Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jamin lawan berstatus A!

Posted: 11 Jul 2013 11:29 AM PDT

Shah Alam: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan tarikh perlawanan antarabangsa yang diberikan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan digunakan skuad negara untuk mengadakan perlawanan berstatus A dan mengingatkan sebarang keputusan yang dicatatkan mustahak.

Itu komitmen Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai hala tuju skuad negara yang sering kali dilihat mengadakan pertemuan menentang kelab berbanding pasukan kebangsaan sehingga mencetuskan rasa kurang senang di kalangan peminat tempatan.


"Apa yang berlaku (sebelum ini) kita jadikan sebagai pengalaman. Namun saya ingin menjelaskan saya sudah mengingatkan jabatan tertentu (sekretariat FAM) supaya memulakan persiapan bagi mengisi kalendar tahun depan dengan memberikan tawaran kepada mana-mana negara terutamanya di kalangan negara Asia Tenggara dan Asia selain Afrika serta Eropah bagi menentang skuad kebangsaan. Tidak kiri siapa jurulatih atau pengurus ketika itu.

"Ingin saya tegaskan kami di FAM terutamanya Jawatankuasa Pertandingan Tempatan akan memberi ruang kepada skuad negara untuk memenuhi kalendar FIFA dengan aksi antarabangsa.


Skuad negara sebelum ini dilihat gagal memanfaatkan sepenuhnya tarikh perlawanan untuk yang diberikan FIFA sekali gus mengundang kepada kedudukan ranking yang rendah dengan tiada peningkatan ketara dapat disaksikan.


"Ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Ranking kita di kedudukan ke-159 dengan mungkin terdapat pasukan yang ingin menentang pasukan yang lebih baik kedudukannya. Namun ia bukan persoalannya kerana kita akan terus mencuba. Untuk baki tahun ini saya melihat terdapat beberapa ruang untuk mengadakan aksi persahabatan dan usaha untuk mendapatkan pasukan akan diusahakan," katanya.

Foto

HAMIDIN (kiri), Subahan (dua dari kiri) meninjau kualiti rumput untuk perlawanan persahabatan menentang Chelsea.

Media kelmarin melaporkan Myanmar, Laos dan Kemboja menolak hasrat skuad negara untuk mengadakan aksi persahabatan sekali gus menyaksikan kelab Thailand, Chonburi FC menjadi galang ganti dan sepanjang sesi latihan pusat selama sebulan kali ini, belum ada pengumuman rasmi dilakukan FAM untuk menentang mana-mana skuad negara lain.


Selain menentang dua kelab terbaik dunia, Chelsea FC dan FC Barcelona, skuad kebangsaan dijadualkan terbang ke Jepun bagi mengadakan tiga perlawanan persahabatan menentang kelab di negara berkenaan selepas sebelum ini mengadakan sesi latihan menentang tiga kelab Australia sehingga mencetuskan kontroversi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

Strategi Aminuddin

Posted: 11 Jul 2013 11:22 AM PDT

Kuala Lumpur: Kegagalan membawa pulang pingat emas dalam acara lebuh raya pada tiga temasya Sukan SEA berturut-turut membuatkan jurulatih lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman perlu merancang strategi baru bagi menaikkan kembali maruah pelumba negara.

Biarpun hasrat untuk membawa pelumba ke Kunming, China dan Naypyidaw, Myanmar tidak mendapat pelepasan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Aminuddin mempunyai rancangan tersendiri dalam usaha membentuk barisan pelumba terkuat.


Katanya, sempena Ramadan semua pelumba yang berada di bawah kendaliannya akan berkayuh sekitar Kuala Lumpur dengan kawalan ketat keselamatan melalui kawasan yang cerah seperti Putrajaya bagi menjamin keselamatan pelumba. "Laluan di Sukan SEA agak sukar dan saya perlu mencari pelumba berkualiti bagi disenaraikan. Jadi mereka perlu bersedia menjalani latihan keras bermula dari sekarang," katanya yang tidak pasti mengapa hasrat untuk menjalani latihan luar tidak mendapat pelepasan PKBM.

Berdasarkan barisan pelumba sedia ada, Aminuddin menaruh keyakinan tinggi untuk skuad negara membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat iaitu dalam acara lebuh raya dan juga ujian masa berpasukan selepas acara trek tidak dipertandingkan.


Mengulas mengenai laluan di Naypyitaw, Aminuddin berkata ia lebih memihak kepada pelumba bukit dan biarpun skuad negara meraih satu emas dan satu perak ketika Kejohanan Pra Sukan SEA Mei lalu, itu bukan jaminan kerana laluannya sebenarnya berbeza.


Katanya, hingga kini seramai lapan pelumba disenaraikan dalam skuad kebangsaan negara termasuk tiga pelumba basikal bukit, Shahrin Amir, Elmi Jumari dan Mohd Aim Mohd Fauzi (gambar).

"Saya akan mengadakan satu pemilihan awal membabitkan kesemua pelumba negara ini pada awal Oktober. Pemilihan ini terbuka kepada semua pelumba dan ia perlu dilakukan dengan teliti kerana hanya lapan pelumba boleh disenaraikan untuk ketiga-tiga acara, lebuh raya, ujian masa berpasukan dan ujian masa individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

'Jangan tunggu ihsan'

Posted: 11 Jul 2013 11:19 AM PDT

Kuala Lumpur: "Usah mengharap ihsan menunggu untuk disenaraikan dalam baki slot ke Piala Dunia."

Demikian teguran bekas pemain hoki negara Mohamad Abdul Hadi kepada skuad negara yang gagal merebut tiga tiket ditawarkan pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru minggu lalu.


Meskipun mengikut perkiraan matematik, skuad negara berpeluang cerah beraksi di Piala Dunia 2014 di Belanda berdasarkan kepada pencapaian tempat kelima minggu lalu, Mohamad ingin mengingatkan semua itu belum pasti kerana segala-galanya bergantung kepada keputusan kejohanan di lima benua selepas ini.

Bagi bekas kapten skuad negara itu, jalan paling jelas untuk skuad negara mengesahkan tiket ke pentas tertinggi itu dengan menjuarai saingan Piala Asia di Ipoh bermula 24 Ogos.


"Memang kita ada peluang terpilih beraksi di Piala Dunia tapi semua itu masih tak pasti lagi. Orang boleh kata 80 atau 90 peratus sudah layak ke Piala Dunia, tapi saya tidak percaya semua itu.


"Sebab saya sendiri pernah merasai bagaimana kecewanya gagal beraksi di Piala Dunia sebanyak dua kali. Kesnya sama, Malaysia ketika itu berada dalam senarai 'menunggu' tapi akhirnya slot itu tidak diberi kepada kita.

"Sebab itu saya tidak mahu kita terlalu mengharap untuk layak ke Piala Dunia menerusi 'slot menunggu' sebab apa saja boleh berlaku.


"Lebih baik skuad negara beri tumpuan kepada Piala Asia dan cuba memenanginya," katanya.

Bagaimanapun Mohamad tetap berbangga dengan pencapaian skuad negara di Johor Bahru meskipun gagal memenuhi sasaran untuk layak ke Piala Dunia secara merit.


"Kita memang gagal, itu perlu diakui. Kecuali tewas besar dengan Jerman, sekurang-kurangnya ada pencapaian positif yang skuad negara pamerkan iaitu kita sudah tidak berdepan masalah bersaing dengan pasukan hebat seperti Pakistan. "Saya tetap yakin kita akan layak ke Piala Dunia tapi kalau boleh seperti saya katakan tadi biarlah layak secara merit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

Peminat Yob desak PAFA kekal Rangel

Posted: 11 Jul 2013 09:20 AM PDT

Ipoh: Peminat Perak mendesak Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mendapatkan khidmat ayam tambatan Seladang, Paulo Rangel bagi musim hadapan.

Pengurus pasukan Khairul Azwan Harun berkata, beliau menerima banyak desakan peminat supaya memastikan penyerang keturunan Brazil yang dipinjam dari Kelab Muang Thong United, Thailand itu kekal di Ipoh.


"Ramai yang mahu PAFA ambil terus Rangel dari kelab lamanya itu. Mereka berpendapat dia aset pasukan.

"Begitupun ia tidak semudah dilakukan kerana dia masih milik Muang Thong United. Kita kena adakan rundingan dengan pasukan itu terlebaih dahulu," katanya.


Rangel, 28 yang diambil ketika tingkap perpindahan dibuka pada April lalu menggantikan Karim Rouani pantas menjadi sanjungan peminat tempatan apabila berjaya menyumbangkan sembilan gol dalam 10 penampilan untuk Perak dalam Liga Super lalu.


Malah kejayaan paling dramatik pemain itu apabila menyumbang hatrik ketika Perak menumpaskan pasukan berbelanja besar, Johor Darul Takzim (DT) 3-0 di pusingan kedua Liga Super.

Rangel tampak gembira dan selesa berada di Ipoh terutama dengan kehadiran seorang lagi pemain Brazil, Rafael Souza Silva Novais yang turut mencuri hati penyokong Seladang.


"Dia mengakui seronok berada di sini dan ingin kekal bersama Perak. Ini bonus buat Perak dalam usaha mendapatkan khidmat pemain itu," kata Azwan lagi.

Sementara itu, Perak menjalani latihan sebelah malam sepanjang Ramadan dalam persiapan menghadapi Piala Malaysia bermula 17 Ogos nanti.


Azwan yang juga Timbalan Presiden PAFA berharap Seladang mampu meneruskan kesinambungan seperti dalam baki empat perlawanana liga lalu yng menyaksikan perak mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan tewas sekali.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

Pasukan buta sasar final

Posted: 11 Jul 2013 09:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad bola sepak orang buta negara menyasarkan mara ke final Kejohanan Bola Sepak Terbuka Thailand di Bangkok dari 18 hingga 23 Ogos.

Ketua jurulatih, Sunny Shalesh berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa anak buahnya, selain kejayaan mereka menduduki tempat keempat kejohanan sama pada edisi 2012.


"Peningkatan dari segi pencapaian yang ditunjukkan pemain dari setahun ke setahun bermula 2009 memberi keyakinan kepada saya mereka mampu layak ke perlawanan akhir di Bangkok," katanya.

Sunny berkata dengan memiliki disiplin serta kecekalan tinggi berbanding pemain bola sepak normal, beliau percaya anak buahnya mampu pergi lebih jauh di peringkat antarabangsa.


Katanya, kejohanan di Bangkok itu penting sebagai medan pemanas badan kepada pasukannya sebelum berdepan saingan lebih besar pada Sukan Para Asean di Myanmar pada Disember ini, Sukan Para Asia 2014 di Korea Selatan dan 'International Blind Sports Federation World Games' di Korea pada 2015.


Dalam kenyataan dikeluarkan Columbia Asia, Pengerusi Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia Dr S Radhakrishnan berkata sukan bola sepak orang buta berkembang sebagai sukan elit dan kompetitif di Malaysia sejak 2009 walaupun dana merupakan cabaran bagi pembangunan sukan orang buta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia Kelvin Tan berkata: "Sesetengah daripada kita tidak dapat membayangkan bagaimana mungkin seseorang tanpa deria penglihatan bermain bola sepak - bagaimana seseorang itu tahu ke arah mana nak lari atau ke arah mana untuk menghantar bola. Ini sudah pasti sesuatu yang mengagumkan." Bagi membangunkan sukan untuk orang buta di Malaysia, mereka menyambut baik langkah Columbia Asia Group of Hospitals menganjurkan kejohanan futsal amal Columbia Asia 2013 bagi membantu Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia baru-baru ini.


Kejohanan itu berakhir dengan acara kemuncak di Sports Planet, Subang Jaya. Sejumlah 276 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan sepanjang bulan lalu dan setiap pasukan dikenakan yuran RM120. Daripada jumlah itu, RM20 disalurkan kepada Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia manakala RM10 lagi ditambah Columbia Asia. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

Perlu kerja lebih keras: Hamidin

Posted: 11 Jul 2013 09:15 AM PDT

Shah Alam: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui perlu bekerja dengan lebih keras bagi meningkatkan keupayaan sekretariat badan induk bola sepak negara itu selain mengeratkan hubungan dengan pihak lain terutamanya membabitkan ahli gabungan.

"Ini bukan perkara mudah namun ia dalam bidang kuasa saya untuk menambah baiknya. Jadi saya perlu bekerja keras kerana ia memberi kesan kepada keseluruhan pentadbiran FAM," katanya yang baru dilantik mengisi jawatan berkenaan pada awal bulan ini.


Harapan kepada Hamidin untuk mengeratkan hubungan dengan ahli gabungan turut disuarakan bekas Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad yang mengakui ia antara perkara utama yang perlu dilakukan.

Hubungan ahli gabungan terutamanya dengan sekretariat FAM dilihat tegang dengan penggantungan tiga presiden persatuan peringkat negeri - Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang didapati bersalah melanggar Artikel 88.


Malah tindakan beberapa persatuan negeri yang membayar wang denda menggunakan duit syiling dilihat secara tanda protes terhadap badan induk bola sepak negara itu.


"Dalam sebarang keadaan kita perlu mempamerkan peningkatan. Kalau dulu sudah bagus, kita perlu melangkah ke satu tahap yang lebih baik lagi," katanya yang juga bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Ditanya mengenai penggantinya di FAS, Hamidin berkata satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif khas yang bakal dipengerusikan Presiden FAS Tan Sri Khalid Ibrahim akan diadakan hari ini bagi membincangkan perkara berkenaan.


Empat calon dilaporkan menjadi pilihan menggantikan Hamidin iaitu exco FAS Rosman Mohd Ibrahim, dua Timbalan Setiausaha FAS Hamdan Hashim dan Raja Restam Azhar Raja Jaafar selain bekas pengurus Selangor Zakaria Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

FAM timbang bonus jika tumpas Chelsea

Posted: 11 Jul 2013 09:15 AM PDT

Shah Alam:Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu terburu-buru menjanjikan ganjaran kepada barisan pemain negara seandainya mereka mampu menewaskan Chelsea FC dalam aksi persahabatan yang dijadualkan berlangsung pada Ahad depan.

Bagaimanapun Naib Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal tidak menolak kemungkinan itu kerana badan induk bola sepak negara sentiasa menjaga kebajikan pemain.


"Sebenarnya peluang pemain tempatan beraksi bersama idola mereka sudah boleh dianggap sebagai ganjaran. Bagaimanapun seandainya ada ganjaran, ia mungkin dibincangkan bersama pengurusan tertinggi FAM. Kami sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk menjaga pemain negara dan Presiden FAM sentiasa bermurah hati dari aspek kebajikan pemain," katanya selepas menghadiri mesyuarat mengenai perlawanan berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun Subahan yang juga pengurus skuad negara turut mengalu-alukan seandainya terdapat syarikat korporat yang mahu memberikan sumbangan terus kepada pemain bagi menaikkan semangat mereka untuk bermain bersungguh-sungguh bagi menewaskan gergasi Liga Perdana Inggeris itu.


"Namun yang penting, memanfaatkan peluang beraksi dengan kelab ternama ini kerana ia bukan satu perkara yang mudah untuk menentang pemain terbaik dunia.


"Kita sudah lama (di bawah kendalian ketua jurulatih Datuk K Rajagobal) beraksi menentang kelab ternama dunia namun tidak pernah menang. Malah aksi menentang Chelsea bukan perkara mudah dengan kali terakhir mereka hadir di Malaysia dua tahun lalu, menentang skuad kendalian jurulatih Ong Kim Swee (Harimau Muda A)," katanya.

Chelsea memenangi pertemuan pada 2011 itu menerusi jaringan Didier Drogba untuk menang tipis 1-0 manakala aksi 2008 menentang pilihan Malaysia di Stadium Shah Alam menyaksikan Blues menang 2-0. Bagaimanapun usaha untuk skuad negara mencipta kejutan tampak sukar apabila Pengarah Urusan ProEvents International San Boon Wah menjelaskan Chelsea yang dikendalikan Jose Mourinho dilihat lebih serius dalam kunjungan ke Kuala Lumpur kali ini. Mereka dijadualkan tiba Khamis depan.


"Mereka akan berada di sini enam hari dengan lebih banyak sesi latihan akan dijalankan kerana ini juga antara persiapan pra-musim Chelsea," katanya sambil mengumumkan peminat yang mempunyai tiket perlawanan berkenaan berpeluang menyaksikan sesi latihan rasmi Chelsea, dijadualkan berlangsung Sabtu depan.

Sementara itu, Subahan turut menjelaskan kunjungan ke Jepun selepas aksi menentang Chelsea bermatlamat memberikan pendedahan terbaik selain membuka ruang kepada pemain mempamerkan bakat mereka kepada jurulatih di negara Matahari Terbit itu kerana baginya Malaysia perlu menghantar pemain beraksi di luar negara seandainya mahu memberikan impak positif kepada skuad kebangsaan.


Skuad negara akan menentang dua kelab bahagian satu Liga Jepun (J-League) iaitu Shimizu S.Pulse (25 Julai), Shonan Bellmare (27 Julai) dan kelab bahagian dua J-League, Tokyo Verdy (31 Julai) sebelum kembali ke tanah air menentang FC Barcelona di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

Ujian getir Harimau Muda

Posted: 11 Jul 2013 09:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Ujian cukup getir menanti skuad Harimau Muda A apabila berdepan Jepun di suku akhir Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di Kazan, Russia hari ini dengan pengendali negara Ong Kim Swee perlu mencari strategi terbaik untuk memerangkap pasukan pilihan kejohanan itu.

Berdasarkan reputasi selaku juara Kumpulan B, Jepun yang menang ke atas Turki 4-0, Ukraine (4-1) dan Uruguay (1-0) tampak cukup hebat kali ini, namun itu tidak bermakna skuad negara yang dibarisi pemain bawah 23 tahun ini mahu menyerah awal.


Biarpun hanya memiliki 13 pemain berikutan masalah kecederaan dan penggantungan pemain, Kim Swee berharap semua pemain mampu memberikan tentangan sengit ke atas Jepun.

"Bagi saya menentang Jepun satu cabaran getir. Saya sempat menyaksikan Jepun beraksi semalam (kelmarin) dan ternyata mereka sama seperti skuad kebangsaan Jepun yang kita kenali, mereka bermain dengan corak permainan pantas.


"Saya akan cuba merancang strategi terbaik untuk memerangkap Jepun dan mungkin menerusi serangan balas pantas. Saya berharap pemain saya dapat memberikan komitmen jitu kerana ini pendedahan terbaik untuk mereka menentang pasukan Jepun," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Kazan semalam.


Malaysia layak ke suku akhir selepas menduduki tangga kedua Kumpulan C di belakang Great Britain dan pencapaian itu menjadi rekod terbaik sepanjang penyertaan setakat ini.

Kim Swee sedar ada pihak yang mempertikaikan tahap kejohanan ini yang hanya membabitkan pemain universiti sedangkan Malaysia diwakili skuad bawah 23 tahun negara.


"Walaupun ini pemain Universiti, tahapnya cukup tinggi, jika mereka datang sendiri melihat perlawanan di sini, mereka akan tahu. Bagi saya ini kejohanan yang baik untuk pemain menimba pengalaman dan meningkatkan prestasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

Badminton genggam 3 gangsa

Posted: 11 Jul 2013 09:14 AM PDT

Kazan: Skuad badminton mengakhiri pencarian pingat pertama Malaysia pada Sukan Universiti Dunia ke-27 (Universiade 2013) apabila menyumbang tiga pingat gangsa pada saingan hari kelima semalam.

Tiga pingat itu diraih perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain, beregu lelaki Loh Wei Sheng/Jagdish Singh dan beregu wanita, Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean.


Dalam perlawanan separuh akhir di Tennis Academy, ketiga-tiga wakil negara terpaksa berpuas hati dengan pencapaian gangsa selepas gagal ke final.

Iskandar kalah kepada pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 9-21, 11-21 manakala Loh/Jagdish tunduk kepada beregu nombor satu dunia Lee Yongdae/Ko Sungyun dari Korea Selatan 14-21, 8-21.


Mei Kuan/Meng Yean turut mengalami nasib sama apabila diketepikan satu lagi pasangan Korea Selatan, Chang Ye Na/Kim So Young 17-21, 9-21.


Pada kejohanan itu mereka yang tewas di separuh akhir berkongsi gangsa. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

Skuad hoki bangkit benam Itali

Posted: 11 Jul 2013 09:13 AM PDT

Kazan, Russia: Skuad hoki negara kembali menghidupkan peluang selepas mengenepikan Itali 4-1 pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) ke-27 yang berlangsung, semalam.

Namun pasukan lawan yang terlebih membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Andrea Corsi.


Skuad negara kemudiannya bangkit mengikat kedudukan 1-1 menerusi pukulan sudut penalti oleh kapten Muhammad Razie Abdul Rahim (gambar) pada minit ke-17.

Di babak kedua, pemain negara Dangerous Lee menjaringkan gol kedua buat Malaysia, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-37.


Malaysia terus memberi tekanan kepada Itali apabila Dangerous menghasilkan satu lagi gol pada minit ke-44.


Muhammad Razie memberi kedudukan selesa kepada pasukan negara untuk jaringan keempat menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-55.

Malaysia dijadual menentang Afrika Selatan esok.


Pada Ahad lalu, Malaysia menang 7-1 ke atas Poland, tapi kalah 1-4 kepada tuan rumah pada perlawanan kedua mereka kelmarin. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

No comments:

Post a Comment