Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jangan ubah suka-suka!

Posted: 23 Jul 2013 12:13 PM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal tidak sewenang-sewenangnya mengubah aksi persahabatan berstatus A kepada perlawanan ujian seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Langkah tegas badan induk bola sepak negara itu diambil selepas kedudukan ranking dunia yang masih tidak berubah selepas sekian lama hingga menimbulkan kegusaran beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Selepas gagal mempertahankan Piala AFF pada 2012, Rajagobal kini dalam misi melayakkan skuad negara buat kali pertama ke pusingan akhir Piala Asia 2015 hingga mengorbankan beberapa perlawanan persahabatan menentang skuad yang menawarkan pungutan mata tinggi seperti Iraq (tewas 0-2 pada Februari), Arab Saudi (tewas 1-4 pada Mac) dan Palestin (tewas 0-2 pada Mac) yang sepatutnya menjadi aksi persahabatan berstatus A dan mampu membaiki kedudukan ranking negara yang kini berada di tangga ke-159 dunia.


Aksi itu sebaliknya dijadikan perlawanan ujian dan berdasarkan kalendar FIFA, terdapat 15 perlawanan berstatus A sepanjang 2013 sepatutnya dimanfaatkan tetapi skuad Harimau Malaya baru mendapat dua perlawanan tahun ini ketika aksi kelayakan Piala Asia 2015 peringkat kumpulan bertemu Qatar dan Yaman.

Foto

PERSAHABATAN Harimau Malaya dengan kelab Chonburi tak membantu ranking negara.

Foto

TEWAS 0-2 kepada Palestin.

"Kami akan pastikan perkara ini tidak terjadi lagi," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya mengenai tindakan Rajagobal yang sering bertindak sedemikian.


Memburukkan keadaan apabila dua aksi persahabatan berstatus A menentang Singapura tidak dapat dilangsungkan hingga skuad negara membuat keputusan memilih tiga kelab Australia untuk menggantikannya.

Perkhabaran terbaru turut tidak menyenangkan apabila aksi berstatus A menentang India pada 10 September (terbabit dengan Piala SAFF dan kelab terikat dengan suku akhir Piala AFC) dan Uzbekistan (terbabit dalam play-off Piala Dunia menentang Jordan) pada 6 September tidak dapat diadakan seperti dirancang walaupun sudah mendapat persetujuan kedua-dua pasukan.


Perlawanan berstatus A paling hampir adalah menentang Emiriah Arab Bersatu pada 10 Oktober.


"Kita bukannya mahu berterusan menentang kelab namun kerana berlakunya kekangan tertentu, aksi menentang kelab terpaksa dilakukan walaupun perlawanan itu tidak menyumbang mata memperbaiki ranking dunia meskipun mereka lawan yang bagus.


"Saya menyusun perlawanan untuk tahun depan dengan semua sembilan tarikh perlawanan kategori A berlangsung seperti sepatutnya selain aksi persahabatan pada tarikh yang bukan membabitkan kalendar FIFA. Sejak dua minggu lalu kami sudah menghantar surat tawaran kepada banyak negara dengan kebanyakannya dari Asia selain Afrika serta Eropah dan berharap mendapat jawapan positif hujung tahun ini," kata Hamidin.


Sementara itu, pengurus skuad kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal berkata, aksi persahabatan menentang kelab akan dihentikan seketika selepas kunjungan menentang tiga kelab Jepun bermula hari ini dengan tumpuan lebih banyak diberikan kepada lawan berstatus negara seperti disarankan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah.


"Segala perancangan hala tuju skuad kebangsaan membabitkan aksi persahabatan selepas ini akan dibincangkan Jawatankuasa Teknikal pada 1 Ogos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Hanya kalah 0.27 mata

Posted: 23 Jul 2013 12:05 PM PDT

Kuala Lumpur: Hanya 0.27 mata memisahkan penerjun negara Pandalela Rinong dan Leong Mun Yee daripada menghadiahkan pingat perak buat negara apabila sekadar meraih gangsa dalam acara 10m platform terjun seirama di Kejohanan Dunia FINA Ke-15 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol, awal pagi semalam.

Kesilapan pada terjunan terakhir di Kolam Perbandaran Montjuic itu menyebabkan Pandalela dan Mun Yee hanya meraih 331.14 mata, tidak dapat menidakkan penerjun Kanada, Meaghan Benfeito dan Roselin Filion daripada meraih perak selepas mengumpul 331.41 mata manakala emas seperti dijangka menjadi milik pasangan China, Chen Ruolin dan Liu Huixia yang meraih 356.28.


Bagaimanapun pencapaian itu dianggap membanggakan selepas berusaha memberikan yang terbaik sepanjang empat terjunan awal biarpun diberi tentangan sengit penerjun Kanada dan Australia bagi perebutan tempat kedua dan ketiga ketika penerjun China tidak dapat dikejar.

Pandelela yang sebelum itu menduduki tempat kelima acara 3m papan ajal terjun seirama ketika bergandingan dengan Cheong Jun Hoong berkata, mereka sepatutnya meraih perak namun saingan dengan penerjun Kanada terlalu sengit.


"Harapan untuk perak memang cerah apabila kami mendahului pasangan Kanada dan Australia pada empat terjunan awal. Namun kesilapan kami pada terjunan terakhir menyebabkan pasangan Kanada memintas kami. "Namun tidak mengapa kerana yang penting kami sudah membuktikan kini kami antara tiga penerjun terbaik dunia dalam acara ini," katanya.


Pandelela dan Mun Yee sebelum ini menghadiahkan pingat sulung mereka di Kejohanan Dunia dengan meraih gangsa acara sama pada edisi 2009 di Rome, Itali. Bagaimanapun, pada edisi 2011 di Shanghai, China, Pandelela dan Mun Yee menduduki tempat keenam.

Pandelela yang melakarkan sejarah menjadi atlet wanita pertama menyumbangkan gangsa kepada negara pada temasya Sukan Olimpik, sekali lagi berpeluang menyumbangkan pingat apabila turun dalam acara kegemarannya, 10m platform individu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Rozaiman, Sasitharen teruja warnai cabaran Endurance 4-Hour

Posted: 23 Jul 2013 12:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Mohd Rozaiman Mohd Said dan Sasitharen Sukumaran teruja untuk tampil buat pertama kali dalam saingan berprestij Kejuaraan Suzuka 4-Hour Endurance berlangsung di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun, minggu ini.

Pelumba yang beraksi di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS itu terpilih membawa cabaran Musashi Boon Siew Honda Racing, menggantikan tempat Mohd Zaqhwan Zaidi yang tidak dapat beraksi berikutan peraturan baru kejuaraan yang tidak membenarkan pelumba satu musim penuh SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) mengambil bahagian bagi memberi lebih ruang buat pelumba baru. "Impian saya menjadi kenyataan apabila dipilih beraksi di Suzuka Endurance Race ini. Ia satu peluang besar dalam karier perlumbaan," kata Sasi. Rozaiman turut berkongsi perasaan sama dengan Sasi. "Walaupun sedikit gementar, saya juga tidak sabar beraksi di Suzuka. Sebelum ini saya hanya pernah beraksi bersama jentera SuperSports 600cc di Sepang. Minggu ini pertama kali saya beraksi dengan jentera 600cc di luar negara dan saya akan menggunakan peluang ini sebaiknya," kata Rozaiman. Sementara itu, Sasi dan Rozaiman menggalas tanggungjawab berat untuk mempertahankan gelaran juara kategori 4-Hour yang dimenangi pelumba Malaysia dua tahun berturut-turut melalui Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Emir Firdaus Hasan pada 2011 dan gandingan Emir bersama Zaqhwan, 2012. Sedar akan tanggungjawab berat untuk memenangi gelaran ketiga, mereka tetap optimis walaupun ini kali pertama beraksi dalam perlumbaan endurance seperti ini. "Kami tidak pernah beraksi untuk musim penuh SuperSports 600cc di ARRC dan hanya sekali menjalani latihan di Suzuka. Kami perlu realistik dengan meletakkan sasaran cukup sekadar berada di podium, jika menang, ia satu bonus kepada kami dan pasukan," kata Sasi.


Selain duo Malaysia, antara muka baru yang turut beraksi buat pertama kali pada saingan kategori 4-Hour Suzuka Endurance Race edisi ke-36 ini ialah pelumba Indonesia, Iswandi Muis dan Dimas Ekky Pratama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Jironi tekad lepasi tahap kelayakan

Posted: 23 Jul 2013 12:03 PM PDT

Kuala Lumpur: Terlalu sukar buat atlet olahraga negara, Mohd Jironi Riduan apabila terpaksa berlatih tanpa jurulatih selama lebih dari setahun ketika dia kini terus bergelut untuk melepasi tahap kelayakan ke temasya dwi tahunan Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.

Justeru perkara itu akan dibawa berbincang dengan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam perjumpaan bersama atlet esok agar diberi kelonggaran mendapat jurulatih sebelum tarikh tutup kelayakan pada Oktober.


Bagi Jironi, pemenang dua pingat perak acara jarak sederhana, 800 dan1,500 meter di Sukan SEA Laos berkata, terlalu banyak perbezaan apabila terpaksa berlatih tanpa jurulatih di sisi.

"Perbezaan paling ketara apabila terpaksa berlatih sendiri dan ketiadaan jurulatih mengurangkan motivasi diri. Saya amat memerlukan jurulatih bagi membantu memperbaiki segala kelemahan dan membimbing saya melayakkan diri ke Sukan SEA," katanya.


Biarpun memiliki jurulatih, A Trappadi namun kekangan pekerjaan sebagai guru di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail, Johor Bahru menyebabkan Jironi terpaksa berlatih sendiri dan hanya berhubung dengan jurulatihnya yang berada di Majlis Sukan Negara (MSN) apabila perlu.


Namun kehadiran, Sam Goldberg yang menawarkan diri membimbing atlet berusia 27 tahun itu diharapkan mendapat keizinan daripada KOM. Goldberg pernah membimbing atlet dekatlon Kanada, Gerry Moro dua kali melayakkan diri ke Olimpik.

"Saya dan Sam selalu berhubung menerusi emel dan beliau meluahkan hasratnya untuk membimbing saya melayakkan diri ke Sukan SEA. Mungkin beliau melihat potensi saya yang membuatkannya menawarkan diri untuk membantu saya memperoleh pingat emas.


"Biarpun tidak mengenalinya secara rapat, perkara itu mungkin boleh diberi pertimbangkan KOM," katanya yang bergelar guru jurulatih sukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Gagal jika hanya berjaya layak final

Posted: 23 Jul 2013 11:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Tan Boon Heong menganggap tidak cukup mara ke final Kejohanan Dunia dan jika gandingan dengan Koo Kien Keat gagal meraih kejuaraan, ia dianggap satu kegagalan buat mereka.

Undian kejohanan di Guangzhou, China pada 5-11 Ogos dianggap lebih menyebelahi mereka apabila tidak perlu berdepan beberapa beregu utama seperti Fu Haifeng-Cai Yun (China), Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae (Korea) serta Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia) dalam laluan ke final edisi tahun ini.


"Memang kali ini kami ditetapkan layak final dan jika tidak muncul juara, saya anggap kami gagal," kata Boon Heong.

"Kami pernah layak separuh akhir 2009 dan final 2010 dan bagi saya tiada pilihan lain kecuali muncul juara.


"Begitupun bukan senang kerana masih ada dua gandingan Korea serta Denmark. Saya tidak rasa satu tekanan apabila undian diumum, kami perlu hadapinya, perlu lawan pemain Korea juga." Gandingan lawan yang boleh dianggap kuat bagi Boon Heong dan Kien Keat membabitkan Mathias Boe-Carsten Mogensen (Denmark), Kim Ki Jung-Kim Sa Rang dan Shin Baek Cheol-Yoo Yeon Seong (Korea) serta Liu Xiaolong-Qiu Zihan dan Chai Biao-Zhang Nan (China).


Boon Heong bagaiamanapun enggan terlalu yakin mampu ke final kerana perlu hadapi dan atasi lawan mereka satu persatu.

"Kami belum pernah menewaskan Ki Jung-Sa Rang dan perlu meluangkan banyak masa menonton video perlawanan gandingan Korea itu."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Komitmen tinggi hasil kilauan emas

Posted: 23 Jul 2013 11:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Komitmen terhadap latihan menjurus kepada kilauan emas buat atlet elit olahraga paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran) lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis, semalam.

Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrusahar Yusuf berkata, Ziyad sangat komited serta bermotivasi tinggi dan rakyat Malaysia harus bangga dengan pencapaian itu.


"Sekalung tahniah buat Ziyad dan saya harap kejayaannya menjadi inspirasi kepada atlet elit paralimpik lain untuk terus mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa," katanya.

Sambil menegaskan Muhammad Ziyad mempunyai sifat patriotik dan semangat juang mantap, Mohd Safrusahar berharap atlet itu meneruskan momentum di kejohanan atau temasya sukan lain sebelum Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.


"Saya akui atlet elit paralimpik kekurangan kejohanan tempatan mahupun luar negara. Bagaimanapun, dengan komitmen tinggi dalam latihan seperti dilakukan Ziyad, mereka masih mampu memberi saingan terbaik." Muhammad Ziyad melakukan lontaran 15.32 meter untuk pingat emas, sekali gus memperbaiki rekod kebangsaan dan catatan terbaik peribadi miliknya iaitu 15.21m yang dilakukan di Sukan Paralimpik London tahun lalu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Khairy puji FAM

Posted: 23 Jul 2013 11:53 AM PDT

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memuji langkah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyediakan lebih banyak aksi persahabatan kelas A bagi memperbaiki ranking Harimau Malaya dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Khairy berkata, ranking dunia sangat penting untuk dijadikan penanda aras kepada prestasi pasukan bola sepak negara di persada dunia.


"Bukan saya kata kita tidak boleh main dengan kelab namun jika kita mahu tengok kedudukan dan keupayaan sebenar, ranking dunia yang terbaik. Saya harap ada kesedaran dan perubahan ke arah menaikkan ranking dunia daripada pihak FAM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Integriti Dalam Sukan, semalam.

Baru-baru ini, Hamidin dipetik demi menaikkan ranking Harimau Malaya, beliau akan menyusun aksi antarabangsa kelas A pada 2014 dan cuba mendapatkan kerjasama Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM supaya tiada pertindihan jadual dengan keutamaan diberikan kepada pasukan kebangsaan.


Sebelum ini, pengendali Harimau Malaya Datuk K Rajagobal dilapor sering mengulangi pendirian ranking tidak penting dan ia turut mendapat sokongan pengurus pasukan kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal serta bekas Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad. Malaysia kekal pada kedudukan ke-159 dalam ranking bola sepak dunia awal bulan ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Nazrin puas penuhi tanggungjawab

Posted: 23 Jul 2013 11:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain sayap Negeri Sembilan, Mohd Nazrin Nawi kini antara pemain baru yang menyerlah bersama skuad kebangsaan.

Selepas menyerlah dalam kem latihan pusat di Australia pada Jun lalu, pemain berusia 25 tahun itu terus mencuri tumpuan sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal memperkasakan lagi posisi sayap.


Kelibatnya yang mendapat pujian Rajagobal ketika menentang Chelsea FC pada Ahad lalu pasti mencetuskan persaingan terhadap beberapa pemain lebih senior seperti S Kunanlan, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Azamuddin Md Akil.

"Saya tetap gembira walaupun jurulatih hanya memberi peluang 20 minit kerana paling penting melaksanakan arahan diberikannya bagi membantu pasukan. Namun saya sedar untuk kekal lama dalam skuad ini bukanlah perkara mudah kerana perlu bekerja lebih keras lagi.


"Walaupun dipanggil buat kali kedua untuk kem latihan pusat, saya yakin mampu membentuk persefahaman baik dengan rakan lain terutama pemain senior," katanya yang turut tersenarai antara 26 pemain ke Jepun yang berlepas semalam untuk menentang tiga kelab negara Matahari Terbit itu.


Malah pemain kelahiran Kelantan itu tidak menganggap usianya sudah terlewat untuk menyarung jersi negara selagi mampu menyumbang kepada pasukan.

"Bagi saya umur bukan masalah. Saya gembira kerana sudah mencapai tahap ini dan berjanji memenuhi harapan jurulatih." Skuad negara menentang dua kelab bahagian satu Liga Jepun (Liga J) iaitu Shimizu S Pulse (Khamis), Shonan Bellmare (Sabtu) dan kelab bahagian dua Liga J, Tokyo Verdy (Rabu depan) sebelum kembali menentang FC Barcelona di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Perkasakan Yob

Posted: 23 Jul 2013 11:52 AM PDT

Ipoh: Jentera serangan perlu menyengat manakala benteng harus kental. Itulah yang perlu dilakukan jika Perak ingin pergi jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Pendapat itu disuarakan awang import, Rafael Souza Silva Novais selepas dua masalah menyelubungi skuad Seladang itu menjejaskan pencapaian pasukan Kejor Yob Kejor pada saingan Liga Super apabila hanya menjaringkan 23 gol dan dibolosi 27 kali.


"Statistik ini tidak memberangsangkan, malah pencapaian kami dalam liga turut terjejas akibat dua kelemahan itu. Justeru kedua-dua bahagian perlu dipertingkatkan jika ingin lebih berjaya," katanya.

Tanpa mahu menuding jari kepada sesiapa, Rafa berkata, setiap anggota bertanggungjawab memastikan kemampuan pasukan meningkat pada saingan Piala Malaysia.


"Kemampuan Perak setaraf pasukan elit lain tapi kami dikecewakan penyudahan tumpul selain kelalaian dan kesilapan saat akhir yang membolehkan lawan menjaringkan gol.


"Semua ini perlu berakhir dengan jentera serangan memanfaat peluang manakala benteng mantap bertahan 90 minit." Pemain keturunan Brazil itu berkeyakinan tinggi rakan senegara, Paolo Rangel yang menyumbang sembilan gol dalam kancah liga lalu mampu meneruskan kecemerlangan untuk membantu Seladang.

Mengenai kegagalannya menyumbang sebarang gol setakat ini, Rafa berkata, ini disebabkan kawalan ketat diberikan lawan ketika sepakan sudut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Rindu tendang bola

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Semangat pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor kembali membara untuk beraksi semula bersama kelabnya FC Ryukyu selepas pulih daripada kecederaan buku lali kanan.

Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini terpaksa berehat hampir tiga bulan kerana mengalami kecederaan teruk apabila terjatuh ketika sesi latihan pasukannya beberapa hari selepas membuat penampilan pertama dalam Liga Divisyen Tiga Jepun pada pertengahan April lalu.


Bagaimanapun selepas menjalani rawatan, Wan Zack Haikal mula turun berlatih bersama skuad kendalian Norihiro Satsukawa minggu lalu dan pemain sayap lincah itu bertekad merebut semula tempatnya dalam kesebelasan utama.

"Selepas berehat panjang, saya kembali menjalani latihan penuh bersama pasukan minggu lalu. Saya kena melakukan latihan lebih daripada biasa kerana saya perlu mengembalikan kecergasan semula. Tiada keistimewaan diberikan kepada saya di sini dan saya perlu berusaha keras untuk mendapat tempat dalam pasukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Okinawa Jepun semalam.


Tambah mencabar apabila dia terpaksa berlatih pada bulan Ramadan namun itu bukan alasan untuk dirinya gagal mengikuti latihan bersama pemain lain.


"Latihan seperti biasa pada bulan ini, tapi bagi saya ia tidak menjadi masalah kerana jika di Malaysia pun kita akan tetap berlatih juga," kata Wan Zack Haikal yang menandatangani kontrak dua tahun dengan FC Ryukyu manakala seorang lagi pemain Nazirul Naim Che Hashim pula mengikat kontrak setahun.

Pemain sayap lincah itu mencuri perhatian apabila beraksi cemerlang pada penampilan pertama ketika membantu FC Ryukyu menewaskan Sagawa Printing 2-1 April lalu sebelum dilanda kecederaan. Dalam tempoh itu, peminat di tanah air juga dikejutkan dengan spekulasi bekas pemain Harimau Muda A itu akan menamatkan kontrak lebih awal apabila menerima tawaran pasukan tempatan namun cubaan itu tidak berjaya apabila FC Ryukyu menganggap dia sebagai aset penting kelab itu.


Sekembalinya Wan Zack Haikal daripada kecederaan bukan saja menggembirakan Satsukawa malah jurulatih skuad bawah 23 tahun negara Ong Kim Swee juga mahu pemain itu disenaraikan dalam pasukannya dalam misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.

Malah pemain sayap lincah itu turut menjadi rebutan ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal untuk memperkuatkan Harimau Malaya bagi mengharungi kelayakan Piala Asia 2014 di Australia menentang Bahrain Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

No comments:

Post a Comment