Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Projek 'tutup' masjid

Posted: 23 Jul 2013 01:54 PM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL) mengeluarkan notis cadangan pembangunan komersial bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan dianggap mencemar kesucian institut keagamaan di Malaysia.

Penduduk Hartamas Heights menganggap tindakan membina kawasan komersial di lot 58688 dan 58689 itu tidak relevan memandangkan kedudukannya yang terlalu hampir dengan masjid.


Wakil penduduk, Azim Abdul Aziz berkata, berdasarkan notis cadangan pembangunan di Jalan Changkat Kiara Hartamas itu, pembangunan mega berkenaan membabitkan pembinaan beberapa menara yang mencecah ketinggian 49 tingkat sehingga mampu 'menutup' pandangan masjid dari seluruh arah barat, barat laut dan barat daya.

"Jika kita lihat di negara luar, kawasan sekitar bangunan rumah ibadat seperti ini tidak dibangunkan dan hanya membiarkannya sendiri bagi menunjukkan kesucian tempat itu.


"Malangnya yang bakal berlaku, pusat komersial yang menempatkan blok kediaman mewah, bangunan pejabat, ruang perniagaan termasuk pawagam akan dibina dan operasinya kelak dilihat mencemarkan kemuliaan institusi agama Islam di negara kita.


"Ini dapat dilihat melalui pembinaan Solaris Duta Mas berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan yang menempatkan operasi kelab malam dan pusat hiburan yang dilihat tidak mengambil kira sensitiviti dan menghormati agama dan penduduk Islam di Malaysia," katanya, semalam.

Foto

WAKIL penduduk Hartamas Heights yang membantah pelan pembangunan komersial bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan.

Selain itu, menurut Azim selepas Solaris Duta Mas siap sepenuhnya, lalu lintas di sini sesak memandangkan pembukaan kawasan komersial seperti ini menarik lebih ramai pihak berkenderaan datang ke sini.


"Hanya ada satu jalan keluar dan masuk iaitu Jalan Dutamas 1 yang turut digunakan penduduk dari Segambut, Kenny Heights, Duta Tropika, Duta Nusantara, kakitangan kerajaan di Jalan Duta dan Segambut.

"Setiap hari terutama hujung minggu Jalan Dutamas 1 ini mengalami kesesakan apatah lagi ada kenderaan sewenang-wenangnya diparkir bertindan di tepi jalan.


"Walaupun ada penguatkuasaan termasuk saman dilakukan, tetapi sehingga kini DBKL gagal menangani masalah itu sepenuhnya," katanya.


Menurut Azim, pembinaan projek baru terbabit yang turut menempatkan 5,000 parkir kereta bukan jalan penyelesaian terhadap masalah di Jalan Dutamas 1, sebaliknya menunjukkan bilangan kenderaan baru yang masuk ke situ menambahkan kepadatan dan kesesakan di situ.


"Tempoh bantahan projek terbabitt dari empat minggu menjadi dua minggu juga tidak telus.


"Notis pemberitahuan di situ tidak menggambarkan keseluruhan projek. Malah, notis bantahan bermula pertengahan bulan ini sehingga 31 Julai depan terlalu singkat bagi membolehkan penduduk berfikir, berbincang, mendapatkan maklumat terperinci dan mengemukakan bantahan terhadap pembangunan di kawasan perumahan mereka," katanya.


Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hanizah Hamid mendakwa tanah di tapak cadangan projek terbabit masih berada dalam zon kediaman dan bukan zon komersial.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Malaysia, Iran tangani isu keselamatan

Posted: 23 Jul 2013 01:47 PM PDT

Putrajaya: Malaysia dan Iran akan menjalinkan kerjasama bagi menangani pelbagai isu keselamatan antara kedua-dua negara terutama membabitkan jenayah pemerdagangan orang, penyeludupan dadah termasuk perkara berkaitan imigresen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama antara kedua-dua negara penting bagi mencari jalan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi terutama sekiranya ia membabitkan rakyat Malaysia dan Iran. "Antara perkara lain yang dibincangkan hari ini (semalam) ialah mencari jalan penyelesaian mengenai masalah pertukaran banduan jika ada dalam kalangan rakyat Iran yang ditahan di penjara di Malaysia. "Selain itu, kami berbincang mengenai usaha menjaga kepentingan rakyat Iran yang berada di negara ini berikutan lebih 17,000 pelajar Iran menuntut di Malaysia dan sudah tentu kerajaan mereka mahu menjaga kebajikan rakyatnya di sini," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada wakil khas Menteri Luar Iran Seyed Rasoul Mohajer di sini, semalam. Hadir sama, Duta Besar Iran ke Malaysia Mohamad Jalal Firouznia. Selain itu, Ahmad Zahid berkata, 38,000 rakyat Iran tinggal sementara waktu di negara ini untuk menemani anak mereka yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi di Malaysia. "Menjadi trend pelajar Iran iaitu ibu bapa mereka ikut tinggal di Malaysia menemani anak masing-masing yang menyambung pengajian. "Pada masa sama, secara purata dianggarkan 150,000 rakyat Iran datang ke Malaysia sebagai pelancong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

'Eh...dia suami saya'

Posted: 23 Jul 2013 01:46 PM PDT

Bukit Mertajam: "Hampir dua bulan saya mencari dan menghubungi suami namun gagal sehingga saya membuat laporan polis mengenai kehilangannya. Namun, saya sangat terkejut apabila melihat lelaki gelandangan yang dipaparkan di Metro Ahad (MA) menyerupai suami saya," kata Lina yang mendakwa lelaki bernama Zaki seperti dipaparkan dalam MA (14 Julai) adalah suaminya yang menghilangkan diri sejak 6 Jun lalu.

Lina, 28, berkata, dia sangat terkejut dan tidak menyangka, suami yang dinikahi pada 24 Mac lalu sudah mempunyai isteri kerana ketika bernikah lelaki berkenaan sudah disahkan bercerai dengan isteri pertamanya melalui surat cerai ditunjukkan kepadanya.


Menceritakan perkenalan mereka, Lina berkata, dia mengenali Zaki melalui laman sosial Facebook sejak Julai tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Mac lalu.

"Kami berkenalan di Facebook pada Julai tahun lalu sebelum dia melamar dan mengajak saya berkahwin," katanya yang berasal dari Permatang Pauh.


Lina berkata, pada awalnya, keluarga merestui hubungan mereka sehingga dua hari sebelum majlis perkahwinan, bakal suaminya itu ditahan polis di Butterworth kerana memiliki kesalahan jenayah lampau sebelum seorang abangnya menjamin lelaki itu.


"Walaupun mendapat bantahan keluarga, saya teruskan juga majlis kerana semua persediaan sudah dibuat selain suami memberitahu dia sudah berubah dan mahu membina kehidupan baru bersama-sama saya," katanya.

Menurutnya, selepas berkahwin, suaminya bekerja di sebuah kedai perabot di Bandar Perda dan berulang-alik dari rumah menaiki bas.


Katanya, selepas dua bulan perkahwinan mereka, dia melihat suaminya resah dan asyik termenung, namun apabila ditanya, suaminya mendiamkan diri.

"Dia kelihatan gelisah dan suka termenung, tetapi bila ditanya, dia selalu mengelak dan memberitahu tiada masalah," katanya.


Bagaimanapun, pada 6 Jun lalu, suaminya itu tidak pulang ke rumah selepas kerja sehingga memaksa Lina membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya pada 8 Jun lalu.


"Kerana bimbangkan keadaan dan keselamatan suami, saya membuat laporan polis namun dikejutkan apabila diberitahu suami ada beberapa rekod jenayah lampau sehingga menjadi buruan polis," katanya.


Katanya, usaha menjejaki suaminya menemui jalan buntu kerana dia juga tidak pernah mengenali keluarga suaminya itu yang dipercayai berasal dari Negeri Sembilan.


Menurutnya, kali terakhir suaminya menghubunginya ialah pada minggu lalu dan memintanya memasukkan sejumlah wang ke akaunnya, namun dia tidak berbuat demikian kerana kesempitan wang.


"Dia pernah hubungi saya untuk meminta bantuan kewangan namun apabila saya tanya dia di mana, dia enggan beritahu selain segera memutuskan talian.


"Saya juga tidak menghiraukan permintaannya kerana kesempitan wang selain sakit hati dengan tindakannya yang enggan berterus terang dengan saya," katanya.


Katanya, dia tidak menyangka kisah yang dipaparkan MA (14 Julai) dan hari berikutnya adalah kisah suaminya yang dicari sejak lebih sebulan lalu.


"Saya berterima kasih pada MA yang berjaya membongkar kisah sebenar dia dan berharap ini menjadi pengajaran kepada wanita di luar sana," katanya.


Mengenai bukti yang mengesahkan Zaki suaminya, Lina berkata, dia mengenali susuk tubuh suaminya selain jam tangan, cermin mata dan beg kamera merah yang dipaparkan dalam MA.


"Melalui gambar yang dipaparkan, saya yakin itu suami saya terutama jam tangan yang dipakainya itu adalah pemberian saya. Selain itu, beg kamera merah yang mengandungi kamera itu milik rakan saya yang dipinjamkan kepada suami namun ketika dia menghilangkan diri beg itu dibawanya bersama," katanya. Sementara itu, abang Lina yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi berkata, dia mahu lelaki itu datang menemui keluarganya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan melepaskan adiknya secara baik.


"Saya dan keluarga terima dia dengan baik kerana dia berjanji mahu berubah, tetapi tidak sangka jadi begini," katanya.


Menurutnya, dia tidak mahu orang lain turut tertipu dengan helah lelaki itu dan keluarganya tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya bagi menuntut ganti rugi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Lelaki 'ghaib' pukul, ugut dijejaki isteri

Posted: 23 Jul 2013 01:46 PM PDT

Kuala Lumpur: Usaha seorang isteri mencari suaminya yang menghilangkan diri sejak 10 hari lalu tidak dihargai sebaliknya dibelasah dan diugut bunuh oleh lelaki itu selepas dia dijejaki di ibu kota, kelmarin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Sharifah, 17, berkata, dia mencari suami menghilangkan diri sejak 13 Julai lalu dari rumah mereka di Port Dickson namun gagal sebelum mencarinya di Kuala Lumpur.


Katanya, kelmarin selepas dia turun bas di hadapan Pasar Seni, dia terserempak suaminya yang berlegar-legar di kawasan itu.

"Sebaik ternampak saya, suami panik sebelum menarik tangan saya dan membawa ke sebuah bilik kosong di kawasan berdekatan.


"Saya dibelasah di badan dan kepala, malah suami turut merampas wang dan telefon bimbit saya," katanya.


Menurutnya, selepas dibelasah dia ditinggalkan dalam bilik itu bersendirian dan kesempatan itu digunakan untuk melarikan diri sebelum membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun HS Lee.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

3 rumah musnah angkara mercun

Posted: 23 Jul 2013 01:45 PM PDT

Kuala Lumpur: Akibat mercun, tiga rumah musnah dalam kebakaran di Projek Perumahan Pantai Ria, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah di tingkat 14 sebelum merebak ke rumah di tingkat 13 dan 15.


Seorang mangsa, Ina Jamil, 28, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di ruang tamu dan terkejut apabila melihat api marak di bilik tidur dua anaknya.

"Saya bergegas bangun dan terus mencari anak bongsu, Mohd Aidid Akmal Ahmad Tajuddin, 6, yang baru pulang dari sekolah dan berasa lega apabila melihat dia berada di luar rumah.


"Sebaik keluar, saya minta bantuan jiran yang datang memadamkan api sebelum bomba tiba," katanya di sini, semalam.


Ina berkata, dia bersyukur kerana sempat keluar dari rumah.

Saksi kejadian, Sazwan Azizan, 21, yang tinggal di tingkat 10 berkata, dia terdengar jeritan jiran sebelum bergegas naik ke tingkat atas dan cuba memadamkan api menggunakan pili bomba.


"Saya dan jiran berusaha memadamkan api sebelum bomba tiba," katanya yang mengesyaki kebakaran itu akibat mercun selepas beberapa kali mendengar letupan sebelum kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lembah Pantai Hamid Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.17 tengah hari sebelum dua jentera dihantar ke lokasi kejadian.


"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

No comments:

Post a Comment