Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Polis, sukarelawan ganti tentera

Posted: 11 Jul 2013 01:02 PM PDT

Bangkok: Sebagai sebahagian perjanjian damai dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN), polis dan sukarelawan pertahanan akan menggantikan tentera untuk mengawal keamanan di selatan Thai sepanjang Ramadan ini.

Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Paradorn Pattanathabutr yang juga ketua delegasi Thai dalam dialog keamanan bersama BRN berkata semalam, perkara itu dicadangkan kepada BRN pada hujung minggu.


Beliau menyangkal dakwaan beberapa pihak kononnya langkah itu menunjukkan kerajaan tunduk kepada tuntutan BRN yang sebelum ini mendesak Bangkok mengundurkan tentera dari wilayah berkenaan sebagai cara mengurangkan keganasan.

"Kami hanya mengurangkan rondaan dan pemeriksaan, kecuali berlaku kecemasan," katanya.


Menurutnya, menerusi langkah itu, anggota tentera akan dipindahkan dari kawasan perkampungan dan ditempatkan di berek tempatan.


Mereka bagaimanapun akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya berlaku kecemasan. Polis dan sukarelawan pertahanan akan mengambil alih kawalan keselamatan di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam, kata Paradorn.

Foto

TRAK tentera yang rosak teruk selepas terkena bom di Yala, semalam.

Pada masa sama, Paradon menafikan laporan bahawa BRN membatalkan perjanjian damai sepanjang Ramadan.


Menurutnya, kumpulan itu hanya menunda pengumuman dan kedua-dua belah pihak sudah bersetuju menunggu Malaysia mengumumkan perjanjian damai. Menjawab soalah mengenai penentang perjanjian damai yang meletakkan poster mengecam kerajaan, Paradorn mengakui tidak semua kumpulan pemisah bersetuju untuk mengadakan perdamaian. Sementara itu, hari pertama Ramadan berlalu dengan aman di wilayah berkenaan - Yala, Pattani dan Narathiwat. Namun, keadaan aman itu tercemar apabila lapan anggota tentera yang mengawal keselamatan kumpulan guru cedera dalam letupan bom di Daerah raman, Yala pagi semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Sorok senjata api dalam kemaluan

Posted: 11 Jul 2013 08:25 AM PDT

Oklahoma City: Seorang wanita dihukum penjara 25 tahun selepas disabitkan kesalahan menyorok senjata api dalam kemaluannya, selain dadah di dubur.

Selepas tuduhan dibicarakan, Christie Harris mengaku bersalah pada minggu lalu.


Keputusan penghakiman dibacakan kepada tertuduh semalam.

Christie didakwa menyorokkan methamphetamine - juga dikenali sebagai ice dengan niat mahu mengedarnya.


Dia juga dituduh menyembunyikan sepucuk pistol revolver dalam kemaluannya. Christie ditahan pada Mac lalu selepas seekor anjing pengesan membawa polis ke kereta dipandunya.


Hasil pemeriksaan, polis menemui beberapa jenis dadah dan sepucuk pistol separa automatik. Ketika dijel, Christie enggan melondehkan seluar dalamnya untuk membolehkan pegawai bertugas membuat pemeriksaan bahan larangan.

Dokumen mahkamah menyatakan, Christie memberitahu dia ketika itu datang bulan.


Bagaimanapun, Christie akhirnya mengalah dan ia membolehkan pegawai pemeriksa yang bertugas melihat "objek kayu dan logam" terjulur dari kemaluan suspek. Apabila diperiksa, objek itu ialah sepucuk pistol revolver. Pegawai bertugas turut menemui dua pek berisi sejumlah besar bahan kristal yang didapati kemudian sebagai ice. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Bayi disahkan mati 'hidup kembali'

Posted: 11 Jul 2013 08:24 AM PDT

Rio de Jeneiro: Seorang bayi yang disahkan mati tiba-tiba "kembali hidup" tiga jam selepas diletakkan di atas altar gereja hospital, lapor media semalam.

Sebelum itu, seorang jururawat meletakkan mayat Yasmin Gomes di dalam kotak dan ditinggalkan di atas altar sebuah hospital di Londrina di selatan Brazil.


Menurut media, jururawat tidak tergamak menghantar Yasmin ke rumah mayat. Bagaimanapun, ketika nenek Yasmin, Elza Silva, dan seorang petugas rumah mayat tiba untuk menuntut jenazah itu, mereka terkejut apabila kaki bayi terbabit bergerak dan sejurus kemudian, membuka matanya. Kata Elza, pada mulanya dia tidak mempercayai apa yang dilihat itu. "Kemudian kami melihat Yasmin bernafas.

"Kami berpelukan dan menjerit-jerit. Ia satu keajaiban," katanya. Rekod hospital menunjukkan Yasmin dilahirkan seperti bayi normal pada pagi Selasa di Hospital Lincoln Graca.


Bagaimanapun, dia berhenti bernafas beberapa saat kemudian. Cubaan doktor mengembalikan pernafasan Yasmin gagal dan disahkan mati pada jam 11 pagi.


Sijil kematian juga dikeluarkan pihak hospital. Ibu Yasmin, Jenifer da Silva Gomes, 22, berkata dia dimaklumkan mengenai 'kematian' Yasmin dan seorang jururawat yang memandikan bayi itu turut mengesahkannya. Doktor yang merawat dan menandatangani sijil mati Yasmin berkata, sesiapa saja boleh membuat spekulasi tetapi mereka yang ada di dalam bilik itu tahu apa yang berlaku. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Kelakuan Bieber makin teruk

Posted: 11 Jul 2013 08:23 AM PDT

Los Angeles: Imej Justin Bieber terus merudum ekoran tersebar klip video terbaru memaparkan dia kencing ke dalam bekas mop sebuah restoran.

Berdasarkan klip diperoleh laman sesawang TMZ, Bieber dilihat melakukan perbuatan tidak senonoh itu di sebuah restoran tidak dikenal pasti di New York awal minggu ini. Berdasarkan reaksinya, Bieber dipercayai tidak menganggap tindakan itu boleh menjadi isu, malah dia ketawa sepanjang aksinya dirakam.


Di akhir klip itu, Bieber menyembur sekeping gambar bekas Presiden AS, Bill Clinton dengan cecair pembersih dan mencarut: "F**k Bill Clinton!" Apabila dihubungi media, wakil Bieber enggan memberi komen terhadap aksi berkenaan. Sejak akhir-akhir ini, penyanyi pop berusia 19 tahun itu jarang menjadi perhatian kerana karya muzik berbanding kerenah yang dilakukannya.

Antaranya, keterlanjuran menulis di Twitter, mengambil dadah dalam bas serta mencatat mesej tidak sensitif dalam buku tetamu di sebuah muzium. Paling baru, Bieber dilarang menggunakan kemudahan sukan tertutup di Las Vegas selepas gagal membayar bil bernilai AS$1,600 (RM5,068) untuk diri sendiri dan rakannya.


Bieber cuba mempertahankan dirinya dengan menggunakan alasan kononnya dia masih muda dan sering melakukan kesilapan. Ibunya pula menganggap Bieber anak yang baik dan cuma perlukan sedikit perubahan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Mangsa kemalangan kereta api dianggap maut

Posted: 11 Jul 2013 08:22 AM PDT

Lac-Megantic (Quebec): Semua mangsa yang hilang dalam kemalangan kereta api membawa minyak di Quebec minggu lalu dianggap terbunuh.

Pegawai polis Quebec, Michel Forget berkata, maklumat berkenaan sudah disampaikan kepada waris dan keluarga mangsa berkenaan selepas bertemu mereka semalam.


"Ia adalah detik sangat emosional," katanya.

Sumber pihak berkuasa berkata, 20 mayat ditemui di bandar kecil yang terbakar akibat gerabak kereta api itu tergelincir hujung minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

300 kediaman musnah dalam kebakaran

Posted: 11 Jul 2013 08:20 AM PDT

Manila: Kira-kira 300 kediaman musnah dalam kebakaran yang melanda kawasan setinggan di bandar raya ini, semalam.

Tiada kemalangan jiwa dilapor berlaku tetapi kira-kira 1,000 orang hilang tempat tinggal.

"Ramai yang tinggal sehelai sepinggang," kata jurucakap bomba tempatan.

Pihak berkuasa berkata, lebih 1,000 penduduk hbertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.


Kebanyakan kediaman itu dibuat daripada kayu sekerap dan plastik.


Kebakaran selama dua jam itu diburukkan lagi dengan letupan sebuah tong gas.

Seorang penyiasat berkata, kebakaran itu mungkin berpunca daripada litar pintas.

Kira-kira 35 peratus daripada 14 juta penduduk di Manila tinggal di kawasan setinggan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Polis Indonesia berjaga-jaga

Posted: 11 Jul 2013 08:19 AM PDT

Jakarta: Polis Indonesia semalam meningkatkan langkah berjaga-jaga selepas ancaman pemimpin militan Indonesia Timur, Santoso atau Abu Wardah untuk melancarkan lebih banyak serangan ke atas pasukan keselamatan, khususnya unit elit polis, Densus 88.

Santoso, menerusi video yang dimuat naik ke YouTube Ahad lalu tetapi hanya disedari media kelmarin, mengajak umat Islam Poso di Sulawesi Tengah melancarkan serangan ke atas pasukan berkenaan.


Pengarah Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Indonesia, Ronny F Sompie berkata, antara langkah pertama yang dilakukan pihaknya ialah menyekat video berkenaan l bagi memastikan rakaman itu tidak boleh ditonton lagi.

"Kami turut meminta penduduk Poso dan rakyat Indonesia supaya tidak terpengaruh dengan ucapan Santoso," kata Ronny. Menurutnya, Santoso memang dikehendaki oleh pihak berkuasa Indonesia serta mengaku polis berdepan dengan kesukaran untuk menangkapnya.


Dalam video berjudul 'Risalah Untuk Umat Islam Poso, Santoso turut menggelar anggota Densus sebagai 'syaitan sebenar.' - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Rohingya cari bantuan senjata, wang tunai

Posted: 11 Jul 2013 08:18 AM PDT

Jakarta: Dua pemimpin Rohingya berada di Indonesia baru-baru ini untuk berunding dengan kumpulan pelampau bagi mendapatkan bantuan dan sokongan.

Mereka yang dikatakan mengetuai kumpulan militan Rohingya di Myanmar berhasrat untuk mendapatkan pejuang, senjata api, wang tunai dan jurulatih membuat bom. Mereka yang terdiri daripada ulama, Abu Arif dan komander, Abu Shafiyah , mempunyai hubungan dengan Pertubuhan Solidariti Rohingya (RSO). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

14 buka puasa ditembak mati

Posted: 11 Jul 2013 08:17 AM PDT

Baghdad: Sekumpulan lelaki bersenjata merempuh pos pemeriksaan tentera Iraq dan melepaskan tembakan ke arah sebuah treler yang dipenuhi anggota sedang berbuka puasa, menyebabkan 14 orang maut di wilayah Anbar, kata pihak berkuasa semalam.

Ia adalah serangan terkini militan yang setakat ini membunuh lebih 2,000 orang sejak awal April lalu.


Pegawai daerah Barwana, Meyasser Abdul Mohsin berkata lelaki bersenjata itu menyerang pos kawalan di daerah itu yang terletak di seberang Sungai Furat dari bandar Haditha, kira-kira 220 kilometer di barat laut Baghdad. Katanya, penyerang menembak treler digunakan polis khas syarikat petroleum bagi melindungi saluran paip berhampiran.

"Tiga tentera maut di pos kawalan berkenaan, manakala selebihnya anggota polis yang sedang berbuka," katanya. Setakat ini belum ada mana-mana pihak tampil mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

Terus protes aman

Posted: 11 Jul 2013 08:16 AM PDT

Kaherah: Ikhwanul Muslimin berkata, mereka akan meneruskan protes aman yang kini sedang berlangsung bagi membantah rampasan kuasa tentera yang menyebabkan Mohamed Mursi disingkirkan minggu lalu.

Dalam kenyataan semalam, Ikhwanul Muslimin berkata, mereka tetap menganggap tindakan tentera mengetepikan presiden yang dilantik secara demokratik itu sebagai rampasan kuasa.


"Kami tidak akan mengubah pendirian," kata pertubuhan berkenaan.

Kenyataan sama juga menyebut, Ikhwanul Muslimin mengecam cubaan membunuh pegawai kanan tentera, Maj Jen Ahmed Wasfi di Sinai baru-baru ini. Kenyataan berkenaan dibuat sehari selepas pihak berkuasa mengeluarkan arahan menangkap 10 pemimpin kanan pertubuhan terbabit, termasuk mursyidul amnya, Mohamed Badie. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11

No comments:

Post a Comment