Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Terjun tebing 30 meter

Posted: 13 Jul 2013 11:10 AM PDT

London: Seorang ibu meletakkan anaknya di bahu sebelum melompat dari tebing setinggi 30 meter, semalam.

Sebelum itu, Katerine Hooper dipercayai mencampak anak bongsunya Samuel yang baru berusia dua tahun dari tempat sama.


Menurut saksi, Katerine, 24, kemudian meletakkan Joshua - berusia lima tahun ke bahunya dari tebing batu granit di Dartmoor, Devon.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 pagi.


Sejurus selepas dimaklumkan, ambulans udara dikejarkan ke situ tetapi pihak perubatan mengesahkan Katerine dan anaknya meninggal dunia. Sementara itu, rakan Katerine berkata, ibu muda itu menghadapi masalah dengan bapa kepada dua anaknya, Neil Patterson, 54. Katerine pernah dilaporkan hilang pada April lalu sehingga mendorong polis memperoleh arahan mahkamah untuk membolehkan pihak berkuasa mengetahui lokasinya.


Kata sumber, Katherine dipercayai melarikan diri daripada Patterson.

Foto

KATHERINE bersama Samuel dan Joshua di kediaman mereka.

Wanita itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah padang dua hari kemudian. Jiran tetangga Katerine di Paignton berkata, wanita itu mula membina hidup baru dan "takut" dengan apa yang sudah berlaku. Johnathan Grant berkata, Katherine dan Patterseon berdepan kes mahkamah bulan depan ekoran "konflik" di antara kedua-duanya yang hidup bersama selama sembilan tahun.


"Sejak itu Kat mengalami kemurungan yang kronik," katanya.

Menurut Grant, Samuel sepatutnya memulakan hari pertamanya di pusat jagaan kanak-kanak kelmarin. Katanya, dua beradik itu sangat baik dan mereka sering bermain dengan anak perempuannya.


Katherine dipercayai mendapatkan semula dua beradik itu selepas mereka diletakkan di bawah jagaan petugas khidmat sosial dan berpindah semula ke kediaman keluarga dua minggu lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Besi terpacak di kepala

Posted: 13 Jul 2013 11:05 AM PDT

Beijing: Ini ialah batang keluli yang tertusuk dalam kepala seorang pekerja selepas ia jatuh di tapak bangunan.

Liu Fenghe sedang berbual dengan rakan sekerjanya di tingkat bawah sebuah bangunan dalam pembinaan apabila tiba-tiba dia rebah ke lantai dengan batang keluli itu tercacak di kepalanya.


Rakannya Zhang berkata, kejadian berlaku cukup pantas. "Sebelum saya sempat berbuat apa-apa, Liu sudah pun berlumuran darah," katanya ketika ditemui.

Dipercayai batang keluli itu jatuh dari tingkat 25 bangunan berkenaan.


Hentakan yang kuat menyebabkan ia tertusuk sedalam 20 sentimeter ke dalam kepala Liu.


Doktor menjalankan pembedahan kecemasan di daerah Shanghe, Shandong. Pihak hospital berkata Liu kini sudah terlepas daripada bahaya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

'Damai' 40 hari

Posted: 13 Jul 2013 11:05 AM PDT

Bangkok: Kerajaan Thai dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) mencapai persetujuan gencatan senjata 40 hari sempena Ramadan.

Langkah itu menjadi petanda awal dalam usaha kerajaan mengakhiri konflik di selatan Thai yang mengorbankan lebih 5,700 nyawa sejak 2004.


Pegawai Malaysia yang menjadi fasilitator rundingan itu Ahmad Zamzamin Hashim berkata, "Bulan bebas keganasan" itu bermula Rabu lalu dan akan berakhir 18 Ogos depan.

Malaysia menjadi fasilitator rundingan damai di antara pihak berkuasa Thai dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengeluarkan kenyataan itu kelmarin.


Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC) Paradorn Pattanatabut mengesahkan kenyataan itu.


Katanya, kerajaan mengerah lebih ramai sukarelawan pertahanan bagi menggantikan anggota tentera yang mengawal keselamatan guru di beberapa kawasan. Semua lokasi di Narathiwat, Pattani dan Yala serta lima daerah di Songkhla - iaitu Na Thawi, Sadao, Chana, Thepha dan Saba Yoi - turut tersenarai dalam perjanjian gencatan senjata itu.

Kenyataan itu berkata, Thailand dan BRN "akan berusaha keras bagi memastikan Ramadan tahun ini bebas daripada keganasan bagi menunjukkan keikhlasan, komitmen dan kesungguhan kedua-dua pihak mencari penyelesaian kepada masalah dasar melalui dialog keamanan bersama." Gencatan senjata itu menjadi ujian penting pertama dalam usaha untuk mengakhiri keganasan di selatan Thai melalui meja rundingan.


Kumpulan pemisah berikrar mengelak daripada menyerang pegawai keselamatan, orang awam dan hartanah.

Sementara itu, pihak berkuasa Thai akan mengalihkan sebilangan sekatan jalan dan mengundurkan tentera dari beberapa kampung yang menjadi antara tuntutan BRN dalam syarat gencatan senjata ketika Ramadan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Taufan Soulik landa Taiwan

Posted: 13 Jul 2013 11:04 AM PDT

Taipei: Satu taufan kuat melanda utara Taiwan semalam membunuh sekurang-kurangnya seorang dan menjejaskan sistem pengangkutan serta aktiviti perdagangan di pulau dihuni 23 juta orang itu.

Biro Cuaca Pusat Taiwan berkata, pada jam 8.30 pagi taufan Soulik bertiup di lautan hanya di barat bandar Hsinchu di negara itu. Ia membawa angin yang bertiup 137 kilometer sejam, berkurang daripada 163 kilometer sejam ketika ia mendarat di Taiwan pada waktu subuh.


Bagaimanapun, pada kelajuan itu taufan berkenaan mencukupi untuk memusnahkan sebuah bangunan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Remaja ditahan kes culik

Posted: 13 Jul 2013 11:03 AM PDT

Jakarta: Polis Jakarta semalam menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang didakwa menculik kenalan perempuannya yang dikenali di Facebook.

Jurucakap polis berkata, suspek dan remaja perempuan berusia 16 tahun itu berkomunikasi di laman media sosial sejak 2011.


Menurutnya, mangsa pelajar gred 11 yang tinggal di Lampung memutuskan untuk bertemu suspek, pelajar kolej yang tercicir di Jakarta.

"Suspek mengatakan dia ingin membawa remaja perempuan terbabit bertemu bapanya yang bekerja di kilang dekat Pulogadung, Jakarta Timur," katanya. Jurucakap polis berkata, mangsa tiba dengan feri di Pelabuhan Merak di Banten kira-kira jam 9 malam pada 6 Julai lalu dan dijemput oleh suspek.


Suspek kemudian membawanya ke sebuah rumah kosong milik rakannya di Ciputat, Jakarta Selatan dan mengurung mangsa di sana hingga 11 Julai lalu.


Bapa mangsa melaporkan mengenai kehilangan anak perempuannya.

Pihak berkuasa kemudian berjaya mengesan mereka selepas memeriksa akaun Facebook mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Sam kembali bantu parti

Posted: 13 Jul 2013 11:02 AM PDT

Phnom Penh: Pemimpin pembangkang Kemboja yang mendapat pengampunan semalam berkata, dia akan kembali daripada buangan pada 19 Julai ini bagi menyertai kempen partinya untuk menewaskan Perdana Menteri Hun Sen dalam pilihan raya yang akan datang.

Sam Rainsy yang tinggal di Perancis berdepan hukuman penjara 11 tahun selepas disabitkan bersalah tanpa kehadirannya atas dakwaan yang disifatkannya bermotifkan politik, termasuk menerbitkan peta sempadan yang salah dengan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Mati terkena renjatan elektrik

Posted: 13 Jul 2013 11:01 AM PDT

Bretigny-sur-Orge (Perancis): Enam terbunuh dan 30 cedera, termasuk sembilan parah, apabila sebuah stesen yang padat dengan pengguna dirempuh kereta api yang tergelincir, semalam.

Kereta api antara bandar berkelajuan tinggi itu dalam perjalanan dari Paris ke bandar Limoges apabila kemalangan berlaku di pinggir Bretigny-sur-Orge kira-kira jam 3.15 petang (waktu tempatan).


Penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang terperangkap di dalam kereta api yang membawa 385 penumpang itu. Sumber berkata, sesetengah mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik.

Sementara itu, penyiasat masih mencari punca sebenar kemalangan berkenaan. Memuji tindakan pantas pemandu kereta api itu memaklumkan kemalangan berkenaan, Menteri Pengangkutan Perancis Frederic Cuvillier menolak kemungkinan ia berpunca daripada kesilapan manusia. "Siasatan ditumpukan kepada kemungkinan wujud kerosakan koc, infrastruktur atau ketepatan kawasan isyarat," katanya.


Cuvillier memuji tindak balas serta-merta pemandu kereta api itu menghantar amaran yang membolehkan berlaku kemalangan lain di kawasan berkenaan.


Kejadian semalam adalah mencatat kemalangan kereta api terburuk di Perancis dalam tempoh 25 tahun.

Saksi berkata, lokasi kemalangan itu seolah-olah kawasan perang dan ada antara mangsa terpaksa melangkahi mayat yang terputus untuk keluar dari koc yang terbalik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Pertimbang beri suaka pada Snowden

Posted: 13 Jul 2013 11:00 AM PDT

Moscow: Russia semalam mempertimbangkan untuk memberi suaka kepada bekas perisik AS selepas dia menyatakan hasratnya mahu berlindung di negara itu.

Kelmarin, Edward Snowden memanggil aktivis hak asasi manusia ke kawasan transit di Lapangan Terbang Sheremetyevo yang menjadi 'rumah' sementaranya sejak tiga minggu lalu.

Snowden, 30, juga membuat penampilan terbuka untuk kali pertama sejak tiba di Moscow dari Hong Kong dan menyatakan niatnya mendapatkan suaka di Russia sehingga dia meneruskan perjalanan ke Amerika Latin untuk suaka kekal.

Stesen televisyen Russia semalam menyiarkan rakaman pertemuan Snowden dengan aktivis terbabit, Setiausaha WikiLeaks, Sarah Harrison, dan seorang penterjemah wanita.


Dalam reaksi yang memungkinkan Moscow memberi pertimbangan kepada Snowden, Speaker Parlimen Russia, Sergei Naryshkin dan Valentina Matviyenko berkata, kerajaan wajar menerima permohonan berkenaan.


Pada masa sama, AS mengecam Beijing kerana membenarkan Snowden meninggalkan Hong Kong ke Russia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Kerajaan batal bina loji uranium

Posted: 13 Jul 2013 10:58 AM PDT

Beijing: Kerajaan akhirnya membatalkan rancangan untuk membina loji memproses uranium selepas beratus-ratus penduduk tempatan membantah atas alasan ia boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Kerajaan yang mentadbir Jiangmen di wilayah Guangdong semalam berkata, mereka akan menghentikan projek bernilai 37 bilion yuan (RM19 bilion) itu kemudahan untuk pengayaan uranium.


Pengumuman itu dibuat selepas hampir 1,000 penduduk setempat berarak di jalan raya Jiangmen kelmarin sambil memegang sepanduk dan memakai kemeja-T bertulis bantahan terhadap projek itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Perluas buruan

Posted: 13 Jul 2013 10:58 AM PDT

Medan: Polis Indonesia semalam memperluaskan pemburuan terhadap 131 banduan, termasuk empat militan yang melarikan diri dari penjara sesak ketika rusuhan yang menyebabkan lima maut, kata jurucakapnya.

Tahanan mula mengamuk di penjara di Medan itu Khamis lalu, memulakan kebakaran dan membaling botol ke arah pengawal ekoran berang dengan bekalan elektrik yang dipotong dan kekurangan air di penjara berkenaan.


Penjara Tanjung Gusta itu diselubungi dengan asap tebal, membunuh tiga banduan dan dua kakitangan penjara yang terperangkap dalam pejabat mereka.

Jurucakap polis Sumatera Utara, Heru Prakoso berkata, pihak berkuasa menggiatkan usaha memburu dengan mengarahkan semua anggota di Sumatera melakukan operasi besar-besaran.


"Turut terbabit ialah unit polis elit antipengganas Indonesia, Densus 88," katanya.


Menurut Heru, sehingga petang semalam empat bekas pengganas masih diburu.

Katanya, pasukan keselamatan berjaya mengawal keadaan di penjara itu tengah hari kelmarin dan menangkap semula 81 daripada 212 tahanan yang melarikan diri.


"Tahap keselamatan di semua pintu masuk di sempadan Sumatera Utara ditingkatkan," katanya.

Banduan pengganas yang melarikan diri itu terbabit dalam latihan militan untuk melakukan serangan berprofil tinggi seperti pernah berlaku di Mumbai, India pada 2008.


Mereka juga terbabit dengan beberapa kes rompakan bank bagi membiayai kegiatan keganasan mereka. Seramai 1,000 anggota polis dan tentera dikerah untuk mengawal penjara berkenaan. Sementara itu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berjanji akan mengurangkan keadaan kesesakan di penjara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

No comments:

Post a Comment