Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


SSBJ 'rantai' 3 pemain

Posted: 15 Jul 2013 08:21 AM PDT

Kelana Jaya: Tindakan pihak pentadbiran Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) tidak membenarkan tiga pemain menyertai skuad Harimau Muda C bagi menyertai program latihan dan perlawanan persahabatan di Slovakia mengundang rasa kecewa jurulatih skuad bawah 19 tahun, Aminuddin Hussin.

Tiga pemain itu, penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, pemain tengah Mohd Raphi Azizan dan pertahanan kiri Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar terpaksa diketepikan daripada senarai 25 pemain yang berlepas ke Slovakia malam tadi bagi mengharungi kejohanan jemputan dan perlawanan persahabatan di negara itu hingga 20 Ogos.


Bagi Aminuddin, alasan tempoh masa program terlalu panjang yang diberikan pihak SSBJ sukar diterima kerana mereka sudah bersama pasukannya selama enam bulan dan ketiga-tiga pemain menjadi tonggak pasukan sebagai persediaan menghadapi dua kejohanan penting, Piala AFF B-19 di Surabaya, September ini dan pusingan kelayakan Piala AFC di China pada Oktober.

"Jika mereka tidak bersama kami ke Slovakia, pastinya ia akan menjejaskan persiapan pasukan. Mereka (SSBJ) memberikan alasan program ini terlalu lama, tapi bagi saya SSBJ sebuah sekolah sukan dan sepatutnya lebih memahami dan membantu pasukan ini.


"Semua pemain ini sudah mendapat kebenaran penjaga masing-masing tapi SSBJ masih tidak membenarkan mereka pergi. Saya tidak kisah sama ada SSBJ diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan bukannya Kementerian Pelajaran, sebaliknya saya hanya mahu ada pihak yang boleh membantu demi perkembangan bola sepak tanah air," katanya ketika ditemui pemberita semalam.


Aminuddin juga hairan bagaimana mereka tidak mendapat kerja sama daripada sebuah sekolah sukan elit negara sedangkan mereka tidak berdepan masalah membawa tiga pemain dari sekolah biasa di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

"Kalau untuk kejohanan, SSBJ benarkan tapi untuk program pendedahan seperti ini tidak boleh. Bagaimana pemain boleh beraksi di kejohanan kalau tidak mendapat latihan dan pendedahan dulu," tegasnya.


Selama lebih sebulan di Slovakia, Harimau Muda C akan menyertai satu kejohanan jemputan dan mengharungi lapan perlawanan persahabatan dengan skuad B-19 kelab liga utama negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Duo gagal ujian dadah

Posted: 15 Jul 2013 08:14 AM PDT

London: Bekas juara pecut berganda dunia Tyson Gay mencetus tamparan besar terhadap sukan olahraga kelmarin apabila menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Moscow bulan depan selepas gagal ujian dadah.

Gay melakar tiga catatan terpantas 100 meter tahun ini dan pertembungannya dengan juara 100 dan 200m Olimpik Usain Bolt dari Jamaica dijangka menjadi kemuncak kejohanan itu.


Sebaliknya dia menarik diri daripada kejohanan Liga Berlian di Monaco Jumaat ini dan Kejohanan Dunia pada hari terburuk buat sukan utama Sukan Olimpik itu.

Juga kelmarin, bekas pemegang rekod 100m dunia Asafa Powell dan pemenang pingat perak acara 4x100m Olimpik Sherone Simpson mengesahkan mereka diuji positif dengan bahan rangsangan oxilophrine pada Kejohanan Kebangsaan Jamaica bulan lalu.


Oxilophrine mempunyai kandungan sama dengan ephedrine, sekalipun ia mempunyai struktur kimia berbeza dan kedua-duanya berada dalam senarai bahan larangan Agensi Anti Dadah Dunia.


Powell, 30, yang beraksi bagus akhir-akhir ini berkata, dia tidak tahu-menahu mengambil sebarang bahan yang melanggar peraturan.

"Kini dan selamanya saya tidak pernah menjadi seorang penipu," katanya dalam satu kenyataan.


Sherone, 28, yang berkongsi tangga kedua acara 100m pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan memenangi emas 4x100m di Athens 2004, turut menafikan menyedari mengambil sebarang bahan terlarang.

"Ini satu saat sukar buat saya," katanya dalam satu kenyataan.


"Sebagai seorang atlet, saya tahu dan bertanggungjawab terhadap apa juga yang saya ambil. Saya tidak mengambil secara sengaja sebarang bahan terlarang." Terdahulu sumber dalaman olahraga Jamaica berkata, lima atlet termasuk dua pemenang pingat Olimpik diuji positif dadah pada kejohanan itu.


Pengurus Bolt dan juara 100m dunia Yohan Blake berkata, atlet mereka tidak terbabit. Blake tidak bertanding pada kejohanan itu kerana kecederaan manakala Bolt menang acara 100m. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Aura positif Mickelson

Posted: 15 Jul 2013 08:11 AM PDT

Castle Stuart, Scotland: Phil Mickelson bersedia menghadapi Terbuka British dengan persembahan terbaik selepas menamatkan kemarau 20 tahun kejuaraan di Eropah menerusi kemenangan play-off pada Terbuka Scotland, kelmarin.

Mickelson, pemain ranking tertinggi yang bertanding, merangkul kejuaraan ke-50 karier profesionalnya apabila mengatasi pemain Afrika Selatan Branden Grace dengan birdie pada lubang pertama play-off.


Kedua-dua pemain menamatkan permainan biasa terikat dengan 17 bawah par dengan Grace melakar 69 dan memastikan tempat ke play-off apabila Mickelson melakukan tiga putt pada lubang terakhir untuk bogey bagi catatan 68.

Namun Mickelson kemudiannya bertindak cemerlang apabila pukulan ketiga dari jarak 45 ela merentasi lubang beberapa kaki sebelum bergolek semula ke belakang dan enam inci dari mangkuk lubang untuk mudah membenam birdie, manakala Grace terlepas birdie dari jarak 25 kaki.


Mickelson kalah menerusi penentuan play-off pada kejohanan itu enam tahun lalu di Loch Lomond namun akhirnya memenangi kejohanan itu pada penampilan kesembilan.


"Saya sudah beraksi di Scotland buat beberapa tahun dan setiap tahun ia menyeronokkan. Saya mempunyai peluang sebelum ini dan saya hampir mensia-siakannya hari ini," katanya.

"Jadi untuk muncul sebagai juara satu perasaan mengagumkan dan lapangan golf Castle Stuart ini amat menarik dan saya seronok bermain di sini sejak tiga tahun lalu, jadi kemenangan ini amat bermakna buat saya." Mickelson, yang meraih hadiah kemenangan AS$742,800 (RM2.4 juta), kini muncul pilihan utama pada Kejohanan Terbuka British kali ke-142 bermuka Khamis ini di Muirfield, timur Edinburgh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Pemain wild card benam ego Hewitt

Posted: 15 Jul 2013 08:11 AM PDT

Newport, Amerika: Pemain wild card Perancis Nicolas Mahut bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menundukkan pemain Australia Lleyton Hewitt pada final Kejohanan Hall of Fame, semalam.

Mahut mempamerkan aksi terpuji apabila menang 5-7, 7-5, 6-3 ke atas naib juara 2012 Hewitt di gelanggang utama.


Mahut sebelum itu mengatasi pemain Amerika Michael Russell 6-2, 6-2 pada separuh akhir sebelum mara ke final sekali gus muncul pemain pertama Perancis meraih kejuaraan Newport sejak Fabrice Santoro lima tahun lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu memperbaiki rekod kepada 2-2 bagi perlawanan akhir pada Jelajah ATP. Dia meraih kejuaraan sulungnya di 's-Hertogenbosch, Belanda bulan lalu.


Hewitt menyingkirkan juara bertahan John Isner awal semalam pada perlawanan ulangan final tahun lalu untuk mara ke perlawanan penentuan buat tahun kedua berturut-turut.


Hewitt, pilihan keempat, menang set pertama ke atas pemain Perancis itu namun gagal memastikan kemenangan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

UCSA juara mutlak MASISWA

Posted: 15 Jul 2013 08:10 AM PDT

Kuantan: Aksi mantap membantu pasukan Universiti Kolej Shahputra (UCSA) muncul juara bola sepak Kejohanan Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (MASISWA) Zon Timur, kelmarin.

UCSA menewaskan Kolej Antarabangsa IKIP, 2-1 di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) kampus Kuantan, Indera Mahkota.


Lebih bermakna, kejayaan itu menjadi penebus kekalahan tipis 1-2 kepada lawan sama pada peringkat kumpulan. Gol UCSA dijaringkan penyerang Muhamad Amir Arif Muhd Mujab seawal minit kedua sebelum Muhamad Aireq Anuar menjaringkan gol kemenangan lapan minit kemudian. Gol Kolej Antarabangsa IKIP disumbang Mohamad Anuar Saidon.

Jurulatih UCSA Mohd Zyuraimi Abd Majid berkata, semangat menebus kekecewaan peringkat kumpulan mendorong pemain beraksi lebih baik pada perlawanan akhir.


"Pemain bermain seolah-olah di gelanggang sendiri," katanya.


Mohd Zyuraimi berkata, temasya MASISWA kali ini begitu bermakna kerana pasukan futsal lelaki dan wanita turut meraih pingat emas.

Kolej Antarabangsa IKIP menjadi tuan rumah kejohanan lima hari yang disertai 18 pasukan, membabitkan penyertaan lebih 700 atlet dalam acara bola sepak, badminton, futsal, bola jaring serta bola tampar lelaki dan wanita.


Juara keseluruhan milik UCSA yang merangkul tujuh emas, diikuti Kolej Universiti TATI (TATIUC) dan ketiga tuan rumah Kolej Antarabangsa IKIP.

Majlis penyampaian penutup dan hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa IKIP Datuk Prof Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Darulmas FC jagoan Piala PPD Hilir Perak

Posted: 15 Jul 2013 08:10 AM PDT

Teluk Intan: Darulmas FC menewaskan Anson Kids 3-2 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada masa penuh perlawanan untuk menjuarai Karnival Bola Sepak 6 Penjuru Hilir Perak merebut Piala Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hilir Perak kategori Bawah 12.

Karnival anjuran Anson Kids yang julung kali diadakan itu menarik 10 pasukan pelbagai kategori.


Bagi kategori terbuka, Jebat FC muncul juara, menewaskan Kasturi manakala Lekir ketiga apabila menundukkan Tuah FC.

Sementara itu, Super Strikers muncul juara kategori B-8, menewaskan Ali Café manakala juara futsal terbuka milik Bantai Je apabila menundukkan Fanatik Anson Kid.


Adib Zhafry Abu Halim, 12, pelajar Sekolah Kebangsaan Raja Muda Musa yang mewakili Darulmas FC dipilih pemain terbaik kejohanan.


Hadiah disampaikan PPD Hilir Perak, Zainal Abiddin Osman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Rumah Informatique juara olahraga SMSSI

Posted: 15 Jul 2013 08:09 AM PDT

Mersing: Rumah Informatique (Biru) mucul juara Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar (SMSSI) Kesembilan di padang sekolah itu, baru-baru ini.

Pasukan rumah berkenaan memperoleh 225 mata dengan meraih 26 emas, 15 perak dan 17 gangsa, mengalahkan tiga rumah lain dalam kejohanan tiga hari itu.


Kejohanan itu dirasmikan Pegawai Memerintah Markas Garison Kem Iskandar Lt Kol Mohammad Yusof yang diadakan bagi memilih kontinjen sekolah berkenaan ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia bagi peringkat daerah tahun depan.

Tempat kedua dimenangi Rumah Medicine (Hijau) dengan 171 mata manakala Rumah Ingenierie (Merah) ketiga, 164 mata dan Rumah Education (Kuning) terakhir, 163.


Mohammad ketika merasmikan kejohanan itu berkata, sukan dapat menyihatkan badan dan tubuh sihat membantu menjadikan otak cerdas dan bijak.


"Justeru, saya nasihatkan semua pelajar sentiasa bersukan kerana dapat menenangkan fikiran selain membantu dari segi akademik," katanya.

Turut hadir, Pengetua SMSSI Abu Othman Ibrahim, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Fazidah A Sani dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum Khatijah Awang.


Sementara itu, Muhammad Abdul Azim Azhar, 13, dan Nur Syahirah Hasbollah, 18, dinobat Olahragawan dan Olahragawati.

Abdul Azmin memperolehi empat emas dan satu perak manakala Nur Syahirah, tiga emas dan dua perak pada kejohanan tiga hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

'Rugi jika Farkhan tiada'

Posted: 15 Jul 2013 08:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih negara Ramli Yahya menegaskan punca sebenar pengguguran Mohd Farkhan Haron perlu diperhalusi sebaik mungkin.

Menurutnya, alasan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) yang mendakwa peninju berusia 25 tahun itu gagal memberikan komitmen sesuatu yang tidak munasabah.


"Saya sudah membimbing dia sejak di peringkat remaja iaitu kira-kira lapan tahun lalu. "Sepanjang tempoh berkenaan tiada masalah disiplin ditimbulkan Farkhan. Tidak pernah sekalipun," katanya.

Menurut Ramli, sesuatu yang merugikan sekiranya Farkhan tidak lagi bersama skuad negara berdasarkan persembahan cemerlang dipamerkannya sejak mula mewakili negara.


"Belum pernah ada peninju negara melangkah ke tiga final Sukan SEA (satu pingat emas dan dua perak) dan dia berjaya melakukannya," katanya.


Selain Ramli, bekas jurulatih dari Kyrgyzstan, Kalen Asanov turut bertanggungjawab mengembangkan bakat Farkhan.

Menurutnya, peninju berusia 25 tahun itu antara yang digeruni di pentas Asia Tenggara dan sepatutnya menjadi antara pemenang di kejohanan peringkat Asia, namun ia tidak berlaku.


"Perkara ini saya minta teliti. Kenapa prestasinya tidak meningkat di Asia sedangkan dia sepatutnya sudah mencapai tahap itu. Apa yang tidak kena sebenarnya. Bagi saya, ia tentu ada kena-mengena dengan sistem latihan," katanya.

Skuad kebangsaan kini dikendalikan jurulatih dari Thailand, Prasit Tungjai sejak tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Golf Telekom Malaysia erat hubungan pelanggan korporat

Posted: 15 Jul 2013 08:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Hampir 100 pemain mengambil bahagian dalam pusingan kedua edisi keenam siri pertandingan golf Telekom Malaysia Berhad (TM) - TM Golf 2013 yang diadakan di Nilai Springs Golf & Country Club, Nilai, di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Bertujuan mengeratkan lagi hubungan di antara TM dan pelanggannya, terutama pelanggan korporat serta sebagai ganjaran dan tanda penghargaan atas kesetiaan mereka, pertandingan ini yang menampilkan konsep dwi-kategori iaitu kategori jemputan dan terbuka, memulakan pusingan kelayakan keduanya selepas kelayakan pertama berlangsung di kelab Golf & Country Club di Kota Bharu, Kelantan pada 29 Jun lalu.


Berucap di majlis penyampaian hadiah pusingan kedua, Naib Presiden Eksekutif SME TM, Azizi A Hadi berkata: "TM Golf 2013 antara pertandingan memang ditunggu-tunggu mereka yang mengenali siri tahunan ini. Tahun ini, acara ini tampil lebih baik apabila mendapat sokongan rakan kongsi strategik kami yang berprofil tinggi." TM Golf 2013 dianggap sebagai kesinambungan daripada siri pertandingan golf anjuran TM sebelum ini, dikenali sebagai TM Corporate Golf yang diadakan sejak 2007. Sembilan pusingan akan diadakan dengan empat pemain terbaik daripada kategori jemputan akan disertai dua pemain terbaik kategori terbuka ke pusingan akhir di Kuala Lumpur Golf & Country Club pada 30 November." Azizi turut mengucapkan terima kasih kepada pemain dari kalangan media, berikutan peranan dalam menyampaikan mesej TM kepada orang ramai dan memberikan liputan positif dalam penerbitan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

PTAM enggan ulas lanjut

Posted: 15 Jul 2013 08:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) mengambil sikap 'kunci mulut' berhubung pendirian Majlis Sukan Negara (MSN) yang mahukan bekas peninju elit negara, Mohd Farkhan Haron disenarai dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Setiausaha Kehormat PTAM Mohamad Jani Ismail ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu sehingga selepas badan induk berkenaan mengadakan pertemuan dengan MSN dalam tempoh terdekat.


"Selepas kita berjumpa dengan MSN, baru saya akan beri kenyataan. Pada masa sekarang, saya tidak mahu komen...saya tidak pasti bila (mesyuarat dengan MSN), mungkin dalam minggu ini," katanya.

Mohamad Jani diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong dalam akhbar semalam yang khidmat Mohd Farkhan masih diperlukan bagi menghadapi temasya dwitahunan di Myanmar itu.


Zolkples yang terkejut dengan berita pengguguran pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 itu beberapa hari lalu, menganggap salah faham sebagai punca kemelut itu berlaku.


Sebelum ini, peninju berusia 25 tahun itu digugurkan PTAM kerana didakwa tidak mampu memberi komitmen sepenuhnya kepada program latihan dan badan induk sukan itu bertindak menamakan peninju Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rudy Petrus dari Sabah yang bertanding dalam kategori 75kg sebagai pengganti.

Namun, sehari selepas pengguguran itu disiarkan media, Farkhan tampil menafikannya dan menjelaskan sudah menarik diri daripada skuad kebangsaan selepas kecewa dengan ketiadaan perancangan yang sistematik PTAM sehingga mendorongnya bertindak demikian. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

No comments:

Post a Comment