Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tubuh entiti kendali liga

Posted: 20 Jul 2013 11:39 AM PDT

Kuala Lumpur: "Wujudkan segera satu entiti sah bagi mengendalikan liga." Itu saranan Tan Sri Annuar Musa terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang seharusnya tidak mengambil masa terlalu lama untuk meningkatkan taraf Liga Malaysia (Liga-M).

"Keadaan akan nampak buruk apabila FAM tidak mempercepatkan kewujudan entiti berkenaan kerana kebanyakan duit tajaan digunakan oleh badan induk bola sepak negara. Hak yang dijual kepada penaja adalah milik liga berkenaan namun tidak sampai separuh hasilnya kembali ke liga itu sendiri. FAM sebaliknya menggunakannya untuk menanggung perkara lain yang tidak berkaitan dengan liga," katanya.


Liga-M memperoleh pendapatan RM30 juta setahun hasil penajaan sebuah syarikat penyiaran, Astro selama empat tahun bermula 2011 hingga 2014.

"Perkara ini sepatutnya sudah lama dilakukan, tidak perlu menunggu 2015 (seperti diumumkan FAM). Lakukan sekarang kerana liga boleh berjalan seperti biasa, saya lihat tiada sebarang gangguan.


"Bagi saya tidak timbul isu penswastaan kerana FAM juga boleh memegang kepentingan 20 atau 30 peratus dalam entiti berkenaan. Soalnya sekarang FAM perlu membentuk sebuah entiti untuk menguruskan liga seperti Malaysia Super League Sdn Bhd (MSL) yang pernah diwujudkan dulu.


"Malah pemegang jawatan di dalam FAM sewajarnya tidak menjanjikan sesuatu yang mahu dilakukan pada 2015 kerana mandat mereka hanya sampai tahun depan," tambahnya.

Foto

JUARA Liga Super 2013 LionsXII.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata, badan induk itu bakal melaksanakan liga profesional pada 2015 dengan cadangan untuk menswastakannya.


Namun, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pula dilaporkan berkata, adalah lebih baik ia dikorporatkan dulu iaitu pengurusannya akan membabitkan penggabungan pihak swasta dan FAM.

"Isunya bukannya diswastakan. FAM cuma perlu merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan selain mengambil contoh negara lain yang sudah melaksanakannya," kata Annuar.


Menurutnya, kegagalan berkenaan adalah antara punca menyebabkan wakil Malaysia tidak dapat beraksi di Liga Juara-Juara Asia.


Jelas Annuar, sebelum beliau digantung, terdapat perancangan untuk meningkatkan nilai liga ke satu tahap yang lebih tinggi namun sehingga kini FAM tidak membuat sebarang tindakan ke arah itu.


"FAM menggunakan kaedah yang sama sejak 20 tahun lalu. Tiada peningkatan dalam sistem tiket, pendaftaran kelab penyokong dan sebagainya yang mampu meningkat nilai Liga-M," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Woods buru gelaran ke-15

Posted: 20 Jul 2013 11:35 AM PDT

Scotland: Tiger Woods akan memulakan aksi hari ketiga Kejohanan Golf Terbuka British, hari ini dan dilihat berada pada kedudukan terbaik untuk cuba mendaratkan gelaran utama yang ke-15 bagi dirinya sepanjang terbabit dengan sukan berkenaan.

Pemain nombor satu dunia itu ketinggalan satu pukulan di belakang pendahulu semalaman, Miguel Angel Jimenez selepas sekadar melakar aksi par 71 semalam sekali gus mengumpul dua pukulan di bawah par selepas dua hari kejohanan.


Woods berkongsi kedudukan dengan pemain Britain, Lee Westwood, pemain Sweden, Henrik Stenson dan rakan senegaranya, Dustin Johnson selepas membenam birdie di lubang terakhir.

"Saya hanya perlu meneruskan permainan secara konsisten. Saya juga perlu terus sabar, melakukan putt ke arah yang tepat dan cuba meletakkan bola dekat dengan pin," kata Woods.


"Kami tidak akan mendapat banyak peluang di lapangan itu nanti tetapi saya sudah mula dapat menyesuaikan diri dan semoga saya dapat meneruskan aksi dengan lebih konsisten." Jimenez turut melakar 71 pukulan pada hari kedua selepas mencatat 68 pukulan pada hari pembukaan sekali gus membolehkan dirinya dinobatkan selaku pendahulu.


"Saya rasa tenang," katanya kepada wartawan. "Dan saya sukakan aksi saya pada kejohanan ini. Saya bermain golf dan inilah yang saya lakukan untuk menyara diri serta keluarga. Inilah yang saya lakukan sejak 25 tahun lalu." Westwood yang sedang memburu kejuaraan utama pertama baginya, membenam enam birdie pada 12 lubang pertama tetapi tiga bogey selepas itu menjejaskan peluangnya untuk bergelar pendahulu.

"Saya rasa agak selesa," katanya. "Pukulan dan putt saya menjadi cuma lapangan di sini memang sukar.


"Lubang yang paling sukar bagi saya ialah lubang 16, 17 dan 18. Bahang kepanasan menambahkan lagi kesukaran yang kami hadapi." Martin Laird, Angel Cabrera, Zach Johnson dan Rafael Cabrera-Bello yang berkongsi kedudukan di tangga ketiga akan memulakan hari ketiga dengan satu di bawah par. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Beatriz kongsi kedudukan pendahulu

Posted: 20 Jul 2013 11:34 AM PDT

Sylvania: Pemain Sepanyol, Beatriz Recari melakar enam di bawah par 65 sekali gus berkongsi kedudukan dengan Paula Creamer dan Alison Walshe selaku pendahulu Kejohanan Marathon Classic LPGA sambil pemain nombor satu dunia, Park In-Bee ketinggalan dua pukulan di belakang.

Beatriz membenam enam birdie, dua bogey serta satu eagle untuk berkongsi kedudukan pendahulu menerusi catatan lapan di bawah par 134 selepas hari kedua kejohanan terbabit.


Pemain Korea Selatan, Park yang menjuarai tiga kejohanan utama golf wanita tahun ini, berada di kedudukan kelima apabila mencatat dua di bawah par 69, bersama-sama pemain Jepun, Chie Arimura dan pemain amatur dari New Zealand, Lydia Ko.

Paula pernah menjulang sembilan gelaran LPGA tetapi dia sedang kemarau kejuaraan sejak kali terakhir menjulang trofi Terbuka Wanita AS 2010.


Beatriz menang satu-satunya gelaran di Cabaran LPGA 2010 serta kejohanan KIA Klasik tahun ini manakala catatan terbaik Alison pula ialah apabila menduduki tangga kelapan Kejohanan Kraft Nabisco tahun lalu.


Beatriz membenam tiga birdie di empat lubang terakhir sebelum dua bogey di sembilan lubang keduanya dilihat seakan-akan melunturkan aksinya. Bagaimanapun, dia berjaya bangkit dengan dua birdie berturut-turut sebelum melakar eagle di lubang ke-15 dan mencatat satu lagi birdie di lubang ke-16.

"Memang saya sedikit kecewa dengan catatan dua bogey berturut-turut itu terutamanya di lubang ke-11. Saya cuba bangkit dan berjaya. Saya gembira hari kedua permainan saya bertambah baik berbanding sebelum ini." Paula yang mengumpul 68 pukulan, memulakan aksi dengan dua birdie berturut-turut dan menambah satu lagi birdie di lubang kelima dan 15.


"Saya rasa hebat dan yakin sepanjang hari ini. Pukulan saya juga menjadi," kata Paula. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Jovetic sah milik City

Posted: 20 Jul 2013 11:34 AM PDT

London: Manchester City melengkapkan perpindahan penyerang Fiorentina, Stevan Jovetic ketika perbelanjaan penutup musim kelab itu sudah mencecah £83 juta (RM404 juta).

Kehadiran Jovetic ke Eastlands didedahkan Khamis lalu apabila Fiorentina mengumumkan mereka bersetuju dengan urusan jual beli pemain berkenaan sebelum City mengesahkan ketibaan penyerang antarabangsa Montenegro itu 24 jam kemudian.


"Manchester City berbesar hati mengumumkan kehadiran Stevan Jovetic yang baru dibeli dari Fiorentina," menurut kenyataan dikeluarkan kelab itu.

"Pemain antarabangsa Montenegro berusia 23 tahun itu kini akan menyertai rakan sepasukan barunya pada hujung minggu ini." Jovetic adalah pembelian terbaru City membabitkan sejumlah wang yang tinggi sejak menamatkan kempen mengecewakan musim lalu sekali gus menyaksikan mereka terpaksa menyerahkan gelaran Liga Perdana kepada musuh ketat, Manchester United selain mengalami kekalahan peringkat awal pada Liga Juara-Juara dan kekalahan memalukan pada final Piala FA kepada Wigan.


Pemilik City berpangkalan di Abu Dhabi itu bertindak balas dengan melantik pengurus baru, Manuel Pellegrini menggantikan Roberto Mancini dan melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad itu.


Jovetic menandatangani kontrak secara sah selepas City mengesahkan ketibaan penyerang Sepanyol, Alvaro Negredo dari Sevilla.

Kos awal untuk mendapatkan Negredo, 27, adalah sebanyak £16.4 juta (RM80 juta) dan berkemungkinan meningkat menjadi £20 juta (RM97.5 juta).


Pada penutup musim, pemain tengah Sepanyol, Jesus Navas menyebabkan City berbelanja £14.9 juta (RM72.6) daripada Sevilla sementara mereka juga mengeluarkan belanja sebanyak £30 juta (RM146 juta) untuk mendapatkan pemain tengah Brazil, Fernandinho daripada Shakhtar Donetsk.

Jovetic menghabiskan masa selama lima musim bersama Fiorentina dalam Serie A selepas beraksi bersama Partizan Belgrade dengan mencipta sejarah kelab itu apabila menjadi kapten ketika baru berusia 19 tahun.


Dia menjaringkan 23 gol dalam 61 perlawanan untuk gergasi Serbia itu sebelum berpindah ke Itali pada 2008.


Pemain berusia 23 tahun itu menghabiskan masa selama lima musim bersama Fiorentina dengan menjaringkan 40 gol daripada 134 penampilan sementara menjaringkan 10 gol dalam 27 penampilan untuk Montenegro. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Benteke tolak tawaran kelab lain

Posted: 20 Jul 2013 11:33 AM PDT

England: Christian Benteke membuktikan dia tetap komitmen dengan Aston Villa apabila menolak beberapa tawaran dikemukakan kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Sebelum ini, penyerang berusia 22 tahun itu pernah menyatakan hasratnya untuk berpindah tetapi secara tiba-tiba dia membatalkan permintaannya untuk berhijrah dan bersetuju mengikat kontrak lanjutan di Villa Park hingga 2017.


Benteke berubah hati selepas mengadakan pertemuan hati ke hati dengan pengurus, Paul Lambert.

Dia memberitahu dalam laman web rasmi kelab: "Saya berbincang dengan pengurus sewaktu saya kembali turun menjalani latihan dan kami berbual dengan baik. Saya begitu gembira dapat kembali semula ke Birmingham dan menandatangani kontrak baru bersama Aston Villa.


"Kelab ini sebuah kelab hebat dan banyak membantu saya. Sekarang saya perlu memberikan kepercayaan itu kepada rakan-rakan saya dan peminat yang sentiasa berada di belakang saya.


"Penghujung musim lalu sangat bagus dan pemain-pemain begitu kuat. Ia bukan mudah tetapi tetapi kami berjaya mengatasinya dan tahap keyakinan sangat tinggi. Jadi setiap orang tahu apa perlu kami lakukan sekarang. Saya perlu menjadi lebih baik berbanding tahun lalu." Usaha mengekalkan Benteke adalah satu usaha besar buat Villa dengan pemain antarabangsa Belgium itu meletakkan dirinya sebagai salah seorang penyerang paling digeruni dalam Liga Perdana pada penampilan musim pertamanya di kelab itu.

Kata Lambert: "Saya mengadakan pertemuan penuh dan jujur bersama Christian Benteke selepas kembali ke pusat latihan minggu ini berhubung masa depannya. Bagi saya, perkara terbaik bagi Christian adalah kekal di Aston Villa." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Adat City

Posted: 20 Jul 2013 11:33 AM PDT

Melihat Manchester City berbelanja besar untuk membeli pemain bertaraf dunia untuk melengkapkan kesebelasan utama, bukanlah satu perkara baru dan menghairankan.

Perpindahan ALVARO NEGREDO dari Sevilla ke Stadium Etihad pada harga £20.6 juta (RM100.3 juta) adalah yang terkini membabitkan pemain di posisi penyerang ke kelab itu sejak 2007 dan sehingga kini, kos pembelian mereka melepasi angka £250 juta (RM1.2 bilion).


ROLANDO BIANCHI (Reggina, £8.8 juta atau RM42.8 juta) Julai 2007

Dia tiba dengan potensi dan reputasi hebat yang menjadi sebutan selepas menyerlah dalam Serie A tetapi biarpun menjaringkan gol dalam penampilan sulung menentang West Ham, dia gagal membiasakan diri dengan Stadium Etihad.

Selepas setengah musim, pengurus kelab ketika itu, Sven Goran Eriksson menyatakan pemain Itali itu dibenarkan meninggalkan kelab dan selepas dipinjamkan ke Lazio, dia kemudiannya menyertai Torino, setahun selepas bersama City.

Perlawanan: 24 Gol: 5

VALERI BOJINOV (Fiorentina, £5.75 juta atau RM28 juta) Ogos 2007

Kejayaan City mendapatkan Bojinov dianggap bertuah tetapi pemain Bulgaria itu dilanda malang akibat kecederaan sepanjang dua tahun bersama kelab itu.

Dalam perlawanan ketiganya, ligamen lutut Bojinov cedera ketika menentang Manchester United, menyebabkannya tersingkir untuk baki musim itu. Lebih banyak kecederaan mengehadkan penampilannya tahun berikutnya apabila dia hanya menjaringkan satu-satunya gol ketika tewas 1-2 kepada Tottenham.

Dia kemudiannya dipinjamkan ke Parma pada 2009 sebelum terus bersama kelab Itali itu setahun kemudian.

Perlawanan: 12 Gol: 1

FELIPE CAICEDO (Basle, £5.2j atau RM25.3j) Januari 2008

Ketibaannya pada pertengahan musim diharapkan dapat memperkuatkan jentera serangan tetapi pemain Ecuador itu gagal menepati sebarang harapan terhadapnya.

Dia gagal menjaringkan gol dalam separuh pertama musim dan menyerlah menjelang tahun pertamanya pada musim 2008/09, ketika kelab itu di bawah pengurusan baru, memburu pemain lebih ternama. Dia bersama kelab itu sehingga 2011 tetapi dipinjamkan selama dua tahun.

Perlawanan: 35 Gol: 7

BENJANI (Portsmouth, £3.87 juta atau RM18.8 juta) Januari 2008

Bermula dengan baik menerusi penampilan pertamanya dengan kemenangan 2-1 ke atas Manchester United tetapi perjalanan Benjani semakin menjunam selepas itu.

Seperti juga Caicdeo, penyerang itu menjadi mangsa dalam peralihan pengurusan kelab dan peluangnya semakin tertutup. Dia dipinjamkan enam bulan di Sunderland sebelum menyertai Blackburn pada 2010.

Perlawanan: 31 Gol: 7

JO (CSKA Moscow, £18 juta atau RM87.6 juta) Julai 2008

Pembelian pemain Brazil itu yang beraksi dalam Piala Konfederasi dan memecahkan rekod pembelian kelab tetapi dia gagal di Stadium Etihad.

Jo yang hanya menjaringkan satu gol liga, dipinjamkan ke Everton selepas enam bulan dan diberi peluang menyertai perlawanan piala ketika kendalian Roberto Mancini sebelum meninggalkan kelab pada 2011.

Perlawanan: 42 Gol: 6

ROBINHO (Real Madrid, £33 juta atau RM160.7 juta) September 2008

Pembelian Robinho dengan harga rekod mengejutkan dunia dan selepas beberapa bulan penyerang bernilai £33 juta itu dilihat seakan berbaloi.

Begitupun sebaik bermulanya 2009, prestasinya merudum, gagal menghasilkan jaringan dan pemain Brazil itu semakin kurang mendapat perhatian. Permulaan hambar pada musim 2009/10 menyaksikan dia dipinjamkan ke Santos dan sebelum menyertai AC Milan pada akhir musim.

Perlawanan: 53 Gol: 16

CRAIG BELLAMY (West Ham, £14 juta atau RM68.2 juta) Januari 2009

Bellamy yang dibawa masuk pertengahan musim menjaringkan gol pada penampilan pertamanya sewaktu menang 2-1 ke atas Newcastle dan mencetuskan impak pada separuh awal musim di kelab itu.

Dia menjadi pemain utama pada musim berikutnya dan biarpun tidak prolifik, dia mencuri perhatian sebelum diketepikan Roberto Mancini. Penyerang Wales itu menyertai Cardiff itu secara pinjaman musim panas pada 2010 dan tidak lagi bermain bersama City.

Perlawanan: 51 Gol: 15

Roque Santa Cruz (Blackburn, £18 juta atau RM87.7 juta) Jun 2009

Santa Cruz secara rasminya meninggalkan City musim ini tetapi penyerang itu tidak bermain untuk kelab itu selama hampir tiga tahun. Sejak 2011 dia dipinjamkan ke Blackburn, Real Betis dan Malaga.

Perlawanan: 24 Gol: 4

CARLOS TEVEZ (Manchester United, £26 juta atau RM126.7 juta (dibayar kepada pihak ketiga)) Julai 2009

Seperti juga Robinho setahun sebelumnya, perpindahan Tevez dianggap satu daripada perpindahan paling menonjol sebaik merentasi tembok Manchester.

Tidak seperti Robinho, Tevez menyerlah. Dia watak penting dalam membantu kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala FA sebelum menyertai Juventus musim ini.

Perlawanan: 148 Gol: 74

EMMANUEL ADEBAYOR (Arsenal, £25 juta atau RM121.8 juta) Julai 2009

Bermula cemerlang dengan empat gol dalam lima perlawanan termasuk gol kontroversi menentang bekas kelabnya, Arsenal. Biarpun menjaringkan 10 lagi gol pada kempen itu, Adebayor tidak lagi mendapat pilihan sebaik Roberto Mancini dilantik sebagai pengurus.

Kali terakhir dia mewakili City dalam Liga Europa pada Disember 2010 sebelum dipinjamkan ke Real Madrid dan Tottenham, Penyerang Togo menyertai kelab utara London itu secara kekal musim lalu.

Perlawanan: 45 Gol: 19

MARIO BALOTELLI (Inter Milan, £23 juta atau RM112.1 juta) Ogos 2010

Biarpun menjaringkan gol dan mengalami kecederaan pada penampilan pertamanya, Balotelli menempuhi musim pertama yang mengecewakan di City apabila lebih banyak digantung daripada menjaringkan gol.

Pemain Itali itu masih menghiburkan di luar padang dan cemerlang di musim keduanya untuk menjaringkan gol penting demi membantu City menjuarai Liga Perdana Inggeris. Prestasinya bagaimanapun merudum musim lalu dan dengan pelbagai insiden berprofil tinggi menyaksikan dia dijual ke AC Milan pada harga £19 juta (RM92.5 juta) pada Januari.

Perlawanan: 80 Gol: 30

EDIN DZEKO (Wolfsburg, £27 juta atau RM131 juta) Januari 2011

Pemain itu dibawa masuk pertengahan musim selepas cemerlang di Jerman tetapi Dzeko gagal menampilkan aksi lebih baik di kelab itu.

Prestasinya menyerlah pada dua musim dan menjaringkan gol penting biarpun tampil sebagai gantian.

Perlawanan: 109 Gol: 40

SERGIO AGUERO (Atletico Madrid, £38 juta atau RM185.1 juta) Julai 2011

Pemain terkini yang mencatat rekod kelab dan pemain Argentina itu membalas kepercayaan dan nilai yang diletakkan terhadapnya dengan aksi menakjubkan demi menjadikan City sebagai satu daripada kelab ternama di kelab itu.

Aguero menjaringkan gol sepanjang dua tahun dan selepas menjaringkan gol saat akhir untuk membantu kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2012.

Perlawanan: 88 Gol: 47

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Kenangan berpuasa di Thai

Posted: 20 Jul 2013 11:31 AM PDT

Oleh ESME JOHARI WAHAB ( Yang mengikuti rombongan jelajah Asia Tenggara Chelsea 2013 di Bangkok, Thailand baru-baru ini)

"Saya akui bertugas di luar negara membuatkan saya kurang berfikir mengenai makanan lazat yang biasanya dinikmati setiap kali berbuka puasa di tanah air sendiri kerana sebagai wartawan, apa yang lebih penting ialah memikirkan soal bagaimana saya mahu melaksanakan tugasan yang diberi.

"Saya agak bertuah kerana Bangkok, Thailand mempunyai ramai umat Islam sekali gus memudahkan saya serta beberapa rakan lain untuk mendapatkan makanan halal di gerai atau restoran sekitar bandaraya itu.


"Cuma, masalah kesesakan lalu-lintas, lokasi sebenar gerai atau restoran yang menyediakan makanan halal dan cita rasa rombongan kami yang menjadi batasan walaupun saya dan rakan lain tidak mahu terlalu memikirkan soal selera kerana kami masing-masing sedar bahawa kami berada di tempat orang.

"Waktu berbuka puasa di Bangkok ialah pada jam 6.50 petang waktu tempatan (7.50 malam waktu Malaysia) dan suasana di Bangkok sebenarnya tidak jauh berbeza dengan Malaysia.


"Saya dan rakan media lain juga boleh dianggap bertuah kerana pihak yang bertanggungjawab mengendalikan rombongan media dari Malaysia ada menyediakan pelbagai jenis makanan berbuka puasa secara 'buffet' di hotel penginapan.


"Secara kebetulan, hotel penginapan kami pula turut menempatkan pasukan Chelsea membuatkan ruang legar hotel riuh rendah dengan peminat 'The Blues' yang menunggu peluang untuk bergambar dan mendapat autograf pemain.

"Kira-kira 150 meter dari hotel, terletak bazar Bangrak yang menempatkan sebuah kedai makanan halal seperti nasi goreng, nasi ayam serta mee sup dan bersebelahan bazar terdapat masjid Ban Oou atau Surao Khaek dipercayai dibina oleh bangsa Jawa yang datang ke Bangkok sekitar 1850-an sewaktu pemerintahan Raja Mongkut (Raja Rama IV) yang turut dikenali sebagai 'Bapa Sains dan Teknologi Siam'.


"Saya dapat melihat pemandangan di sungai Chao Phraya yang menyusuri bandar Bangkok. Sungai ini mengalir ke Teluk Thailand sepanjang 372 kilometer. Airnya tidak jernih tetapi tidak dicemari sampah sarap, tiada bau busuk serta terdapat beribu-ribu ikan keli dan belida yang sebesar dua tapak tangan berebut makanan yang dilemparkan sesiapa saja.

"Saya dan petugas media Malaysia lain ditawarkan perkhidmatan bersiar-siar percuma bersama 'bot klasik Thai' menyusuri sungai dengan tumpuan utama pelancong adalah bazar malam Asiateque The Riverfront yang terletak tidak jauh dari hotel.


"Saya dan rakan tidak melepaskan peluang mengunjungi bazar menempatkan sebanyak 1,500 kedai menjual beraneka barangan. Terdapat restoran Perancis, Jepun, Itali serta makanan Thailand, kedai menjual pelbagai barangan rumah dan cenderamata.


"Saya dan rakan lain menikmati pengalaman berpuasa di tempat orang dan ia adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Saya juga kagum dengan dua pemain Chelsea yang beragama Islam, Demba Ba dan Eden Hazard yang turut berpuasa tetapi tetap menjalani latihan harian seperti biasa bersama pemain lain.


"Benarlah kata pepatah, 'jauh perjalanan, luas pemandangan' dan saya juga terfikir apa sangatlah tugasan yang diberi ini jika dibandingkan dengan keadaan Nabi Muhammad SAW yang masih mampu berperang menegakkan Islam ketika berpuasa."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Kawal perairan negara

Posted: 20 Jul 2013 11:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Penembak negara, Muslifah Zulkifli yang juga atlet projek ke Olimpik Rio 2016 sememangnya sudah mempunyai hasrat untuk menyertai anggota unit beruniform sejak kecil lagi.

Soalan (S): Jika bukan atlet, anda seorang...

Jawapan (J): Saya mungkin menjadi pegawai dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan pangkat Leftenan.

S: Mengapa?

J: Kerjaya dalam unit beruniform sememangnya menjadi cita-cita saya sejak di bangku sekolah rendah. Kini saya menjawat jawatan sebagai Lans Koperal (LK1) TLDM.

S: Selain bertugas di TLDM dan menembak, anda ada menyambung pengajian?

J: Ya. Sejurus selepas pengajian saya dalam jurusan Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tamat, saya akan terus memohon untuk jawatan pegawai terbabit.

S: Mungkin anda boleh ceritakan tugasan anda sekiranya menjawat jawatan itu nanti?

J: Dapat saja jawatan itu nanti, saya inginkan tugas sebagai pensyarah tentera. Namun, dengan jawatan sebagai Leftenan.

S: Ada sesiapa bagi dorongan buat anda? Mungkin ada ahli keluarga yang menjawat tugas dalam badan beruniform menjadikan minat ini hadir dalam diri anda?

J: Ahli keluarga memang tiada yang bertugas dalam unit beruniform. Cuma menjadi amanat arwah ayah untuk saya menceburi bidang ini.

S: Jadi anda mengikut pesan arwah ayah?

J: Kebetulan pula saya memang meminati unit beruniform, lantas terus memasuki TLDM. Ayah saya meninggal dunia ketika saya di tingkatan dua.

S: Ada adik-beradik lain turut mempunyai minat sama?

J: Saya tiga beradik. Adik yang kedua juga menyertai sukan menembak tetapi kini sudah berhenti dan kerja. Dulu dia pernah pergi rekrut untuk TLDM tetapi kena pulang disebabkan rabun jauh. Adik yang ketiga pula masih di tingkatan dua dan turut aktif dalam sukan, acara olahraga dan bola jaring. Sekarang, dia terpilih untuk persediaan Sukma tahun depan.

S: Adik-beradik anda semuanya atlet, siapa yang banyak bagi dorongan?

J: Ya, semua adik-beradik saya aktif bersukan. Mama banyak memberi dorongan dan sokongan kepada kami.

S: Mungkin anda ada kelebihan lain seperti memasak, menjahit, menyanyi?

J: Jika ada masa terluang, saya suka memasak. Cuma, disebabkan kekangan masa dan tinggal di asrama sukar untuk saya memasak. Saya rasa gembira bila memasak.

S: Paling hebat, masak masakan apa?

J: Saya tidaklah hebat sangat. Tapi bolehlah memasak. Cuma saya gemar dan paling gembira bila dapat makan masakan ibu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

'Tak usah eksperimen lagi'

Posted: 20 Jul 2013 11:29 AM PDT

Kuantan: "Tak payahlah nak buat eksperimen lagi..apa yang saya harapkan skuad yang diturunkan malam esok (ini) dibarisi pemain yang betul-betul layak untuk berada dalam kesebelasan utama." Itu pesanan atau mungkin 'arahan' yang diluah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjelang aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea di Stadium Shah Alam, malam ini.

Beliau berkata, jika ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal terus memilih untuk melakukan eksperimen terhadap adunan anak buahnya, pengendali itu pasti tidak akan dapat mempunyai barisan terbaik seperti yang diidamkan.


Katanya, Rajagobal perlu menurunkan pemain terbaik memandangkan perlawanan itu bertaraf antarabangsa dan menjadi antara medan ujian sebelum berdepan Bahrain pada perlawanan ketiga Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015, pada 15 Oktober ini.

"Pasukan kebangsaan bakal berdepan pertandingan penting (Piala Asia) tidak lama lagi. Jadi, aksi menentang Chelsea perlu dijadikan persiapan terakhir sebelum beraksi pada saingan kelayakan Piala Asia," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh tujuh badan korporat di Istana Abdul Aziz, di sini, kelmarin.


Sebelum berdepan Bahrain, skuad negara dijadualkan berlepas ke Jepun pada 23 Julai hingga 1 Ogos untuk tiga aksi persahabatan dengan kelab negara Matahari Terbit itu.


Skuad bimbingan Rajagobal kemudiannya dijadualkan berdepan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona pada 10 Ogos di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tengku Abdullah turut meminta semua pemain yang diberi peluang beraksi pada saingan Ahad ini mempamerkan mutu permainan yang boleh dibanggakan.


"Kalau boleh kita nak menang... jadi, kita harap (pemain) banyak melakukan percubaan dan mudah-mudahan dapat menjaringkan gol. Memang diakui, perlawanan ini susah, tapi sekurang-kurangnya, cuba pertahankan kedudukan dan tunjuk corak permainan menarik.

"Kita mahu lihat benteng pertahanan pasukan kita bermain dengan cemerlang sepanjang perlawanan itu serta keupayaan penyerang-penyerang kita dalam segi statistik percubaan pada separuh masa pertama dan kedua," katanya.


Chelsea memulakan jelajah pra-musim 2013/14 di Asia dengan mengalahkan pasukan pilihan Thailand, Singha All-Star XI, 1-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Rabu lalu.


Pasukan bimbingan jurulatih Jose Mourinho itu akan berada di Malaysia sehingga 23 Julai sebelum berkunjung ke Indonesia.


Ditanya mengenai desakan rata-rata peminat bola sepak tanah air yang mahukan khidmat Rajagobal ditamatkan kerana gagal membimbing skuad kebangsaan ke peringkat lebih tinggi, Tengku Abdullah berkata perkara itu akan dikaji kemudian.


"Biar dia habiskan perjuangan dia dulu (sebagai jurulatih Harimau Malaya) kerana dia tahu apa harapannya dan saya harap dia dapat tunaikan apa saja harapannya itu dan kemudian baru kita bincang pasal perkara lain.


"Sekarang ini kita tidak mahu jejaskan tumpuan dia kerana kelayakan Piala Asia adalah kayu pengukur pencapaiannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

Annuar tolak khabar angin

Posted: 20 Jul 2013 11:27 AM PDT

Kota Bharu: Mengiyakan pun tidak, menafikan pun tidak. Itu pendekatan yang diambil Tan Sri Annuar Musa ketika diajukan soalan mengenai khabar angin yang menyebut ramai pemain tonggak Kelantan bakal berhijrah ke negeri lain untuk mengharungi Liga Super musim depan.

Ahli Parlimen Ketereh itu sebaliknya berkata, sepanjang pengetahuannya, 80 peratus pemain yang mengharungi pelbagai suka duka bersama skuad yang digelar The Red Warriors (TRW) itu bakal kekal untuk tempoh sekurang-kurangnya satu musim lagi.


"Khabar angin perpindahan pemain seperti ini adalah perkara biasa yang akan berlaku setiap kali hampir tamat musim. Saya tidak dapat menyekat andaian itu dan ini yang dibuat penyokong namun kita akui 80 peratus pemain tidak berubah meskipun terdapat beberapa pemain akan dilepaskan atas faktor tertentu.

"Kebanyakan pemain tonggak sudah menandatangani kontrak baru meskipun kontrak lama belum berakhir dan jika ada pemain yang menerima tawaran dari pasukan lain, urusan perlu diselesaikan sebelum 31 Ogos ini," katanya tanpa menyebut siapa pemain yang sudah menandatangani kontrak lanjutan itu.


Sebelum ini, timbul khabar angin yang menyebut kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya 'dipancing' Johor Darul Takzim (JDT) tetapi pantas dinafikan pemain berkenaan.


Menurut Annuar, TRW sedang mengintai dan bakal memancing beberapa pemain pasukan lain bagi mengukuhkan kekuatan mereka musim depan, namun belum bersedia untuk mengumumkannya.

"Kita akan menambah kekuatan pasukan, malah ketika ini kita sedang mengintai pemain berkemampuan daripada pasukan lain untuk dibawa ke Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/21

No comments:

Post a Comment