Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Perlis 'pancing' Cikgu Jan

Posted: 29 Jul 2013 01:13 PM PDT

Kangar: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menawarkan gaji lumayan memancing bekas pemain dan jurulatih skuad kebangsaan Norizan Bakar sebagai jurulatih merangkap pengurus pasukan Singa Utara yang baru.

Naib Presiden PFA Azhar Ahmad berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pemilik nama 'Cikgu Jan' itu bagi membawa cabaran Perlis musim depan selepas melakukan rombakan besar-besaran dalam PFA.


Katanya, setakat semalam, pihaknya ada berhubung dengan Norizan mengenai hasrat mereka yang sememangnya mahu anak tempatan mengisi kekosongan ditinggalkan ketua jurulatih Yunus Aliff.

Norizan yang berasal dari Kampung Datuk Kayaman, menjadi sasaran PFA selepas Presiden Datuk Rozabil Abd Rahman mahu pengurusan serta pemain Perlis terdiri daripada muka tempatan dan anak jati negeri itu.


"Bagaimanapun, tiada pertemuan atau kata putus rasmi sama ada daripada PFA mahupun Norizan mengenai tujuan itu, namun kami berhasrat mendapatkan khidmat beliau," katanya.


Sumber dalaman PFA mendedahkan jika hasrat PFA menjadi kenyataan, Norizan bakal mendapat kebebasan membentuk pasukan. Namun keputusan itu masih terletak di tangan presiden.

Foto

NORIZAN calon tepat galas cabaran Perlis pada musim depan.

Katanya, Norizan masih mempunyai kontrak bersama pasukan IPTA yang berakhir Disember ini.


"PFA akan berbincang dengan pihak IPTA berkenaan mengenai status kontrak selepas mendapat maklumbalas positif daripada Norizan yang akan ditawarkan secara rasmi selepas perbincangan dalaman PFA dilakukan," katanya.

Sementara itu, Norizan ketika dihubungi mengesahkan menerima tawaran itu namun enggan mendedahkan lebih lanjut termasuk jumlah gaji yang bakal diterimanya.


"Kami ada berbual tapi tidak secara rasmi. Saya masih belum mengetahui perincian tawaran yang diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

'Tiada konflik antara kami'

Posted: 29 Jul 2013 10:12 AM PDT

Hong Kong: Pengurus Manchester United David Moyes mengelak daripada bercakap mengenai persengketaan antaranya dengan rakan setugas di Chelsea Jose Mourinho.

Ketika kedua-dua kelab itu berada di Bangkok pada siri jelajah pramusim, Mourinho mengaku beliau berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang United, Wayne Rooney.


Peristiwa itu mencetuskan permulaan kepada persengketaan antara Mourinho dan Moyes yang menyaksikan bos United itu seolah-olah mencabar Mourinho selepas kelabnya menewaskan Bintang Liga Australia di Sydney.

Moyes bagaimanapun menegaskan tiada konflik antaranya dengan Mourinho selain persaingan normal antara pengurus yang membimbing kelab berbeza.


Sebaliknya, pengendali dari Scotland itu begitu mengagumi Mourinho, sama seperti dinyatakan pengurus Chelsea itu terhadap Moyes minggu lalu.


"Mourinho seorang pengurus yang hebat. Beliau berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang pada saingan Liga Perdana Inggeris.

"Seperti saya, beliau mula mendapatkan lesen kejurulatihan di Scotland dan saya mengenalinya," katanya.


Moyes berkata, beliau pernah menyatakan rasa simpati ke atas pengendali dari Portugal itu ketika disingkirkan daripada Chelsea pada 2008.

"Saya masih ingat ketika beliau kehilangan jawatannya, saya menulis surat kepadanya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Suarez tunjang perancangan Liverpool

Posted: 29 Jul 2013 10:11 AM PDT

Bangkok: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers akan memastikan Luis Suarez terbabit sepenuhnya dalam jadual pramusim kelab itu.

Penyerang Uruguay itu heboh dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal namun Gunners sudah gagal dalam bidaan mendapatkan pemain itu.


Liverpool tidak mahu menjualnya dan Rodgers turut menyenaraikan Suarez dalam jelajah pramusim sekalipun dia tiba lewat selepas diberi pelepasan kerana terbabit dalam Piala Konfederasi.

Suarez turut digantung 10 perlawanan liga domestik namun membuat penampilan selama 29 minit ketika Liverpool membenam Thailand, 3-0 pada perlawanan persahabatan di Bangkok, kelmarin.


Rodgers meneruskan usaha meningkatkan pembabitan bekas bintang Ajax itu dengan memberi komen mengenai tahap kecergasan penyerang itu: "Dia masih belum cergas sepenuhnya. Dia ketinggalan beberapa minggu berbanding pemain lain.


"Saya turut perlu mempertimbangkan fokus kami pada pramusim menjurus kepada perlawanan pertama Liga Perdana dan Luis tidak akan dapat beraksi bagi perlawanan pertama.

"Namun pembabitannya dalam skuad ini amat penting.


"Dia berusaha keras meningkatkan kecergasan dan bila semakin hampir dia boleh beraksi, kami akan memberikan lebih masa buatnya mempertajamkan kemahiran di padang." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

United tamat jelajah dengan kemenangan

Posted: 29 Jul 2013 10:11 AM PDT

Hong Kong: Manchester United menamatkan jelajah Asia dengan nota kemenangan selepas membelasah kelab Hong Kong Kitchee 5-2 malam tadi.

Danny Welbeck (m-16), Chris Smalling (m-22), Fabio (m-26), Adam Januzaj (m-49) dan Jesse Lingard (m-80) menyumbat gol buat United manakala Kitchee membalas menerusi Lam Ka Wai (m-53) dan Alkande (m-68).


Ia kemenangan kedua David Moyes sebagai pengurus sejak menggantikan Alex Ferguson. Mereka kalah dua kali dan seri sekali sebelum ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Kumpul mata maksimum

Posted: 29 Jul 2013 10:10 AM PDT

London: Pemain baru Manchester City Fernandinho (gambar) bertekad untuk membantu pasukannya meraih mata maksimum sebelum mereka memulakan kempen di Eropah.

Selepas gagal melepasi halangan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dalam dua musim lalu, City kini mahu mengelak daripada meneruskan kekecewaan itu buat kali ketiga.


Pengurus baru Manuel Pellegrini akan mengendalikan skuad Citizen itu musim ini ketika Manchester United tampak goyah selepas ketiadaan Alex Ferguson.

Melihat kepada situasi itu Fernandinho menyatakan City perlu memulakan kempen dengan cemerlang dan mengumpul mata sebanyak mungkin dalam empat perlawanan awal menjelang aksi pertama Liga Juara-Juara sebelum pertembungan setempat pertama Manchester musim ini.


"Amat penting kami bermula dengan baik," katanya. "Kami perlu mendapatkan mata sebanyak mungkin dalam beberapa perlawanan pertama.


"Ia bukan sebab United. Kami hanya perlu memberi tumpuan kepada pasukan kami sendiri.

"Ia penting untuk mendapat sebanyak mungkin mata sebelum Liga Juara-Juara bermula pada pertengahan September kerana selepas itu kami akan bermain pada hari Sabtu dan pertengahan minggu dan ia pasti sukar." Fernandinho meninggalkan Shakhtar Donetsk untuk menyertai City dengan bayaran kira-kira £30 juta (RM149 juta) sekali gus mengikut jejak langkah seorang lagi pemain Brazil Elano enam tahun lalu.


Pada mulanya Elano beraksi cemerlang pada awal penampilan namun kemudian bergelut dengan prestasi.

Tuntutan dalam Liga Perdana cukup tinggi dan selepas dua tahun dia meninggalkan kelab itu untuk menyertai Galatasaray. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Rooney pasti kekal: Charlton

Posted: 29 Jul 2013 10:10 AM PDT

Hong Kong: Legenda Manchester United Bobby Charlton menjangkakan penyerang Wayne Rooney akan kekal di kelab itu dan berharap memecahkan rekod jaringan miliknya.

Masa depan Rooney tidak menentu sejak hujung musim lalu apabila pengurus kelab itu yang bersara Alex Ferguson berkata, penyerang England itu membuat permohonan untuk berpindah.


Rooney menafikannya namun difahamkan "marah dan keliru" serta menjadi tumpuan Chelsea yang mengemukakan tawaran lumayan. United menegaskan tidak mahu menjual pemain berusia 27 tahun itu.

Charlton, kini sebagai pengarah di United, memberitahu Sky Sports di Hong Kong: "Wayne Rooney adalah pemain Manchester United dan saya fikir dia akan terus menjadi pemain Manchester United.


"Saya tak gemar kehilangan pemain yang bagus dan dia adalah pemain yang hebat.


"Saya menaruh harapan satu hari nanti dia akan menjaringkan gol yang banyak seperti saya dan bagus jika ia dilakukan bersama kelab kami dan saya masih harap akan impian itu." Kecederaan menyebabkan Rooney tersisih dalam jelajah pramusim United ke Asia dan Australia namun pengurus United David Moyes menegaskan kelmarin, penyerang itu berada dalam landasan tepat untuk kembali bagi aksi persahabatan di Sweden pada 6 Ogos ini.

Rooney mengumpul 197 jaringan setakat ini, kurang 52 gol berbanding Charlton. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Buru enam kejuaraan

Posted: 29 Jul 2013 10:09 AM PDT

Munich: Bayern Munich mungkin tidak mampu merangkul enam gelaran pada 2013-14 namun penolong kapten, Bastian Schweinsteiger tetap memendam harapan memburu enam kejuaraan itu musim ini.

Kekalahan pada Piala Super Jerman bermakna Bayern hanya berpeluang menambah kejuaraan Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara yang mereka mahu pertahankan dengan menjulang Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia jika mahu mengatasi pencapaian tiga gelaran pada kempen 2012-13.


Bagaimanapun dengan Piala Dunia juga turut menjadi keutamaan pada musim panas tahun depan, pemain antarabangsa Jerman, Schweinsteiger masih boleh menambah enam trofi dalam koleksi kejuaraannya.

"Apa saja kejohanan disertai, saya mahu menang, termasuk Piala Dunia," kata pemain berusia 28 tahun itu.


"Saya mahu mempertahankan semua gelaran terutama Liga Juara-Juara." Tiada pasukan berjaya mempertahankan gelaran berprestij pertandingan Eropah itu sejak dikenali sebagai Liga Juara-Juara pada 1992.


Dengan dikendalikan Pep Guardiola dan kehadiran pemain baru, Thiago Alcantara dan Mario Goetze, Bayern dilihat mampu memecahkan rekod itu serta mempertahankan gelaran lain meskipun kekalahan 2-4 di tangan Borussia Dortmund Sabtu lalu mencetus tanggapan laluan mereka cukup getir pada musim 2013-14.

Terdahulu Schweinsteiger dinobat pemain tahunan terbaik 2013 oleh penulis bola sepak Jerman, mengatasi rakan sepasukan di Bayern, Franck Ribery dan Thomas Mueller yang menduduki tangga kedua dan ketiga. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

AS juara Piala Emas kali kelima

Posted: 29 Jul 2013 10:09 AM PDT

Chicago: Amerika Syarikat (AS) membuktikan keunggulan apabila menewaskan Panama 1-0 untuk merangkul kejuaraan Piala Emas CONCACAF semalam.

Brek Shea memecah kebuntuan dengan gol tunggal perlawanan pada babak kedua untuk membantu AS memenangi Piala Emas pertama sejak 2007 selepas dua kali tumpas di tangan Mexico pada dua final terakhir.


Ketika mereka teruja dengan kejayaan itu, AS berharap ia juga menjadi batu loncatan bagi Piala Dunia 2014 di Brazil.

"Harapnya ini satu permulaan bagus buat kami," kata bintang AS, Landon Donovan. "Kami mahu bersaing pada peringkat lebih tinggi. Ini bukannya penamat." Kemenangan itu yang ke-11 berturut-turut buat AS dan hadir tanpa kelibat jurulatih Juergen Klinsmann, yang menjalani penggantungan satu perlawanan selepas dibuang padang pada separuh akhir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Alonso, Horner elak jawab soalan

Posted: 29 Jul 2013 10:09 AM PDT

Budapest: Saingan Formula Satu yang akan berehat seketika bagi cuti musim panas dihujani dengan khabar angin Red Bull akan menyambar Fernando Alonso sebagai rakan sepasukan juara dunia Sebastian Vettel pada tahun depan.

Ketika Lewis Hamilton mendominasi kemenangan buat Mercedes pada perlumbaan Grand Prix Hungary di Litar Hungaroring kelmarin, warga Formula Satu mendengar khabar angin pengurus Alonso sudah mengadakan perbincangan dengan prinsipal pasukan Red Bull Christian Horner.


Ferrari bagaimanapun pantas menafikan khabar angin itu.

Mereka mendakwa Alonso masih mempunyai baki kontrak hingga 2016.


Horner dan Alonso mengelak untuk memberikan sebarang komen ketika diajukan soalan itu tetapi Vettel secara terbuka bercakap mengenai prospek sekiranya dapat bergandingan dengan pemandu sensasi Sepanyol itu.


Horner berkata: "Apa saja perbincangan antara pelumba dengan pihak lain tidak boleh didedahkan. Namun saya akui ada beberapa pemandu yang menyatakan minat untuk meraih tempat dalam pasukan." Ditanya mengenai potensi gandingan Alonso dan Vettel, beliau menjelaskan: "Pasti amat menarik. Pada akhirnya anda perlu fikirkan apa yang terbaik untuk pasukan.

"Secara umumnya, gandingan yang kami mahukan untuk tahun depan mestilah dapat memenuhi kehendak pasukan. Minggu lalu timbul spekulasi mengenai Kimi Raikkonen. Minggu ini Alonso pula.


"Bagi saya, kami sentiasa mahu memastikan pakej yang tepat untuk tahun depan dengan meletakkan dua pemandu terpantas yang dapat bekerjasama mencapai keputusan terbaik untuk pasukan." Khabar angin itu mula timbul selepas wakil Alonso, Luis Garcia Abad mengadakan perbincangan dengan Horner di Litar Hungaroring Jumaat lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Snedeker juara Terbuka Kanada

Posted: 29 Jul 2013 10:08 AM PDT

Oakville, Kanada: Brandt Snedeker melakar dua bawah par 70 sebelum mengetepikan cabaran rakan senegara dari Amerika Syarikat Dustin Johnson untuk menjuarai kejohanan Terbuka Kanada dengan tiga pukulan semalam.

Snedeker meraih kejuaraan keenam dalam Jelajah PGA dan kedua tahun ini selepas kejayaan di Pebble Beach Februari lalu, berakhir dengan 16 bawah par 272 dengan rakan senegara Johnson, Jason Bohn, Matt Kuchar dan William McGirt berkongsi tangga kedua dengan 275.


Ia kejuaraan ketiga Snedeker dalam empat kejohanan terakhir untuk memenangi acara PGA AS dengan mendahului 54 lubang, selepas melakukan catatan sama di Pebble Beach dan Kejohanan Jelajah tahun lalu. Dia turut mendahului Masters AS selepas 54 lubang namun sekadar berkongsi tangga keenam.

Snedeker meraih hadiah juara AS$1 juta (RM3.2 juta) di Kelab Golf Glen Abbey selepas catatan 63 pada pusingan ketiga kelmarin menyaksikannya sebagai pendahulu selepas pendahulu 36 lubang Hunter Mahan menarik diri untuk menyambut kelahiran anak sulungnya seorang anak perempuan Zoe kelmarin.


"Zoe akan mendapat hadiah bayi paling menarik daripada saya," kata Snedeker. "Saya terlalu berterima kasih kepada Kandi (isteri Mahan) kerana bersalin lebih awal.


"Saya tidak pasti sama ada saya akan berada di sini jika dia tidak bersalin awal. Tapi ia lebih penting berbanding satu kejohanan golf. Saya terlepas satu kejohanan ketika anak sulung saya dilahirkan dan itulah keputusan terbaik yang saya lakukan. Saya pasti Hunter bersetuju dengannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

No comments:

Post a Comment