Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Amal permainan 'power game'

Posted: 16 Jul 2013 09:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei diyakini mampu meraih gelaran Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Guangzhou, China, pada 5-11 Ogos namun perlu mengamalkan permainan kekuatan (power game) jika bertemu Lin Dan.

Pensyarah Kanan/Pakar Psikologi Sukan Universiti Malaya Dr Balbir Singh Gill berkata, Chong Wei tidak mempunyai masalah ketika berdepan pemain lain namun ada saja yang tidak kena apabila menentang pemain China itu seperti di final Sukan Olimpik London tahun lalu.


"Saya tidak bersetuju apabila ramai memperkatakan Chong Wei kalah dari segi mental. Kekuatan mental seseorang berdasarkan motivasi dirinya dan Chong Wei cukup bermotivasi. Dia seorang yang mengejar kejayaan dan tidak pernah mengecewakan jika ada ganjaran," kata Balbir.

Beliau menganggap pemain nombor satu dunia ini sebagai atlet badminton yang memiliki fizikal paling cergas di dunia.


"Dari segi ketangkasan, Chong Wei jauh lebih baik berbanding Lin Dan, tapi dari segi teknikal, kedua-duanya setara. Masalah sebenarnya taktikal digunakan dalam satu-satu perlawanan itu.


"Selama ini kita boleh lihat bagaimana Chong Wei mampu menangani pemain lain, semuanya disebabkan taktikal yang betul. Tapi apabila menentang Lin Dan, kita nampak dia tercari-cari taktikal yang boleh mengatasi juara Olimpik itu. Kita boleh lihat setiap kali Chong Wei melakukan gerakan badan, Lin Dan tidak terpedaya dan tidak bergerak langsung. Malah setiap kali Chong Wei mengangkat tinggi bulu tangkis, Lin Dan sudah bersedia mematikannya.

Foto

CHONG Wei miliki fizikal paling cergas di dunia.

"Lin Dan mempunyai kekuatan (power) dalam setiap pukulan. Cara terbaik untuk mengatasinya, Chong Wei juga mesti mempamerkan aksi kekuatan (power game).


"Sebelum ini ketika dilatih Misbun Sidek, Chong Wei dipengaruhi dengan permainan 'stroke' tapi apabila Misbun tidak lagi mengendalikannya, Rashid Sidek memperkenalkan semua permainan kekuatan dan waktu itulah Chong Wei menang dua kali ke atas Lin Dan dalam dua set.

"Dalam permainan badminton, memang kemahiran dan kecergasan pemain itu penting tapi ada masanya percaturan taktikal jurulatih itu memainkan peranan besar," kata Balbir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Cavani sah milik PSG

Posted: 16 Jul 2013 09:14 AM PDT

Paris: Edinson Cavani tiba di Paris kelmarin untuk memuktamadkan perpindahannya ke Paris Saint-Germain (PSG), dengan sumber rapat berkata tanda harga 64 juta euro (RM267 juta) akan memecahkan rekod Perancis.

Penyerang Napoli berusia 26 tahun itu, penjaring gol terbanyak Serie A musim lalu dengan 29 gol, mendarat di Paris pagi kelmarin sebelum menuju ke sebuah hotel terkemuka di bandar raya itu untuk menjalani pemeriksaan perubatan.


PSG kemudian mengumumkan akan mengadakan sidang akhbar malam tadi, mencetus spekulasi pemeriksaan perubatan berjalan lancar dan kontrak akan ditandatangani dengan segera.

Cavani dijangka mengikat kontrak lima tahun, menurut sumber PSG.


Lewat kelmarin, Pengarah Sukan PSG Leonardo dilihat meninggalkan hotel mewah itu dengan seorang penasihat kepada pemain Uruguay itu, yang digelar 'The Matador'.


Sekiranya pemain dari Amerika Selatan itu mengikat kontrak bersama kelab juara Perancis itu, dia akan beraksi di samping bekas rakan sepasukan Napoli Ezequiel Lavezzi dari Argentina.

Rekod perpindahan semasa Ligue 1 Perancis dicatat baru-baru ini apabila penyerang Colombia Radamel Falcao berhijrah ke AS Monaco dari Atletico Madrid dengan harga dianggarkan hampir 60 juta euro (RM250 juta).


Sekalipun Monaco mencuri tumpuan di Perancis pada musim panas ini, dengan pemilik bilionair dari Russia Dmitry Rybolovlev berbelanja sekitar 140 juta euro (RM584.8 juta) dalam usaha mencabar juara bertahan itu, PSG kini membayangkan hasrat mereka tidak ketinggalan berbelanja besar.

Kelab berpangkalan di ibu negara Perancis itu bagaimanapun cuba tidak mengendahkan khabar angin dalam akhbar sukan Catalunya minggu lalu mengenai kemungkinan pertahanan tengah Brazil Thiago Silva berpindah ke Barcelona.


Ejen Silva, Paulo Tonieto dipetik berkata: "Thiago seorang pemain PSG. Dia mempunyai kontrak dan menghormatinya.


"Desas-desus ini sama seperti tahun lalu tapi Silva seorang pemain PSG dan dia akan melunaskan kontraknya bersama kelab ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Trinidad dan Tobago mara suku akhir

Posted: 16 Jul 2013 09:12 AM PDT

Miami, Florida: Trinidad dan Tobago mengambil kesempatan daripada persembahan hambar Honduras untuk layak ke suku akhir Piala Emas CONCACAF dengan kemenangan 2-0 di Houston, semalam.

Pada perlawanan terdahulu dalam Kumpulan B di Stadium BBVA Compass, El Salvador mengatasi Haiti 1-0 sekali gus turut memastikan tempat ke pusingan kalah mati.


Honduras sudah memastikan muncul juara kumpulan selepas memenangi dua perlawanan pertama mereka, membolehkan Trinidad dan Tobago menggunakan kesempatan dengan persembahan mengagumkan pada babak kedua.

Penyerang Stoke City Kenwyne Jones menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi, membantu pasukannya ke peringkat kalah mati apabila dia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-48 selepas Orlin Peralta menjatuhkan Cornell Glenn dalam kotak penalti.


Jones kemudian membantu pasukannya menggandakan kelebihan pada minit ke-67 apabila dia melorongkan bola kepada Kevin Molino untuk menyumbat gol dari dalam kawasan penalti.


Kekalahan itu tidak menjejaskan Honduras kerana mereka mara susulan kemenangan ke atas Haiti dan El Salvador. Trinidad dan Tobago berakhir di tangga kedua berikutan kemenangan itu.

Haiti berpeluang layak namun gol lewat perlawanan menyebabkan mereka tersingkir.


Rodolfo Zelaya awalnya gagal menjaringkan sepakan penalti namun dia berjaya merembat masuk gol tunggal ketika El Salvador mengakhiri peringkat kumpulan sebagai satu daripada pasukan tangga ketiga terbaik. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Fenerbahce, Besiktas tetap digantung

Posted: 16 Jul 2013 09:11 AM PDT

Nyon, Switzerland: Kelab Turki Fenerbahce dan Besiktas gagal dalam usaha mereka merayu daripada digantung bermain pada pertandingan Eropah, menurut UEFA kelmarin.

Fenerbahce, yang dijadualkan beraksi pada Liga Juara-Juara musim ini, digantung daripada bola sepak Eropah, dua musim dan Besiktas, yang layak ke Liga Europa selama semusim.


Kedua-dua penggantungan dikaitkan dengan skandal mengatur keputusan perlawanan domestik yang menggemparkan bola sepak Turki pada 2011.

Kedua-dua kelab itu meminta UEFA mengkaji semula hukuman bulan lalu dan dalam kedua-dua kes, badan induk bola sepak Eropah itu memutuskan untuk meneruskan penggantungan.


"Badan Rayuan UEFA menganalisis secara terperinci kenyataan dan dokumen dibentangkan oleh Besiktas dan Fenerbahce berhubung kes mereka selain kenyataan dan dokumen disediakan Inspektor Disiplin UEFA yang dilantik bagi setiap kes." Kelab itu berhak merayu keputusan itu di Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS). - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Faldo ubah pendirian

Posted: 16 Jul 2013 09:11 AM PDT

Gullane, Scotland: Kenangan manis memenangi dua kejuaraan Terbuka British di Muirfield memaksa Nick Faldo kembali seketika daripada persaraan minggu ini, namun dia menolak kemungkinan melakukan kebangkitan seperti Tom Watson atau Greg Norman.

Pemain Inggeris itu, yang berusia 56 tahun esok, menang dua daripada tiga kejuaraan Terbuka British di lapangan terkenal East Lothian itu pada 1987 dan 1992 selain satu lagi kejuaraan di St Andrews pada 1990.


Namun dia bersara pada 2007, beralih kepada kerjaya di televisyen dan mempromosi Yayasan Siri Faldo untuk membantu pemain golf muda di seluruh dunia.

Dia kembali beraksi pada Terbuka British 2009 di Royal Birkdale dan St Andrews tahun berikutnya, namun gagal melepasi had kelayakan bagi kedua-duanya dan tidak bertanding pada kejuaraan utama sejak itu.


Muirfield, menjadi hos Terbuka British kali pertama sejak 2002, menyebabkannya tertarik kembali beraksi.


"Saya fikir itulah alasan nombor satu kenapa saya di sini," katanya selepas berlatih sembilan lubang pada sesi pagi kelmarin.

"Seperti yang anda tahu, saya bermain di St Andrews tiga tahun lalu dan saya tidak berasa seronok. Saya tidak bermain sebarang kejohanan kompetitif.


"Saya mempunyai satu tempat istimewa di sini, green lubang ke-18 di Muirfield. Saya memikirkan mengenainya dan akhirnya membuat keputusan untuk bertanding.

"Kira-kira dua bulan lalu saya berada di gimnasium di rumah dan saya fikir ketika itu, saya masih kuat untuk bermain." Sejak itu, Faldo gigih berlatih, berbincang dengan pakar psikologi sukan Justin Rose dan cuba mengembalikan sentuhan lamanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Adidas gantung tajaan Gay

Posted: 16 Jul 2013 09:08 AM PDT

Berlin: Adidas menggantung tajaan Tyson Gay selepas pelari pecut Amerika Syarikat itu didapati positif menggunakan dadah terlarang.

Syarikat Jerman itu berkata, ia 'terkejut' dengan pendedahan Gay gagal ujian dadah namun akan tetap melaksanakan syarat dalam perjanjian itu.


"Sekalipun jika kami anggap dia belum bersalah hingga dibuktikan, kontrak kami bersama Tyson ketika ini digantung," kata Adidas.

"Adidas mempunyai polisi jelas mengenai doping dan penggunaan dadah, setiap perjanjian dengan atlet termasuk klausa jelas yang menyatakan perjanjian akan dibatalkan oleh Adidas jika atlet didapati bersalah menggunakan dadah atau bahan terlarang oleh mana-mana badan sukan." Gay, 30, seorang daripada empat pelari terpantas lelaki dalam sejarah dan memiliki rekod peribadi 9.69 saat bagi 100 meter dan 19.58s, 200m.


Dia memenangi tiga pingat emas dunia 100m, 200m dan 4x100m pada 2007 dan memenangi perak 200m pada edisi 2009 namun gagal pada peringkat Olimpik kerana nasib malang dan kecederaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Belang AY17

Posted: 16 Jul 2013 09:08 AM PDT

Sri Aman: Trofi Liga Bola Sepak Naim-Sri Aman 2013 menjadi milik skuad AY17 apabila menumpaskan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, 2-0 pada aksi final di Padang Kompleks Sukan Sri Aman.

Pemain tengah Awang Zaidi Awang Razak membuka tirai jaringan buat AY17 pada minit ke-30 selepas merembat masuk bola muntah bagi menewaskan penjaga gol, Awang Azaharuddin Awang Ahmad.


AY17 sekali lagi membolosi JKR Sri Aman apabila Jafary Hamden bijak menyempurnakan sepakan percuma yang menerjah ke gawang lawan ketika perlawanan berbaki lima minit.

Bagaimanapun, pujian harus diberi kepada JKR Sri Aman kerana cuba bangkit dengan mencipta beberapa peluang keemasan bagi menjaringkan gol sepanjang perlawanan.


Skuad AY17 pimpinan Abang Yahya Abang Sulaiman membawa pulang RM5,000 serta piala kejuaraan dan pingat manakala JKR Sri Aman RM3,000.


PSJ Muhibbah, ketiga RM1,500 manakala SOP Batu Lintang keempat, RM500.

Hadiah disampaikan wakil Persatuan Bola Sepak Sri Aman (SAFA) Abang Noren Abang Naruddin.


Sementara itu, Abang Noren berkata, kejayaan AY17 dan JKR Sri Aman membolehkan mereka layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan Liga Juara-Juara Sarawak 2013 di Bintulu pada Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Unicorn tepati ramalan

Posted: 16 Jul 2013 09:07 AM PDT

Mukah: Pasukan pilihan Unicorn menepati ramalan awal apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah sempena Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan SLDB Ladang 3 baru-baru ini.

Unicorn yang dibarisi pemain Ladang 3 menundukkan La Roja, 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat perlawanan.


Kejayaan itu membolehkan Unicorn membawa pulang piala iringan dan medal manakala La Roja menerima medal. Tempat ketiga milik Dayak Heaven yang menundukkan Badagen 1, 2-0.

Pemain La Roja, Syahari Ibrahim muncul pemain terbaik perlawanan akhir.


"Walaupun berpuasa saya dapat bertahan dan bersabar. Saya tetap gembira walaupun kami menduduki tempat kedua. Anugerah pemain terbaik ini yang pertama saya peroleh selepas lebih 15 tahun bermain bola sepak," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Penganjur Margerat Irin berkata, kejohanan itu diadakan bagi membantu PIBG mengumpul dana menampung perbelanjaan pelajar dan pembangunan sekolah.

"Dengan adanya kejohanan seperti ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa, guru dan masyarakat setempat terjalin. Pada masa sama ia membantu kami mencari bakat baru sukan bola sepak walaupun mereka pekerja di kawasan ladang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

KTE FC kuasai Futsal LSUS

Posted: 16 Jul 2013 09:07 AM PDT

Sri Aman: Pasukan KTE FC merangkul kejuaraan Kejohanan Futsal Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) 2013 selepas menundukkan Op Daulat, 3-2 pada perlawanan akhir di Gelanggang Futsal 1Malaysia Tanjung Engkabang, baru-baru ini.

Kemenangan ini sekali gus membolehkan KTE FC membawa pulang wang tunai RM500, piala dan pingat manakala Op Daulat, RM300 dan ketiga Tap Tap RM200.


Hadiah disampaikan Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman Mohamad Ishraq Ismail selepas kejohanan.

Kejohanan dibuka kepada semua penduduk sekitar Sri Aman, berusia 15 tahun ke atas dan bertujuan mencungkil bakat baru di kalangan anak muda di samping memupuk budaya bersukan di kalangan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Farkhan enggan rujuk

Posted: 16 Jul 2013 09:03 AM PDT

Kuala Lumpur: Mohd Farkhan Haron menegaskan tidak berhasrat kembali ke pangkuan skuad kebangsaan dalam masa terdekat namun tetap menyambut baik hasrat Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong dalam mencari jalan penyelesaian membabitkan dirinya dan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM).

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 Laos itu menjelaskan bukanlah sesuatu yang mudah untuk kembali seandainya program disediakan tidak mampu melonjakkan dirinya ke peringkat lebih tinggi seperti yang diperkatakan bekas jurulatihnya Ramli Yahya.


"Untuk apa kembali seandainya tiada program yang boleh memberikan kemajuan kepada saya. Keputusan saya untuk menarik diri daripada skuad kebangsaan sesuatu yang sukar namun ia perlu juga dilakukan," kata peninju berusia 25 tahun itu yang beraksi di tiga final Sukan SEA sejak 2009.

PTAM sebelum ini mengumumkan pengguguran Mohd Farkhan yang didakwa tidak mampu memberi komitmen kepada program latihan skuad negara dan pantas menggantikan tempatnya dengan peninju Angkatan Tentera Malaysia, Rudy Petrus untuk beraksi dalam kategori 75 kilogram.


Namun Farkhan tampil menafikan dia digugurkan apabila menjelaskan sudah menarik diri dan mendedahkan ketiadaan program sistematik yang mendorongnya membuat keputusan drastik.


Isu berkenaan menarik perhatian Zolkples yang menjelaskan akan mengadakan pertemuan dengan PTAM dalam masa terdekat untuk menyelesaikan kontroversi terbabit dan berharap Farkhan kembali bersama skuad negara untuk tampil di Sukan SEA di Myanmar pada Disember, disusuli kejohanan lain termasuk Sukan Komanwel 2014.

"Saya hargai apa MSN ingin lakukan dan sememangnya mereka banyak membantu saya selama ini. Saya berharap mereka dapat mencari jalan penyelesaian untuk peninju seperti saya. Jangan sampai seluruh pasukan menarik diri," katanya.


Seandainya Farkhan tegas dengan keputusannya, sasaran PTAM untuk memenangi tiga emas di Sukan SEA Myanmar perlu dikaji semula kerana jelas peninju kelahiran Johor itu antara yang berpotensi muncul juara selepas meraih satu emas dan dua perak sejak tiga edisi lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

No comments:

Post a Comment