Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Perangi tiket palsu

Posted: 17 Jul 2013 10:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia memerangi sindiket tiket palsu apabila mengarahkan Jawatankuasa Integriti supaya membentuk kerjasama dengan pihak polis bagi memastikan masalah itu dibanteras segera.

Timbalan Presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, FAM tidak boleh bertindak sendirian dalam menangani isu itu memandangkan masalah tiket palsu ini adalah salah satu kes jenayah.


"Tiket palsu ini satu kes jenayah dan kita tak boleh membanteras dengan sewenang-wenangnya. Saya harap tiada pihak yang ambil untung daripada jualan tiket ini.

"Kita telah mengarahkan Jawatankuasa Integriti untuk bekerjasama dengan pihak polis untuk mengatasi masalah ini jadi kita akan pantau dari masa ke semasa," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-8 semalam.


Isu tiket palsu ditimbulkan oleh Arena Metro semalam apabila seorang penonton mendedahkan memiliki tiket palsu final Piala FA antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (DT) pada 29 Jun lalu.


Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Faris Al-Ghazi memperoleh tiket itu daripada salah seorang penonton yang mendakwa membeli dengan harga RM45 daripada seorang individu di Danau Kota, Kuala Lumpur.

Foto

TENGKU Abdullah (tengah) menjawab soalan wartawan di Hotel Royale Chulan, semalam.

Penjualan tiket palsu itu dipercayai menjadi punca insiden limpahan penonton final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Faris juga mendakwa sistem kawalan yang longgar tanpa alat pengimbas mengesan tiket di pintu masuk juga memudahkan penonton yang memiliki tiket palsu terlepas.

Tengku Abdullah tampil memberi jaminan bahawa kawalan di pintu masuk akan diperketatkan bukan saja untuk memastikan tiada bahan larangan dibawa masuk penonton , juga mengesan tiket palsu.


"Saya berharap mereka yang mempunyai maklumat tiket palsu ini supaya tampil memberikan maklumat kepada pihak polis atau FAM.


"Selepas ini bagi aksi final, kita akan memperkenalkan sistem baru iaitu menggunakan dua tempat pemeriksaan di laluan masuk ke stadium," katanya.


Turut dibincangkan pada mesyuarat itu yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah adalah cadangan pembahagian tiket final kepada dua finalis berikutan timbul masalah kegagalan penyokong mendapat tiket final Piala FA.


"Masalah tiket ini timbul apabila sampai ke peringkat negeri (persatuan), jualan tiket tidak seperti yang diharapkan. "Selepas ini kita akan buat pembahagian iaitu menyerahkan tiket kepada persatuan negeri dan menjual secara terus kepada penyokong negeri atau kelab masing-masing.


"Kita nak pembahagian tiket yang adil kerana kita dapati persatuan negeri menjual secara pukal dan ini menyukarkan peminat mendapat tiket," tegas Abdullah.


Dalam perkembangan lain, FAM turut bersetuju menangguhkan sepak mula kempen Piala Malaysia pada 17 Ogos ini kepada 20 Ogos memandangkan Kelantan dan ATM beraksi dalam perlawanan Kejuaraan FAM dan FAS pada 12 hingga 13 Ogos depan menentang Tampines Rovers dan Warriors FC.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Muirfield cabar kewibawaan

Posted: 17 Jul 2013 09:52 AM PDT

Gullane, Scotland: Terbuka British kembali ke Muirfield buat kali ke-16 bermula hari ini dengan dua minggu yang panas mengubah lapangan berangkai Scotland itu menjadi lapangan yang sukar, pantas dan ujian getir buat pemain terbaik.

Kayu driver mungkin jarang digunakan dan iron menjadi senjata utama di kotak tee ketika barisan pemain elit berusaha mengelakkan rough sukar dan mencipta sudut terbaik untuk menyerang ke pin di lapangan East Lothian dengan par-71 itu.


Graeme McDowell, juara Terbuka AS 2010 yang membesar bermain di lapangan berangkai di Ireland Utara dan turut bermula dalam kelompok pemain pilihan, membandingkan bermain golf di Muirfield dengan permainan catur.

"Pastinya kami berdepan permainan catur minggu ini, Anda perlu meletakkan tentera anda di posisinya dan terus bermain," katanya.


"Lapangan golf ini berada di depan anda, tiada tipu helah yang terselindung. Permainan yang berkualiti akan berjaya.


"Anda perlu melakukan pukulan ke tempat yang anda jangkakan. Ia memberikan anda peluang baik di sekitar green.

"Sembilan per sepuluh lapangan golf ini akan memihak kepada pemain yang bermain dengan bagus dan menyukarkan anda dari kotak tee namun memberikan anda peluang terbaik di green.


"Ia satu lapangan seimbang yang memberikan kelebihan kepada pemain hebat dan permainan hebat, mungkin itu sebabnya kita saksikan terlalu ramai juara hebat di gelanggang ini." Melihat kepada senarai pemenang di Muirfield mengesahkan apa yang diperkatakan McDowell kerana ia termasuk Ernie Els, kali terakhir ia diadakan di situ pada 2002, Nick Faldo pada 1992 dan 1987, Tom Watson (1980), Lee Trevino (1972), Jack Nicklaus (1966) dan Gary Player (1959).

Pilihan utama kejohanan Tiger Woods berhasrat untuk menyertai senarai itu dan akhirnya memenangi kejuaraan utamanya kali ke-15, lebih lima tahun selepas kali terakhir menang pada Terbuka AS 2008 di Torrey Pines. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Blake tarik diri

Posted: 17 Jul 2013 09:52 AM PDT

Kingston: Penyandang juara 100 meter dunia Yohan Blake menarik diri daripada Kejohanan Olahraga Dunia di Moscow bulan depan kerana kecederaan hamstring.

Pelari Jamaica berusia 23 tahun itu dihantui kesakitan hamstring sejak April lalu apabila dia bertanding pada kejohanan Klasik Utech di Jamaica.


"Kecederaan dialami April lalu menghalangnya mencapai tahap kecergasan yang diperlukan," kata ejennya, Cubie Seegobin semalam.

Kecederaan itu turut menyebabkan Blake terlepas kejohanan pemilihan Jamaica bulan lalu.


Penarikan diri Blake diumumkan selepas beberapa pelari ternama tidak dapat beraksi kerana didapati positif ujian dadah.


Ahad lalu, pelari pecut Amerika Tyson Gay, bekas pemegang rekod 100m dunia Asafa Powell dan pemenang pingat Olimpik Sherone Simpson dari Jamaica berkata, mereka diuji positif dengan bahan terlarang.

Blake mempunyai catatan terbaik peribadi 9.69 saat yang membolehkannya berkongsi tangga kedua sebagai pelari terpantas dalam sejarah di belakang rakan senegara dari Jamaica, Usain Bolt. Gay turut melakar 9.69 saat.


Blake memenangi pingat emas pada Kejohanan Dunia 2011 di Daegu selepas penganjur membatalkan larian Bolt.

Juara bertahan Bolt dibatalkan selepas dia berlepas dari blok terlalu awal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Martina teruja kembali kompetitif

Posted: 17 Jul 2013 09:51 AM PDT

Paris: Bekas pemain nombor satu dunia Martina Hingis akan melakukan kemunculan semula dengan bermain dalam acara beregu, enam tahun selepas persaraan keduanya.

Bintang Switzerland itu, yang memenangi lima kejuaraan perseorangan Grand Slam dan sembilan beregu, akan beraksi pada kejohanan Terbuka California Selatan di Carlsbad dari 27 Julai hingga 8 Ogos ini.


Dia akan berpasangan dengan pemain Slovakia Daniela Hantuchova, pemain yang berganding dengannya pada 2007 sebelum persaraannya.

"Saya tidak sabar untuk kembali bermain secara kompetitif pada Terbuka California Selatan," kata Martina.


"Saya ingat lagi memenangi acara perseorangan dan beregu di sini pada 1997 dan menang acara perseorangan sekali lagi pada 1999.


"Kecergasan saya berada pada tahap yang baik selepas bermain pada kejohanan berpasukan dunia. Semangat juang saya masih ada dan saya gembira berada di gelanggang." Martina bersara kali kedua pada 2007 pada usia 27 tahun selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang ketika kalah pada pusingan ketiga Wimbledon tahun itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Demi kepuasan peserta

Posted: 17 Jul 2013 09:51 AM PDT

Kuala Lumpur: Bagi menjamin kepuasan semua peserta yang mendaftar untuk menyertai sirkit kedua Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013, penganjur akan memperkenalkan sistem ranking dalam kategori jamboree.

Sirkit kedua yang kembali menemui peminat basikal lasak akan berlangsung di Kellie's Castle, Perak pada 25 Ogos ini terbuka kepada semua peringkat golongan terdiri daripada Lelaki Terbuka (23-44), Veteran (45 tahun ke atas), Wanita (terbuka) dan Remaja (22 tahun ke bawah). Pengerusi perlumbaan, Abdul Ghafar Ismail berkata, pendekatan baru itu adalah bertujuan meningkatkan lagi mutu penganjuran selepas tamatnya sirkit pertama di Putrajaya.


Beliau turut berharap lebih ramai peserta akan menyertai sirkit kedua yang terus menawarkan mata bagi pelumba untuk melayakkan diri beraksi di Grand Final selain menawarkan hadiah wang tunai yang sama seperti sirkit pertama. "Maklum balas yang diterima positif terutama daripada kelab tempatan dan kami menjalankan kerjasama ini bagi memastikan kelancaran perlumbaan," katanya.

Sementara itu, cenderahati khas yang bercirikan Perak selaku tuan rumah menanti peserta yang mendaftar pada sikit kedua ini.


Bagi peserta yang ingin mengambil bahagian boleh membuat pendaftaran secara online terus ke laman web rasmi kejohanan.


Saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Ia membabitkan lima sirkit menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM220,000 selain cabutan bertuah hadiah utama sebuah motosikal jenama Damak model D Force 160cc berharga RM5,000. Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.com.my atau hubungi Norsham di talian 0125470448, Rahmat (0133405659) dan maklumat berhubung dengan teknikal bolehlah menghubungi Sanusi (0169393934).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

17 pengadil dikenakan tindakan

Posted: 17 Jul 2013 09:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Gara-gara gagal mengadili perlawanan dengan baik, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan ke atas 17 pengadil musim ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Aziz, tindakan tegas terhadap pegawai pertandingan berkenaan diambil berdasarkan penilaian daripada pegawai penilai pengadil perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) sejak Januari hingga Jun lalu.


"Dalam 714 perlawanan musim ini, FAM menerima lima aduan rasmi saja berhubung mutu pengadilan Liga M. Daripada lima aduan itu, dua aduan dari Johor dan satu aduan masing-masing dari Perak, ATM dan Terengganu.

"Bagaimanapun hanya dua aduan saja berasas di mana empat pengadil itu telah diturunkan pangkat ke liga lain. Dua aduan itu membabitkan perlawanan Johor Darul Takzim dan Kelantan menentang Terengganu pada aksi separuh akhir Piala FA.


"Selain dari empat individu itu, 13 pengadil turut digantung berdasarkan laporan pegawai penilai pengadil sejak Januari sehingga Jun lalu," katanya selepas Mesyuarat Eksekutif FAM ke-8 semalam.


Isu mutu pengadilan sering mendapat perhatian musim ini dengan beberapa rungutan disuarakan termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melabel mutu pengadilan di negara ini masih di tahap amatur.

Selain Tunku Ismail, persatuan negeri dan kelab antaranya Perak dan Terengganu turut mengemukakan laporan rasmi mengenai mutu pengadilan dalam kempen Liga Super kepada FAM.


Perak tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil selepas seri 1-1 kepada Lions XII di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Jun lalu manakala Terengganu mempertikaikan kredibiliti pengadil selepas melayangkan dua kad merah kepada Abdul Manaf Mamat dan Emmanuel Effa Owona pada aksi separuh akhir Piala FA, 28 Mei lalu.

Sementara itu, Astaman turut ditanya cadangan Persatuan pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mahu pengadil juga diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing kepada Jawatankuasa Integriti FAM selain pemain.


Beliau menyambut baik cadangan itu cuma beliau berpendapat pengisytiharan harta itu hanya membabitkan pengadil dan tidak termasuk ahli keluarga.


"Saya fikir undang-undang ini perlu dikenakan kepada pengadil dan ahli keluarga dikecualikan. Malah peraturan ini perlu diperhalusi kerana pengadil hanya bekerja secara sambilan dan mereka mempunyai pekerjaan lain seperti guru dan tentera jadi mereka juga ada terikat dengan garis panduan tertentu untuk mengisytiharkan harta mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Kapten Yob tak sabar masuk padang

Posted: 17 Jul 2013 09:49 AM PDT

Ipoh: Kapten Perak Shahrulnizam Mustapa yakin menyertai semula latihan pasukan bagi persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia 2013 dalam masa seminggu lagi.

Ini kerana pemain itu mahu mengikut arahan doktor sepenuhnya dalam merawat kecederaan pangkal pahanya.


"Saya diarahkan berehat selama tiga minggu. Justeru saya mahu pastikan kecederaan saya ini pulih sepenuhnya agar dapat memberikan khidmat terbaik kepada pasukan dalam saingan Piala Malaysia nanti.

"Saya mahu menamatkan musim dengan beraksi di padang dan bukannya merawat kecederaan,"katanya.


Begitupun Shahrulnizam yakin dia mampu beraksi apabila Piala Malaysia bermula 20 Ogos nanti kerana sudah semakin pulih.


Pemain tengah berpengalaman itu mempunyai perspektif lebih baik mengenai pasukan Perak untuk menghadapi Piala Malaysia, nanti.

"Berdasarkan empat perlawanan terakhir liga, saya percaya Perak sudah menemui rentak sebenarnya.


"Pemain sudah mencapai persefahaman mantap yang menyaksikan kami memberi saingan sengit kepada empat pasukan teratas iaitu Pahang, Lions XII, Kelantan dan ATM.

"Jika momentum ini dapat dikekalkan, tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh pergi jauh kali ini,"katanya.


Bekas pemain kebangsaan itu berkata Perak turut mempunyai tenaga muda dari skuad Piala Presiden yang bersedia mencurah kudrat selepas menimba banyak pengalaman dalam pertandingan kompetitif.


Mengenai larangan meminjam pemain pasukan lain kali ini, dia berkata tindakan itu merugikan pemain kerana musim bola sepak mereka berakhir lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Subahan sokong eksperimen Rajagobal

Posted: 17 Jul 2013 09:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengurus pasukan negara Datuk Seri Subahan Kamal tidak menyalahkan Datuk K Rajagobal untuk terus melakukan eksperimen meskipun Harimau Malaya seri tanpa jaringan pada aksi persahabatan menentang Chonburi FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Subahan turut berkongsi pendapat dengan pengendali berusia 56 tahun itu keputusan menang atau kalah tidak penting kerana ia hanya aksi persahabatan.


"Paling penting pemain diberi peluang sama rata untuk bermain," katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatakuasa Eksekutif FAM semalam .

Beliau berkata, semua pihak sepatutnya memberi peluang kepada Rajagobal memperbaiki kelemahan sebelum berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC di Stadium Shah Alam, Ahad ini.


"Perlawanan Ahad ini lebih penting kerana bukan mudah bagi Harimau Malaya mendapat peluang beraksi bersama kelab terkemuka seperti Chelsea.


"Kita bukan mengharapkan kemenangan tapi biarlah skuad kebangsaan dapat mempamerkan aksi menarik dan tidak menghampakan peminat bola sepak negara." Subahan meyakini kemampuan Harimau Malaya dan berharap mereka mampu melakukan perubahan corak permainan pada aksi menentang Chelsea.

"Perlawanan menentang Chelsea memberi pendedahan terbaik kepada pemain sebelum berdepan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos dan Bahrain pada perlawanan ketiga kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Irfan positif juarai Piala Malaysia

Posted: 17 Jul 2013 09:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Kebangkitan lewat Selangor dalam saingan Liga Super mahu diteruskan Merah Kuning dalam kancah Piala Malaysia yang bermula bulan depan.

Anak buah Irfan Bakti Abu Salim muncul naib juara Liga Super di belakang kelab Singapura, LionsXII walaupun pada saingan awal berada di kelompok pertengahan liga dan mencatatkan keputusan seri paling banyak berbanding pasukan lain iaitu 10 daripada 22 perlawanan.


"Berdasarkan persembahan penghujung musim, kami harap dapat menamatkan musim ini dengan mendakap piala berprestij ini buat kali ke-33 dan mencapai Misi 33 yang dilancarkan dua tahun lalu. "Namun saya akui tiada yang mudah kerana setiap pasukan mahu memberikan segala-galanya dalam merebut piala terakhir musim ini," kata penolong jurulatih Selangor P Maniam.

Menurutnya Selangor akan cuba memperkuatkan barisan sedia ada dengan memanggil dua atau tiga pemain Piala Presiden dengan tumpuan membabitkan posisi pertahanan tengah dan bahagian tengah bagi memperbanyakkan lagi pilihan pemain.


"Kami akan kembali menyambung latihan esok dan tumpuan pada peringkat awal adalah meningkatkan tahap kecergasan pemain. Kami merancang mengadakan empat atau lima perlawanan persahabatan namun lawan masih belum dimuktamadkan," katanya.


Sesi latihan Selangor bakal bersambung tanpa enam pemain utama yang kini bersama skuad kebangsaan iaitu Mohd Amri Yahyah, Mohd Asraruddin Putra Omar, K Gurusamy, S Kunanlan, Mahali Jasuli dan Norazlan Razali dijadual menentang Chelsea FC, kunjungan ke Jepun dan FC Barcelona.

Mengenai harapan Selangor pada undian Piala Malaysia Sabtu depan, Maniam mengharapkan tuah memihak kepada mereka dengan laluan ke suku akhir tidak terlalu sukar.


"Kami harap dapat mengelak daripada berada dalam satu kumpulan berbahaya seperti ATM dan Pahang. Malah kami lebih beruntung jika mempunyai pasukan Liga Perdana."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

Bencana skuad badminton

Posted: 17 Jul 2013 09:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Bencana pertama menimpa skuad badminton negara menjelang saingan Kejohanan Dunia di Guangzhou, China 5-11 Ogos ini apabila perseorangan wanita Sonia Cheah mengalami kecederaan tendon Achilles betis kanan memaksanya menarik diri daripada kejohanan yang sepatutnya menjadi pentas terbesar pertamanya sejak berada dalam skuad senior.

Jurulatih perseorangan, Wong Tat Meng mengesahkan, pemainnya itu tidak dapat beraksi di Guangzhou dan apa yang berlaku amat mengecewakan.


"Kecederaannya teruk. Institut Sukan Negara (ISN) mengesahkan 50 peratus tendonnya koyak tapi dia bernasib baik kerana tidak putus," kata Tat Meng yang ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Sonia mengalami kecederaan itu pada Selasa, selepas hanya 15 minit menjalani latihan, ketika melakukan pukulan dari belakang gelanggang.


"Kelmarin, selepas mengalami kecederaan itu, dia terus menjalani pemeriksaan dan melakukan ujian MRI (Magnetic Resonance Imaging). CEO ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dan barisan doktor melakukan pemeriksaan dan membuat analisis lalu memutuskan untuk terus melakukan pembedahan pagi ini (semalam).


"ISN berjanji memberi sokongan penuh dalam proses pemulihan Sonia kerana dia juga pemain yang kita sasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio, 2016.

"Mengikut doktor, tiga bulan selepas menjalani pembedahan dia dijangka boleh berjalan seperti biasa tapi jangkaan pulih sepenuhnya, Januari tahun depan. Itupun Sonia mesti mengikuti proses pemulihan yang ketat." Penarikan diri Sonia menyaksikan tinggal Tee Jing Yi, menjadi wakil tunggal negara di Guangzhou namun program latihan yang dirancang tetap diteruskan meskipun tanpa Sonia.


"Program latihan bersama Juliane Schenk (Jerman) tetap diteruskan dan pemain nombor empat dunia itu akan mengikut skuad negara menjalani latihan pusat di Hong Kong bermula 25 Julai ini. Kita memang serius melakukan persiapan tapi apa boleh buat, perkara sebegini tidak dapat dielak dan dijangkakan.

"Bagi saya Jing Yi tidak akan berasa tertekan tanpa Sonia kerana tidak ada sasaran khusus ditetapkan. Peluang untuk mereka ke separuh akhir atau final tipis tapi dalam hati saya sebagai jurulatih, saya mahu mereka mencapainya meskipun prestasi dan kualiti mereka masih terlalu jauh." Jurulatih yang kembali bersama skuad negara selepas berkelana di Indonesia itu berkata, Sonia menangis sehingga matanya bengkak. Dia sememangnya mahu beraksi di Kejohanan Dunia dan telah menjalani latihan dengan gigih.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18

No comments:

Post a Comment