Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Risau aksi Liu Ying

Posted: 19 Jul 2013 09:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Latihan yang mencabar fizikal dapat diharungi dengan baik, namun Chan Peng Soon bimbang kemampuan rakan gandingannya, Goh Liu Ying yang akan beraksi dalam dua acara, beregu campuran dan wanita dalam misi mencabar kejuaraan badminton Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, pada 5-11 Ogos.

Gandingan nombor lima dunia itu melalui proses persiapan yang bagus di gimnasium dan gelanggang, tetapi tetap bimbangkan keadaan Liu Ying.


"Latihan lebih kepada fizikal memang memenatkan tapi badan berasa lebih bertenaga dan bersedia," kata Peng Soon. "Tapi saya lebih bimbangkan Liu Ying ketika ini. Saya bimbang dia mudah mendapat kecederaan kerana bermain dalam dua acara. Ketika ini memang semua berjalan lancar dan dia bebas kecederaan, cuma saya bimbang ia berlaku ketika kejohanan." Kebimbangan Peng Soon itu berasas kerana Liu Ying sering mengalami kecederaan berulang terutamanya bahagian belakang serta lutut.

Peng Soon-Liu Ying menjadi antara sandaran terbaik selain Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul takhta Kejohanan Dunia pertama buat Malaysia, namun mereka mesti berada di tahap terbaik bagi menggugat kehebatan pemain China, Indonesia dan Denmark.


Pencapaian terbaik beregu campuran negara di Kejohanan Dunia menerusi Koo Kien Keat-Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol apabila mereka mara ke suku akhir.

Foto

PENG Soon (kanan) gusar ketahanan Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Pendirian tak berubah

Posted: 19 Jul 2013 08:59 AM PDT

Sydney: Pengurus Manchester United David Moyes tidak berminat bercakap mengenai masa depan Wayne Rooney bersama kelab itu, sebaliknya seminggu menjalani latihan di Australia menambah keyakinan kepadanya nilai Robin van Persie untuk pasukan itu.

Kenyataan dikeluarkan pengendali dari Scotland itu kepada kumpulan wartawan di Thailand minggu lalu iaitu Rooney hanya penting sekiranya kecelakaan menimpa Van Persie menyebabkan penyerang antarabangsa England itu berang dan keliru mengenai masa depannya di Old Trafford.


Chelsea yang menjadi seteru utama Liga Perdana Inggeris lantas melakukan bidaan untuk mendapatkan penyerang berusia 27 tahun itu yang pulang lebih awal daripada siri jelajah kerana kecederaan hamstring, tetapi tawaran itu ditolak United.

Pada sidang media menjelang siri perlawanan kedua bertemu Bintang Liga-A di Sydney, Moyes enggan bercakap mengenai masa depan Rooney dan menegaskan pendirian kelab tidak pernah berubah.


Moyes berharap memperoleh lebih banyak berita mengenai perkembangan mendapatkan Cesc Fabregas, bagaimanapun beliau ceria menerangkan kedudukan bekas rakan sepasukan Fabregas di Arsenal, Van Persie.


"Saya baru bertemunya kali pertama minggu ini dan melihat kawalan dan sentuhan bola serta penyudahnya," katanya yang lebih banyak menerangkan mengenai skil penyerang Belanda itu yang meledak 30 gol buat United musim lalu.

"Saya teruja dengan etika profesionalnya. Van Persie tidak banyak merungut sebaliknya terus bekerja keras dan berlatih dengan gigih.


"Apa yang kami lakukan adalah untuk membiasakan dirinya bersedia mempamerkan prestasi sama seperti tahun lalu yang menyaksikannya menjaringkan banyak gol untuk United," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Manchester City kalah sekali lagi

Posted: 19 Jul 2013 08:59 AM PDT

Durban, Afrika Selatan: Manchester City mengalami satu lagi kekalahan pada siri jelajah pramusim selepas sepakan penalti Carlington Nyadombo memberikan kemenangan 2-1 buat AmaZulu di Durban, kelmarin.

Tanpa pengurus Manuel Pellegrini yang kembali ke Chile kerana masalah keluarga, City yang tewas 0-2 kepada Supersport United pada perlawanan pertama, ketinggalan selepas Bongani Ndulula memanfaatkan kesilapan Aleksandar Kolarov untuk menyumbang gol pertama tuan rumah.


Pemain tengah England, James Milner menyamakan kedudukan sebelum Nyadombo menyempurnakan sepakan penalti pada minit akhir.

Pemain tengah City, Gareth Barry memberi alasan faktor keletihan menyebabkan mereka beraksi hambar ketika bertemu Supersport United di Pretoria, Ahad lalu.


City bermula baik tapi tidak bernasib baik pada awal permainan selepas sepakan percuma Samir Nasri dinafikan penjaga gol AmaZulu, Kapini Tapuwa.


Namun pada minit ke-20, City menghadiahkan gol pertama tuan rumah di Stadium Moses Mabhida akibat benteng yang rapuh.

Tolakan lemah Kolarov dirampas Ndulula yang kemudian menggelecek penjaga gol, Joe Hart sebelum menolak masuk ke pintu gol yang ternganga.


City menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi penyudah menarik Milner. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Viola setuju jual Jovetic

Posted: 19 Jul 2013 08:58 AM PDT

Milan: Fiorentina bersetuju menjual penyerang Stevan Jovetic ke Manchester City yang kini membentuk semula skuad di bawah kendalian pengurus baru Manuel Pellegrini dalam usaha merampas semula gelaran Liga Perdana daripada Manchester United.

Kelab Itali itu yang gagal mendapat tempat dalam Liga Juara-Juara musim ini mengumumkan keputusan itu menerusi Twitter rasmi dan "satu perjanjian sudah dicapai bersama City bagi perpindahan Jovetic".


Media British menjangkakan yuran perpindahan £28 juta (RM136.3 juta) untuk mendapatkan bekas kapten Partizan Belgrade itu yang menyertai Fiore pada 2008 dengan bayaran £8 juta (RM38.9 juta).

Jovetic, 23, menjaringkan 13 gol dalam 31 perlawanan Serie A musim lalu untuk membantu Fiorentina menamatkan kempen di tangga keempat namun mereka terlepas tiket ke Liga Juara-Juara kepada AC Milan pada hari terakhir.


Spekulasi perpindahan pemain kelahiran Montenegro itu yang turut dikenali sebagai Jo-Jo mula hangat diperkatakan beberapa bulan lalu apabila turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab juara Itali, Juventus.


Dia terlepas aksi 2010-11 akibat kecederaan ligamen lutut yang teruk pada latihan pramusim namun kembali beraksi dan menjaringkan 14 gol dalam 27 perlawanan Serie A pada tahun berikutnya.

Jovetic yang memiliki ketinggian 1.85 meter, boleh beraksi sebagai penyerang tengah namun lebih gemar memegang peranan di posisi belakang penyerang tengah dan sudah menjaringkan 10 gol dalam 27 perlawanan untuk Montenegro.


City terlepas mahkota kejuaraan kepada musuh tradisi United musim lalu dan menyebabkan pengurus Roberto Mancini dipecat. Pengganti Mancini, Pellegrini dari Chile tidak bersama kelab itu dalam siri jelajah di Afrika Selatan semalam kerana masalah peribadi.

City setakat ini sudah membeli pemain tengah Brazil, Fernandinho dari Shakhtar Donetsk dan pemain sayap Sevilla dari Sepanyol, Jesus Navas manakala perjanjian bersama penyerang Sepanyol, Alvaro Negredo sudah dipersetujui.


Penyerang mereka dari Argentina, Carlos Tevez menyertai Juve bulan lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Liga Perdana kritik rancangan Blatter

Posted: 19 Jul 2013 08:58 AM PDT

London: Pemimpin Liga Perdana mengkritik rancangan Presiden FIFA Sepp Blatter untuk mengubah Piala Dunia 2022 di Qatar ke musim sejuk.

Kebimbangan mula tercetus mengenai ancaman kesihatan apabila kejohanan itu diadakan di negara Teluk pada Jun dan Julai kerana suhu mencecah 50 Selsius.


Blatter minggu ini berdepan isu besar selepas beliau menyatakan kejohanan itu tidak boleh diadakan pada musim panas dan keputusan itu mendapat sokongan kesatuan pemain antarabangsa FIFPro.

Blatter mahu mengemukakan cadangan menukar jadual Piala Dunia itu meskipun ia bakal memberi kesan kepada liga domestik apabila Jawatankuasa Eksekutif FIFA bersidang pada 3 dan 4 Oktober ini.


Namun Liga Perdana lantang menentang cadangan mengadakan kejohanan itu pada musim sejuk memandangkan ia akan menjejaskan tiga musim domestik pada 2021-2022 dan selain turut memberi kesan kepada kontrak penyiaran.


Kenyataan terbaru Blatter itu mengundang reaksi kurang senang persatuan itu semalam.

"Pendirian kami tetap tidak berubah. Cadangan untuk mengadakan Piala Dunia musim sejuk tidak boleh dilaksanakan serta tidak memberi kelebihan kepada bola sepak domestik Eropah," kata jurucakap Liga Perdana.


Qatar bercadang membelanjakan kira-kira £65 bilion (RM316 billion) bagi projek infrastruktur termasuk pembinaan stadium baru yang dianggar bernilai AS$5 bilion (RM15.9 bilion).

Bagaimanapun suhu di Qatar lebih sejuk pada Disember dengan suhu paling tinggi 24C dan paling rendah 15C. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Impian Tevez

Posted: 19 Jul 2013 08:57 AM PDT

Turin: Carlos Tevez memberikan tumpuan untuk mengemudi Juventus melakar kejuaraan Serie A ke-30 dan menegaskan itulah fokus utama kelab itu musim depan berbanding memenangi Liga Juara-Juara.

Tevez yang menyertai Juve dari Manchester City bulan lalu, menjaringkan gol sulung bersama kelab Itali itu apabila penyandang juara Serie A itu membelasah Pilihan a Val d'Aosta, 7-0 pada perlawanan persahabatan pramusim di Saint-Vincent.


Penyerang berusia 29 tahun itu mengetahui sasarannya selepas menyertai kelab Turin itu dan berazam mengelak tekanan memenangi trofi Liga Juara-Juara seperti dilaluinya di City.

"Kami harus bertenang dan memastikan tidak memberi tekanan terhadap diri sendiri untuk memenangi Liga Juara-Juara," kata Tevez.


"Jika tidak, tekanan itu tidak mungkin boleh dielakkan.


"Kami perlu tenang dan sedar jika memenangi Scudetto sekali lagi, ia akan meletakkan kami dalam sejarah bola sepak Itali dan kemudian kami boleh memikirkan perkara lain.

"Kami mengimpikan trofi Liga Juara-Juara tapi objektif utama kejuaraan Serie A. Kemudian kami boleh bertenang dalam Liga Juara-Juara dan semuanya menjadi lebih mudah." Di bawah kendalian Roberto Mancini, City gagal melepasi peringkat kumpulan pertandingan itu dua musim berturut-turut, yang dianggap Tevez akibat tekanan terlalu tinggi.


"Ya, terlalu banyak tekanan," katanya. "Ia hadir daripada setiap orang, kelab itu, penyokongnya. Tekanan terlampau tinggi hanya menjejaskan pasukan.

"Apa yang berlaku adalah terlalu banyak harapan dan tekanan untuk menjadi satu daripada kelab gergasi Eropah dan kami tidak melakukannya.


"Kami kecundang pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dua musim berturut-turut." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Robinho kekal di San Siro

Posted: 19 Jul 2013 08:57 AM PDT

Milan: Robinho kekal bersama AC Milan dua tahun lagi selepas usaha berpindah ke kelab zaman kanak-kanaknya Santos menemui jalan buntu.

Penyerang berusia 29 tahun itu dijangka meninggalkan kelab itu musim panas ini selepas gagal berada dalam pasukan utama Rossoneri dan Milan berunding semula dengan Santos yang sudah lama memburunya pada awal pintu perpindahan.


Robinho melakukan penampilan skuad senior buat kelab berpangkalan di Vila Belmiro itu pada usia 16 tahun sebelum menyertai Real Madrid pada 2005 dan selepas dua musim tidak konsisten bersama Manchester City, dia dipinjamkan semula ke Santos selama enam bulan pada 2010.

Namun, selepas kelab Brazil itu enggan bersetuju dengan perjanjian kekal minggu lalu, Rossoneri menarik balik penyerang itu dari pasaran dan kini dia bersetuju untuk kekal lebih lama di Milan.


Laman web acmilan.com mengumumkan: "Robinho menyambung kontraknya hingga 30 Jun 2016." Robinho tiba di San Siro dengan harga £15 juta (RM73 juta) tiga tahun lalu dan sejak itu menjaringkan 22 gol liga buat kelab Serie A itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Johnson cemerlang

Posted: 19 Jul 2013 08:57 AM PDT

Gullane, Scotland: Zach Johnson bertindak cemerlang dengan putter untuk mendahului Terbuka British di Muirfield kelmarin pada hari pembukaan yang menyaksikan beberapa nama besar gagal cemerlang.

Juara Masters AS 2007 itu membenam eagle pada lubang kelima par-lima dan menggunakannya sebagai batu loncatan melakar lima bawah par 66.


Pemain India dari pusingan kelayakan Shiv Kapur hampir mengancam kedudukannya sebagai pendahulu apabila melakar enam bawah par hanya selepas tujuh lubang.

Namun dia merudum pada sembilan lubang terakhir dan terpaksa berpuas hati dengan 68, sama catatan dengan Miguel Angel Jimenez dari Sepanyol dan pemain Amerika Syarikat (AS) Dustin Johnson, Brandt Snedeker dan Tom Lehman, juara Terbuka British 1996.


"Ia satu hari mantap. Saya berasa hebat," kata Johnson yang kecundang pada penentuan play-off di tangan pemain AS Jordan Spieth, 19, pada Klasik John Deere Ahad lalu.


"Saya berasa selesa dengan pukulan tee hari ini. Saya juga selesa dengan pukulan kedua. Beberapa pukulan saya singgah hampir dengan lubang." Menghampiri Johnson pada hari yang menyaksikan 20 daripada 156 pemain mencatat bawah par, adalah Mark O'Meara, 56, juara Terbuka British 1998 dan bintang meningkat Sepanyol Rafael Cabrera-Bello, kedua-duanya mencatat 67.

Pilihan utama kejohanan Tiger Woods, yang bermain secara kompetitif kali pertama dalam tempoh sebulan selepas cedera siku kiri pada Terbuka AS, mengakhiri pusingan pertama dengan 69.


Hari pembukaan kejohanan edisi ke-142 itu bagaimanapun turut diingati kerana ia menjadi mimpi ngeri buat dua pemain ternama, bekas pemain nombor satu dunia Rory McIlroy dan Luke Donald.

Pemain nombor dua dunia McIlroy, yang terdesak memperoleh rentak terbaik sejak menukar peralatan awal tahun ini, berakhir dengan dua bogey berganda pada sembilan lubang terakhir dan mencatat lapan atas par 79. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Federer layak suku akhir

Posted: 19 Jul 2013 08:56 AM PDT

Hamburg: Pilihan utama Roger Federer mudah mengatasi pemain Republik Czech, Jan Hajek 6-4, 6-3 untuk layak ke suku akhir Kejohanan Tenis Jerman, kelmarin.

Juara empat kali di Hamburg itu bermain kejohanan pertama sejak tumpas pada pusingan kedua kejohanan Wimbledon.


Federer, 31, bermain di Jerman dengan bingkai raket lebih besar 98 inci persegi, lapan inci lebih besar daripada raket sebelumnya.

"Saya hanya perlukan masa untuk membiasakan diri, lihat bagaimana ia bertindak bagi setiap pukulan," kata Federer.


"Ia bertindak baik bagi beberapa pukulan.


"Tapi penting tidak memikirkan mengenainya sepanjang masa, lebih menyesuaikan diri dengannya, bertarung bagi setiap mata, yakin dengan permainan sekarang dan mahu meraih keputusan bagus dan itulah yang saya lakukan." Pilihan kedua Tommy Haas turut menempah tiket ke suku akhir dengan kemenangan 6-2, 6-4 ke atas pemain Argentina, Carlos Berlocq.

Pemain Jerman berusia 35 tahun itu mengintai peluang memenangi kejuaraan halaman sendiri buat kali pertama dalam 11 penampilan.


Pada suku akhir Haas berdepan pilihan ke-12 dari Itali Fabio Fognini, yang menyingkirkan Marcel Granollers 6-2, 6-4 dalam masa 90 minit. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

Jalani julang Kampung Lakai

Posted: 19 Jul 2013 08:55 AM PDT

Seremban: Jaringan tunggal Mohamad Jalani Abdul Razak membolehkan pasukan Kampung Lakai menewaskan Belia Kampung Sepri pada perlawanan futsal di Gelanggang 1Malaysia Kampung Larong Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pengalaman menyertai beberapa kejohanan tempatan sebelum ini dimanfaatkan sebaik mungkin pemain Kampung Lakai untuk menang sekali gus meraih hadiah barangan hamper.


Perlawanan itu diadakan sempena pelancaran program Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) Peringkat Daerah Jelebu 2013 dan penyerahan gelanggang futsal peringkat daerah membabitkan beberapa kampung.

Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Jelebu Nurazlina Ramli berkata, Kejohanan LSUS acara tahunan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS) membabitkan semua daerah di negeri ini.


"Melalui program ini, semua kampung di daerah ini digalakkan mewujudkan pasukan futsal masing-masing untuk merebut kejuaraan yang menawarkan hadiah wang tunai.


"Selain itu, LSUS juga dijadikan medan mencungkil bakat baru dalam sukan futsal di kalangan peringkat akar umbi demi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah JBSNS Azura Sarbin, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Larong Mohd Azmi Abd Aziz dan Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Jelebu Mohd Aizir Md Derus.


Sementara itu, Azura berkata, sebanyak 22 gelanggang futsal dibina di daerah itu yang membabitkan empat Gelanggang Sukan Pelbagai Guna (GSPG), empat gelanggang pel bagai sukan dan 14 Gelanggang Futsal 1 Malaysia.

"Kami harap penyediaan kemudahan itu memberi banyak manfaat kepada masyarakat terutamanya dalam usaha membangunkan kegiatan sukan khusus di Jelebu.


"Saya harap orang ramai terutama belia menggunakan kemudahan disediakan sebaik mungkin sebagai medan mengasah bakat dalam sukan futsal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19

No comments:

Post a Comment