Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dapat hidayah selang 30 minit

Posted: 19 Jul 2013 12:32 PM PDT

Shah Alam: Seorang wanita penganut agama Kristian akhirnya terbuka hati untuk mengucap dua kalimah syahadah selepas sekian lama memendam perasaan berbuat demikian hanya selepas 30 minit menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) rakan yang memaklumkan dia sudah memeluk Islam.

Beneda Dayabil Bontuyan, 41, dari Filipina berkata, niatnya untuk memeluk Islam dipendam sejak 2006, tetapi belum bersedia menukar agama sehinggalah jiwanya berasa kosong sejurus mengetahui rakannya itu sudah mengucap dua kalimah syahadah.


Katanya, ketika menerima SMS daripada rakannya kelmarin, dia juga ingin segera bergelar seorang Muslim.

"Ketika di Dubai pada 2006, saya pernah pergi ke sebuah masjid di situ untuk mengucapkan dua kalimah syahadah, tetapi saya tangguhkan.


"Baru semalam, hati saya untuk bergelar hamba Allah semakin kuat apabila namanya sering bermain dibenak fikiran saya dan terasa jiwa seperti kosong," katanya ketika ditemui pemberita selepas melafazkan dua kalimah syahadah di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.


Beneda diislamkan Imam Besar Masjid Negeri Ustaz Ahmad Mustaffa Mohd Siddin.

Foto

BENEDA (tengah) dipeluk jemaah wanita sebaik mengucap dua kalimah syahadah, semalam.

Beneda berkata, dia memilih Nurul Hidayah sebagai nama Islamnya kerana bersesuaian dengan maksudnya iaitu cahaya petunjuk. "Saya anggap ini petunjuk Allah. Tidak pernah saya rasa setenang ini tatkala menyebut nama sang pencinta alam, Allah," katanya.


Sementara itu, Jurucakap Islamic Outreach ABIM Khalid Abdul Samad berkata, seramai 40 sukarelawan akan menjadi tenaga pengajar melalui konsep mentor mentee.

Katanya, pengetahuan dan pengamalan asas mengenai Islam seperti fardu ain, mandi wajib, berwuduk dan menunaikan solat lima waktu akan diberikan penekanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

Jual tapak bazar RM60,000

Posted: 19 Jul 2013 12:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Sebuah persatuan peniaga yang mendapat tapak bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) mendapat keuntungan mencecah sehingga RM60,000 selepas menjual tapak berkenaan kepada peniaga warga asing.

Persatuan itu didakwa berbuat demikian kerana mahu keuntungan berganda dengan meminggirkan peniaga Bumiputera.


Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah berkata, persatuan berkenaan antara lima persatuan peniaga yang dibenarkan mendapat tapak di bazar Ramadan itu sekurang-kurangnya 10 tapak di Jalan TAR.

"Persatuan itu sanggup menjual tapak dengan harga RM6,000 setiap satu kepada warga asing untuk mendapat keuntungan dengan meminggirkan peniaga asal.


"Perbuatan persatuan itu menyebabkan peniaga tempatan tidak dapat berniaga," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.


Ridzuan juga mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyenarai hitamkan persatuan itu supaya tidak lagi dibenarkan memiliki tapak bazar pada masa depan.

Menurutnya, perbuatan itu menyebabkan peniaga asing semakin membanjiri kawasan itu.


"Kita minta Jabatan Imigresen turut turun padang membuat pemantauan dan operasi kerana ramai peniaga warga asing berniaga di kawasan bazar.

"Perkara ini membimbangkan sekiranya jumlah mereka semakin bertambah pada masa depan hingga boleh meminggirkan peniaga tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

Penuntut tertekan tiada kawan terjun tingkat 5

Posted: 19 Jul 2013 12:24 PM PDT

Kajang: Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Sungai Long, di sini, dipercayai terjun dari tingkat lima sebuah bangunan kuliah universiti berkenaan, awal pagi semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun terbabit mengalami tekanan kerana tidak mempunyai kawan menyebabkan mangsa mengambil keputusan nekad bertindak demikian.


Sumber berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, penuntut tahun kedua jurusan akaun itu ditemui dalam telentang di bawah bangunan kuliah oleh pengawal keselamatan.

"Pada mulanya, pengawal itu menyangka lelaki terbabit mabuk, namun apabila dihampiri didapati ada kesan darah di kepala mangsa.


"Lelaki itu kemudian memaklumkan penemuan itu kepada pihak pengurusan sebelum menghubungi polis," katanya.


Katanya, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala berikutan jatuh dari tempat tinggi, namun punca mangsa bertindak sedemikian masih dalam siasatan.

Menurut sumber, mangsa dipercayai menceroboh masuk ke dalam kawasan berkenaan sebelum naik ke tingkat lima berikutan bangunan terbabit tidak boleh dimasuki selepas waktu kuliah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

Penyamun tetak putus jari doktor ditahan

Posted: 19 Jul 2013 12:23 PM PDT

Subang Jaya: Dua lelaki yang menyamun seorang doktor hingga putus jari dalam kejadian Selasa lalu ditahan di SS19, di sini semalam.

Mereka yang berusia 20-an ditahan kira-kira jam 6 pagi selepas mendapat maklumat daripada ibu bapa seorang daripada mereka yang tampil bekerjasama dengan polis.


Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata, ibu bapa seorang suspek mendapat tahu mengenai kejadian itu melalui hebahan media dan terus memberi maklumat mengenai anaknya sebelum siasatan dilakukan.

"Hasilnya, polis berjaya menahan dua suspek terbabit. Siasatan awal kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya.


Harian Metro Selasa lalu melaporkan seorang doktor wanita putus ibu jari kiri akibat ditetak penyamun bersenjatakan parang sebaik keluar dari polikliniknya di Jalan SS19.


Dalam kejadian kira-kira 1.20 tengah malam itu, mangsa yang berusia 50-an juga hampir putus jari kelingking kiri selain cedera di lengan kiri akibat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

Nyaris dinoda lelaki bertopeng

Posted: 19 Jul 2013 12:20 PM PDT

Petaling Jaya: Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun bergelut hampir 30 minit untuk mempertahankan dirinya daripada diperkosa seorang lelaki berpakaian hitam dan bertopeng yang menceroboh masuk rumah ibu saudaranya di Kota Damansara, di sini, Isnin lalu.

Menurut sumber polis, lelaki itu cuba menekup muka mangsa dengan lengan bajunya dibubuh kloroform bagi membuatkan mangsa pengsan namun tidak berjaya.

"Selepas gagal lelaki terbabit melarikan diri, mangsa menghubungi ibunya dan membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/20

No comments:

Post a Comment