi Higuain semakin menjadi dan dia disenaraikan antara penyerang terbaik Eropah selain mempunyai rekod jaringan cemerlang sebanyak 121 gol bersama kelab Sepanyol itu.

Begitupun, seperti biasa penyerang berusia 25 tahun itu tidak selama-lamanya disayangi di Santiago Bernabeu, sama ada oleh peminat atau presiden kelab itu sendiri, Florentino Perez.


Masalah yang dihadapi Higuain dia bukanlah antara pemain yang 'disayangi' Perez apatah lagi ketika presiden itu kembali mengambil alih kelab sejak 2009.


Perez pernah cuba mengetepikan Higuain dengan membawa masuk Karim Benzema tetapi akhirnya, impian itu tidak kesampaian sebaliknya gandingan kedua-dua pemain itu cukup menjadi.

Begitupun, kempen Liga Juara-Juara tidak menyebelahi Higuain apabila dia hanya menjaringkan lapan gol sepanjang 48 aksi berbanding 19 gol dalam 34 kemunculan buat Benzema.


Penyerang Argentina itu turut dipersalahkan selepas gagal menghasilkan gol ketika Real ditewaskan Lyon di kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara 2010 dan dia sekali lagi dicemuh peminat gara-gara gagal menjaringkan gol pada separuh akhir kedua menentang Borussia Dortmund. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Benzema buat Ancelotti lega

Posted: 28 Jul 2013 09:32 AM PDT

Gothenburg, Sweden: Carlo Ancelotti lega bukan kepalang apabila Real Madrid berjaya mengatasi bekas kelab bimbingannya Paris Saint-Germain 1-0 dalam satu perlawanan persahabatan pramusim, kelmarin.

Jurulatih Itali itu yang musim lalu membimbing PSG mengungguli gelaran pertama Liga Perancis sejak 1994, mengambil keputusan meninggalkan kelab itu untuk menyertai Madrid, melihat anak buahnya menguasai perlawanan sebelum berjaya menjaringkan gol kemenangan.


Bekas penyerang Lyon dan pemain antarabangsa Perancis, Karim Benzema meledak jaringan pada minit ke-23 selepas menerima hantaran pemain antarabangsa Jerman, Mesut Ozil dan rembatannya gagal dihalang penjaga gol PSG, Salvatore Sirigu.

Pada perlawanan yang disaksikan 45,000 penonton di stadium yang pernah dijadikan gelanggang perlawanan akhir Piala Dunia 1958 itu, penyerang Argentina, Ezequiel Lavezzi sepatutnya dapat menyamakan kedudukan enam minit sebelum rehat tetapi rembatannya tersasar.


Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo membuat beberapa percubaan tetapi berjaya diselamatkan Sirigu dan dia juga hampir membolehkan Angel Di Maria menjaringkan gol pada minit ke-52 tetapi cubaan pemain Argentina itu ditepis keluar.


"Kami seolah-olah hilang sesuatu malam ini dan kami masih bergelut dengan kecergasan. Memang sukar apabila menentang pasukan bertaraf dunia seperti Real Madrid tapi saya harap kami sudah bersedia untuk menentang Bordeaux pada saingan Piala Super Perancis minggu depan," kata Sirigu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Azlan bukan calang-calang

Posted: 28 Jul 2013 09:30 AM PDT

Azlan Shah Kamaruzaman membuktikan dia bukan calang-calang pelumba apabila dia dan rakan sepasukan, Yuki Takahashi mencatat keputusan memberangsangkan dalam saingan berprestij Perlumbaan Endurance Suzuka 8-Jam di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun semalam.

Walaupun terpaksa beraksi tanpa Makoto Tamada yang cedera selepas terbabas pada sesi kelayakan Jumaat lalu, duo Honda Team Asia itu tetap kompetitif untuk menamatkan perlumbaan di tempat keenam keseluruhan daripada 63 pasukan bertanding, sekali gus memperbaiki keputusan tahun lalu apabila mereka sekadar mencatat kedudukan ke-28.


Pasukan Honda Team Asia menamatkan perlumbaan sebanyak 211 pusingan dengan catatan masa keseluruhan lapan jam 1 minit 14.788 saat dengan sembilan hentian pit.

Menjuarai saingan kali ini pasukan Musashi RT Harc Pro yang diwakili Takumi Takahashi, Leon Haslam dan Michael Van der Mark dengan catatan 8'00:01.280s.


Menduduki tangga kedua dan ketiga pasukan Yoshimura Suzuki Racing Team dan Team Kagayama, masing-masing dengan 8'01:52.258s dan 8'01:53.276s "Tidak sangka kami dapat menghabiskan saingan 8-Jam kali ini antara 10 pasukan terbaik jadi saya amat bangga dan bersyukur. Bagaimanapun, kejayaan ini bukan milik saya seorang tapi ia usaha kolektif antara Tamada, Takahashi dan seluruh pasukan Honda Team Asia," jelas Azlan.


Bercakap mengenai perlumbaan semalam, pelumba berusia 29 tahun itu berkata: "Saingan 8-Jam kali ini jauh lebih mencabar daripada tahun lalu kerana ketiadaan Tamada bermakna kami terpaksa mengatur semula strategi pasukan dan memikul tanggungjawab lebih besar.

"Walaupun sedikit penat, kami fokus sepanjang perlumbaan.


"Masa sepusingan kami agak konsisten dan ini membenarkan kami merapatkan jurang dengan pelumba hadapan dan memintas mereka satu demi satu.

"Saya amat berpuas hati dengan kejayaan ini dan saya harap pada masa akan datang saya boleh menjadi pelumba Malaysia pertama menaiki podium perlumbaan 8-Jam."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Fauzan nekad buru kejuaraan

Posted: 28 Jul 2013 09:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba terbaik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi bertekad untuk kembali menakluk sirkit kedua Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Kellie's Castle di Perak pada 25 Ogos ini.

Selepas mempamerkan kecemerlangan pada aksi Jelajah Malaysia Jun lalu apabila membawa nama PDRM muncul sebagai pasukan terbaik Malaysia dan kedua terbaik Asia, Fauzan berharap rentak kejayaan itu akan terus dibawa ke kejohanan Mountain Bike Harian Metro.


Katanya, kejohanan itu sebagai sebahagian daripada latihannya sebelum menyertai temasya Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.

"Selepas gagal meraih mata pada sirkit pertama kerana masalah teknikal, saya harap penyertaan pada sirkit kedua di Perak akan membuahkan hasil.


"Pada sirkit pertama tempoh hari nasib tidak menyebelahi saya kerana basikal saya mengalami masalah justeru saya amat harap ia tidak akan berulang lagi di Perak kerana hanya kemenangan akan memastikan saya dapat mengumpul mata sekiranya mahu layak ke Grand Final," katanya.


Mengulas mengenai aksinya di Sukan SEA, Fauzan dijangka menyertai acara ujian masa individu dan berpasukan selain lebuh raya.

Ditanya sejauh mana keyakinannya untuk memberikan pingat kepada negara Fauzan berkata, dia akan berusaha memberikan kayuhan terbaik selepas berada di puncak prestasi di bawah bimbingan jurulatih Aminuddin Sulaiman.


Fauzan dijangka menyertai Jelajah China, September ini membabitkan 13 peringkat sebagai persediaan ke Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Atlet kebangsaan dominasi kejohanan

Posted: 28 Jul 2013 09:30 AM PDT

Port Dickson: Atlet kebangsaan mendominasi Kejohanan Perahu Layar Tunku Laxamana 2013 apabila mengungguli lima kategori dipertandingkan pada kejohanan tahunan itu di perairan Port Dickson berhampiran Kelab Perahu Layar Port Dickson (KPLPD), baru-baru ini.

Bagi kategori Laser Radial, Khairunneeta Mohd Afendy muncul juara apabila menewaskan pesaing terdekat, Mohd Akiyuddin Zaki manakala di tempat ketiga Nur Amirah Hamid.


Kategori International 420, Nicole Chan di tempat pertama menewaskan Mohd Amirul Muzamin Rudin diikuti Huang Jui Te dari Taiwan di tempat ketiga.

Zul Aqir Helmy Hasan mengungguli kategori Laser 4.7 apabila menewaskan Ahmad Khairulizzat Ahmad Hambali dari Melaka diikuti Mohd Aiman Mohd Shukri dari Pahang.


Sementara itu, keupayaan Mohd Khairunizam Mohd Affendy sukar digugat apabila menggungguli kategori Laser Standard selepas berjaya meninggalkan Bobi Mh Sanjaya dari Indonesia yang berada di tempat kedua manakala rakan senegaranya, Maznun Nayan di tempat ketiga.


Kategori Optimist meletakkan Zaifah Zairie Hardi Zainol di tempat pertama diikuti Muhamad Dandy Hasim dari Indonesia manakala di tempat kedua Zakaria Kasim dan ketiga Mohamad Efiezal Redza.

Bagi kelas Windsurfing pula, menyaksikan Zainal Misran berjaya menewaskan Eszaidi Elias dari Pahang manakala Mohd Dhiaruddin Rahman di tempat ketiga.


Setiausaha kejohanan, Abdul Halim Hassan berkata, kejohanan anjuran Persatuan Perahu Layar Negeri Sembilan (NESSA) bertujuan menguji keupayaan atlet sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan tempatan selepas Aidilfitri ini.

Katanya, selain itu, segelintir atlet kebangsaan juga turut terbabit dengan beberapa kejohanan di luar negara antaranya membabitkan Mohd Khairulnizam dan Khairunneeta.


"Kejohanan ini memberi peluang setiap atlet bersaing sesama sendiri bagi menguji prestasi masing-masing sekali gus mengenal pasti setiap kelemahan sebelum mengharungi cabaran lebih besar terutama di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Ada peningkatan

Posted: 28 Jul 2013 09:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Biarpun sekadar membawa pulang satu gangsa sekali gus mengulangi pencapaian lima tahun lalu di Rome, jurulatih terjun negara Yang Zhuliang tetap berpuas hati dengan pencapaian penerjun negara terutama Pandelela Rinong Pamg yang sudah berusaha keras untuk mempamerkan terjunan pingat.

Skuad terjun negara menamatkan saingan pada Kejohanan Dunia FINA 2013 di Barcelona, Sepanyol dengan satu pingat gangsa menerusi Pandelela dan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform terjun seirama.


Pencapaian itu mengulangi apa yang dilakarkan pada 2009 namun Zhuliang berkata, jika dilihat dari sudut positif, pencapaian itu lebih baik berbanding pencapaian dua tahun lalu di Shanghai apabila skuad terjun negara pulang tanpa sebarang pingat.

"Melihat dari aspek keseluruhan, semua penerjun kita mempamerkan peningkatan. Ini pencapaian terbaik jika dibandingkan 2009.


"Biarpun kita hanya memenangi gangsa, Pandelela berjaya mara ke final dalam acara 10m platfrom manakala saya berbangga dengan Chong Jun Hoong apabila dia turut layak ke akhir dalam acara 1m papan anjal," katanya yang memaklumkan pada 2011, Jun Hoong sekadar menduduki tempat ke-18 dan gagal melayakkan diri ke saingan akhir.


Selain itu penampilan Pandelela-Jun Hoong (tiga meter papan anjal seirama) dan Ooi Tze Liang-Ahmad Amsyar Azman (tiga meter papan anjal seirama) juga tidak mengecewakan apabila masing-masing menduduki tempat kelima dan keenam.

Zhuliang berkata, pencapaian itu juga membolehkan skuad terjun negara layak beraksi di Siri Kejohanan Dunia selepas berada dalam kelompok enam terbaik.


Mengulas mengenai pencapaian Pandelela selepas kegagalannya mengulangi pencapaian di Olimpik dalam acara 10m platform, Zhuliang berkata, beliau yakin dengan kemampuan atlet Sarawak itu cuma nasib tidak menyebelahinya.

"Saya optimis dia mampu melakukan lebih baik tapi mungkin kesilapan yang dilakukan tidak membolehkannya merangkul pingat dan saya berharap semua penerjun negara dapat belajar daripada pengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

No comments:

Post a Comment