Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


70 penyokong Mursi ditembak mati

Posted: 27 Jul 2013 07:18 AM PDT

Kaherah: Pasukan keselamatan Mesir semalam menembak mati sekurang-kurangnya 70 orang penyokong bekas Presiden Mohamed Mursi awal semalam, sekali gus memburukkan lagi kekacauan yang mencengkam Mesir sejak beberapa minggu lalu.

Rangkaian televisyen Al Jazeera melaporkan 120 orang mati dan 4,500 cedera dalam serangan ke atas penyokong Ikhwan yang berkumpul berhampiran sebuah masjid di Kaherah.


Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, tentera mula menembak sebelum solat Subuh.

"Mereka menembak bukan untuk mencederakan, tetapi sengaja untuk membunuh. Kepala dan dada menjadi sasaran," katanya.


Seorang wartawan berkata, dia melihat 20 mayat di selimut kain putih yang berlumuran darah di kawasan lapang yang dijadikan pusat rawatan sementara oleh anggota Ikhwan di Masjid Rabaa al-Adawiya, sebuah masjid di timur laut Kaherah.


Mangsa lain dibawa ke hospital berlainan.

Foto

PENYOKONG yang cedera diberikan rawatan oleh petugas perubatan Ikhwan.

Foto

SEORANG lelaki yang cedera dibawa dengan motosikal untuk mendapatkan rawatan.

Foto

PENYOKONG Mursi bertempiaran lari apabila anggota polis melepaskan tembakan dengan dibantu penentang bekas pemimpin itu yang melontar batu di timur Kaherah, semalam.

Penyokong dan penentang Mursi mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara semalam, menghimpunkan ratusan ribu di jalan raya serta memburukkan lagi perpecahan di kalangan rakyat negara paling ramai penduduk itu.


Lebih 200 orang terbunuh dalam keganasan yang meletus sejak penggulingan Mursi, termasuk sembilan kelmarin, kebanyakannya penyokong Ikhwan.

Ketua Tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang memainkan peranan utama menggulingkan Mursi selepas tunjuk perasaan menentang pemerintahannya, menggesa rakyat Mesir mengadakan perhimpunan untuk memberikannya mandat bagi menangani keganasan.


Ratusan ribu menyahut gesaannya, tetapi penyokong Ikhwan tetap dengan tunjuk perasaan mereka, menuntut pelantikan semula Mursi yang semalam menghadapi tuduhan jenayah, termasuk membunuh.


Gehad berkata, polis mula menembak gas pemedih mata selepas jam 3 pagi (6 pagi waktu Malaysia), menyasarkan penunjuk perasaan.


"Ketika asap menyelubungi kawasan itu, peluru pula mula terbang," katanya.


Beliau berkata, selain polis beruniform serba hitam, tembakan juga dilepaskan daripada anggota bersenjata yang menguasai bumbung bangunan di universiti kawasan berkenaan dan sebuah jambatan berhampiran.


Agensi berita rasmi Mesir yang anti-Mursi memetik sumber keselamatan sebagai berkata, hanya gas pemedih mata dilepaskan untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Tidak ada senjata digunakan.


Gehad berkata, penyokong Mursi terpaksa mengguna batu untuk mempertahan diri mereka. Di atas pentas masjid Rabaa, seorang penceramah menggesa orang ramai berundur selepas polis melepaskan tembakan. Bagaimanapun, penyokong lelaki enggan berundur kerana melindungi wanita dan kanak-kanak yang berada di dalam masjid itu.


Ini kali kedua pembunuhan beramai-ramai dilakukan polis dan tentera Mesir terhadap penyokong Mursi. Pada 8 Julai lalu, 53 orang mati apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai selepas solat Subuh berhampiran perkarangan pejabat tentera di Kaherah.


"Kejadian hari ini (semalam) lebih ganas. Tembakan dilepaskan secara rambang," kata Gehad. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Terlalu gemuk untuk New Zealand

Posted: 27 Jul 2013 07:13 AM PDT

Wellington: Seorang lelaki obese Afrika Selatan diberitahu dia terlalu gemuk untuk tinggal di New Zealand walaupun sudah turun 30 kilogram sejak berpindah ke negara itu enam tahun lalu.

Albert Buitenhuis yang kini seberat 130 kilogram dan isterinya, Marthie berkata, mereka berdepan diusir selepas permohonan untuk memperbaharui visa kerja mereka ditolak kerana berat badan Buitenhuis.

Imigresen New Zealand (INZ) menegaskan penilai perubatan negara itu memutuskan Buitenhuis tidak 'mencapai standard kesihatan yang ditetapkan negara itu."

Pasangan itu berkata, mereka berpindah dari Afrika Selatan ke Christchurch di Pulau Selatan enam tahun lalu ketika berat badan Buitenhuis 160 kilogram dan visa kerja tahunan diperbaharui tanpa sebarang masalah.


"Kami membaharui visa setiap tahun dan tiada isu timbul selama ini.


"Mereka tidak pernah menyebut mengenai berat Buitenhuis atau kesihatannya walaupun ada ketikanya dia lebih berat berbanding mula datang," kata Marthie

"Tetapi apabila beratnya makin berkurangan berbanding kali pertama kami tiba di New Zealand dan juga turut berkurangan pada pemeriksaan perubatannya yang pertama, ia dianggap sebagai gemuk melampau oleh pihak imigresen dan visa kami tidak diperbaharui," katanya.

Sementara itu, jurucakap INZ berkata, permohonan visa Buitenhuis ditolak kerana kegemukannya menyebabkan dia berdepan "risiko ketara" termasuk terdedah kepada penyakit diabetes, darah tinggi, penyakit jantung dan pelbagai penyakit lain.

"Mereka yang datang ke sini untuk bekerja perlu mempunyai tahap kesihatan yang ditetapkan bagi meminimumkan kos dan tuntutan perkhidmatan kesihatan New Zealand," katanya.

Laporan OECD baru-baru ini menyenaraikan New Zealand sebagai negara maju ketiga paling ramai penduduk obese selepas Amerika Syarikat dan Mexico. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Penunjuk perasaan sasar bank

Posted: 27 Jul 2013 07:12 AM PDT

Sao Paulo: Kira-kira 300 penunjuk perasaan memecah masuk 10 bank dan membakar van stesen televisyen di bandar raya ini semalam.

Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

Penunjuk perasaan itu sebelum ini berarak ke pusat bandar untuk menyokong penunjuk perasaan di Rio de Janeiro yang mengadakan bantahan terhadap gabenor kerajaan Sergio Cabral.

Tunjuk perasaan di dua bandar raya itu itu bagaimanapun kecil dibandingkan dengan bantahan besar-besaran yang diadakan di seluruh negara itu bulan lalu kerana mengecam rasuah dan perkhidmatan lembap kakitangan kerajaan serta kos melampau untuk membiayai kejohanan Piala Dunia 2014.


Di Sao Paolo, penunjuk perasaan memecahkan tingkap bank, lampu isyarat dan membakar tong sampah bagi menyekat laluan utama di bandar raya itu.


Sebuah van stesen televisyen turut menjadi sasaran apabila dibakar penunjuk perasaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Pemandu kereta api tidak mahu jawab soalan polis

Posted: 27 Jul 2013 07:11 AM PDT

Santiago de Compostella: Pemandu kereta api yang menyebabkan ia tergelincir dari landasan hingga membunuh 78 orang berdepan pelbagai tuduhan.

Polis menuduh pemandu itu yang dikenali media sebagai Francisco Jose Garzon Amo, 52, "cuai" ekoran nahas Khamis lalu.


Menurut polis, dia enggan menjawab soalan mereka di katil hospital dan kes berkenaan diserahkan kepada mahkamah. Kereta api terbabit dikatakan bergerak dua kali melebihi had kelajuan dan merempuh tembok konkrit dengan satu daripada gerabaknya tercampak dari landasan. Pemandu itu dilaporkan bangga dengan sikapnya yang suka memandu laju diletakkan di bawah perhatian polis di hospital, kata ketua polis Galicia di barat laut Sepanyol, Jaime Iglesias. Dia berdepan tuduhan jenayah termasuk cuai, kata Iglesias dalam sidang akhbar walaupun suspek belum lagi didakwa. Jurucakap polis kemudian memberitahu media bahawa pemandu itu enggan menjawab soalan polis kelmarin dan mahkamah akan memutuskan tindakan undang-undang yang akan dikenakan terhadapnya.

Sebanyak 78 penumpang maut, tiga daripadanya belum dikenal pasti dan 178 yang lain cedera, kata pihak berkuasa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Rejim Israel sekat bantuan EU kepada Palestin

Posted: 27 Jul 2013 07:09 AM PDT

Baitulmaqdis: Israel menyekat bantuan Kesatuan Eropah (EU) kepada puluhan ribu penduduk Palestin di Tebing Barat, sebagai tindak balas terhadap pengharaman EU ke atas bantuan kewangan kepada pertubuhan Israel yang menduduki secara haram wilayah Palestin.

Pegawai Israel kelmarin berkata, rejim Zionis itu terpaksa bertindak balas terhadap keputusan EU 'untuk menyekat atau memulaukan penempatan' Yahudi.

"Berdasarkan pendirian kami, kami tidak boleh membiarkan saja perkara ini berlaku atau membiarkan kami diludah seolah-olah bagaikan terkena hujan," kata pegawai berkenaan.

Pegawai Israel berkata, Menteri Pertahanan Moshe Yaalon memutuskan untuk menggantung hubungan dengan EU di Tebing Barat.


Yaalon, bekas ketua tentera dan fanatik dalam parti Likud yang dipimpin Perdana Menteri Benjamin Netanyahu membekukan projek, membatalkan mesyuarat, menyekat penyelarasan dan permit terhadap operasi pertubuhan Eropah untuk penduduk Palestin yang tinggal di kawasan dikenali sebagai kawasan C, kawasan Tebing Barat yang ditadbir Israel sepenuhnya.


Di Brussels, Maja Kocijancic, jurucakap Ketua Dasar Luar EU Catherine Ashton berkata: "EU bimbang dengan laporan media Israel bahawa Menteri Pertahanannya mengumumkan beberapa larangan yang menjejaskan kegiatan EU menyokong penduduk Palestin.

"Kami tidak dapat berhubung secara rasmi dengan pihak berkuasa Israel.

"Delegasi kami di sana masih berusaha untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara berkenaan," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

BRN setuju gugur Sadao

Posted: 27 Jul 2013 07:08 AM PDT

Bangkok: Barisan Revolusi Nasional (BRN) bersetuju menggugurkan Sadao daripada perjanjian gencatan senjata Ramadan yang dikuatkuasakan selama 40 hari sejak awal bulan puasa.

Persetujuan itu dicapai selepas Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thai Paradorn Pattanatabut berlepas ke Malaysia untuk berbincang dengan wakil BRN, Hassan Taib dan memintanya menggugurkan daerah yang terletak di wilayah Songkhla itu.


Mesyuarat juga dihadiri oleh fasilitator dari Malaysia, Ahmad Zamzamin Hashim.

Apabila perjanjian damai itu diumumkan 12 Julai lalu, Panglima Tentera Thai Jeneral Pravuth Chan-ocha dan penduduk Sadao melenting kerana daerah itu dimasukkan dalam perjanjian itu.


Menurut mereka, serangan berkait dengan keganasan tidak pernah berlaku di daerah itu yang bersempadan dengan Kelantan dan mereka bimbang kemasukan daerah itu dalam perjanjian berkenaan akan mencetuskan pandangan negatif terhadapnya.


Sumber tentera berkata, BRN mengambil keputusan memasukkan daerah Sadao dalam perjanjian damai itu kerana percaya ia pernah menjadi sebahagian daripada negeri Pattani.

Sumber itu bagaimanapun tersilap kerana negeri berkenaan terdiri daripada Narathiwat, Pattani, Yala dan empat daerah wilayah Songkhla - Chana, Thepha, Saba Yoi dan Na Thawi.


Sementara itu, keganasan di selatan Thai berterusan meskipun wujud gencatan senjata itu. Dalam kejadian terbaru semalam, seorang guru ditembak mati di Yala. Ketua polis tempatan, Mustopa Mani, berkata, guru berkenaan, Ahamah Dorloh, 47, diserang ketika pulang dari masjid.

"Dia ditembak ketika hendak memasuki rumahnya. Seorang lelaki yang membonceng sebuah motosikal menembaknya dengan raifal M16, menyasarkan kepalanya beberapa kali.


"Mangsa mati di tempat kejadian sementara penyerangnya tidak dapat dicam," kata Mustopa.


Bercakap pada satu seminar semalam, Paradorn berkata, 20 serangan dilapor berlaku sejak gencatan senjata dipersetujui dan BRN mengesahkan ia bertanggungjawab terhadap enam daripada serangan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

6 maut, 28 cedera bom meletup di restoran

Posted: 27 Jul 2013 07:07 AM PDT

Cagayan De Oro: Sebutir bom buatan sendiri meletup di kawasan sesak dengan bar dan restoran di selatan Filipina menyebabkan enam orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 28 yang lain cedera.

Mangsa letupan lewat kelmarin itu kebanyakannya terdiri daripada perwakilan dan tetamu sebuah syarikat farmasi yang menghadiri persidangan perubatan di sebuah restoran terbabit, kata ketua polis Cagayan de Oro Graciano Mijares. Antara yang terbunuh ialah tokoh politik tempatan Roldan Lagbas, 44, yang berada di sebuah bar terbuka.


Mijares berkata, bom berkenaan dipercayai diletakkan di atas sebuah meja di bar berkenaan. "Siasatan masih diteruskan untuk menentukan motif serangan dan mengenal pasti suspek," katanya dalam satu kenyataan.

Keganasan jarang berlaku di Cagayan de Oro, bandar 800 kilometer ke selatan Manila walaupun ia terletak di Mindanao, wilayah paling bergolak di Filipina. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Mudahkan jemaah tua, OKU

Posted: 27 Jul 2013 07:06 AM PDT

Makkah: Pihak berkuasa Masjidil Haram semalam membuka jambatan tawaf sementara untuk kegunaan jemaah kurang upaya dan warga tua.

Ketua Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais ketika merasmikan jambatan tawaf berkenaan berkata, ia dibuka sementara untuk menguji kekuatan dan keberkesanan penggunaannya.

Menurutnya, jambatan selebar 12 meter dan setinggi 13 meter itu dapat memuatkan 1,700 jemaah yang berkerusi roda setiap jam.

Sheikh Abdul Rahman juga berkata, satu tingkat lagi akan dibuka kemudian dan ia akan dihubungkan dengan tingkat pertama Masjidil Haram.


Jambatan itu akan digunakan oleh jemaah OKU hingga kerja meluaskan kawasan tawaf siap sepenuhnya.


Pembesaran kawasan berkenaan bermula 15 November tahun lalu.

Kerja-kerja pembesaran yang dilakukan atas arahan Raja Abdullah bertujuan meningkatkan keselesaan dan keselamatan jemaah.

Apabila siap kelak, 105,000 jemaah boleh melakukan tawaf serentak dalam masa sejam.

Kapasiti itu berkurangan daripada 48,000 kepada 22,000 jemaah sejam memandangkan kesesakan di dalam masjid kesan daripada kerja-kerja pembesaran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Agih juadah buka puasa di jalan raya

Posted: 27 Jul 2013 07:05 AM PDT

Makkah: Kawasan lampu isyarat dan simpang berhampiran Masjidil Haram penuh dengan sukarelawan mengagihkan juadah buka puasa percuma sejak awal Ramadan lalu.

Ada yang bekerja sendiri sementara yang lain menjadi sukarelawan badan kebajikan.


Seorang sukarelawan, Abdullah Qasim menganggap kerja mengagihkan juadah buka puasa itu sebagai mencontohi sunnah Rasulullah (SAW) serta jalan untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.

Menurutnya, dia dan beberapa rakan mengunjungi daerah berlainan dan mengagihkan juadah itu dari jam 5 petang hingga Maghrib.


Di samping gembira menerima ucapan terima kasih, Abdullah menjelaskan, kerja sukarelawan itu memberi ganjaran sosial dan agama kepadanya.


Dia turut menyatakan rasa senang hati dengan peningkatan jumlah sukarelawan setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

620 guna ijazah palsu

Posted: 27 Jul 2013 07:05 AM PDT

Abha: Kira-kira 620 kakitangan di pelbagai jabatan kerajaan didapati mengguna ijazah palsu.

Menurut sumber, penggunaan ijazah palsu itu dikesan ketika kempen yang dilancarkan kementerian pelajaran dan pihak berkuasa berkaitan lain.

Menurutnya, sejumlah 234 ijazah kedoktoran, 230 ijazah sarjana dan 56 ijazah sarjana muda didapati palsu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

No comments:

Post a Comment