Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Enggan sertai BAM

Posted: 12 Jul 2013 03:34 PM PDT

Kuala Lumpur: Beregu profesional lelaki negara, Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif tidak akan menyertai kem latihan pusat ke Kejohanan Dunia kelolaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Zakry yang mewakili Fairuzizuan berkata, sudah menyatakan hasrat mereka untuk menolak pelawaan BAM bagi berlatih bersama skuad kebangsaan ketika bertemu Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.


"Saya bertemu Kenny menyatakan kami tidak dapat menyertai skuad kebangsaan berlatih di Hong Kong dan beliau menerima penolakan kami dengan baik," kata Zakry.

Zakry dan Fairuzizuan menerima surat pelawaan BAM itu dua minggu lalu, tidak dapat menyertai latihan di Hong Kong kerana jadual padat mereka menyertai kejohanan antarabangsa sebelum ini, menuntut mereka berlatih dalam negara saja.


"Kami masing-masing ada komitmen di sini (Kuala Lumpur). Ini tahun pertama saya berpuasa bersama isteri, Fairuzizuan pula dalam masa sama ada komitmen lain. Kami tetap akan menjalani latihan kerana serius dengan peluang beraksi di Kejohanan Dunia ini," kata Zakry yang gemar berbuka puasa di Restoran Kayu.


Gandingan yang tidak lagi bersama KLRC ini menjalani latihan dua kali sehari, sesi pagi dan petang di gelanggang SunSuria, Damansara.

Foto

Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif

Penolakan gandingan ini tidak akan menjejaskan persiapan skuad kebangsaan yang memiliki tiga gandingan di Kejohanan Dunia, iaitu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah, malah empat beregu muda Teo Ee Yi, Nelson Heg, Chooi Kah Ming serta Ow Yao Han turut dibawa sebagai rakan 'sparring'.


"Saya hargai pelawaan BAM dan sedar manfaat yang akan kami peroleh kerana mereka menawarkan untuk menanggung perbelanjaan kami sepanjang berada di Hong Kong, tapi kali ini kami tidak dapat berikan komitmen. Lagipun kami sudah merancang latihan di Kuala Lumpur," kata Zakry.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Villegas tenang

Posted: 12 Jul 2013 03:30 PM PDT

Illinois: Bintang Colombia, Camilo Villegas mempamer aksi tenang serta meyakinkan pada hari pembukaan Kejohanan John Deere Classic untuk berkongsi pendahuluan dengan juara bertahan, Zach Johnson.

Villegas yang merangkul tiga kejuaraan Jelajah PGA Amerika Syarikat pada 2010, seolah-olah hilang keyakinan susulan kejayaan itu dan sepanjang 2013, dia hanya menamatkan dua kejohanan di kelompok 10 terbaik dalam 16 pertandingan disertainya.


Tetapi di John Deere Classic minggu ini, dia kelihatan sudah mula kembali ke landasan juara dan aksinya juga semakin bagus terutama ketika melakukan putt di green TPC Deere Run yang terkenal dengan kelajuannya.

Hari pertama dilalui dengan penuh ceria apabila hanya melakukan satu putt pada lima lubang berturut-turut dan memulakan aksi sembilan lubang pertama dengan empat birdie sebelum menamatkan persembahan dengan birdie ketujuh di lubang ke-17.


"Pukulan putt saya bagus dan berjaya mengelak daripada masalah," kata Villegas. "Saya puas hati aksi hari ini. Saya berasa lebih tenang, ceria dan menikmati setiap pukulan yang saya lakukan." Villegas berkata, dia melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan permainan bagi menamatkan kemarau kemenangan yang berlanjutan lebih setahun.


Johnson membenam tujuh birdie serta berjaya mengelak daripada mencatat bogey untuk menerajui cabaran bersama Villegas.

Johnson yang dianggap bermain di halaman sendiri, tenang dan berjaya menyerap setiap tekanan dihadapinya.


"Saya sentiasa seronok setiap kali beraksi di lapangan ini," kata Johnson.

Johnson dan Villegas memiliki kelebihan satu pukulan ke atas Matt Bettencourt, Daniel Summerhays dan pemain Zimbabwe, Brendon de Jonge yang merakam 65 pukulan.


Boo Weekley pula mencatat lima bawah par bersama pemain Australia, Matt Jones, pemain Kanada, David Hearn, Jim Herman, Vaughn Taylor, Kevin Streelman dan Robert Streb.


Steve Stricker, juara tiga kali berturut-turut sebelum dirampas Johnson tahun lalu, menamatkan saingan hari pertama dengan empat bawah par bersama KJ Choi dan Davis Love. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Lorenzo pasang impian cabar Pedrosa

Posted: 12 Jul 2013 03:29 PM PDT

Berlin: Penunggang Yamaha, Jorge Lorenzo menaruh harapan untuk mencabar kemenangan tiga tahun Dani Pedrosa di MotoGP Jerman selepas pencapaian membanggakan pelumba Sepanyol itu di Belanda.

Lorenzo, 26, yang menghuni tempat kedua keseluruhan, menampilkan persembahan menakjubkan di Assen, dua minggu lalu untuk menduduki tempat kelima, hanya 36 jam selepas menjalani pembedahan tulang bahu berikutan kemalangan ketika sesi latihan.


Penyandang juara dunia itu hanya ketinggalan sembilan mata di belakang penunggang Honda, Pedrosa tapi memenangi empat daripada enam perlumbaan terakhir di trek Jerman.

Lorenzo belum menang di Sachsenring dan mendapati sirkit melawan jam itu mencabar untuk bahunya yang masih cedera tapi penunggang itu tetap bersemangat memberikan aksi terbaik.


"Sachsenring sedikit sukar buat saya selepas kemalangan di Assen," katanya. "Memang benar kami mendapat keputusan mengejutkan di Belanda tapi saya harus realistik kerana tulang bahu masih memerlukan masa untuk sembuh.


"Saya terpaksa bekerja keras di Assen tapi memerlukan lebih banyak masa pulih sepenuhnya. Saya tidak akan 100 peratus cergas di Jerman tapi saya yakin mampu menyerlah hujung minggu ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Angela, Catriona kongsi pendahulu

Posted: 12 Jul 2013 03:29 PM PDT

Waterloo: Angela Stanford membenam birdie pada tiga lubang terakhir untuk berkongsi kedudukan teratas dengan Catriona Matthew dengan catatan lapan bawah par 63 pada hari pertama Kejohanan Manulife Financial LPGA Classic di Lapangan Grey Silo.

Matthew mencatat sembilan birdie dan satu bogey manakala Stanford beraksi tanpa sebarang bogey di lapangan yang teruk terjejas akibat hujan lebat awal minggu ini.


Pemain nombor satu dunia, Park In-Bee yang memburu kejayaan keempat musim ini, mengetuai kumpulan lima pemain lain dengan catatan enam bawah par. Pemain yang berkongsi catatan serupa ialah Park Hee-Young, Meena Lee, Belen Mozo dan Irene Cho.

Catriona memulakan aksinya di lubang ke-11 dan selepas hanya berjaya mencatat bogey di lubang ke-12, dia mula konsisten dan membenam lima birdie di enam lubang terakhir.


"Pukulan saya bagus dan membuka ruang untuk mengumpul catatan ini. Pukulan putt saya juga menjadi," kata Catriona.


Catriona melakukan 14 pukulan drive tepat di fairway sekali gus membolehkannya membuat pukulan kedua yang lebih mudah.

"Bola yang saya pukul berhenti di tempat yang disasar dan itulah hasilnya jika berjaya membuat pukulan drive tepat ke fairway," kata Catriona.


Angela turut memulakan aksi di lubang ke-11 tetapi bermain pada sebelah petang.

Pada baki tiga lubang, Angela membenam birdie di lubang kelapan, sembilan dan sepuluh untuk berkongsi kedudukan pendahulu.


"Saya berasa akan melakukan birdie bermula di lubang kelapan. Saya hanya ada tiga lagi lubang dan berdepan satu par tiga dan dua par empat. Saya perlu bijak menggunakan iron untuk mencatat pukulan terbaik," katanya.


"Saya hanya cuba melakukan pukulan terbaik untuk mendaratkan bola di green dan membolehkan saya melakukan putt yang tepat." Sementara itu, In-Bee yang hadir selaku juara Terbuka Wanita AS awal bulan ini, gembira dengan aksi dipersembahkan hari ini.


"Saya puas hati. Saya memulakan persembahan dengan baik dan mencatat lima bawah par pada tujuh lubang pertama. Saya terlepas beberapa peluang pada sembilan lubang kedua tetapi keseluruhan, saya gembira dengan persembahan ini.


"Pukulan saya bagus, putt saya juga menjadi. Permukaan green agak laju tetapi saya akan dapat membiasakan diri," katanya.


In-Bee yang menjuarai kejohanan Kraft Nabisco, April lalu serta Kejuaraan LPGA, bulan lalu, menyamakan rekod pencapaian Babe Zaharias sebagai satu-satunya wanita yang menang tiga kejuaraan utama dalam tempoh satu musim.


In-Bee berpeluang muncul satu-satunya atlet golf tidak kira lelaki atau wanita yang memenangi empat kejohanan utama setahun jika muncul juara Terbuka Wanita British di St. Andrews, 1 hingga 4 Ogos ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Hadiah lumayan!

Posted: 12 Jul 2013 03:29 PM PDT

Seremban: Hadiah wang tunai keseluruhan RM10,000 dan pelbagai hadiah menarik lain termasuk penginapan di hotel bertaraf lima bintang dan barangan elektrik bakal menjadi taruhan pada Larian IJM Land 2013 di Seremban 2, Negeri Sembilan, pada 6 Oktober.

Pengurus Besar IJM Land Hoo Kim See berkata, tujuh kategori, lelaki dan wanita terbuka berusia 16 hingga 39 tahun, lelaki junior veteran (40-55 tahun), wanita veteran (40 tahun ke atas), lelaki senior veteran (56 tahun ke atas) dan kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan 12 tahun ke bawah dipertandingkan.


Larian membabitkan jarak 10 kilometer itu dijangka disertai 2,000 peserta.

"Kali ini kita tawarkan hadiah lebih menarik termasuk wang tunai bagi memastikan saingan lebih sengit.


"Matlamat menganjurkan larian ini sebagai suatu cara menggalakkan pembabitan masyarakat pelbagai peringkat dalam aktiviti sukan dan kecergasan selain menghargai sokongan orang ramai yang memilih projek perumahan dikendalikan IJM Land," katanya.


Menurutnya, pendaftaran larian itu dibuka hingga 15 September dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 06-7613888 atau 012-6033131.

"Berdasarkan penganjuran larian kali pertama tahun lalu, sambutan diterima amat menggalakkan dan kali ini peserta mungkin lebih ramai yang hadir kerana hadiah lebih menarik."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Melaka akhiri penantian 55 tahun

Posted: 12 Jul 2013 03:28 PM PDT

Melaka: Melaka menamatkan penantian 55 tahun apabila menjuarai Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Pasir Gudang, Johor Bahru baru-baru ini.

Melaka beraksi cemerlang menewaskan Negeri Sembilan, 2-0 pada aksi final yang berlangsung sengit.


Pernah mara ke final tahun lalu namun tewas kepada Selangor, kejayaan itu melakar sejarah baru pencapaian skuad MSSM Melaka selepas 55 tahun mencuba.

Gol kemenangan Melaka dihasikan Mohd Shamierul Jasmi dan Najmuddin Samat dengan Shamierul turut terpilih Pemain Terbaik kejohanan dan Mohamad Aizad Ilman Moktar Penjaga Gol Terbaik.


Jurulatih Melaka Mohd Fauzi Mokhtar berkata, sokongan padu semua pihak terutama Unit Sukan dan Jabatan Pelajaran Melaka, guru-guru serta ibu bapa memberi impak besar kepada kejayaan itu.


"Kejayaan ini membuktikan Melaka memiliki pemain berbakat yang mampu menyerlah di peringkat lebih tinggi pada masa depan," katanya.

Beliau bangga dengan komitmen serta kerja keras pemain sepanjang kejohanan.


"Kami akan terus berusaha membentuk pasukan lebih mantap bagi mempertahankan kejuaraan pada 2014." Melaka turut meraih gelaran naib juara MSSM Bawah 18 tahun selepas tewas 0-4 kepada Terengganu pada perlawanan akhir, manakala Selangor juara Bawah 12 Tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Titi Serong El Nino FC B unggul

Posted: 12 Jul 2013 03:28 PM PDT

Yan: Pasukan Futsal Titi Serong El Nino FC B menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik Kejohanan Futsal Liga Sukan Untuk Semua Peringkat Daerah Yan 2013 di Gelanggang Futsal 1Malaysia KEDA Sungai Udang Yan, Kedah.

Pengurus dan jurulatih pasukan Titi Serong El Nino FC Mohd Hafiz Abu Hassan tetap puas hati biarpun sekadar mendapat tempat ketiga keseluruhan. "Saya puas hati kesungguhan dan komitmen ditunjukkan pemain," katanya.


Menurutnya, ketua pasukan Muhammad Zulhairi Md Isa, Muhammad Syafiq Aminudin Sharif, Azwan Md Ali, Muhammad Sharafuddin Abu Hassan, Khairil Asyraf Harun, Mohd Akmal Aidil Ismail dan Mursyid Mustaqim Yaakob memperagakan aksi menarik dan mantap, namun hanya jaringan memisahkan mereka.

Hafiz yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Belia MAYC Nur Hidayah Titi Serong berkata, kejohanan futsal itu secara tidak langsung mencungkil bakat dan melahirkan pelapis bola sepak serta mendedahkan pemain kepada perlawanan lebih kompetitif.


"Ini satu perkembangan sihat dan positif untuk remaja daerah ini. Remaja juga didedahkan dengan aktiviti sukan berfaedah selain menghindarkan mereka daripada gejala negatif." Pada kejohanan itu, Titi Serong El Nino B yang muncul juara kumpulan layak hingga ke separuh akhir sebelum tewas mengejut kepada TLJ FC A.


Juara dimenangi Fayed FT, naib juara TLJ FC A, ketiga Titi Serong El Nino FC B dan keempat Pantai Murni FC. Fayed FT membawa pulang RM1,000, manakala TLJ FC A selaku naib juara RM600 manakala Titi Serong El Nino FC B ketiga dan Pantai Murni FC keempat, masing-masing menerima RM300. Kejohanan futsal anjuran bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Yan dan Majlis Belia Daerah Yan itu disertai 32 pasukan seluruh Daerah Yan. Hadiah disampaikan Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Daerah Yan Hapis Shariff.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

Farkhan digugur!

Posted: 12 Jul 2013 03:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Bekas petinju elit negara, Mohd Farkhan Haron (gambar) digugurkan daripada skuad kebangsaan ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini dan bukan menarik diri seperti didakwanya.

Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) semalam menjelaskan Mohd Farkhan, 25, digugur pada 17 Jun lalu kerana sering gagal melaporkan diri untuk sesi latihan pusat skuad kebangsaan.


Setiausaha Kehormat PTAM Mohamed Jani Ismail berkata, pemenang emas Sukan SEA Laos 2009 itu gagal melaporkan diri untuk sesi latihan setiap kali pemilihan diadakan untuk kejohanan tempatan.

Beliau menafikan PTAM ada menerima surat menarik diri daripada Mohd Farkhan yang kononnya dihantar petinju itu pada 17 Jun lalu.


"PTAM tidak menerima sebarang surat penarikan diri dan selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden PTAM, kami memutuskan untuk menggugurkannya daripada skuad kebangsaan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Mohd Farkhan dalam Arena Metro, semalam yang beliau memutuskan untuk keluar daripada skuad kebangsaan disebabkan kurangya kejohanan dianjurkan PTAM.

Petinju itu turut mendakwa tindakan menarik diri itu dinyatakan menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada PTAM pada 17 Jun lalu.


"Sekiranya surat itu benar-benar dihantar kepada kami, bila dan kepada siapa dia hantar surat itu?" kata Mohamed Jani ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut menafikan dakwaan mereka kurang menganjurkan kejohanan di peringkat tempatan dan antarabangsa sebagai persediaan awal skuad kebangsaan menghadapi temasya Sukan SEA Myanmar 2013.


Ditanya mengenai pengganti Mohd Farkhan bagi menggalas cabaran negara ke Sukan SEA Myanmar, Mohamad Jani berkata, mereka mengenalpasti Rudy Petrus, seorang anggota tentera, sebagai calon sesuai.


"Rudy juara kategori 75kg pada Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan ATM dan kita lihat beliau sesuai menggantikan Mohd Farkhan kerana kedua-duanya mempunyai berat badan hampir sama." Beliau berkata, tanpa Mohd Farkhan, PTAM masih yakin sasaran tiga pingat emas pada Sukan SEA Myanmar masih realistik. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

PBBM tambah baik SOP demi keselamatan

Posted: 12 Jul 2013 03:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM) akan menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) badan induk itu berikutan kes rogol membabitkan atlet Wilayah Persekutuan (WP) semasa Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16, minggu lalu.

Presiden Pandak Ahmad berkata, SOP itu akan diguna pakai semua pegawai dan atlet yang terbabit dalam sesuatu kejohanan atau temasya sukan supaya insiden memalukan itu tidak berulang.


"Satu mesyuarat khas akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk membincangkan penambahbaikan SOP sedia ada "Saya akan mencadangkan beberapa pembaharuan SOP sebelum sebuah jawatankuasa khas meneliti dan membuat keputusan," katanya.

Pandak berharap penambahbaikan SOP itu dapat diguna pakai pada dua kejohanan, Kejohanan Bawah 16 Tahun di Melaka, November ini dan Kejohanan Kebangsaan di Perak pada Disember.


Katanya antara penambahbaikan ialah aspek pengurusan kerana jika leka dan mengambil mudah terhadap pasukan masing-masing, ia akan menyebabkan atlet bertindak sesuka hati hingga menjejaskan reputasi skuad.


Selain itu, beliau akan pastikan SOP baru menyenarai garis panduan berhubung pelantikan pegawai pengiring yang lebih berpengalaman dan boleh mengawal tingkah laku atlet.

"Sebelum ini, atlet tidak diberitahu secara langsung kerana kita anggap mereka sudah tahu. Tapi, apabila berlaku sesuatu tidak diingini, mereka menyalahkan kita kerana mereka dakwa tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai SOP itu.


"Mulai sekarang, atlet perlu diberi taklimat mengenai SOP sebelum kejohanan bermula bagi memastikan mereka jelas dengan peraturan yang perlu dipatuhi." SOP badan induk itu, sebelum ini menggariskan atlet mematuhi had waktu keluar-masuk dari kem penginapan masing-masing, tidak mengambil bahan terlarang seperti minuman keras dan dadah serta akur terhadap peraturan yang ditetapkan penganjur.

Kelmarin, tiga atlet bola baling WP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan merogol pegawai pengiring wanita berusia 20 tahun di Perkampungan Sukan Sukma 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, 4 Julai lalu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

18 pemain rebut empat slot ke Piala Dunia

Posted: 12 Jul 2013 03:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Kira-kira lima bulan sebelum bermulanya kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di New Delhi, India, ketua jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah hanya memerlukan baki empat pemain untuk melengkapkan senarai 18 yang akan mewakili negara di pentas tertinggi itu.

Walaupun kejohanan itu hanya berlangsung Disember, Dharma sudah melakukan persediaan awal apabila memilih 14 pemain yang dirasakannya mampu memikul tanggungjawab besar di New Delhi.


Kini, baki 18 pemain perlu bersaing untuk merebut empat tempat ditawarkan dan lebih penting mereka perlu berjaya menambat hati Dharma.

"Awal-awal lagi saya sudah beritahu kepada baki 18 pemain yang bersama dalam kem latihan skuad negara mereka perlu bersaing untuk merebut empat tempat yang tinggal.


"Ini kerana saya sudah mempunyai senarai 14 pemain pilihan yang saya rasa tidak perlu dipertikaikan kemampuan mereka.


"Saya cabar baki 18 pemain ini untuk buktikan kepada saya kemampuan masing-masing sebelum saya pilih empat yang terbaik," katanya.

Dharma berkata, antara pemain yang sudah berada dalam senarai pilihannya termasuklah beberapa pemain yang membarisi skuad kebangsaan pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru minggu lalu iaitu Fitri Saari, Muhammad Firhan Ashaari dan Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin.


Empat pemain yang diperlukan masing-masing di posisi pertahanan, tengah, penyerang serta seorang pemain yang mampu beraksi di mana-mana posisi.

Piala Dunia Remaja berlangsung dari 6 hingga 15 Disember akan disertai 16 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/13

No comments:

Post a Comment