Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


William, Kate dapat anak lelaki

Posted: 23 Jul 2013 11:34 AM PDT

London: Dunia semalam menanti untuk melihat kali pertama pewaris baru takhta Britain yang belum diberi nama selepas isteri Putera William Kate melahirkan anak lelaki.

Perutusan tahniah dari seluruh dunia mencurah untuk Duke dan Duchess of Cambridge itu berikutan kelahiran bayi itu yang menduduki tangga ketiga senarai pewaris takhta Britain.


Kelahirannya diraikan dengan penghormatan tembakan meriam di seluruh London.

"Tidak ada yang lebih menggembirakan," kata William dan isterinya, masing-masing 31, selepas kelahiran anak pertama mereka, bayi lelaki sihat yang seberat 3.8 kilogram di Hospital St Mary, London, petang Isnin (awal pagi Selasa waktu Malaysia).


Kate memang mengharapkan anak lelaki. Dia pernah memberitahu seorang anggota pada perbarisan Hari St Patrick Mac lalu: "Saya inginkan lelaki. William nak perempuan."

Foto

PETUGAS khas, Tony Appleton mengumumkan kelahiran bayi pasangan diraja di luar Hospital St Mary, di London kelmarin.

Foto

ORANG ramai membanjiri kawasan di luar Istana Buckingham untuk mengambil gambar kisandar pameran yang mempamerkan pengumuman mengenai kelahiran bayi diraja semalam.

Foto

TAJUK muka depan beberapa akhbar di Britain mengenai kelahiran bayi lelaki William dan Kate.

Foto

ORANG ramai meraikan kelahiran anak pasangan diraja di luar Hospital St Mary, London.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan isteri Michelle mengetuai orang kenamaan antarabangsa mengucapkan tahniah.

Kelahiran itu turut diraikan di sebahagian besar negara anggota Komanwel, khususnya Kanada, Australia dan New Zealand, Bayi itu satu hari nanti juga akan menjadi raja di negara berkenaan.


Orang ramai semalam berkumpul di luar Lindo Wing di Hospital St Mary, tempat sama William dilahirkan pada 1982, dengan harapan untuk melihat kali pertama bayi berkenaan.


Pembantu istana berkata, pasangan itu dan doktor mereka akan memutuskan bila mereka akan meninggalkan hospital itu.


Bayi itu masih belum diberi nama tetapi George dan James, nama tradisi yang dimiliki kebanyakan raja Britain sebelum ini, muncul sebagai 'pilihan utama' di kalangan penjudi.


Bagaimanapun, mereka perlu menanti seminggu lalu sebelum William memberi nama anaknya itu. Bapa William, Charles, mengambil masa sebulan untuk menamakan William pada 1982.


Bayi itu dengan gelaran Yang Teramat Mulia Putera (nama) of Cambridge, akan berada dalam senarai pewaris takhta di belakang datuknya, Charles, dan bapanya, William. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Ibu, bapa bayi dalam keadaan baik, sihat

Posted: 23 Jul 2013 11:25 AM PDT

London: Putera William, Kate dan bayi mereka menghabiskan hari pertama sebagai keluarga di Hospital St Mary, semalam.

Ketika cahaya dinyalakan, tembakan meriam dilepaskan dan penghormatan lain diberikan di Britain dan luar negara, William mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hospital berkenaan atas "layanan dan penjagaan yang sempurna diterima kami bertiga." "Kami sedar ia tempoh yang amat sibuk di hospital dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua - kakitangan, pesakit dan pelawat - atas kerjasama mereka pada waktu ini," katanya dalam satu kenyataan.


Istana Buckingham semalam berkata, "ibu, bayi dan bapa, ketiga-tiganya dalam keadaan baik pagi ini." Keluarga baru itu dijangka berada di hospital hingga petang atau pagi esok.

Sementara itu, wajah bayi itu dan namanya masih menjadi misteri.


Di New Zealand, penyokong monarki mengadakan pertunjukan cahaya dengan 40 bangunan di seluruh pulau itu menyalakan cahaya biru sempena menyambut kelahiran diraja itu.


Di Australia, Perdana Menteri Kevin Rudd berkata, satu kawasan khas di Zoo Taronga di Sydney akan dinamakan sempena nama bayi berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Kafe tema Nazi akan dibuka semula

Posted: 23 Jul 2013 11:25 AM PDT

Bandung: Sebuah restoran kontroversi yang bertemakan Nazi akan dibuka semula, tetapi dengan tema Perang Dunia Kedua yang lebih luas, tanpa lambang swastika tetapi akan mengekalkan imej Adolf Hitler.

The SoldatenKaffee atau Kafe Tentera yang dihiasi dengan imej kenangan yang ada kaitan dengan Nazi, ditutup secara sukarela Jumaat lalu selepas pemiliknya, Henry Mulyana diancam bunuh kerana dituduh mencetuskan kebencingan kaum.


Kafe itu yang sudah beroperasi di Bandung sejak 2011, mencetuskan kemarahan, baik dari luar mahupun di Indonesia selepas ia didedahkan dalam media berbahasa Inggeris.

Henry sudah berbincang dengan pegawai pelancongan Bandung yang berkata, pemilik restoran berusia 35 tahun itu tidak melakukan sebarang kesalahan, kata peguamnya, Rohman Hidayat.


Menurutnya, Henry bercadang memindahkan kafenya ke tempat lain di Bandung dengan tema Perang Dunia Kedua yang lebih luas. "Kafe baru itu tidak hanya digantung dengan gambar Hitler. Gambar Winston Churchill juga akan digantung, begitu juga dengan pahlawan Indonesia. Gambar tentera Jepun juga akan dipasang, bukan hanya tentera Jerman. Yang pasti, tidak ada swastika," katanya.


Dia bagaimanapun tidak menyebut bila akan membuka semula kafe itu. Kafe itu yang mengambil nama sempena kedai minum popular di Jerman dan Paris ketika Perang Dunia Kedua, beroperasi sejak dua tahun lalu, tidak banyak mendapat tentangan.

Tetapi, sebaik ia disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Globe dan media antarabangsa, kewujudan kafe itu dikecam pelbagai pihak, di dalam dan juga luar negara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Al-Qaeda Iraq akui serang 2 penjara

Posted: 23 Jul 2013 11:24 AM PDT

Baghdad: Negara Islam Iraq, kumpulan yang ada hubungan dengan al-Qaeda semalam mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas dua penjara negara itu yang membolehkan ratusan militan, termasuk pemimpin kanan melarikan diri.

Serangan ke atas penjara Abu Ghraib di barat Baghdad dan Taji, di utara ibu negara Iraq itu turut mengorbankan lebih 40 orang, termasuk anggota keselamatan.

"Mujahidin menyerang dua penjara terbesar selepas merancang selama beberapa bulan," menurut kenyataan kumpulan itu, semalam.

Menurutnya, beratus-ratus tahanan, termasuk 500 militan 'dibebaskan' dalam serangan itu.


Ia juga menyatakan, operasi itu adalah yang terakhir dalam kempen untuk membebaskan tahanan dan menyasarkan pegawai sistem kehakiman Iraq.


Kenyataan itu dikeluarkan ketika pasukan keselamatan Iraq meningkatkan gerakan memburu tahanan itu sebelum mereka dapat menyertai semula kumpulan militan.

"Kegelapan menanti Iraq. Sebahagian daripada yang melarikan diri itu adalah pemimpin kanan al-Qaeda dan serangan dilakukan untuk membebaskan kumpulan pemimpin itu.

"Mereka yang berjaya melarikan diri sudah pasti melancarkan gerakan membalas dendam, termasuk serangan berani mati," kata pegawai kanan keselamatan Iraq.

Dalam serangan yang kelihatan memang sudah dirancang, militan yang menanti di luar penjara melancarkan serangan selepas tahanan di dalam merusuh. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

SBY negarawan kecundang: FPI

Posted: 23 Jul 2013 11:22 AM PDT

Jakarta: Front Pembela Islam (FPI) semalam menganggap Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) sebagai negarawan yang kecundang selepas Susilo menyelar tindakan kumpulan berkenaan bergaduh dengan penduduk di Kendal, bandar di Jawa Tengah.

Ketua FPI, Habib Rizieq Syihab, dalam kenyataan kepada wartawan juga menyangkal kumpulannya melakukan salah laku di Kendal.


"Tiada anggota kami yang bersenjata apabila mengawasi secara aman rumah pelacuran di Kendal. Kami ke sana dan meminta polis mengarahkan rumah pelacuran ditutup, lebih-lebih lagi kerana kini bulan Ramadan.

"Di Kendal, kami yang jadi mangsa. Kami diserang oleh beratus-ratus samseng bersenjata yang mengawal rumah pelacuran di situ," kata Rizieq.


Dalam kejadian itu, seorang penduduk tempatan terbunuh selepas dilanggar oleh kenderaan yang dinaiki anggota FPI.


"Sungguh kasihan. SBY kelihatan seperti seorang yang tewas hingga terpaksa menyebarkan penipuan dan pada masa sama berdiam diri mengenai kegiatan maksiat. Saya tak mahu sebutkan secara terperinci mengenai beliau yang dilindungi kumpulan penganut Qadiani dan individu yang terbabit dengan pelbagai skandal rasuah.

"Inilah presiden beragama Islam tetapi mencemar ajaran Islam," kata Rizieq dalam kenyataannya.


Beliau seterusnya menuduh Susilo terpengaruh dengan laporan berat sebelah media yang menurutnya gagal membuat laporan tepat mengenai apa yang terjadi di Kendal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Raja Dangdut tetap mahu tanding presiden

Posted: 23 Jul 2013 11:21 AM PDT

Jakarta: Raja dangdut, Rhoma Irama semalam berkata, sokongan terhadap hasratnya untuk bertanding jawatan presiden pada pilihan raya tahun depan sudah mencapai tahap yang amat tinggi dan padu, menyebabkan dia tidak mungkin berpatah balik.

Rhoma yang berkempen untuk Parti Persatuan Pembangunan (PPP) pada pilihan raya 2009, adalah antara tokoh yang ditimbang oleh sebuah lagi parti berlandaskan Islam, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) untuk menjadi calonnya dalam pilihan raya presiden 2014.


Rhoma berkata semalam, dengan sokongan pelbagai pihak, khususnya ulama, beliau menerima cabaran itu dan akan membuat persiapan untuk menyandang tugas berkenaan.

"Apabila saya membuat persiapan untuk menjadi calon presiden, saya percaya terhadap kemampuan saya. Saya kinio berada dalam kedudukan yang tidak memungkinkan saya berundur kerana sokongan yang terlalu padu. Ini bukan lagi menjadi cadangan," kata Rhoma.


PPP sebelum ini berkata, beberapa orang sudah menyuarakan hasrat untuk menjadi calon parti itu pada pilihan raya presiden kelak, termasuk Rhoma. Bagaimanapun, dalam kes Rhoma, anggota parti itu berpendapat, beliau masih belum layak menjadi calon.


Setiausaha PPP, Hasrul Azwar berkata semalam, satu-satunya orang yang layak menjadi calon parti itu ketika ini ialah pengerusinya sendiri, Suryadharma Ali. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Tentera Thai tawan kem RKK

Posted: 23 Jul 2013 11:21 AM PDT

Narathiwat: Anggota tentera menawan sebuah kem milik Ronda Kumpulan Kecil (RKK) di Gunung Tawe di Narathiwat semalam selepas pertempuran dengan anggota kumpulan pemisah selatan Thai itu.

Kem yang boleh menempatkan 10 orang itu ditemui ketika sekumpulan 36 anggota tentera Thai menjejaki anggota RKK. Pertempuran meletus ketika mereka menghampiri kem berkenaan. Anggota pemisah itu bagaimanapun meninggalkan tempat kejadian 30 minit kemudian.


Antara yang ditemui dalam kem berkenaan, termasuk peluru raifal M-16, dua tong gas masak, makanan dan ubat-ubatan. Panglima rejimen 45 Renjer Tentera Kolonel Chalermchai Sutthinuan berkata, pihaknya percaya antara mereka yang berlindung di kem itu ialah orang yang diburu pihak berkuasa Thai, termasuk Abdulhakim Puta, Tuansaeh Tuankueji, Nasuha Abu, Usanee Bado dan Kuling Lueba.

Gerakan besar-besaran menjejaki mereka dilancarkan sebaik kem itu dimusnahkan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Trak rempuh bas, 19 terbunuh

Posted: 23 Jul 2013 11:20 AM PDT

Bangkok: Sembilan belas orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 20 cedera apabila sebuah bas dua tingkat terbakar dalam kemalangan dengan sebuah trak di satu lebuh raya antara paling sibuk di Thailand.

Jurucakap polis, Assavathep Chantanaree berkata, sebuah trak 18 roda merempuh belakang bas yang dalam perjalanan ke Bangkok itu di Lebuh Raya Mitraphab di wilayah Saraburi, tengah Thailand.


Menurutnya, kebanyakan mangsa terperangkap dalam bas berkenaan apabila ia terbakar, termasuk pemandunya. Pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian dan berusaha mengecam mayat mangsa kemalangan. Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada pemandu trak itu antara yang mati.

Assavathep berkata, seorang wanita turut cedera apabila sebuah pikap merempuh kenderaan yang berlanggar itu.


Saraburi terletak 90 kilometer ke utara Bangkok. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

6 maut dalam keganasan baru

Posted: 23 Jul 2013 11:20 AM PDT

Kaherah: Enam orang terbunuh dalam pertempuran antara penyokong bekas Presiden Muhammad Mursi dengan penentangnya awal pagi semalam.

Ketua jabatan rawatan intensif Kementerian Kesihatan, Khaled el-Khateeb berkata, mangsa mati berhampiran kubu penyokong Mursi berdekatan dengan Univesiti Kaherah.

Pertempuran terbaru itu berlaku sehari selepas keganasan di beberapa bahagian negara berkenaan.

Di bandar Qalioub, utara Keharah, tiga orang terbunuh dalam pertempuran antara kedua-dua kumpulan bertentangan itu.


Pertempuran juga berlaku di berhampiran kubu utama penyokong Mursi di timur Kaherah dan di Dataran Tahrir, tempat tercetusnya revolusi 2011 yang menggulingkan pemerintahan Hosni Mubarak.


Lebih 80 orang cedera dalam keganasan itu, kata Khaled.

Dalam satu sidang akhbar, keluarga Mursi mengecam pasukan tentera Mesir dengan menuduh mereka "menculik" pemimpin itu.

Mereka mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap tentera.

Diplomat Eropah menggesa kerajaan sementara Mesir membebaskan bekas presiden itu yang ditahan sejak tiga minggu lalu selepas digulingkan.

Nasib Mursi yang ditahan tanpa dakwaan menjadi fokus perbalahan politik antara Ikhwanul Muslimin dan kerajaan sementara yang disokong tentera.

Ikhwan cuba menggunakan alasan penahanan Mursi untuk meraih simpati dan berharap ia dapat memulihkan popularitinya yang terjejas teruk.

Bagaimanapun, setakat ini usaha itu tidak berjaya menarik perhatian sebahagian besar rakyat Mesir.

Dalam kenyataan terbarunya, Ikhwan mengumumkan rancangan untuk menyelesaikan krisis politik yang melanda negara itu.

Namun, Mursi perlu dilantik semula menjadi presiden bersama-sama dengan Parlimen yang telah dibubarkan, diikuti dengan pilihan raya baru. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Masjid Nabawi tetapkan syarat beriktikaf

Posted: 23 Jul 2013 11:19 AM PDT

Madinah: Pihak berkuasa Masjid Nabawi semalam menggesa jemaah yang berhasrat beriktikat pada 10 malam terakhir di dalam masjid berkenaan supaya mendaftar nama mereka menerusi laman webnya.

"Jawatankuasa menetapkan beberapa syarat untuk iktikaf bagi memastikan pemohon mengekalkan kebersihan masjid, tidak mencetuskan masalah kepada jemaah lain dan menamatkan iktikaf mereka sebaik selesai solat Isyak pada malam Aidilfitri," kata Abdul Wahid Al-Hattab.


Bercakap mengenai syarat lain, beliau berkata, jemaah hanya boleh dibenarkan membawa selimut dan satu bantal serta perlu menggunakan ruang yang hanya diperuntukkan kepada mereka di bahagian utara masjid. Mereka tidak dibenarkan menyimpan pakaian dan barangan peribadi di rak untuk menempatkan al-Quran serta tidak boleh tidur dalam masjid ketika qiyamullail.

Menurut Abdul Wahid, pihaknya sudah membuat persiapan perlu bagi menerima seramai mungkin jemaah sepanjang 10 terakhir Ramadan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

No comments:

Post a Comment